Saturday, November 14, 2009

Laporan Wacana Bicara Ummah

HAPUSKAN UNDANG-UNDANG SYARIAH?

(TENTANGAN TERHADAP AD-DEEN SEBAGAI CARA HIDUP)

TARIKH : 14 NOVEMBER 2009

TEMPAT : DEWAN SEMINAR MASJID NEGERI SHAH ALAM

SHAH ALAM, 14 NOVEMBER 2009 – Telah berlangsungnya Program Wacana Bicara Ummah Hapuskan Undang-undang Syariah di Masjid Negeri Shah Alam. Seramai 5 orang ahli GPTD Unisel yang mengikuti Program Wacana tersebut. Perjalanan ke Shah Alam mengambil masa 1 jam untuk sampai ke destinasi.

Pada jam 8.45 pagi, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh pengerusi ABIM. Seterusnya, ucaptama yang bertajuk “Syariah Sebagai Satu Cara Hidup” telah disampaikan oleh Dato Paduka Dr. Zaleha Kamarudin, Timbalan Ketua Pengarah IKIM. Beliau meyampaikan ceramah yang bertajuk Pelaksanaan Undang-Undang Syariah : Tiga Cabaran Kritikal.

Beliau telah menyenaraikan tiga cabaran kritikal dalam pelaksanaan Undang-undang Syariah di Malaysia iaitu rakyat, pemerintah dan pelaksana. Cabaran pertama ialah rakyat. Beliau menegaskan bahawa rakyat mestilah memahami perbezaan antara maklumat dan pengetahuan, kefahaman dan kebijaksanaan. Selain itu, beliau ada juga menyebut tentang punca perbezaan fundamental yang terbahagi kepada tiga iaitu sekularisme, pluralisme dan liberalism tetapi memberi penegasan terhadap secularism.

Cabaran kedua ialah pemerintah. Beliau menyentuh sedikit sebanyak tentang bidangkuasa Pusat dan Negeri (perlembagaan) dan Penyelarasan, Kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Negeri, Kedudukan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri. Sebagai contoh keputusan yang dibuat oleh Kabinet dalam agama anak selepas pemelukan Ialam.

Selain itu, campurtangan dan imej Islam dalam kes Kartika yang masih tertangguh sehingga kini. Kerjasama dengan pihak polis adalah sangat diperlukan sepertimana jawatan Ketua Polis Negeri sebagai ahli dalam Majlis Agama Islam Negeri.

Seterusnya, cabaran ketiga iaitu penguatkuasa. Beliau menyatakan bahawa kekurangan latihan dalam pendakwaan yang menyebabkan kes-kes yang sukar seperti kes Kahar (rasul Melayu), kes Ayah Pin (kerajaan Langit) dan kes Rufaqa’ tergendala. Pihak-pihak berkuasa mestilah meningkatkan latihan dari segi tangkapan, siasatan, pembuktian dan hubungan dalam pendakwaan.

Pada jam 10.00 pagi hingga 11.15 pagi, program Wacana 1 tentang “Isu Sebatan Kartika:Islam vs Sekular” telah disampaikan oleh dua panel iaitu Prof. Madya Dr. Mohamad Kamil Abd Majid dari Universiti Malaya dan Ustaz Azlan bin Abdul Rahman, Pegawai Jabatan Mufti Pahang.

Apa yang dapat saya simpulkan adalah terdapat tiga bentuk hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan jenayah syariah iaitu penjara, denda dan sebatan. Hukuman penjara biasanya dikenakan kepada pesalah tidak melebihi tiga tahun. Bagi pesalah yang gagal membayar denda juga turut dikenakan hukuman penjara manakala bagi hukuman denda jumlah denda dikenakan di antara seribu ringgit hingga lima ribu ringgit. Hukuman sebat pula dikenakan kepada pesalah yang melakukan jenayah syariah seperti zina, sumbang mahram, liwat, minum arak dan sebagainya.

Kedua-dua ahli panel tidak menyentuh tentang Isu Sebatan Kartika semata-mata tetapi secara menyeluruh di mana mereka menyebut bahawa sebatan ini terbahagi kepada dua jenis sebatan iaitu sebatan syariah dan sebatan sivil. Kedua sebatan ini adalah berbeza. Objektif hukum jenayah Islam ialah sebagai pembalasan dan langkah pencegahan agar penjenayah berasa serik dan insaf seterusnya agar masyarakat gerun untuk melakukan jenayah. Selain itu, ia adalah sekadar untuk pemulihan dan melahirkan keinsafan terhadap pesalah dan masyarakat.

Terdapat beberapa perbezaan antara undang-undang jenayah Islam dan Sivil. Undang-undang Islam bersumberkan wahyu Allah iaitu dari Al-Quran, hadis, ijtihad dan fatwa ulama. Ia mengutamakan aspek pencegahan seperti sebat dan rejam bagi kesalahan zina untuk menggerunkan masyarakat tetapi pensabitannya mestilah ada empat orang saksi. Menekankan konsep amar makruf nahi mungkar dan bersifat Rabbani iaitu mendidik dan mengajar.

Manakala undang-undang sivil adalah ciptaan manusia yang sering berubah-ubah dan tidak berkaitan dengan soal iman dan akidah. Ia lebih bersifat kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dan tidak bersifat insaniah (ISA).

Ahli panel yang kedua iaitu Ustaz Azlan ada menyebut tentang kaedah pelaksanaan hukuman sebat. Yang pertama ialah alat sebat. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Kedua, jika pesalah itu hamil hukuman mestilah dilakukan selepas 2 bulan dia melahirkan anak. Seterusnya, sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki bisebat berdiri manakal perempuan disebat dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat tidak boleh mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah, Pegawai Perubatan Kesihatan hendaklah memperakukan sama ada pesalah masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan. Selepas itu, tayangan slaid sebatan telah dipertontonkan kepada hadirin yang hadir.

Pada jam 11.15 pagi hingga 12.15 tengahari, program Wacana 2 iaitu “Strategi Ummah Menangani Tentangan”. Antara finalis yang terlibat ialah Tuan Haji Ahmad Zaki bin Arshad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAIS, Tuan Haji Abdul Halem bin Salihin, Timbalan Setiausaha MAIS, dan Ustazah Hazlina binti Abd Razak.

Antara perkara yang dibahaskan ialah bagaimana masyarakat pada masa kini menangani tentangan yang mencabar. Adakah mengikut landasan-landasan yang betul atau bertindak mengikut nafsu semata-mata. Ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Hazlina binti Abd Razak sangat menarik perhatian saya apabila beliau menyatakan perkara-perkara yang dilarang oleh agama dan boleh memudaratkan diri dalam bahasa jawa. Ceramah yang disampaikan sangat berkesan dan boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan kita seharian.

Pada jam 12.15 hingga 12.30 tengahari, Pembentangan Resolusi oleh Tuan Haji Ahmad Zaki bin Arshad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah. Seterusnya pada jam 12.30 hingga 1.00 petang, ucapan perasmian dan penutupan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Pengerusi MAIS. Beliau menyatakan beberapa cadangan yang membina untuk terus menganjurkan program yang seumpama ini untuk membina generasi ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang di masa hadapan. Beliau juga menyatakan agar golongan-golongan belia mampu dan suka untuk menghadiri majlis agama seperti ini.

Akhir sekali, pada jam 1.00 petang majlis bersurai dan para hadirin yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan makan tengahari.

Disediakan oleh,

NOR AQLIAH BINTI ARIFIN,

Aktivis GPTD UNISEL






No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails