Saturday, October 24, 2009

Catatan Laskar Pelangi



Terima kasih kepada mereka yang telah memberikan peluang untuk saya menonton filem yang sungguh berharga ini. Permulaan, klimaks, dan pengakhirannya memang bermanfaat. Tiada ruang untuk saya ke mana-mana sehingga tamatnya lagu Laskar Pelangi nyanyian Nidji.

Ceritanya ringkas. Tetapi olahan dan juga mesej yang cuba disampaikan cukup jelas dan membawa kita menerokai alam kanak-kanak yang masih lagi tercari-cari erti hidup. Dalam keperitan, kemiskinan, dan segala kesusahan yang dihadapi oleh anak-anak Sekolah Dasar Muhammadiyah (SD Muhammadiyah), akhirnya mengajar mereka sebuah kehidupan yang benar-benar bernilai.



Semangat dan kecekalan Pak Harfan dan Buk Muslimah telah membawa mereka mengejar impian yang mampu untuk digapai oleh semua orang, dengan syarat..punyai daya juang yang tinggi dan usaha yang tidak putus-putus. Paling penting adalah berserah sepenuh hati kepada Allah.

Kata-kata Pak Harfan benar-benar melekat di hati saya "Sekolah ini adalah sekolah di mana pendidikan agama, pendidikan budi pekerti, bukan sekadar pelengkap kurikulum."

Pernyataannya tegas. Tetapi penuh berhikmah. Inilah yang wajar diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah mahupun di universiti. Dalam kita sibuk mempersiapkan murid untuk membina bangunan yang tersergam indah, jangan dilupa pada manusia yang kita bangunkan. Bukan hanya pemikiran..tetapi jiwa dan akidah.

Sahsiah anak-anak perlu dibentuk sedari mereka kecil. Jangan sampai tiba waktu rebung menjadi buluh. Yang ingin kita lahirkan dalam masyarakat adalah manusia yang mempunyai kemantapan dari segi agama dan akhlaknya. Penerapan nilai-nilai agama tidak terbatas hanya di kelas agama semata-mata, malahan semua kuliah boleh menyelitkan unsur-unsur rohani ke dalam jiwa para pelajar. Seperti pagi tadi, bagaimana Dr. Saibah menyebut tentang kadar degupan jantung yang sangat hebat ciptaan Allah dengan salah satu tajuk Project Paper kami semester hadapan. Menarik!

Jelas, proses pengekalan kemerdekaan ini jauh lebih sukar dan jalannya berliku tidak seperti impian semalam. Laskar Pelangi seharusnya menjadi suatu sarwa pandang yang jelas. Permulaannya adalah dengan menyediakan para pemuda-pemudi dengan perkara berunsur ilmiah, bukannya hiburan yang melalaikan sehingga membawa mereka terbang di awangan. Nah,titik tolaknya bermula di alam kampus.

"Kekuatan itu dibentuk oleh iman, bukan jumlah tentera"-Pak Harfan
**Bila agaknya mahu ke kedai buku? Bilakah sebenarnya akan ada masa terluang? Novel Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi memanggil-manggil.**


Wan Ritini Wan Ismail

Penulis adalah Setiausaha GPTD UNISEL

Sumber : http://tintapenulis.blogspot.com/


1 comment:

  1. best!
    menyeronokkan..kupasan yg menarik.

    ReplyDelete


Related Posts with Thumbnails