Friday, December 18, 2009

AHLAN WA SAHLAN YA MUHARRAM

Sudahkah kita semua membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun? Alhamdulillah, semoga berada dalam keberkatan dan redhaNya. Sambutan tahun baru hijrah sinonim dengan peristiwa hijrah yang telah berlaku semasa zaman Rasulullah s.a.w. Sambutan tahun baru tidak tercatat dalam Al-Quran atau disebut dalam sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi ia merupakan perayaan buat umat Islam.

Bagaimana Penghijrahan Rasulullah?

Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali.

1. Hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi

2. Hijrah ke Habsyah pada 617 Masihi

3. Hijrah Rasul SAW ke Yathrib (Madinah) pada 622 Masihi.

Mengenai hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW ada menceritakan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Makkah ke satu tanah yang banyak pokok kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya ia adalah Madinah, iaitu Yathrib.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah.

Kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah.

Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu orang kafir Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar.

Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah.

Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

Bagaimana peristiwa hijrah tersebut diimplementasikan dalam kehidupan kita?

Penghijrahan tidak hanya terletak pada berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain, tetapi juga penghijrahan minda dan pemikiran kita sebagai seorang hamba dan khalifah. Proses mentarbiyah dan berhijrah dari segi pemikiran tidak semudah yang disangka. Ramai yang ingin berubah, tetapi tidak semua yang mampu merubah.

Setiap kali datangnya tahun baru, saban waktu itu kita akan ditanya dan tertanya-tanya tentang azam dan harapan buat tahun tersebut. Apakah akan tercapai atau sekadar bualan kosong bagi mencukupkan rasa? Usahlah dipacak impian di gunung andai usaha masih di bibir pantai. Tidak salah mencipta impian, tetapi yang salahnya bila impian itu sekadar angan-angan.

Kita ambil contoh terdekat, Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka yang bakal dijalankan tidak berapa lama lagi. Apa yang kita harapkan daripada program tersebut? Apa sumbangan kita yang sebenarnya dalam memastikan program itu berjaya? Yang mampu meletakkan kualiti program dan aktivis berada di tahap mana adalah kita sendiri. Kemampuan dan keupayaan kita dalam mentafsir erti sebuah penghijrahan itulah yang kita dambakan.

Sejauh mana sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w. telah mendidik jiwa kita sebagai seorang hamba, anak, adik-beradik, teman, pelajar, dan yang paling penting…hijrah kita untuk diri sendiri. Jika penghijrahan Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita mengenal erti pengorbanan seorang Rasul terhadap umatnya, seharusnya penghijrahan kita membawa nilaian terbesar pada diri dan ummat.

Berhijrah bukan pada nama atau kuasa, tetapi berhijrah atas rasa tanggungjawab dan amanah yang tergalas di pundak sendiri.

Salam Maal Hijrah. Memantapkan Ukhuwwah , Memperkukuh Ummah !


WAN RITINI WAN ISMAIL

Setiausaha





No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails