Sumatera Barat, 29 Disember 2009 – Aktivis Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL) selamat sampai di Bandar Udara Minangkabau, Padang jam 8.00 pagi. Disambut oleh Saudara Fauzan daripada Sekretariat Dewan Da’wah Islamiah Indonesia. Turut hadir adalah Bapak Afdal, Pengurus Islamic Centre di Kota Padang. Lewat petang aktivis terus ke lokasi gempa untuk melihat kesannya kepada masyarakat desa di Pariaman. Kebetulan Pelajar Islam Indonesia sedang menjalankan khemah kerja seminggu di Kg. Sungai Limau untuk bersama masyarakat sekitar. Pertemuan antara Pimpinan PII bersama aktivis GPTD UNISEL telah diatur untuk saling bersilaturahmi dan bertukar-tukar pandangan. Pertemuan tersebut telah menghasilkan persetujuan bersama iaitu untuk mengadakan program usahasama dalam membuat kajian lapangan di Indonesia dan kajian tokoh merentas sempadan. Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Adel Wahidi yang bertugas sebagai Pengurus Besar Dompet Dhuafa Singgalang telah mencadangkan agar ditubuhkan Pustaka Tokoh Alam Melayu yang mengumpulkan segala karya yang ditulis oleh tokoh terbabit dan buku yang menulis tentang tokoh itu sendiri. Kesempatan yang ada membawa GPTD UNISEL singgah ke kelas pengajian al-Quran yang diuruskan oleh mahasiswa PII. Masa diambil untuk saling beramah mesra dan bertanyakan soalan kuiz kepada pelajar-pelajar yang hadir. Sumbangan dalam bentuk jajan (gula-gula) dan majalah kanak-kanak juga diserahkan kepada PII untuk disampaikan kepada sasaran.
Pada malamnya pula pertemuan mahasiswa Islam yang menginap di Islamic Centre, Padang telah diatur untuk berdiskusi antara Penasihat GPTD UNISEL, Saudara Izwan Suhadak Ishak (Naib Presiden GPTD Induk), dua orang wakil mahasiswa iaitu Saudara Khaidir (Perwakilan Santri Islamic Centre Al-Quds) dan Saudara Lucky Oktaviadi (Ketua Yayasan Amal Saleh Sumatera Barat) sebagai penalis. Diskusi yang dimodurasi oleh saudara Afdinal daripada Dewan Da’wah dimulakan dengan penerangan ringkas tentang GPTD dan organisasi mahasiswa yang wujud di sini. Pusingan kedua Diskusi laluan diberikan kepada mahasiswa bertanyakan soalan kepada panel. Antara hasil diskusinya, semua bersetuju bahawa Malaysia Indonesia adalah satu rumpun. Maka tokoh pemikir seperti Hamka bukanlah milik Republik Indonesia sahaja tetapi seluruh ummat Islam di Asia Tenggara malah dunia. Pengkajian sejarah harus dikembangkan di kalangan anak muda agar semangat perjuangan ummat Islam sentiasa segar dalam jiwa setiap muslim. Faham Islamisasi Ilmu, gagasan Syed Naquib Al-Attas juga disentuh supaya pandangan keras terhadap fahaman-fahaman sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme dapat ditanggapi dan diuruskan dengan baik dan bijak. Jaringan GPTD akan terus dijalin dan mengajak mahasiswa Indonesia turut serta dalam usaha menyampaikan misi rahmatan lil alamin.
- Unit Media melaporkan daripada Kota Padang
No comments:
Post a Comment