Thursday, June 24, 2010

Catatan musafir ilmu @Jordan


Segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta dan Penguasa sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta para ahli keluarga, sahabat,tabi’, tabi’in serta seluruh mahasiswa mahasiswi baru sekalian. Ahlan wasahlan wamarhabanbikum diucapkan kepada semua ke bumi UniSel.

Pertamanya marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kita kehadrat Allah SWT kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan dalam mencari redha-Nya. Dalam masa yang sama kita jua diberi peluang menuntut ilmu bagi memantapkan lagi keimanan jua ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Allah ta’ala mengangkat darjat orang-orang yang beriman dikalangan kamu dan mereka yang menuntut ilmu dengan beberapa darjat”

Sedikit perkongsian musafir ilmu saya ke bumi Jordan. Bagi yang meminati subjek geografi pasti mengetahui bahawa Jordan terletak di bahagian Asia Barat dan bersempadan dengan Syria, Turki, Iraq, Palestin, Arab Saudi dan Laut Mati. “Alladzee barakna haulahu”.Itulah ayat suci yang mencirikan bumi Jordan. Bumi Anbiya’ yang penuh barakah.Teringat awal kedatangan saya ke bumi Syam, jelas dari atas kelibat dataran Syam di bawah sana,gersang tetapi tempat inilah dambaan setiap insan yang dahagakan ilmu-Nya dan kini saya antara salah seorang penghuninya.

Jordan. Pastinya sudah tergambar dalam kepala masing-masing bahawa ia adalah sebuah negara arab padang pasir seperti dalam kisah Laila dan Majnun, Ketika Cinta Bertasbih dan sebagainya. Tapi ia tidaklah seperti yang disangka, bukan semua tempatnya padang pasir hanya di beberapa kawasan tertentu sahaja padang pasir dan bagi saya itu adalah keistimewaan yang tak dapat kita rasai di Malaysia. Walaupun apabila melalui kawasan padang pasir ini kita akan dihidangkan dengan wangian bau kambing gurun dan unta tapi saya pasti itu suasana yang tidak akan dapat dilupakan. Selain itu, Jordan juga mengalami perubahan empat musim dan kadar hujan disini terlalu kurang, jadi bersyukurlah kita di Malaysia yang mengalami hujan sepanjang tahun.

Walaupun kebanyakan orang menyangka Jordan hanya padang pasir tapi jangan terkejut kerana boleh dikatakan semua tempat-tempat sejarah disini seperti Petra, Wadi Rum, Jerash, Laut Mati dan lain-lain lagi pernah menjadi lokasi penggambaran antarabangsa seperti drama Nur Kasih, filem Mission to Mars dan sebagainya.

Negara arab, sudah tentu bahasa perantaraannya adalah bahasa arab, tidak susah sebenarnya untuk belajar dalam bahasa arab, dan sebagai umat Nabi Muhammad SAW kita harus menanamkan keazaman untuk belajar bahasa Al-Quran dan bahasa syurga ini. Amat rugi jika kita hanya mementingkan belajar bahasa penjajah tapi memandanga enteng bahasa syurga ini. “Sesungguhnya kami menurunkan Al-Qurab dalam bahasa arab agar kamu mengetahui”. Seperti di Malaysia, disini juga terdapat lebih kurang 40 jenis dialek tidak termasuk dialek kaum badawi (arab yang tinggal didalam khermah). Walaupun berlainan lahjah tetapi masih dalam satu maksud.

Sepanjang berada di bumi anbiya’ ini, apa yang saya dapat lihat adalah mereka amat-amat menghormati tetamu dan pantang dijemput ke rumah pasti akan dihidang dengan bermacam-macam jenis hidangan. Makanan asasi rakyat Jordan adalah khubuz(sejenis roti arab) dimakan dengan za’tar(seakan campuran rempah dan herba - baik untuk kekuatan ingatan) dan minyak zaitun serta humus(kacang yang dilumatkan).Hidangan nasi yang terkenal disini seperti Maqlubah,Mandi,Mansef sejenis nasi yang dimasak dengan susu kambing dan laban(yogurt) dan dihidang bersama tea daun pudina serta pelbagai jenis lagi. Bagi masyarakat disini kopi adalah lambang kemesraan,kebiasaannya mereka minum kopi pahit tanpa gula berperisa buah pelaga. Antara makanan lain yang adalah syawarma (seperti kebab) dan falafel (kacang hijau dikisar dan digoreng seperti kuih masalodeh). Apa yang pasti cerita-cerita di bumi anbiya’ ini terlalu panjang dan masih banyak yang perlu diterokai. Itulah serba sedikit rehlah permusafiran saya di bumi Jordan ini.

Sama-samalah kita berlumba-lumba dalam mencari redha-Nya serta rahmat dari Allah walau dimana jua kita menuntut. Tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi yang penting sumbangan kita tetap untuk agama, bangsa dan negara. Kehidupan di dunia adalah bekalan untuk di akhirat sana.

Akhirulkalam, Selamat datang buat semua pelajar baru. Semoga kehadiran anda ke sini dengan semangat menuntut ilmu dengan hati yang ikhlas mengharap redha Allah jua bersama harapan agar suatu hari nanti dapat mengukir senyuman ayah bonda kalian.

Putri Nur Azwa bt Hj Megat Mohd Yusuf

Universiti Al-Bayt, Mafraq, The Hashemite Kingdom of Jordan

Nota : Penulis merupakan aktivis GPTD yang sedang menuntut di Jordan

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails