Tuesday, March 16, 2010

Kenyataan Media : Pilihan Raya Kampus Unisel 2010


Kepemimpinan Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel menjunjung semangat demokrasi yang berlaku di dalam Kampus Bestrai Jaya. Ini adalah satu proses kematangan kepemimpinan mahasiswa dalam membawa gagasan besar mereka untuk diratakan kepada seluruh warga mahasiswa agar turut serta dalam gelombang Pilihan Raya Kampus (PRK). Gelanggang PRK bukanlah lapangan kepartian sebagaimana tercatat dalam Peraturan Am yang dikeluarkan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar. Tiada unsur kepartian politik yang dibenarkan masuk ke dalam kampus untuk mempengaruhi mahasiswa dalam soal atau isu yang sudah jelas ada kepentingan masing-masing.

Ini sejajar dengan martabat Institut Pengajian Tinggi yang sewajarnya berprinsip Non-Partisan dan memugar budaya keilmuan. Kritik-kritis (bersama cadangan bernas) terhadap pengurusan universiti sangat wajar jika niatnya untuk bersama-sama membangunkan gudang ilmu ke arah lebih cemerlang. Di dalam idealisme juga harus ada realitis kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Jangan pula mahasiswa retorik tiada hala tuju semata-mata bagi mendapatkan kemenangan mudah. Prinsip harus dipertahan berlandaskan ilmu bukan emosi nafsu nafsi, ikut-ikutan. Biar kalah tetapi prinsip dipertahan, jangan menang tetapi prinsip dipersetan.

Kepemimpinan Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel mengalu-alukan penglibatan Sdr. Nor Hafiz Razali selaku kepemimpinan utama GPTD Unisel yang ada menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kampus pada kali ini. Tetapi ini tidak bermakna beliau mewakili organisasi. Dalam mesyuarat kepemimpinan semua bersetuju untuk merelakan beliau bertanding atas kapasiti calon bebas dengan prinsip Non-Partisan dan bukan mewakili GPTD Unisel. Pandangan beliau semasa PRK tidak akan mewakili suara dan pandangan kepemimpinan GPTD Unisel. Tiada mana-mana aktivis GPTD Unisel yang akan bertanding atas kapasiti GPTD Unisel. GPTD Unisel sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin melihat universiti melahirkan masyarakat madani. GPTD Unisel menyeru semua mahasiswa turun memeriahkan budaya Pilihan Raya Kampus yang beradab dan mengundi calon yang berwibawa dan berjiwa besar.


Wan Ritini Wan Ismail
Setiausaha

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails