Monday, March 1, 2010

Ucapan wakil pengkarya festschrift Prof. SMN Al-Attas


Bismillahir Rahmanir Rahim

Ucapan Wakil Pengkarya

Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM

ALHAMDULILLAHI RABBIL ʿALAMIN
WASSALATU WASSALAMU ʿALA SAYYIDNA MUHAMMADIN,
WA ʿALA ALIHI WA SAHBIHI AJMAʿIN,


Assalam alaykum warahmatu Allah wa barakatuhu!

Mengadap Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah

Sesungguhnya, kesudian Duli Yang Teramat Mulia Tuanku berangkat hadir mencemar duli untuk bertitah dan melancarkan buku ‘Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib al-Attas

menyatakan iltizam dan istiqamah Tuanku kepada perihal ilmiah amnya,
dan penghormatan kepada seorang ahli fikir, dan pembaharu pendidikan yang amat disegani khasnya.

Patik semua sentiasa mengikuti titah-titah penting tuanku dalam pelbagai perkara. Tuanku seorang cendekiawan diraja berpendidikan tinggi,
seumpama sebutir bintang berkilau gemerlapan,
dari tradisi kepimpinan bangsa yang beradab dan bertamadun tinggi,
yang amat patut dibanggakan dan dicontohi.

Ampun Tuanku
Sembah patik harap diampun

Patik menjujung kasih sekali lagi kepada Tuanku atas kesudian Tuanku berangkat bagi menyempurnakan majlis pada petang ini.

Izinkan Patik sebagai wakil pengkarya buku yang bakal Tuanku lancarkan ini,
berucap kepada tetamu yang hadir bersama untuk mendengar titah Tuanku.

Ampun Tuanku.

Yang Mulia Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas,

Yang Berbahagia Tan Sri Dato Sri Dr Abdullah Ayub, Pro Canselor UTM,
Yang Berhormat Dato Dr Ridzuan Hj Salleh, Pro Canselor UTM
Yang Berbahagia Prof. Dato Dr. Zaini Ujang, Naib Cancelor UTM

Dhif-dhif kehormat
Hadirin dan hadirat sekalian!

Allah SWT berfirman dalam kitab Suci al-Qur’an Surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud: “Allah akan mengangkat tinggi beberapa darajat orang-orang yang beriman dari kamu, dan orang-orang yang berilmu: Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala yang kamu lakukan.”

Kita semua berhimpun di dalam Dewan ini bagi melancarkan
sebuah buku yang menyanjung sumbangan pelbagai dimensi seorang ilmuan pembaharu ulong, Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Beliau terbukti berwibawa dalam pelbagai bidang seperti ilmu kalam, falsafah, metafizika, sejarah dan kesusateraan Islam khususnya yang berkaitan dengan Alam Melayu. Dalam bidang-bidang ini beliau telah menyumbang beberapa fikiran pokok yang asli, berdaya cipta dan berpengaruh.

Pembaharu dan ilmuan ulong dirakam abadi dalam sejarah manusia melalui buah-buah fikiran mereka yang berjaya membantu mencerahkan alam pemikiran dan memberi nilai tinggi kepada kehidupan dan tamadun manusia. Kebanyakan mereka dikenal dan diiktiraf sewajarnya lama selepas mereka meninggal pentas dunia.

Hanya sebahagian kecil dari mereka yang dikenal dan diiktiraf dengan adil semasa hayat masing-masing. Sesungguhnya pengenalan dan pengiktirafan sebenar akan sumbangan para pembaharu dan ilmuan ulong dalam sejarah sesuatu bangsa nyata mencerminkan ketinggian martabat ketamadunan bangsa tersebut.

Bangsa yang hampa dan rendah darjat ketamadunannya tidak akan mengenal dan tidak berupaya mengiktiraf para pembaharu dan ilmuan ulong dari kalangannya, yang sememangnya boleh dibilang dengan jari.

Sebahagian dari sumbangan Profesor al-Attas dalam pelbagai bidang keilmuan dan ketamadunan Islam dibicarakan dengan bertanggungjawab oleh sebarisan ilmuan dan pengkaji serius dari pelbagai negara. Mereka mewakili sebahagian ilmuan yang memahami sumbangan beliau yang asli dan berdaya cipta bukan sahaja di peringkat pemikiran, tetapi juga di peringkat institusi.

Ramai ilmuan dari seluruh dunia mahu menyumbang tulisan mereka kepada buku ini, tetapi permintaan mereka tidak dapat dipenuhi kerana kesuntokan masa dan keterbatasan ruang.
Kami percaya keseluruhan sifat dan hasil perjuangan keilmuan tokoh yang dira’ikan dalam buku ini boleh dinamakan sebagai Pergerakan Teguh atau Dynamic Stabilism.

Ini kerana sifat dan hasil perjuangannya meneguh semula pandangan hidup Islam yang disepakati para luluhur agung sekian lama, serta mengukuhkan keyakinan kepada struktur dan dasar akhlak dan perundangannya dalam menghadapi cabaran cabaran semasa. Ini dilakukan dengan penuh wibawa keilmuan, tegas dan berdaya cipta dengan memahami unsur-unsur kekal dan berubah dalam tradisi Islam dan dalam tradisi Moden.


Keadaan ini berbeda dengan perjuangan kaum konservatif yang umumnya bersifat teguh menetap, tetapi tidak bergerak mencipta pembaharuan menyebabkan kelemahan memalukan; juga berbeda dengan kaum modernis dan pasca modernis, yang sentiasa bergerak mengekori pembaharuan, tetapi merongkai akar-akar kebudayaan yang berdiri teguh sekian lama sehingga menimbulkan kekeliruan mendalam.

Kesemua makalah dalam buku ini mencerminkan keluasan minat dan sumbangan Profesor al-Attas. Kami kaitkan dalam beberapa bidang saling bertaut yang juga mengambarkan kegiatan ilmiah di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), satu lembaga pendidikan tinggi Islam unik yang beliau asaskan dan pimpin secara menyeluruh, dan terbilang bijaksana dari tahun 1987 sehingga tahun 2002.

Para ilmuan serius dan berwibawa sedar dan insaf bahawa karya-karya Profesor al-Attas yang telah juga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa orang2 Islam dan bahasa-bahasa Barat melambangkan satu titik penting dalam sejarah Alam Melayu.

Bahawa inilah kali pertama dalam sejarah Alam Melayu di mana karya-karya ilmuannya mempekayakan khazanah pemikiran dan ketamadunan Islam di peringkat global. Malah terdapat institusi berprestij yang mengiktiraf sumbangan beliau sebaris dengan pemikir dan pembaharu dunia seperti Plato, Kong Fu Tze, St. Augustine, Immanuel Kant, Edward Said, Nelson Mandela dan sebagainya.

Saya mahu mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada penyunting bersama saya, Prof Madya Dr Muhammad Zainiy Uthman yang amat banyak membantu usaha ini. Kami berdua menyanjung sumbangan semua para penulis makalah dalam buku ini. Beberapa orang dari mereka ---Prof Dato Salleh Yaapar, Prof Murat Cizakca, Dr Ismail Marcinkowski, Dr Tatiana Denisova, dan Dr Hisham Helyer--- hadir bersama kita pada hari ini. Bagi pihak semua penulis, kami amat menghargai sokongan berharga Naib Canselor UTM, Prof Dato Dr Zainiy Ujang, yang juga seorang penulis prolifik. Jutaan terima kasih juga kepada seluruh kakitangan Penerbit UTM, terutama Prof Hishamuddin dan sdra Khalid Mazlan, dan semua yang menjayakan buku ini serta pelancarannya pada hari ini.

Kami juga sangat menghargai sokongan dan dorongan keluarga kami, dan para sahabat di Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, di Universiti Islam Antarabangsa dan di mana saja mereka kini berada.

Akhir sekali, dan yang paling utama, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru yang kami kagumi dan cintai Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kesungguhan perjuangan dan keberaniannya dalam bidang ilmu, agama dan akhlak di peringkat tinggi, dengan segala pahit dan lelahnya, adalah contoh teladan buat kami semua. Rakaman terima kasih ini tidak lengkap jika tidak juga ditujukan kepada isterinya, penyokong terkuatnya dan paling setia Puan Latifah al-Attas. Kami doakan agar tuan-tuan berdua serta seluruh keluarga dan kami semua juga akan terus dipanjangkan umur, mendapat kejayaan dan kebahgiaan di dunia dan akhirat.

WabiLlahi al-tawfiq wa’l-hidayah
Wassalam alaykum warahmatuLlahi wabarakatuhu
Ampun Tuanku
Sembah Patik mohon diampun

(23 Feb 2010/ Dewan Besar UTM International Campus KL)

Sumber : Rausyanfikir


No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails