Kenangan menghadiri Pesta Buku Islami di Jakarta 2010 sewaktu XPDC  HAMKA II bersama Wak Ijat, Anuar Ismail  & Mawi. Menziarahi makam  Buya Hamka dan pertemuan bermakna bersama Ibu Fatihah, Pak Afif dan Pak  Rusydi (anak-anak Buya Hamka). Malah aku dan adik-adik GPTD sempat lawat  ke Gudang Panjimas, sebuah syarikat penerbitan dan percetakan milik  famili Buya Hamka yang kini diurustadbir oleh cucunya iaitu Bang Yousran  Rusydi. Terima kasih kepada Bang Yousran kerana hadiahkan beberapa  koleksi karya Hamka buat Pustaka Madani, milik GPTD Unisel dan rujukan  umat.
Kembali ke PBAKL 2011. Aku dihubungi oleh Pak Raja. Beliau maklumkan  tentang buku baharu Minda Tertawan Intektual, Rausyanfikir dan Kuasa.  Raja Ahmad Aminullah adalah penulis, editor dan penerbit yang pernah  menawarkan aku menulis puisi. Aku duduk mendagu. Itulah tajuk puisi ku yang pernah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul katahati.  Buku tersebut pernah dikomentar oleh Pak Samad Sasterawan Rakyat.  Beliau menyinggung semangat Pak Raja yang berjaya mengumpulkan anak muda  merakamkan luahan rasa sehingga terlupa meletakkan tahun terbitan dalam  buku tersebut dengan nada seloka.
Kembali ke buku Minda Tertawan. Mendengarkan sahaja tentang tajuknya,  Minda dan hati aku sudah tertawan. Bukan sahaja kerana penulisnya  adalah Pak Raja seorang budayawan. Tajuknya juga tertarik dan menarik.  Malah dengan cover yang simple memang pasti akan  menarik hati untuk di baca Sang Algojo buku (Pengkritik Buku -  Mencantas, memancung pemikiran penulis). Pak Raja memang jujur dalam  tulisannya seperti jujurnya surat kiriman rasmi beliau kepada Tun  Mahathir (Perdana Menteri) sewaktu ketika dahulu.
Sindiran dan kritikan beliau terhadap sikap pemikir, cendiakawan dan  budayawan yang penakut dan takut dalam bayangan sendiri memang tepat  sekali. Mereka menghidapi sindrom ABS iaitu Asal Bapak Senang.  Memuji dan membenarkan dalam senyap (diam tandanya setuju) setiap apa  yang diungkapkan oleh Penguasa Pemerintah dan politik. Ya asalkan bosnya  senang dan selesa. Malah sindrom ini merebak juga sehingga kepada  aktivis politik pembangkang dan NGO. Ini memang parah jika terus  berlaku.
Sepatutnya yang berlaku adalah sang pemikir, budayawan, ahli akademik  dan mahasiswa (golongan intelektual) berani dan bebas menyatakan sudut  pandangan mereka yang benar berdasarkan kepakaran bidang masing-masing  sebagai orang yang berjiwa merdeka. Sebagaimana mana pesanan Burhanuddin  Al-Helmy:"Di atas robohan kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka".  Maka apabila golongan intektual sudah tidak berani maka tidak takutlah  penguasa untuk mengkhianati peranan mereka. Jadi tertawanlah pemikiran,  fikrah mereka semua kepada sang penguasa yang zalim. Cuma yang meronta  hanya di dalam sudut hati yang tidak diterjemahkan ke dalam  aksara-aksara yang mampu di baca insan lain.
Minda Tertawan juga membuka minda aku apabila Pak Raja mengingatkan  tentang wujud pelbagai pusat kekuasaan kecil atau besar dalam komuniti  umat. Selain parti politik pemerintah, parti oposisi juga punya wilayah  pengaruhnya. Makanya, peranan NGO yang ada wilayah pengaruh yang  tersendiri harus dimainkan. Kadang-kadang wilayah pengaruhnya lebih  besar daripada anggota penggerak NGO tersebut. Dinyatakan Angkatan Belia  Islam Malaysia (ABIM), Comsumers Association of Penang (CAP), Malaysian  Trade Unions Congress (MTUC) mampu mewakili umat menyatakan sikap benar  kepada penguasa. Mereka istiqomah dengan prinsip non-partisan.
Nama-nama besar seperti Siddiq Fadzil, Zainur Zakaria, SM Mohamad Idris, Ahmad Azam yang terlibat dalam NGO sudah memiliki khalayak yang tersendiri. Mereka mampu memberikan suntikan vaksin daripada diserang sindrom ABS. Buah pemikiran dan pencerahan yang diberikan amat bermakna kepada umat. Tambahan pula mereka berjuang tanpa kepentingan kuasa politik. Mereka bukan mahukan ghanimah (harta rampasan perang). Maka alhamdulillah, aku rasa sangat beruntung kerana dapat berada di bawah naungan tersebut iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Mendapat pencerahan keilmuan. Minda Aku Tertawan dengan keikhlasan, ketulusan, kesungguhan, kebaktian & keilmuan gerakan ini. Gerakan telah menjadi guru buat diri ku.
"Selamat Hari Guru"
IZWAN SUHADAK ISHAK
16 Mei 2011 @Bestari Jaya




No comments:
Post a Comment