Thursday, March 25, 2010

Tim Winter ulama kulit putih

Kaum kulit putih khususnya dari Eropah yang musyrik sering berbangga dengan darah Anglo Saxon yang mengalir dalam tubuh mereka. Namun, bagi Tim Winter atau nama sebenarnya Timothy John Winter yang berketurunan Anglo Saxon tanpa segan mengakui bahawa beliau sebenarnya berketurunan Anglo-Muslim. Ia kesan secara langsung sebaik sahaja beliau memeluk Islam sekitar tahun 1970-an dahulu.

Perkara ini sebenarnya tidak pelik kerana jika kita kembali ke abad ke-18, di sekitar England telah wujud kelompok masyarakat yang dikenali sebagai Anglo Muslim atau Anglo-Mohammedan. Jumlah mereka semakin berkembang dan kini dianggar terdapat lebih 100,000 warga kulit putih United Kingdom (UK) yang beragama Islam sama ada secara keturunan mahupun mualaf. Jika dikaji semula sejarah, Islam bukanlah suatu agama yang baru bagi kalangan kaum kulit putih. Mungkin kebanyakan nenek moyang mereka dahulu beragama Islam.

Sekalipun tidak beragama Islam, Kristian yang mereka anuti cukup berbeza daripada aspek ibadat, amalan dan ajaran. Sebagaimana yang diakui sendiri oleh Tim, datuknya merupakan dari generasi terakhir keturunan keluarga beliau yang mengakui kebenaran Kristian. "Datuk saya tidak pernah menyentuh holy water sehingga ke akhir hayatnya," katanya. Beliau kini ialah ulama Islam kulit putih yang sangat terkenal.

"Mengimbau zaman di mana anak-anak muda duduk semeja sambil minum kopi dan masing-masing berbicara mengenai apakah makna hidup, mengenalpasti di manakah sebenarnya kita berada dan ke arah manakah haluan hidup ini. "Semua itu kononnya terjawab apabila ramai kalangan rakan memilih cara hidup hippie malah ramai juga yang terus menetap di India yang kononnya menjanjikan hidup penuh dengan adat ketimuran, eksotik dan kelas pertengahan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak seperti rakan-rakannya itu tetapi lebih memilih untuk ke Asia Barat atau lebih tepat, Islam. "Saya memilih sesuatu yang secara radikal berbeza berbanding agama tradisi bangsa India atau Zen Buddha. "Saya tidak memerlukan agama yang ganjil atau eksotik dan saya juga tidak bertujuan untuk mencari alternatif identiti yang baru untuk diri sendiri," katanya. Apa yang pasti, Tim tidak lagi mengunjungi gereja kerana tidak dapat menerima konsep-konsep yang diketengahkan.

Ditanya adakah semua konsep itu tidak munasabah untuk diterima apatah lagi tanpa banyak soal, beliau menjawab: "Catatan mengenai Nabi Isa a.s boleh dilihat dari dua bentuk. Iaitu sebagaimana baginda diceritakan dalam sejarah dan kisah-kisah baginda dalam perjanjian baru. "Tetapi adakah Nabi Isa yang diceritakan oleh kedua-dua sumber itu adalah dari individu yang sama? "Ini kerana daripada kedua-duanya tidak ada yang sama dan berbeza-beza. Tambahan pula, beliau tidak mempunyai kapasiti yang cukup kuat untuk mempunyai kepercayaan terhadap doktrin-doktrin yang abstrak.

"Sejauh pemahaman saya, Nabi Isa secara ultimatumnya guru kepada bangsa Yahudi yang membawakan mesej yang besar dari Injil Hebrews bahawa manusia boleh diterima di sisi tuhan atas kekuasaan tuhan yang mempunyai kuasa untuk mengampun," katanya. Tuhan bagi Tim sedia untuk mengampun dan memberkati hidup hamba-hamba tanpa sebarang masalah, jauh sekali hasil daripada pengorbanan mana-mana pihak. "Bagi saya itu darjah monoteisme paling tinggi bagi tuhan dan saya dapati ia menjadi ajaran utama dalam Islam," katanya.

Antara punca lain yang menarik Tim kepada Islam tidak sahaja isi kandungan al-Quran tetapi tentulah juga alunan bacaan ayat-ayat suci itu yang beliau sifatkan bagaikan daya tarikan sekuat magnet kepadanya untuk mendekati dan seterusnya mencintai Islam. "Pernah semasa berada di Kaherah Mesir, saya sempat mengira sebanyak 38 kedai secara serentak memasang rakaman bacaan al-Quran di sana-sini, sepanjang hari. "Pertama kali mengalami suasana seperti itu, dengan alunan bacaan al-Quran pelbagai jenis lagu itu menjadikan ia 'muzik' kegemaran saya.

"Malah saya tidak ragu-ragu mengatakan bahawa ia merupakan suatu seni Islam yang sangat hebat," katanya. Namun pada asasnya Tim memeluk Islam selepas mengkaji dan membuat perbandingan pelbagai falsafah dan teologi agama dan beliau tidak menemui suatu agama yang amalannya begitu sempurna, selain Islam. Berdasarkan kepada pengetahuan yang ada tidk sesuai lagi jika meletakkan Tim atau nama Islamnya Dr. Abdul Hakim Murad sebagai saudara Muslim. Sebab, pengetahuannya mengenai Islam persis beliau dilahirkan dan dibesarkan secara Islam, terlalu luas dan amat mendalam.

Lahir pada tahun 1960, beliau memegang ijazah kelas pertama dalam bahasa Arab dari Universiti Cambridge pada tahun 1983. Atas minat dan cinta beliau terhadap Islam, Tim atau Abdul Hakim menyambung pengajian mengenai Islam di Universiti al Azhar, Mesir. Beliau pulang semula ke England pada 1989 untuk menyambung pengajian di Universiti London bagi pengajian Turki dan Parsi. Kini beliau merupakan pensyarah di Shaykh Zayed Pengajian Islam di Fakulti Diviniti Universiti Cambridge, juga merupakan Pengarah Pengajian Teologi di Kolej Wolfson dan baru-baru ini menerima ijazah kedoktoran dari Universiti Oxford.

Apabila menyebut beliau berketurunan Anglo Saxon, sesuai dengan itu juga Abdul Hakim adalah Pengarah Pertubuhan yang dikenali The Anglo Muslim Fellowship untuk Eropah Timur dan memegang pelbagai lagi jawatan dalam dunia akademik dan pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan Islam. Sudah tentunya, Abdul Hakim memberi sumbangan yang sangat besar dalam dunia Islam dengan menulis buku-buku, jurnal, artikel, syarahan, panel forum dalam pelbagai topik yang sangat menyentuh mengenai dunia dan ilmu-ilmu Islam.

Yang menarik, beliau antara bangsa kulit putih pertama menterjemahkan kitab-kitab muktabar ke bahasa Inggeris seperti, The Remembrance of Death and the Afterlife (Cambridge 1989) oleh Imam Al Ghazali. Hikmah yang sangat besar apabila Tim memeluk Islam ialah kemampuan beliau berdakwah menyebarkan Islam terutamanya pada mereka yang sebangsa dengannya. Usaha dakwahnya menjadi lebih berkesan kerana beliau begitu memahami soal bahasa dan budaya bangsanya sendiri.

Hujah-hujah yang padat dan bernas sentiasa diberikan dalam konteks hubungan Islam dan Barat (Kristian), dakwah, aliran-aliran seperti wahabi, sunni, syiah dan politik. Begitu tertarik apabila dalam satu artikel, Abdul Hakim menulis mengenai beberapa kelemahan umat Islam yang agak unik. "Sehingga ke abad 18, ramai ulama percaya bahawa dunia penerbitan membabitkan percetakan adalah haram hukumnya. "Ini apabila mereka percaya teks-teks yang melibatkan agama Islam adalah terlalu suci untuk dicetak dan diulang cetak berkali-kali.

"Bagi mereka jika hendak ditulis mestilah ditulis tangan dengan perlahan-lahan dan penuh dengan rasa kecintaan dengan tulisan-tulisan berseni kaligrafi atau khat dan dibukukan dengan penuh seni, juga secara tangan," katanya. Begitu juga dengan kejatuhan kerajaan atau empayar Islam Uthmaniah di awal abad ke-19 yang menyebabkan banyak wilayah Islam jatuh ke tangan asing terutamanya Rusia. Ramai pakar sejarah mengakui kemenangan di pihak Rusia itu berpunca pihak musuh mempunyai disiplin yang tinggi dan lebih-lebih lagi peralatan ketenteraan yang moden dan terkini untuk zaman itu.

Sedangkan di pihak Islam, mereka percaya kepada kemenangan boleh dicapai hanya melalui 'keimanan' tanpa perlu mengubah strategi perang yang ada. "Mereka juga percaya jika dibekalkan senjata seperti senapang, iaitu tembakan ke arah musuh dari jarak jauh dianggap seperti tindakan seorang pengecut berbanding berlawan dengan pedang sambil merenung mata musuh barulah dianggap sebagai pahlawan sejati," kata beliau. Sebenarnya membaca mengenai Dr. Abdul Murad, banyak ilmu yang boleh dipelajari dan diambil pengajaran.

Namun jika berpeluang mendengar sendiri syarahan dan menyaksikan kehadirannya adalah lebih baik. Justeru itu, berita baiknya beliau akan hadir ke negara ini pada 27 hingga 29 Mac ini yang dibawa khas oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui sayap, Islam Outreach mereka. Bertempat di Dewan Auditorium Dewan Jubli Perak, Shah Alam, Selangor, Dr. Abdul Hakim Murad akan menyampaikan syarahan pada 27 Mac ini. Hubungi talian 0342569822 untuk maklumat lanjut program ini. Jangan lepaskan peluang terbaik ini!

Sumber : Utusan






No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails