Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
(Kertas Kerja di bentangkan di Seminar Pra Silaturrahim Nasional (Silatnas) Dewan Da'wah Islamiyyah Indonesia (DDII) pada 25 September 2010 di Jakarta)
Mukadimah
Meskipun telah terbelah-belah dari segi geo-politiknya, Alam Melayu masih dilihat sebagai sebuah zon kebudayaan Islam dengan ciri-ciri khas yang membezakannya daripada kebudayaan Islam daerah-daerah Dunia Islam lain seperti zon kebudayaan Islam Arab, Indo-Pakistan, Afrika dan lain-lain. Kebudayaan kita adalah kebudayaan kepulauan yang menyerlahkan ciri kepelbagaian dan keberagaman, tetapi tetap berkongsi ciri-ciri khas kesamaan dan keseragaman. Demikianlah hakikatnya, ada diversity kepulauannya, dan ada pula unity keislaman-kemelayuannya.
Jejak Para Perintis
Kesatuan tersebut adalah suatu yang sangat bererti, sehingga pada suatu ketika ia pernah merangsang gagasan politik kesatuan seperti Melayu Raya (Ibrahim Yakob dan Dr.Burhanuddin al-Helmi -- Malaysia) dan Indonesia Raya (Muhamad Yamin - Indonesia). Kesatuan budaya tersebut adalah hasil Islamisasi, suatu proses transformatif yang memesat di rantau ini dari abad 13-16M. Seawal era tersebut telah wujud jaringan amal Islami serantau yang melibatkan pusat-pusat pengembangan Islam seperti Pasai, Melaka, Aceh dan lain-lain yang bererti juga wujudnya jaringan di kalangan para penguasa Islam dan ulama-ulamanya. Di samping pemerataan dakwah, jaringan tersebut telah menghasilkan kesatuan kesatuan tradisi keintelektualan Melayu. Kitab-kitab karangan ulama Melayu yang dikenali dengan sebutan kitab jawi tersebar luas merentasi persempadanan geografis, suku kaum dan dialek bahasa. Dengan menggunakan bahasa Melayu (kekitaban) dalam penulisan mereka, para ulama tersebut telah membina bahasa kesatuan yang kaya dan dapat berfungsi dengan berkesan sebagai bahasa komunikasi dan bahasa tamadun tinggi. Ternyata yang tersebar bukan hanya karya, malah para ulama itu sendiri juga menyebar. Gelar-gelar penisbahan kepada nama tempat asal tidak membatasi daerah mereka berkiprah. Dalam kaitan ini kiranya wajar dicatat bahawa al-Falimbani tidak hanya giat di tanah kelahirannya, tetapi telah ikut berjihad dan gugur syahid mempertahankan kedaulatan Kedah Dar al-Aman dari pencerobohan Siam.
Laut selat Melaka bukan pemisah Sumatera dengan Semenanjung Tanah Melayu. Ramai tokoh yang berulang-alik lalu menjadi milik bersama dua daerah Melayu tersebut. Syeikh Tahir Jalaluddin (Minangkabau) dan Syeikh Junid Tola (Mandailing) adalah contoh ulama milik bersama Malaysia-Indonesia. Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu memang berseberangan lokasi, tetapi tetap berkongsi budaya dan tradisi.
Pada satu ketika, selain Asia Barat, Indonesia menjadi pilihan anak-anak Malaysia untuk melanjutkan pengajian agama. Ada yang ke universitas, ada yang ke pondok/pesantren, dan ada juga yang ke madrasah seperti Diniah Puteri, Padang Panjang yang pernah melahirkan beberapa orang tokoh wanita dalam politik Malaysia. Sementara itu pada pertengahan abad ke-20 terdapat sejumlah insitusi pengajian pondok replika pesantren Jawa di daerah-daerah penempatan masyarakat (asal) Jawa di bahagian selatan pantai barat Semenanjung Tanah Melayu seperti Johor, Selangor dan Perak.
Partisipasi tokoh-tokoh da`i/agamawan Indonesia dalam amal dakwah dan pendidikan terus berlanjut hingga ke era kontemporer. Ketika Malaysia mula meningkatkan sistem pengajian Islamnya ke tahap universiti sejumlah cendekiawan Indonesia turut menyumbang sebagai tenaga akademik. Mereka termasuklah O.K.Rahmat di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Nilam Puri) yang kemudian menyambung khidmatnya di Universiti Sains Malaysia (Pulau Pinang), Mukhtar Lintang dan Sidi Gazalba di Fakulti Pengajian Islam Universiti kebangsaan Malaysia, dan Dr.Hasan Langgulung di Fakulti Pendidikan (UKM) yang kemudian melanjutkan khidmatnya di Universiti Islam Antarabangsa (Gombak). Bagaimanapun kertas ini hanya akan menumpukan sorotannya pada tiga orang tokoh yang telah memberikan sumbangan istimewa iaitu Muhamad Natsir, Hamka dan Dr. Ir. Imaduddin Abdul Rahim.
Muhamad Natsir
Muhamad Natsir memang tidak dikenal luas di kalangan massa umat, tetapi sangat dikenal dan dihormati di kalangan para aktivis gerakan Islam, juga di kalangan pimpinan politik Islam. Yang jelas beliau termasuk tokoh penyumbang kepada fenomena kebangkitan Islam di Malaysia yang menyemarak pada tahun-tahun 1970'an. Ungkapan the rising tide of Islam yang popular ketika itu sangat terkait dengan Natsir. Hubungan akrabnya dengan Anwar Ibrahim, pimpinan utama gerakan kepemudaan era tersebut, mendekatkan Natsir dengan warga ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), wadah yang mempelopori kebangkitan Islam di Malaysia.
Teras aktiviti atau jawhar al-`amal gerakan Islam, khususnya ABIM tidak lain adalah dakwah, di samping pendidikan. Dakwah adalah amanah yang harus dilaksanakan menepati pesan dakwah bi 'l-hikmah dan dakwah `ala basirah. Semangat untuk berdakwah memang tinggi, tetapi cara, kaedah dan uslubnya belum dikuasai. Dalam konteks situasi dan kondisi seperti itulah buku Fiqh al-Da`wah Muhamad Natsir itu sangat membantu. Ketika itu hanya itulah satu-satunya buku berbahasa Melayu tentang ilmu dakwah. Atas pertimbangan keperluan buku tersebut diterbitkan semula di Malaysia dalam versi bertulisan jawi.
Gerakan Islam pada tahap awalnya berhadapan dengan realiti Islam yang telah direduksi menjadi sekadar ritual peribadi tanpa kaitan apa pun dengan urusan kehidupan yang lebih luas. Antara misi besar kaum da`i ialah untuk mengangkat semula Islam dalam bentuknya yang sempurna, taqdim al-Islam bisuratihi al-kamilah. Dalam rangka mengembalikan shumuliyyat al-Islam itulah tesebarnya ungkapan al-Islam din wa dawlah (Islam adalah agama dan negara). Dalam kaitan ini tulisan Natsir dalam Capita Selecta yang merakamkan polemiknya dengan Soekarno tentang isu agama dan negara telah turut memberikan pencerahan dan memberikan kekuatan argumentatif kepada para da`i.
Selain menjelaskan hakikat Islam, gerakan dakwah juga menghadapi tantangan faham-faham asing, terutama ideologi dan pemikiran Barat moden seperti sekularisme, demokrasi, nasionalisme dan lain-lainnya. Dalam menangani tantangan ini pemikiran Muhamad Natsir selalu menjadi rujukan dan panduan. Para da`i muda Malaysia merasa mendapat bekalan modal pemikiran dari tulisan Natsir tentang demokrasi Islami yang diistilahkan sebagai theistic democracy atau demokrasi berTuhan itu. Demikian juga dalam menghadapi sekularisme kritikan Natsir terhadap faham tersebut dalam Capita Selecta sungguh bermanfaat dari segi mendalami kefahaman dan memperkuat argumentasi. Justeru, sekularisme adalah antara faham yang paling banyak merosak pemikiran dan cara hidup umat, dan Natsir adalah antara tokoh pemikir Islam yang terawal mendebat sekularisme secara ilmiah, sementara ABIM adalah gerakan Islam di Malaysia yang pertama menyerlahkan bahaya sekularisme sebagai faham yang secara diametrikal bertentangan dengan Islam dan akidah tauhidiknya.
Perjuangan dan eksperimen politik Natsir adalah suatu yang sangat inspiring. Terlepas dari soal sejauh mana keberhasilannya, kejayaan Natsir dan parti Masyuminya membentuk kabinet pada zaman seawal itu, yang jauh mendahului organisasi-organisasi Islam di seluruh rantau dunia lain adalah suatu yang membanggakan dan sekaligus menumbuhkan semangat percaya diri di kalangan pemuda-pemuda pergerakan di Malaysia. Meskipun ekperimen tersebut terjadi dalam masa yang relatif singkat, tetapi sesungguhnya ia sangat kaya dengan pengalaman, terutama pengalaman memperjuangkan aspirasi politik Islam dalam konteks pluraliti masyarakat dan demokrasi multiparti, merealisasikan idealisme perjuangan parti di samping harus mengakomodasi kepentingan pihak-pihak lain.
Natsir telah meninggalkan legasi amal Islami, perjuangan islahi, pemikiran tanwiri dan keteladanan misali. Pesan-pesan keramatnya, "ikan biar tertangkap, air jangan keruh", "yang mudah kita kerjakan sekarang, yang susah kita kerjakan nanti, yang mustahil kita kerjakan esok" adalah antara kata-kata pusakanya yang padat dengan wisdom kepemimpinan, dan ia akan abadi dalam ingatan para da`i generasi pelanjut perjuangannya di Malaysia.
Hamka
Hamka adalah ulama-sasterawan yang dikenal luas di Malaysia, kalangan massa dan penguasa, juga khalayak sastera. Hamka dikenali dan diminati ramai kerana novel-novelnya yang mengharukan dan ceramah-ceramahnya yang memukau. Tetapi yang lebih mengesankan adalah karya-karya ilmiahnya seperti tafsir al-Azhar, Sejarah umat Islam dan Tasawuf modennya. Bagi yang tidak dapat memahami kitab-kitab tafsir berbahasa Arab, tafsir al-Azhar selalu menjadi pilihan kerana keistimewaannya dari beberapa segi. Ia adalah tafsir berbahasa Melayu paling besar yang ditulis dengan gaya bahasa ceramah panjang. Selain itu al-Azhar juga mungkin satu-satunya tafsir yang dalam huraian-huraiannya paling banyak merujuk isu-isu lokal kemelayuan. Karyanya Sejarah Umat Islam pula adalah karya sejarah Islam yang paling lengkap liputannya. Ia memuatkan pemerian tentang sejarah Islam hampir di seluruh rantau dunia dari zaman ke zaman, termasuk perkembangan Islam di Alam Melayu. Tidak kurang pentingnya ialak karya tasawufnya, khususnya Tasawuf Moden, suatu usaha untuk memberikan jawapan islam terhadap masalah-masalah kerohanian manusia moden.
Hamka memang ilmuwan unik yang memberikan perhatian berat kepada pelbagai bidang ilmu yang sangat luas, termasuk khazanah kesusasteraan tradisional seperti karya agung Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang. Tampaknya Hamka dapat menghargai karya yang oleh kebanyakan ulama dianggap tahyul melulu itu. Seperti yang dinyatakan oleh pengarangnya bahawa teks klasik tersebut mengandungi al-akhbar dan al-amthal (sejarah dan simbol). Di sinilah terserlahnya ketajaman Hamka yang dapat memilih dan memilah mana yang fakta dan mana yang simbol. Di sebalik simbol itulah tersiratnya mesej wisdom kepujanggaan bangsa. Dalam analisisnya tentang kejatuhan Melaka Hamka cuba menafsirkan simbol-simbol yang termuat dalam karya tersebut.
Hamka adalah tokoh Indonesia yang sangat dekat dengan umat di Malaysia. Sempena kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) beliau menulis buku Kenang-kenanganku di Malaya. Antara kandungan pentingnya ialah keprihatinannya terhadap bahasa Melayu. Memang Hamka adalah agamawan yang memiliki kepedulian yang sangat tinggi terhadap bahasa, khususnya bahasa Melayu. Antara sumbangannya dalam bidang kebahasaan termasuklah perjuangan memurnikan bahasa Melayu dari pencemaran kata-kata asing, dan mempertahankan bunyi-bunyi Melayu yang oleh sesetengah pihak dianggap kearaban.
Umat Malaysia memang mengenali Hamka. Seminar mengenai tokoh ini telah diadakan berkali-kali di pelbagai negeri Malaysia sehingga Pak Rushdi, putera Hamka yang sering hadir mewakili keluarga, pernah mengatakan bahawa beliau lebih banyak mengenal ayahnya di Malaysia berbanding di Indonesia. Mudah-mudahan anak-anak keturunan Minang di Malaysia tidak akan melupakan pesan Buya, "Orang Minang apabila tercabut dari Islam, akan hilang minangnya, yang tinggal hanya kabaunya".
Dr.Ir.Imaduddin Abdul Rahim
Imaduddin Abdul Rahim memiliki keunikan tersendiri. Beliaulah satu-satunya tokoh Indonesia yang mempunyai kader-kader yang ramai di Malaysia. Pada pertengahan tahun-tahun 70'an Ir. dari ITB itu dikirim ke Malaysia dengan tugas rasmi sebagai dosen di Institut Teknologi Kebangsaan (kemudian diangkat menjadi Universiti Teknologi Malaysia). Tetapi sebenarnya beliau dikirim dengan misi istimewa untuk membina kader dakwah. Kepiawaiannya dalam pembinaan kader memang diakui umum. Selama di Malaysia beliau banyak sekali mengadakan pelatihan kader dakwah yang dikenali dengan jenama Latihan Kader Dakwah (LKD) yang kemudian ditukar menjadi Latihan Mujahid Dakwah (LMD). Dalam waktu singkat ramai kalangan mahasiswa yang mengikuti pelatihan tersebut. Kesannya tentu sahaja sangat positif dari segi pengisian femomena kebangkitan Islam dengan kefahaman yang lebih mendalam dan komitmen perjuangan yang lebih kental terutama di kalangan mahasiswa.
Imaduddin banyak menggunakan terapi kejutan yang pada keseluruhannya cukup mengesankan. Bagaimanapun untuk satu ketika timbul juga kesan sampingannya apabila beliau mempromosikan fiqh kaum pembaharu yang sempat menghidupkan semula kontroversi lama "kaum tua-kaum muda". Tetapi hal itu masih dapat dikawal dalam kebijaksaan dasar saling hormat dan saling memaaf ketika berbeza pendapat yang menjadi amalan gerakan Islam khususnya ABIM. Setelah perkhidmatannya di ITK tamat Imaduddin pulang ke Bandung, tetapi dari semasa ke semasa beliau kerap datang ke Malaysia memenuhi undangan pelbagai institusi dan organisasi untuk mengadakan pelatihan dakwah.
Umum mengenali Imaduddin sebagai seorang yang berwatak keras, dan cara berfikirnya seringkali terkesan rasionalis. Citra sedemikian tentu sahaja ada pro-kontranya. Watak dan orientasi pemikiran sedemikian itu tidak pula bererti beliau seorang yang tertutup dan tidak mahu mendengar saran. Justeru sikap rasionalnya menjadikannya bersedia mendengar hujah. Segalanya bergantung kepada kemampuan meyakinkannya dengan hujah yang kuat. Tampaknya latar pendidikan sains-teknik menyebabkan Imad kurang pendedahan kepada bidang-bidang ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti sejarah, kebudayaan, kebahasaan dan kesusasteraan. Kerana itu beliau tidak dapat menghargainya secara saksama. Untungnya, keadaan itu tidak berlarut lama. Ada seseorang yang telah membangkitkan minat beliau terhadap bidang-bidang tersebut. Sejak itu beliau sangat menghargai hakikat betapa kuatnya pengakaran budaya dan bahasa Melayu pada ajaran Islam. Sejak itu juga beliau memasukkan diskusi tentang peranan Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu ke dalam komponen materi pelatihannya.
Khatimah
Demikianlah jaringan amal Islami pada masa lalu telah membentuk satu umat, membangun sebuah tamadun dan menjayakan suatu kebangkitan keagamaan, the rising tide of Islam. Generasi lalu telah berbuat sesuai dengan keperluan dan kemampuan. Kita pula bagaimana?
Kajang: 14 Syawal 1431H / 24 September 2010.
Sumber : Wadah
No comments:
Post a Comment