Saturday, March 6, 2010

Fesyen, Seni & Sains

Kita sudah pun memasuki tahun baru kalender Gregorian, 2010. (Eh, macam AF pulak, main musim-musim.) Kedatangan tahun baru ini pasti memberi banyak harapan yang berbeza-beza mengikut setiap insan. Ada yang berharap menemui cinta, ada yang berharap mendapat anak, ada yang berharap menukar kereta baru, ada yang berharap berhenti merokok, ada yang berharap mendapat kerja, ada yang berharap naik pangkat, ada yang berharap dapat siapkan 10 skrip filem, ada yang berharap Dubai World tak lingkup, ada yang berharap dapat bercuti di Las Vegas dan kalau saya senaraikan semua harapan manusia maka sampai 2011 pun tak habis.

Tak dapat tidak, kita juga pasti akan melihat tak banyak sikit, fesyen semasa turut berubah pada tahun hadapan. Secara mudah, fesyen ialah gaya pemakaian seseorang. Seseorang individu dapat menterjemahkan sedikit sebanyak karektor peribadi melalui gaya pemakaiannya. Ini bermakna, fesyen juga bahasa atau simbol yang berupaya menghantar makna-makna tertentu berkenaan ciri-ciri peribadi seseorang. Lebong yang menyifatkan fesyen itu mesti selari trend semasa adalah ajaran sesat. Tafsiran fesyen sebegini yang dijulingkan dengan budaya konsumer pada hakikatnya meremehkan fesyen sebagai salah satu fakulti intelektual manusia. Ia sekadar mengecop fesyen sebagai salah satu produk pasaran bebas semata-mata. Kena pakai jenama Prada ke baru dikira fashionable? Damn it!

Untuk melihat perubahan fesyen semasa, kita mesti meleser di jalanan. Di sini lah sebenarnya pelbagai gaya fesyen ‘beraksi,’ bukan di pentas catwalk. Peragaan fesyen tak sama dengan fesyen di jalanan. Alasannya, fesyen mesti praktikal. Yang digayakan di pentas catwalk belum terbukti praktikal selagi ia tak digayakan di jalanan. Biasanya yang membawa perubahan fesyen semasa, atau lebih tepat lagi fesyen jalanan ialah para ‘rock star’ yang sedang hangat di pasaran. Apa yang digayakan oleh ‘rock star’ ini akan cuba ditiru oleh golongan muda yang lain. Ha, tahun ini saja, dijangka fesyen “Glam Rock” akan mendapat tempat. Maka fesyen ini akan menetaskan lebih ramai poser dan mangsa fesyen. Apa alasan saya? Mudah, fesyen “glam Rock” ini pada dasarnya menyebabkan ramai yang tak semena-mena mengaku minat muzik rock walaupun dia tak mengenali Lemmy Kilmister. Gaya ini juga hanya sesuai untuk mereka yang bertubuh kurus dan tinggi. Dalam sejarah ‘rock and roll,’ hampir tiada bintang rock glamor yang bertubuh debab dan pendek. Apapun, fesyen ini dijamin akan mengkayakan para towkey pakaian yang sentiasa terjojol mata menanti peluang keuntungan.

Pun begitu, ada juga golongan lain yang membawa perubahan fesyen seperti bintang bola sepak, bintang filem dan bintang realiti TV. Dipotong jalan, para selebriti yang dijulang bagaikan hero. Kerana itu, pereka fesyen tak mampu menggalas cabaran menukar corak fesyen jalanan golongan muda. Akan tetapi, mereka tetap mendepani perubahan fesyen dunia mengikut jalan yang berlainan yang tidak terlalu terbuka untuk dinikmati oleh segenap golongan muda-mudi. Dengan taktik berlainan, melalui media seperti majalah, atau disarung pada tubuh badan selebriti, pereka fesyen mencuri kesempatan menempatkan rekaan mereka dalam fesyen arus perdana. Masalahnya, fesyen dari majalah ini agak terbatas penggayaannya kerana ia hanya mampu diterokai oleh golongan muda-mudi dari kelas menengah atasan dek kerana kos fesyen sebegini secara relatif lebih mahal. Keterbatasan itu juga disebabkan sesetengah fesyen rekaan para pereka tadi tak sesuai/pratikal untuk dipakai. Fesyen yang tak praktikal ini serupa dengan ruang bangunan yang tak praktikal atau sempit, ia memberi ketidak-selesaan kepada pengguna.

Ramai yang tersilap langkah melihat cara berpakaian yang bagus adalah dengan mengenakan fesyen yang ber-kos mahal. Ini bagi saya dosa paling besar dalam hukum berpakaian yang telah dilakukan oleh manusia moden amnya. Citarasa fesyen juga bersangkut-paut dengan citarasa estetika yang lain meliputi citarasa muzik, filem, sastera, hiasan rumah, makanan dll. Boleh disimpulkan, orang yang memiliki citarasa muzik yang teruk, berkemungkinan besar citarasa fesyennya juga teruk, dan seterusnya. Dan orang yang sentiasa berubah-ubah tanpa hujung pangkal boleh diragui prinsip hidupnya. Mungkin dia sendiri keliru atau tak tahu apa yang diingininya hingga terpaksa menoleh orang di kiri dan kanannya setiap waktu, demi dilihat seirama merdu dengan mereka. Sedang orang yang benar-benar bijak pasti bijak menentukan apakah gaya pemakaian yang sesuai bagi dirinya, tanpa tergopoh-gapah cuba fit in dengan trend yang datang dan pergi.

Walaupun ada anggapan yang mengatakan seseorang itu boleh saja menggayakan sebarang fesyen dengan syarat berkeyakinan tinggi untuk menggayakannya, kenyataannya, fesyen yang mengikut trend condong ke arah gaya luaran semata-mata. Fesyen sebegini telah menyebabkan pandangan songsang tadi mengelabui hukum berpakaian yang lebih penting iaitu; seni dan sains. Inilah asas sebenar hukum berpakaian, bukan fesyen yang mengikut trend semasa. Sama saja hukumnya dengan senibina, muzik, filem, dll. Dalam erti kata lain, seni dalam berpakaian mewakili aspek estetika, seperti corak, warna, potongan dan jenis tekstil. Manakala sains menawarkan rasional terhadap aspek estetika tadi seperti keadaan iklim setempat, geografi, skala dan proportion, demi mencapai keselesaan dan kesempurnaan dalam berpakaian.

Idea bagi rekaan fesyen juga tak semestinya bermotifkan keraian pada estetika tubuh badan sahaja. Seseorang pereka fesyen juga patut melihat dunia di sekelilingnya untuk mencapai inspirasi dan idea. Sebagai contoh, pereka fesyen Hussein Chalayan mengambil sosio politik, ekonomi, budaya termasuk filem, muzik, seni bina serta kejuruteraan sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi fesyen rekaannya. Ini semua penting memandangkan kesemua unsur terbabit juga mempengaruhi kehidupan seseorang baik dari segi tingkah laku, pemikiran, emosi, dll. Dengan itu, macam saya sebut tadi, melalui fesyen, ia berupaya menterjemah ciri-ciri individu si pemakainya.

Cuit sikit aspek estetika, pemakaian tali pinggang dilitupi lebihan kemeja yang sengaja dibiarkan terkeluar sedikit adalah haram di sisi hukum berpakaian. Estetika pemakaian tali pinggang wajib menampakkan rupa fizikal tali pinggang itu. Dan hanya orang tak sehat saja yang memakai braces dalam masa yang sama memakai juga tali pinggang. Dari aspek fungsi, ia dikira redundant. Saya juga akan menekup muka bila terlihat seorang yang bertubuh cebol memakai skinny jeans. Disebabkan fesyen ini, penampilan mereka tak ubah macam sarung nangka. Niat untuk dilihat kurus telah bertukar menjadi lawak seram. Sebenarnya, memadai jika mereka mengenakan potongan seluar straight cut. Sama juga jika perempuan bertubuh besar yang terlebih muatan, pemakaian skirt paras lutut kembang semangkuk akan menyebabkannya kelihatan seakan sekuntum Rafflesia yang sedang mekar.

Fesyen baggy pant yang diserabuti tali-temali turut mencemari pemandangan. Fungsi tali ialah untuk mengikat. Tapi saya tak tahu apa yang nak diikat oleh si pemakai pada seluar baggy bertali ini. Poket besar yang banyak dengan dihiasi tali-temali yang tiada fungsi adalah jenayah fesyen yang wajib dibenteras hingga ke akar umbi. Berbeza dengan kasut budak kecik yang ber-hon – tuit tuit tuit – walaupun memekak, tapi ia boleh dianggap sebagai memenuhi tuntutan fungsi keselamatan dan bunyian itu wajar dikira sebagai sebahagian dari estetika kasut tersebut. Dalam prinsip estetika, ciptaan berlebih-lebih, atau terlalu kurang, tak praktikal atau tiada fungsi dikira sebagai teruk. Kesempurnaan sesuatu itu adalah berkadaraan dan sederhana, kemudian baru-lah boleh cerita pasal kecantikan.

Dekad 1990-an kita dihidangkan dengan kehadiran sekumpulan gadis dungu yang menggelarkan diri mereka, ‘Spice Girls.’ Mereka memecahkan kebuntuan fesyen remaja perempuan waktu itu dengan gaya fesyen yang berwarna-warni, striking, seluar bell-bottom dan terompah bertapak setebal bongkah batu bata. Bagi saya, ini tak lebih sekadar satu lagi terjemahan budaya ‘pop.’ Maka ramailah para remaja perempuan termasuk di negara ini yang turut sama terjebak membontoti cara berpakaian ala gadis pedas ini. Mereka seolah-olah menganuti fahaman cult yang menjadikan mereka percaya permukaan bumi yang mereka diami dilitupi paku-paku karat.

Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. (bak kata siapa entah?) Kasut serupa terompah setebal batu bata yang digayakan oleh para gadis waktu itu begitu menyesakkan pandangan mata saya. Betapa sesaknya sehingga saya percaya mereka yang memakai kasut sebegitu seperti hidup dalam seksaan zahiriah. Kaki mereka seperti mengalami ketumbuhan yang menyebabkan mereka terpaksa berjalan dengan terencut-encut kerana mengheret kaki yang berat. Atau, seperti banduan yang kakinya dirantai oleh bebola besi. Secara tak langsung, disebabkan fesyen bodoh ini, estetika pergerakan mereka juga kelihatan hodoh. Saya fikir, daripada memakai kasut dengan tapak setebal batu bata, lebih baik mereka memakai kasut ‘Bata.’ Ia lebih ringan, tahan lama, malah lebih senonoh!

Tak dilupakan juga, but ‘Timberland’ yang sering digayakan oleh sesetengah pemuda perasan ‘hip-hop’ di sini juga sebenarnya tak responsif terhadap iklim tropika tempatan. Apatah lagi, but itu dipakai di bandar seperti Kuala Lumpur yang bercuaca panas. But seperti itu jika digayakan di kota negara empat musim seperti New York baru sesuai. Di negara empat musim, pemakaian but kulit asalnya bertujuan menyerap haba, selain untuk kegunaan lasak. Ha, inilah sains! Kalau di sini, selain kegunaan pasukan keselamatan seperti tentera, atau di kilang dan tapak pembinaan, but kulit, Timberland misalnya, hanya sesuai untuk pergi berkebun, menoreh getah atau mengait kelapa sawit, sebagai alternatif kepada kasut lagen. Namun disebabkan taksub mengikut setia trend semasa, maka para trendies sudi mengabaikan aspek seni dan sains.

Kasut tumit tinggi yang menyebabkan postur tapak kaki si pemakai terlipat dekat 90 darjah memang gila! Saya tak peduli sama ada rekaan itu nak terlipat ke, bergulung ke, berpintal ke, tapi bila rekaan itu membabitkan perubahan pada anggota badan dalam posisi yang menyeksakan, rekaan itu wajar dituduh sebagai ‘ganas.’ Si pemakai tanpa disedari telah diseksa atas nama ‘fesyen.’ Pernah terbaca di akhbar, pemakaian kasut tumit tinggi meninggalkan resiko sakit lutut dan maskular kerana postur badan yang dipaksa untuk condong sedikit ke depan. Sayang, kerana takut ketinggalan, demi fesyen, mereka rela dibuli oleh fesyen dan menafikan keselesaan diri sendiri. Tapi jikalau yang memakainya itu berasa nikmat, apa boleh buat, kalau dia memang seorang sadomasokis?

Kasut kulit zaman sekarang turut mengecewakan dari aspek kualiti. Kebanyakannya diperbuat dari guinea leather aka kulit sintetik, yakni kulit campuran fiber. Berlainan dengan kasut kulit keluaran 1960-an misalnya, ia diperbuat dari kulit tulen yang lembut dan tahan lasak. Saya sendiri amat meminati kasut-kasut vintage ini. Kulit tulen yang sekeping itu, oh, sangat pure. Ia tak dicemari bahan-bahan campuran seperti makanan yang direnjis dengan Ajinamoto. Kasut kulit campuran menebalkan, seterusnya menambah berat pada kasut. Ini sebenarnya taktik kapitalis kasut mengurangkan kos produksi dan kualiti. Bila kualiti rendah, ia mudah rosak dan kita perlu menggantikannya dengan kasut yang baru. Tapi pada iklan, diheboh pula tentang bermacam-macam kualiti palsu. Selain mudah rosak, kasut seperti ini juga meninggalkan bahang kepanasan pada kaki. Hey, pure = quality = beauty. Ingat tu!

Dalam masa yang sama, pemakaian selipar dan sandal sangat sesuai di sini. Ia sangat responsif terhadap iklim tempatan. Kaki yang lebih terdedah berpeluang membebaskan haba panas tropika. Mengapa perlu serap haba? Jika kasut, paling sesuai ialah kasut yang ringan. Ini juga sains. Sebabnya, kita memerlukan tenaga lebih untuk mengheret kasut yang berat dan ini pasti akan mengundang lebih banyak proses pembebasan haba dan peluh akibat keadaan suhu yang tinggi. Haba dan peluh tadi memerlukan rongga-rongga udara untuk membebaskan bau yang bakal terhasil. Jika tidak, ia akan terperap di kaki yang terkepung dalam kasut tadi. Jadi khidmat stokin amat diperlukan untuk menyerap haba dan peluh dari kaki. Sebab itu juga penggunaan kasut yang berat ini sangat cemerlang, gemilang dan terbilang dalam meninggalkan bau busuk, sebusuk telur tembelang pada tapak kaki. Tak percaya, cuba try test and cium. Saya dah cuba dah. Best...

Ini amat berbeza andai kita memakai kasut yang lebih ringan, kurang tenaga diperlukan. Jadi, kita lebih bebas menghayunkan kaki ketika berjalan dan lebih fleksibel seperti saat tiba-tiba terpaksa twist kaki untuk mengelak dari terpijak tahi anjing. Pergerakan kaki yang lancar dijamin menghasilkan estetika pergerakan yang kelihatan sempurna dan lebih pantas. Lebih ringan juga sama dengan lebih selesa. Pergerakan kaki yang lebih pantas dan fleksibel pula akan menyebabkan perjalanan darah yang lebih baik. Pendek kata, kasut yang lebih ringan mampu memberi kesan positif terhadap kesihatan. Tanya la tok sami yang kuat berjalan tu, kasut macam mana yang mereka pakai. Kalau mereka ada lebih, tanya lagi, "nak satu boleh?

* DEWA merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri di Universiti Industri Selangor dan beliau juga memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).





No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails