Sunday, May 15, 2011

Catatan Bedah Filem Laskar Pelangi

LASKAR PELANGI yang dinukilkan oleh Andrea Hirata kemudian diterjemahkan pula oleh Riri Riza ke dalam layar perak memang patut dihargai. Kisah ini dimulai dengan suara latar Ikal yang pulang ke kampung halamannya di Belitong. Menaiki bas dan mengimbas kembali kisah riwayat hidupnya semasa persekolahan di SD Muhammadiyah Gantong yang berlatarkan pada tahun 1974. Belitong adalah pulau terkaya di Indonesia yang sarat dengan hasil bumi timah. Tetapi kekayaan ini hanya dirasai oleh penjajah Belanda dan segelintir golongan elit. Ketika hari pertama sebelum ke sekolah Ikal telah diusik oleh abang dan kakaknya kerana terpaksa memakai kasut kakak yang berwarna merah jambu. Ibunya memujuk dan berjanji jika ada wang akan dibelikan kasut yang baru. Ikal tidak kecil hati atau malu. Dia tetap pergi ke sekolah.

Dalam perjalanan ke sekolah bersama bapanya menaiki basikal satu jeritan didengarkan. “Hoi percuma (sia-sia) sekolah, akhirnya kau jadi kuli juga”, jerit pekerja buruh PT Timah. Ini adalah gambaran awal tentang suasana kemiskinan dan pemikiran masyarakat Belitong yang tidak mahu mengutamakan pendidikan. SD Muhammadiyyah hanya ada tiga orang pendidik. Pak Harfan adalah ketua sekolah. Ibu Muslimah (di panggil Mus atau Bu Mus) dan Bakri adalah gurunya. Murid yang paling awal hadir adalah Lintang dari Tanjung Kalumpang. “Aku nak sekolah!”, kata Lintang kepada Bu Mus. Dia datang berseorangan dengan kereta angin (basikal) kerana ayahnya ke laut sebagai nelayan. Lintanglah yang paling jauh tempat tinggalnya tetapi yang paling awal hadir pada hari ini. Karektor Lintang sangat berpengaruh dan menghidupkan semangat dalam filem ini.

Hari itu adalah penentu jika tiada 10 orang murid, sekolah ini akan ditutup oleh pemerintah. Dalam penantian yang membimbangkan guru dan ibubapa, Harun hadir berlari menyelamatkan mereka semua. Hadirnya Harun, maka cukuplah syarat 10 murid untuk membolehkan SD Muhammadiyah terus berbakti kepada umat. Harun itu anak istimewa tetapi punya semangat untuk belajar. Tidak kebanyakan orang dewasa di Belitong yang sudah putus asa untuk terus belajar dan menyimpan cita-cita. Pilihan mereka adalah buruh di PT Timah atau nelayan. Teman-teman Ikal, Lintang dan Harun yang lain adalah Mahar, Kucai, Syahdan, Trapani, Samson, Sahara dan A. Kiong (berbangsa Cina). SD Muhammadiyyah adalah satu-satunya sekolah yang menerima pelajar daripada keluarga miskin. Ada di antara mereka tidak punyai pakaian seragam pun. Malah memakai selipar sahaja. Tetapi semangat untuk menuntut ilmu patut diteladani.

Babak seterusnya mengisahkan suasana persekolahan lima tahun berikut iaitu tahun 1979. Kini murid-murid SD Muhammadiyah telah memasuki tahun lima. Kucai adalah ketua kelas. “Anak murid ibu gaya setan semuanya itu, mulai sekarang aku nak berhenti jadi ketua kelas”, luahan Kucai kepada Bu Mus. Bu Mus memujuk Kucai dengan berpesan “Menjadi seorang pemimpin adalah tugas yang mulia”. Sahara, temannya menambah kemudiannya, “Al Quran mengingatkan, bahawa kepimpinan seseorang itu akan dipertanggungjawabkan kelak di akhirat ”. Pesan itu sangat terkesan kepada Kucai. SD Muhammadiyah Gantong yang punyai seorang murid berbangsa Cina turut mengikuti pengkisahan Bahtera Nabi Noh di dalam kelas agama. Malah ketika solat juga A. Kiong turut berjamaah bersama. Keadaan sekolah yang usang dengan atap bocor, lantai simen yang pecah tidak rata dan dinding kayu yang buruk memang akan terganggu jika hujan turun. Kadang-kadang mereka terpaksa bersama kambing-kambing yang datang berteduh.

Selepas itu, Pak Harfanlah yang akan membersihkan sekolah sementara Bu Mus membawa murid keluar mengikuti pendidikan luar darjah. Melihat alam, langit dan pelangi yang terpancar. “Laskar Pelangi ayuh kita pulang”, jerit Bu Mus . “Ya bu”, jawab Laskar Pelangi. Itulah babak yang mengesahkan bahawa judul filem ini memang dan tentang LASKAR PELANGI. Laskar atau disebut tentera menjadi simbolik perlambangan displin dan kesungguhan mereka menuntut ilmu. Mereka sangat hormat pada guru. Pelangi membawa makna kepada kepelbagaian warna keceriaan cita-cita besar murid-murid SD Muhammadiyah dan warna warni suka duka pejuangan guru mempertahankan sekolah dengan keunikan tersendiri yang mempertahankan teras agama. “Sekolah ini adalah sekolah di mana pendidikan agama, pendidikan budi pekerti bukan sekadar pelengkap kurikulum, kecerdasan bukan dilihat dari nilai-nilai dari angka-angka itu, tapi dari hati” , pesan Pak Harfan pada sahabatnya Pak Zul(karnain). Malah menegaskan kepada Pak Zul, “Aku, Bakri, Muslimah masih tetap bisa bertahan bersama ke sepuluh murid-murid Kurnia Allah itu”.

Di SD Muhammadiyah, murid yang paling pintar adalah Lintang. Kadang kala dia lewat ke sekolah dek kerana buaya melintas. Babak buaya melintas diulang beberapa kali menegaskan tentang kesabaran dan kesungguhan seorang anak murid tetap mahu pergi ke sekolah walaupun ada bahaya di hadapan. Dia sangat cekap mengira. Malah semasa kelas matematik, dia menjawab soalan hanya dengan mencongak sahaja. Lintang juga sangat suka membaca dan kuat ingatannya. Di SD Muhammadiyah, Bu Muslimah adalah satu-satunya guru wanita. Dia sangat sensitif jika ada yang meremehkan anak muridnya terutama Harun yang istimewa. Ketika Mus tidak menerima gaji selama dua bulan, dia tetap redha. Tetapi dia mencari kerja lain dengan menjahit sebagai menampung kehidupannya. Semangatnya tetap berkobar untuk bertahan di sekolah ini lebih-lebih lagi bapanya antara orang bertanggungjawab membina dan membangunkan SD Muhammadiyah Gentong. Bapanya adalah sahabat baik Pak Harfan.

Semasa libur atau cuti sekolah. Filem Laskar Pelangi merakamkan visual yang menarik sekitar Belitong. Setiap murid SD Muhammadiyah melakukan aktiviti masing-masing berdasarkan kebiasaan mereka. Suasana dan persekitaran Belitong memang dapat digambarkan. Bu Mus terus mengusahakan kegiatan menjahit baju. Lintang pula sekali sekala membantu ayahnya sebagai nelayan dan menguruskan adik-adiknya. Ikal pula membantu berjual di pasar bersama teman-teman yang lain. Apabila kembali kes sekolah lagi, babak Pak Harfan menyampaikan pidato tentang kisah Perang Badar memaku perhatian murid-muridnya. Pak Harfan berpesan lagi, “Anak-anak ku kekuatan itu dibentuk oleh iman bukan oleh jumlah tentera. Jadi ingatlah anak-anak ku, teguhkan pendirianmu, kalian harus punya ketekunan, harus punya keinginan yang kuat untuk mencapai cita-cita, kalian harus punya keberanian dan pantang menyerah, menghadapi tantangan macam apa pun.” Pak Harfan melanjutkan pesan besar kepada Laskar Pelangi dengan penuh maknawi, “Dan ingat hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya bukan menerima sebanyak-banyaknya”.

Ketika Bakri memaklumkan kepada Pak Harfan dan Muslimah tentang dia menerima tawaran mengajar di sekolah lain. Muslimah tersentak dan cuba memujuk Bakri bagi mempertahankan satu-satunya sekolah Islam di Belitong. Namun Bakri membalas dengan sebuah persoalan tentang persepsi masyarakat terhadap pendidikan dan SD Muhammadiyah. Pak Harfan pasrah walaupun pada awalnya cuba memujuk juga. Masyarakat sudah tidak lagi peduli tentang kepentingan pendidikan. “Tidak ada orang peduli tentang sekolah kita Pak. Semua orang tidak percaya bahawa anak-anak miskin pun punya hak untuk belajar”, Muslimah mengungkap persepsi Bakri dan masyarakat. Selepas pertemuan itu Muslimah tetap setia dengan sekolah dan berazam untuk mempertahankan sekolah itu. Muslimah dan Pak Harfan bekerja lebih keras lagi tanpa putus asa bagi memastikan anak-anak miskin juga punya hak untuk sekolah. “Yang penting kita, tak boleh putus asa. Tugas kita menyakini anak-anak ini bahawa mereka harus berani punya cita-cita”, Pesan Pak Harfan pada Muslimah. Pernah juga Pak Harfan suatu ketika bertanya tentang pinangan saudagar Jawa terhadap Muslimah. Tetapi jawapannya ringkas dan padu, “Mimpi aku ini bukan jadi isteri saudagar pak. Mimpi aku jadi guru”.

Babak Ikal bersama Lintang membeli kapur di Toko Sinar Harapan agak melucukan. Kenangan terindah bagi Ikal apabila jatuh hati selepas terlihat jari jemari dan kuku A. Ling anak pemilik toko yang kedekut. Sekuntum bunga berguguran sebagai simbolik hati Ikal sudah ada tanam. Dadanya berdebar dan senyuman terukir dibibir. Pulang ke sekolah berbasikal bersama Lintang dengan gembira. Ikal jatuh cinta hanya kerana terpukau dengan kecantikan kuku A. Ling. Malamnya Ikal menuliskan catatan “TAK PERLULAH AKU KELILING DUNIA”. Sejak itu Ikal keracunan kuku (meminjam istilah Lintang). “Aku melihat sesuatu yang lebih indah daripada muzik mu Har” , kata Ikal kepada Mahar. “kuku-kuku paling indah di Sinar Harapan”, tambah Ikal lagi. Ikal terpukau sekali lagi apabila kembali ke Toko Sinar Harapan untuk mencuri kesempatan bertemu A. Ling dengan alasan mengambil kapur cap Harimau. Kali ini mereka bertentang mata. Kuntuman bunga berguguran lagi. Ikal dan Mahar pulang dengan girang. A. Keong yang merupakan sepupu A. Ling didesak oleh Ikal agar mereka dapat berjumpa. Kemaruk Ikal disedari oleh bapanya apabila perasan Ikal menggunakan minyak rambut Tanco. Hujung minggu kebetulan Keluarga A. Keong dan A. Ling ada pertemuan. Maka Ikal memang hadir dan tunggu dengan sabar di luar rumah A. Keong. Saat A. Ling muncul, Ikal tenang sahaja. Itulah kali pertama barangkali temu janji mereka. A. Ling berbaju merah anggun memuji puisi Ikal dan menyalin kesemuanya pada buku lain.

Slot nyayian oleh Mahar yang berjudul Seroja memang mengasyikan disamping untuk menyedarkan angan-angan Ikal yang sudah gila bayang kerana ditinggalkan oleh A. Ling yang pergi ke Jakarta. Kebetulan pula Mahar memuji muzik tradisional Melayu dan menggunakan kompang sebagai instrumen dalam nyayiannya. Ikal terubat selepas nyayian Mahar. Bait-bait lagu mengajak Ikal agar jangan bermenung dan inginkan cinta asmara kerana masanya belum tiba. Sekarang adalah menanam, menjaga dan memetik bunga Seroja. Seroja itulah ilmu. Jagalah ilmu untuk dengan penuh tanggungjawab. Hanyatilah lirik di bawah:

  • Mari menyusun seroja bunga seroja
  • ha..ha..ha..
  • Hiasan sanggul remaja puteri remaja
  • Rupa yang elok dimanja jangan dimanja
  • Puja lah ia oh saja sekadar saja
  • Mengapa kau bermenung oh adik ku berhati bingung 2x
  • Janganlah engkau percaya dengan asmara 2x
  • Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
  • Mari bersama oh adik memetik bunga

SD Muhammadiyah berjaya menarik perhatian menonton apabila mempersembahkan sebuah kesenian tarian yang kreatif dan alami. Mahar yang sering mendapatkan keputusan yang baik dalam kelas kesenian dilantik sebagai ketua kelompok oleh Bu Mus. Pak Harfan mengingatkan bahawa tiada peruntukan disediakan untuk mereka. “Tenang saja Pak, serahkan pada Mahar dan alam”, jawab Mahar kepada Pak Harfan. Persembahan ketika hari karnival mengujakan penonton yang hadir. Persembahan yang memukau itu akhirnya berjaya menggondol juara. Piala kebanggaan dan berharga itu diletakkan di dalam peti kaca sebelah meja guru. Flo datang dan ingin belajar di SD Muhammadiyah kerana tertarik dengan persembahan yang diketuai Mahar. Selepas kehadiran Flo kegiatan oleh murid-murid di sekolah agak pelik kerana terpengaruh dengannya. Keputusan pelajaran juga merosot. Kemuncaknya apabila mereka pergi ke Pulau Lanun membongkar misteri Tok Bayantula yang lucu. “KALAU NAK PINTAR BELAJAR! KALAU NAK HASIL USAHA!” catatan oleh sang Bayantula.

Detik yang mengusik jiwa sanubari apabila Pak Harfan meninggal di atas meja kerja. Seorang yang berjiwa besar telah pergi meninggalkan sekolah, guru Muslimah dan murid-muridnya. Langit juga turut menangis menurunkan hujan. Muslimah paling terkesan dan benar-benar merasakan kehilangan orang yang disayangi. Pak Harfan seperti bapanya juga. Sempat Muslimah sungul kerana terhimbau kenangan bersama Pak Harfan membangunkan sekolah ini. Lima hari kelas tidak ada kerana Bu Mus tidak hadir. Maka murid-murid lain juga tidak hadir kemudiannya, yang tinggal hanya Lintang dan Ikal. “Kita harus punya cita-cita dan di sekolah inilah perjalanan hidup kita dimulai”, Lintang menyakinkan Ikal agar tetap setia belajar. Bermula saat itu mereka berdua memanggil kembali teman yang lain untuk terus bersekolah. Maka Lintanglah yang mula mengajar dengan serba serbi yang ada atas semangat sedia belajar, mengajar dan diajar. Pak Zul sahabat Pak Harfan memujuk Muslimah agar terus mengajar di sekolah kerana murid-muridnya menanti.

Bu Mus kembali ke sekolah meneruskan perjuangannya bersama sebelas orang murid-muridnya. Pak Zul juga turut membantu mana yang boleh. Kecemerlangan sekali lagi muncul bersama SD Muhammadiyah apabila memenangi pertandingan pengetahuan am pada 17 Ogos 1979. Kombinasi Lintang , Ikal dan Mahar memang padu serta punya kepintaran masing-masing. Bertambahlah piala kemenangan di dalam peti kaca. Kegembiraan sekolah tidak lama apabila Lintang tidak ke sekolah. Kemudian Bu Mus menerima kirim surat daripada Lintang seperti tercatat kandungannya :

Ibunda guru,

ayah ku telah meninggal

nanti aku akan ke sekolah

untuk mengucapkan

salam terakhir

kepada guru dan teman-teman

Waktu itu SD Muhammadiyah menangis lagi dengan perginya Lintang kerana terpaksa menanggung adik beradiknya yang lain. Lintanglah murid yang pertama datang ke alam persekolahan tetapi kini dia yang paling awal meninggalkan alam persekolahan. Ikal yang paling terkesan. Tamatlah imbasan Ikal di dalam bas. Babak akhir semasa Ikal sampai di Pekan Manggar dia bertemu Lintang yang sudah berkeluarga dan semangat untuk belajar diteruskan oleh anak perempuannya. “Tujuan aku balik ke kampung adalah untuk berterima kasih kepada semua. Terutama kepada kau”, ungkap Ikal kepada Lintang.

Filem Laskar Pelangi memperlihatkan jalinan peranan Riri Riza dan Andrea Hirata sangat mantap sehingga daripada naskhah novel berjaya digarapkan menjadi sebuah tayangan filem. Riri Riza benar-benar merealisasikan hampir ke semua plot cerita di dalam teks novel kepada visual, sound efek, dialog sehinggakan imbasan Laskar Pelangi melekat di dalam minda dan melintas di dalam hati penontonnya. Tema kemiskinan dan pendidikan yang disinggung dalam karya ini memang membuka hati nurani. Bagi yang punyai jiwa pasti menitiskan air mata. Paling tidak hatinya pasti bergetar dan hidup kembali selepas mendengar dengan teliti setiap dialog yang diungkapkan dengan bahasa lokal (Melayu Belitong). Melihat riak wajah dan tingkah laku watak-watak yang dimainkan penuh terkesan. Pesan-pesan Pak Harfan dan Muslimah kepada anak muridnya seperti tembus ke dalam benak minda dan hati kita.

Kesimpulannya, perubahan dan cetusan bermula dari hati. Hatilah yang harus dibangunkan dahulu. Kesabaran pendidik membimbing dan memberi tunjuk ajar dengan penuh hikmah (kebijaksanaan) adalah elemen penting. Tetapi pasti di antara pendidik yang tewas kerana habuan dunia dan survival. Keikhlasan pendidik mampu mempertahankan sebuah perjuangan membela hak keilmuan buat semua insan walaupun bukan muslim. Itulah adil namanya. Ketika persepsi masyarakat menyakini bahawa belajar di sekolah itu sia-sia kerana akhirnya menjadi kuli jua. Sang pendidik tetap tekun merealisasikan sebuah keyakinan dan membuktikan mereka berjaya melahirkan keunikan tersendiri. Hanya ilmu dapat merubahkan kehidupan hadapan. Ilmu hanya dapat dikuasai dengan hati yang bersih dan akal yang cerdas. Laskar Pelangi adalah anak murid yang taat kepada gurunya. Mereka memiliki sifat sayang dan kasih kepada gurunya. Itulah suatu nilai yang sudah pudar saat ini. Mereka juga berani dan yakin diri menghasilkan karya kreatif walaupun dengan serba serbi kurang.

Mereka belajar dari alam dan berbicara dengan alam. Bukankah alam itu adalah tanda-tanda (ayat-ayat) kebesaran Allah swt? Apabila alam menyampaikan mesejnya melalui bahasa tersendiri. Maka Allah swt sebenarnya berbicara kepada hambanya. Laskar Pelangi berjaya memperhatikan alam dan belajar dari alam. Lintang semakin cekal dan tabah setelah dilatih berulang-ulang kali ketika melalui laluan sang buaya. Melihat pelangi, mereka belajar tentang sains dan menerima dengan redha keragaman warna cabaran kehidupan. Mereka tidak malu jadi miskin. Mereka mahu sekolah dan belajar. Itulah prasyarat menjadi sang murid. Maka mudahlah untuk pendidiknya menyampaikan keilmuan. Perlu ada kemahuan dan keberanian ketika mereka ke Pulau Lanun. Demi mencari sebuah kebenaran dan inilah proses belajar yang jujur. Cuma perlu hati-hati agar tidak gelincir, jangan lakukan syirik. Maka kerana itu pentingnya pembimbing yang dapat memberi nasihat.

Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Pesanan agar jangan tertipu dengan cinta sementara. Utamakan ilmu. Tanam, jaga dan petiklah hasilnya. Bukan masanya lagi untuk memendam rasa berkasih cinta. Walaupun itu adalah fitrah insani. Fitrah cinta perlu bila sampai masanya. Capai cita-cita dulu. Makanya cinta akan mengejar mu bersama-sama cita-cita mu. Jika takdir cita-cita tidak kesampaikan. Jangan putus asa kobarkan semangat yang sama kepada generasi pewaris agar dia berjaya kecapi. Jaga hati. Berjiwa besar. Berani dan berilmu. Beradab dan gila-gila. Berimpianlah. Ikuti perjalanan riwayat hidup Ikal yang akan bersambung di dalam filem Sang Pemimpi. Maka bermimpilah...

ABU IRSYAD

Khamis, 12 Mei 2011 @Bestari Jaya

Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD)

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails