Saturday, June 19, 2010

CCTV dibantah penduduk Islam di Britain

London, 18 Jun 2010 - Satu operasi pengawasan melibatkan lebih 200 kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dihuni majoriti penduduk Islam di Birmingham, bandar raya kedua terbesar Britain, semalam ditangguhkan selepas mendapat bantahan daripada penduduk setempat, lapor pihak berkuasa.

Ketua anti-jenayah berkata, kamera-kamera itu tidak akan diaktifkan di Birmingham, selepas satu dakwaan mengatakan pihak berkuasa anti-keganasan terlibat dalam pemasangan peralatan tersebut.

Pendedahan itu menimbulkan dakwaan bahawa kawasan berkenaan dilabelkan sebagai 'satu lokasi kejiranan yang banyak berlaku keganasan'.

Pihak berkuasa mengumumkan, beg plastik akan diletakkan pada lebih 218 kamera bagi memastikan pergerakan penduduk tidak dirakam.

Menurut pihak berkuasa, satu rundingan dengan penduduk tempatan perlu dilakukan di kawasan kamera diletakkan yang melibatkan dua daerah.

"Kami percaya adalah wajar untuk memberi penduduk tempatan hak menyatakan pendapat mereka," kata polis, majlis bandar raya dan sebuah agensi anti-keganasan dalam satu kenyataan bersama tentang rancangan pengawasan itu yang digelar Project Champion.

Kenyataan itu menambah, pihak bertanggungjawab seharusnya lebih berterus-terang tentang peranan operasi pengawasan anti-keganasan pihak berkuasa, yang membiayai projek berkenaan.

Seorang penggubal undang-undang tempatan, Tanveer Choudhry menyelar inisiatif itu dengan memberitahu akhbar The Birmingham Post bahawa kelengkapan pengawasan perlu dialihkan sehingga satu rundingan selesai dijalankan.

"Kawasan ini telah dilabel sebagai satu lokasi keganasan. Polis perlu mengalihkan kamera berkenaan sehingga mereka selesai berunding dengan penduduk tempatan," katanya. - AFP


Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails