Wednesday, March 31, 2010

Catatan Diskusi Al-Amin

Tafsir Al-Azhar | Karangan Prof. Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA) |Surah An-Naba’ (Berita Besar) | Surah ke 78 | Terkandung 40 ayat | Diturunkan di Makkah | Diskusi Ayat : 1-16 | Disediakan oleh Unit Pembina | Bestari Jaya | Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor






  1. Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
  2. Tentang berita yang besar,
  3. Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.
  4. Jangan! Kelak mereka akan mengetahui.
  5. Kemudian itu; sekali lagi jangan! Mereka akan mengetahui kelak.
  6. Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan?
  7. dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?
  8. dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
  9. dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
  10. dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?
  11. dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?
  12. dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) Yang kuat kukuh?
  13. dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu Yang terang-benderang cahayanya?
  14. dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) Yang mencurah-curah,
  15. untuk Kami mengeluarkan Dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan,
  16. serta kebun-kebun Yang subur bertaut-taut pokoknya?

Berita Besar

Dalam ayat pertama, Hamka menekankan tentang persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat Quraisy. Persoalan yang menjadi pertengkaran dan tanda tanya buat mereka. Persoalan yang tidak berkesudahan perbincangan setiap kali mereka bertemu pada ketika itu. Ayat kedua dan ketiga diterangkan jawaban tentang ayat awal, iaitu berita besar yang mereka ragu-ragu.

Hamka menafsirkan ada tiga (3) berita besar. Pertama : Al-Quran sebagai wahyu. Kedua : Hari Kiamat. Ketiga : Kebencian terhadap penyembahan berhala. Tiga perkara inilah yang menjadi pertengkaran dan ragu-ragu dalam perbualan masyarakat Quraisy. Barangkali ada yang mula percaya kepada mesej yang disampaikan oleh Muhammad s.a.w. Masih ramai juga yang tidak percaya kebenaran Muhammad s.a.w.

Sejak kecil sehingga remaja dan dewasa masyarakat Quraisy sudah mengenali peribadi baginda dan mereka bangga dengan sifat al-amin (amanah). Tetapi selepas baginda meningkat usia 40 tahun, mengaku dirinya mendapat wahyu dan menyampaikan pendirian tauhidik yang berbeda dengan masyarakatnya. Baginda mengaku Malaikat Jibril diutus Allah swt menemuinya menyampaikan wahyu dari Tuhan. Wahyu-wahyu yang disampaikan sangat mengejutkan sistem kepercayaan masyarakatnya.

Baginda juga mengatakan akan ada hari kebangkitan, ada kehidupan selepas mati. Semua amalan akan dihitung Baginda melarang menyembah berhala yang selama ini menjadi dasar agama masyarakatnya. Perkara tersebutlah menjadi tutur bicara dan tertanya-tanya kebenarannya. Sama ada di Darun-Nadwah (seperti Dewan Negara), atau di Masjid, atau di mana-mana sahaja.

Pangkal ayat ke empat berbunyi “Jangan!”. Hamka memberikan ertinya tidaklah ada perlunya dipertengkarkan atau diragukan lagi tentang berita besar yang terkandung tiga perkara tersebut, kerana “Kelak mereka akan mengetahui pada suatu hari nanti. Tegasnya kalau pun mereka bertengkar tentang persoalan besar itu sehingga tiada keputusan.

Suatu masa nanti mereka akan mengalami dan mengetahui kebenarannya sebagaimana kehendak Allah swt. Pada pangkal ayat lima “Kemudian itu”. Diingatkan sekali lagi setelah peringatan awal, kemudian “Sekali-kali jangan!” persoalkan dan ragu-ragu tentang kebenaran berita besar kerana tiada faedahnya. Janganlah dengan hanya meraba-raba dalam kegelapan kejahilan, ikutlah al-Quran kerana wahyu akan diturunkan secara beransur-ansur untuk menerangkan kebenarannya dan menghilangkan keraguan mereka. Oleh kerana itu bersedialah untuk beriman.

Alangkah Hebatnya Penciptaan Ilahi

Ayat enam sehingga ayat 16 menerangkan kepada kita bagaimana caranya Allah swt mendidik manusia kepada berfikiran luas agar jangan hanya terkurung dalam batas fikiran yang sempit. Berfikirlah tentang perkara yang besar, dan jawab persoalan yang dikemuka oleh Allah swt. Pada ayat enam, Hamka mentakrifkan “bumi sebagai hamparan” sebagai suatu ungkapan yang Maha Indah dari Allah sendiri. Laksana menghamparkan permadani kepada Insan buat menikmati kehidupan. Dengan kata lain, untuk siapa bumi itu kalau bukan untuk kamu? Maka ambillah segala faedah yang ada di dalamnya.

Ayat tujuh dijelaskan oleh Hamka, fungsi gunung. Jika tidak ada gunung maka bumi tidak akan terhampar dengan baik. Kerana angin selalu berhembus keras dan membongkar urat kayu yang tumbuh. Air hujan yang turun akan meluncur dengan teratur mengikut aliran jika gunung-gunung punya pokok yang rimbun dan mengakar. Dengan adanya gunung-gunung sebagai pancang, selamatlah kehidupan manusia daripada bencana alam.

Ayat lapan menyatakan bahawa ciptaan Allah swt itu berpasang-pasangan. Ada jantan betina, lelaki perempuan, positif negatif, awal akhir, langit bumi, dunia akhirat dan seterusnya. Yang berdiri sendiri hanya Allah swt.

Ayat sembilan diterangkan oleh Hamka, tidur itu adalah kemestian supaya tenaga dapat dikumpulkan untuk mendepani hari esoknya. Rohani dan jasmani kembali tenang dan segar. Ayat seterusnya 10, menurut Ibn Jubair dan as-Suddi ; “Ketenangan diri kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga baru pada hari esok seperti menggantikan pakaian baru yang masih bersih”. Ayat berikutnya 11, hari siang menjadi tempat mencari penghidupan, rezeki sebagaimana Allah swt telah bentangkan bumi ini untuk umat manusia.

Ayat 12, menjelaskan “Tujuh yang kukuh” ialah langit tujuh lapis. Walaupun tiada tiang dan sudah lama kejadian langit itu. Tetapi sehingga kini langit masih tetap kukuh teguh. Beredarlah dalam cakrawala itu berjuta-juta bintang termasuklah planet bumi yang menjadi tempat manusia untuk penghidupan di bawah naungan rahmat Allah swt.

Ayat 13 menyebut tentang matahari yang memancarkan sinarnya yang terang benderang. Berbandingannya apabila tiba malam, gelap gulitalah bumi tanpa pancaran matahari maka terpaksa lampu pelita dan cahaya lampu ciptaan manusia dinyalakan untuk mendapatkan sedikit sinar yang terbatas pancarannya. Hanya tiba siang hari, matahari terbit menerangkan kembali bumi untuk manusia mencari penghidupan.

Ayat 14 menerangkan tentang kejadian hujan yang selalu menyirami bumi buat mengisi kolam yang hampir kering, buat meneruskan aliran sungai dan mengalir terus ke laut agar kemudiannya air tadi menguap ke udara menjadi awan atau mega, berkumpul menjadi mendung dan kembali menurunkan hujan. Begitulah terus menerus.

Ayat 15 menjelaskan fungsi hujan yang turun dapat mengeluarkan biji-biji benih dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Antara lada, timun, kacang, jagung, pada dan sebagainya. Bagi tumbuhan yang sudah mengakar, air hujan yang membasahi bumi akan mengalirkan hidup pada dirinya. Sebagaimana diterangkan dalam ayat 16, manusia akhirnya membuat kebun atau sawah yang lebih teratur berdasarkan akal manusia yang memikirkan dan belajar daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap persekitaran. Maka daripada tumbuhan bukan sahaja untuk makanan tetapi sebagai pakaian. Keluarlah kapas untuk ditenun menjadi pakaian

Hamka menjelaskan bahawa ayat 14 sehingga 16 memberi suatu gambaran bahawa manusia belajar menyesuaikan dirinya dengan alam kurniaan Allah swt. Akhirnya lahirlah sebuah cara hidup atau kebudayaan manusia berdasarkan aturan alam yang telah ditetapkan Allah swt.


Disediakan oleh,

Abu Sobirin



No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails