Keputusan itu memaksa pakar sejarah meneliti semula rekod bagi tempoh 2,000 tahun lalu semasa pemerintahan Mesir purba menguasai dunia Mediterranean dan diharap akan mengakhiri perdebatan antara pakar arkeologi Mesir.
Diketuai Profesor Christopher Ramsey dari Universiti Oxford Britain, satu pasukan antarabangsa menguji biji benih tanaman, bakul, kain, batang tumbuhan dan buah-buahan yang diperoleh dari pelbagai muzium di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
"Buat kali pertama, tarikh radio karbon yang diperoleh sangat tepat sehingga cukup untuk mengenal pasti tarikh sebenar pemerintahan Mesir purba.
"Saya rasa cendekiawan dan saintis juga gembira mendengar bahawa pasukan kecil kami berjaya menjalankan penyelidikan satu kurun hanya dalam masa tiga tahun," kata Ramsey.
Tarikh pemerintahan Mesir Purba, Pertengahan dan Kerajaan Baru dikenal pasti berdasarkan dokumen-dokumen sejarah atau penemuan arkeologi, namun jangkaan itu biasanya tidak menentu kerana tarikh setiap dinasti akan diubah.
Data terbaru penyelidikan menunjukkan pemerintahan Djoser, firaun terkenal semasa Kerajaan Mesir Purba adalah antara 2,691 dan 2,652 Sebelum Masihi, kira-kira 50 hingga 100 tahun lebih awal daripada pendapat sebelum ini.
Kajian itu yang disiarkan hari ini dalam edisi jurnal Sains AS turut menyimpulkan bahawa pemerintahan Kerajaan Mesir Baru bermula lebih awal dari yang dijangka iaitu antara 1,570 dan 1,544 Sebelum Masihi.
Anggota pasukan penyelidikan itu termasuk beberapa pakar dari Universiti Oxford dan Cranfield di Britain, Pusat Kebangsaan untuk Penyelidikan Saintifik (CNRS) di Perancis dan pakar dari Austria serta Israel.
Penetapan tarikh radio karbon yang turut dikenali sebagai kaedah 'tarikh karbon-14', merupakan satu teknik yang boleh menentukan usia bahan organik dengan tepat. - AFP
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment