Hari ini sudah masuk 4 Rejab 1431H. Sudahkah kita berpuasa sunat? Ya, ianya bukanlah suatu kewajiban tetapi ia digalakkan oleh Rasulullah. Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW sendiri pernah menegaskan bahawa rejab itu adalah bulan Allah. Iaitu bulan Ahlullah. Dan dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.” (al-Qurtubi, Jami’ Ahkam al-Qur’an, hlm 326 juz 6). Maka rebutlah kesempatan yang ada untuk melatihn diri sebelum bertemu Ramadan.
Kita sering mendengar "Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanKu dan Ramadhan pula adalah bulan umatku ". Walaupun ada pertikaian terhadap hadis ini oleh Al-Iman Ibnu Jauzi, Imam Al-Suyuti, dan Al-Hafiz Ibnu Hajar yang menyatakan palsu tetapi memetik kata-kata Imam Nawawi: "Dan tidak ada satu hadis pun yang menunjukkan fadhilat berpuasa pada bulan rejab, dan tidak ada juga satu hadis yang melarangnya, tetapi asal hukum berpuasa adalah sunat, - yakni setiap masa –". Maka berpuasalah.
Daripada membahaskan tanpa kesudahan lebih baik diteladani hikmah berpuasa yang perlu difikir dan direnung. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Tetapi semangat puasa perlu sentiasa kita suburkan dalam kehidupan kita. Bagaimana? Kebiasaannya apabila puasa, kita akan menjaga percakapan daripada berbual kosong dan bergosip. Malah jika ada tanda-tanda untuk bergaduh dan sebagainya, kita diajar untuk mengungkapkan "sesungguhnya saya sedang berpuasa". Ini supaya kita bersabar dan meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan manfaat.
Pandangan kita juga akan diredupkan daripada melihat daripada perkara-perkara haram. Pendengaran kita dipelihara daripada mendengar fitnah dan adu domba orang sekeliling. Kita akan melangkahkan kaki ke surau/masjid untuk solat berjamaah. Bertilawah al-Quran dan menghayati tafsirannya. Bersungguh-sungguh kita melakukannya di dalam bulan Ramadan. Sebaliknya sebaik sahaja mendengar pengumuman esok raya. Malam raya sudah kita lupa untuk bertakbir dan menangisi Ramadan yang ingin meninggalkan kita.
Sebaiknya kita kena berada dalam semangat berpuasa atau berpegang kepada prinsip puasa dengan menggunakan pendengaran, penglihatan dan hati untuk beribadah kepada Allah SWT. Maka, insya Allah tiadalah penyelewangan amanah dan kemaksiatan yang berlaku walaupun bukan bulan Ramadan atau berpuasa sunat.
- Unit Pembina
No comments:
Post a Comment