Monday, April 5, 2010

Hadith : Takwa & Perpaduan Asas Keselamatan di akhir zaman

Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata, "Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami." Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang meminpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."

H.R. Abu Daud dan Tirmizi

- Unit Pembina





Saturday, April 3, 2010

Puisi : Diskusi Al-Amin sebuah perjalanan


Suatu acara untuk manusia bertemu dengan Tuhannya

Membina ukhwah sesama sahabat, teman dan kawan

berbicara tentang firman-firman al-Hakim

Bermula dengan sesi solat berjamaah

Di dalam suasana surau yang sepi

Berzikir al-Mathurat bersama-sama

Sebagai pelindung diri dan dorongan Ilahi

Diikuti bacaan Pembukaan Kalam al-Fatihah

Mengucap syukur dan puji-pujian hanya untuk Mu

Bertilawah kalimat wahyu mukjizat Rasul

Syarah tafsir al-Azhar dikupas teliti

Pesan-pesan buya Hamka menusuk ke hati

Kritik-kritis dilontar agar terkesan dalam diri

Itulah tadabur kefahaman demi pelaksanaan

Kesudahannya adalah terkesan gerakan

dan memberikan kesan pada lingkungan

Benarkan dan tunaikan ayat-ayat itu

Barulah hadir kebenaran ad-Din

Barulah lahir generasi al-Amin

Demi melaksana misi

Rahmatan lil alamin

IZWAN SUHADAK ISHAK

14 Rabiulakhir 1431H/30 Mac 2010

Bestari Jaya

Friday, April 2, 2010

Puisi : Anugerah Terindah







Di saat anak kecil itu mendambakan cinta dan perlindungan

Dugaan merentap harapan mereka

Mereka kebingungan

Lantas mereka bertanyakan kebimbangan

Apakah sebenarnya berlaku?

Hanya beralaskan tikar lusuh

Mereka bangkit mengejar cita

Semangatnya luntur, kekuatannya longgar

Masih mengharapkan sinar terpancar

Walaupun wajah mereka mencerminkan kedukaan

Namun mereka tetap tabah

Menyelusuri liku-liku kehidupan

Kerana ilmu dan cita-cita

Mereka meneruskan langkah

Mengharapkan langkah yang tercipta itu

Terus membawa mereka ke gerbang kejayaan



Junaidah Ismail

XPDC HAMKA
Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia
29 Dis 09 - 12 Jan 10




Wednesday, March 31, 2010

Catatan Diskusi Al-Amin

Tafsir Al-Azhar | Karangan Prof. Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA) |Surah An-Naba’ (Berita Besar) | Surah ke 78 | Terkandung 40 ayat | Diturunkan di Makkah | Diskusi Ayat : 1-16 | Disediakan oleh Unit Pembina | Bestari Jaya | Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor






  1. Tentang apakah mereka bertanya-tanya?
  2. Tentang berita yang besar,
  3. Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.
  4. Jangan! Kelak mereka akan mengetahui.
  5. Kemudian itu; sekali lagi jangan! Mereka akan mengetahui kelak.
  6. Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan?
  7. dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?
  8. dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?
  9. dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?
  10. dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?
  11. dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?
  12. dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) Yang kuat kukuh?
  13. dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu Yang terang-benderang cahayanya?
  14. dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) Yang mencurah-curah,
  15. untuk Kami mengeluarkan Dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan,
  16. serta kebun-kebun Yang subur bertaut-taut pokoknya?

Berita Besar

Dalam ayat pertama, Hamka menekankan tentang persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat Quraisy. Persoalan yang menjadi pertengkaran dan tanda tanya buat mereka. Persoalan yang tidak berkesudahan perbincangan setiap kali mereka bertemu pada ketika itu. Ayat kedua dan ketiga diterangkan jawaban tentang ayat awal, iaitu berita besar yang mereka ragu-ragu.

Hamka menafsirkan ada tiga (3) berita besar. Pertama : Al-Quran sebagai wahyu. Kedua : Hari Kiamat. Ketiga : Kebencian terhadap penyembahan berhala. Tiga perkara inilah yang menjadi pertengkaran dan ragu-ragu dalam perbualan masyarakat Quraisy. Barangkali ada yang mula percaya kepada mesej yang disampaikan oleh Muhammad s.a.w. Masih ramai juga yang tidak percaya kebenaran Muhammad s.a.w.

Sejak kecil sehingga remaja dan dewasa masyarakat Quraisy sudah mengenali peribadi baginda dan mereka bangga dengan sifat al-amin (amanah). Tetapi selepas baginda meningkat usia 40 tahun, mengaku dirinya mendapat wahyu dan menyampaikan pendirian tauhidik yang berbeda dengan masyarakatnya. Baginda mengaku Malaikat Jibril diutus Allah swt menemuinya menyampaikan wahyu dari Tuhan. Wahyu-wahyu yang disampaikan sangat mengejutkan sistem kepercayaan masyarakatnya.

Baginda juga mengatakan akan ada hari kebangkitan, ada kehidupan selepas mati. Semua amalan akan dihitung Baginda melarang menyembah berhala yang selama ini menjadi dasar agama masyarakatnya. Perkara tersebutlah menjadi tutur bicara dan tertanya-tanya kebenarannya. Sama ada di Darun-Nadwah (seperti Dewan Negara), atau di Masjid, atau di mana-mana sahaja.

Pangkal ayat ke empat berbunyi “Jangan!”. Hamka memberikan ertinya tidaklah ada perlunya dipertengkarkan atau diragukan lagi tentang berita besar yang terkandung tiga perkara tersebut, kerana “Kelak mereka akan mengetahui” pada suatu hari nanti. Tegasnya kalau pun mereka bertengkar tentang persoalan besar itu sehingga tiada keputusan.

Suatu masa nanti mereka akan mengalami dan mengetahui kebenarannya sebagaimana kehendak Allah swt. Pada pangkal ayat lima “Kemudian itu”. Diingatkan sekali lagi setelah peringatan awal, kemudian “Sekali-kali jangan!” persoalkan dan ragu-ragu tentang kebenaran berita besar kerana tiada faedahnya. Janganlah dengan hanya meraba-raba dalam kegelapan kejahilan, ikutlah al-Quran kerana wahyu akan diturunkan secara beransur-ansur untuk menerangkan kebenarannya dan menghilangkan keraguan mereka. Oleh kerana itu bersedialah untuk beriman.

Alangkah Hebatnya Penciptaan Ilahi

Ayat enam sehingga ayat 16 menerangkan kepada kita bagaimana caranya Allah swt mendidik manusia kepada berfikiran luas agar jangan hanya terkurung dalam batas fikiran yang sempit. Berfikirlah tentang perkara yang besar, dan jawab persoalan yang dikemuka oleh Allah swt. Pada ayat enam, Hamka mentakrifkan “bumi sebagai hamparan” sebagai suatu ungkapan yang Maha Indah dari Allah sendiri. Laksana menghamparkan permadani kepada Insan buat menikmati kehidupan. Dengan kata lain, untuk siapa bumi itu kalau bukan untuk kamu? Maka ambillah segala faedah yang ada di dalamnya.

Ayat tujuh dijelaskan oleh Hamka, fungsi gunung. Jika tidak ada gunung maka bumi tidak akan terhampar dengan baik. Kerana angin selalu berhembus keras dan membongkar urat kayu yang tumbuh. Air hujan yang turun akan meluncur dengan teratur mengikut aliran jika gunung-gunung punya pokok yang rimbun dan mengakar. Dengan adanya gunung-gunung sebagai pancang, selamatlah kehidupan manusia daripada bencana alam.

Ayat lapan menyatakan bahawa ciptaan Allah swt itu berpasang-pasangan. Ada jantan betina, lelaki perempuan, positif negatif, awal akhir, langit bumi, dunia akhirat dan seterusnya. Yang berdiri sendiri hanya Allah swt.

Ayat sembilan diterangkan oleh Hamka, tidur itu adalah kemestian supaya tenaga dapat dikumpulkan untuk mendepani hari esoknya. Rohani dan jasmani kembali tenang dan segar. Ayat seterusnya 10, menurut Ibn Jubair dan as-Suddi ; “Ketenangan diri kerana nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga baru pada hari esok seperti menggantikan pakaian baru yang masih bersih”. Ayat berikutnya 11, hari siang menjadi tempat mencari penghidupan, rezeki sebagaimana Allah swt telah bentangkan bumi ini untuk umat manusia.

Ayat 12, menjelaskan “Tujuh yang kukuh” ialah langit tujuh lapis. Walaupun tiada tiang dan sudah lama kejadian langit itu. Tetapi sehingga kini langit masih tetap kukuh teguh. Beredarlah dalam cakrawala itu berjuta-juta bintang termasuklah planet bumi yang menjadi tempat manusia untuk penghidupan di bawah naungan rahmat Allah swt.

Ayat 13 menyebut tentang matahari yang memancarkan sinarnya yang terang benderang. Berbandingannya apabila tiba malam, gelap gulitalah bumi tanpa pancaran matahari maka terpaksa lampu pelita dan cahaya lampu ciptaan manusia dinyalakan untuk mendapatkan sedikit sinar yang terbatas pancarannya. Hanya tiba siang hari, matahari terbit menerangkan kembali bumi untuk manusia mencari penghidupan.

Ayat 14 menerangkan tentang kejadian hujan yang selalu menyirami bumi buat mengisi kolam yang hampir kering, buat meneruskan aliran sungai dan mengalir terus ke laut agar kemudiannya air tadi menguap ke udara menjadi awan atau mega, berkumpul menjadi mendung dan kembali menurunkan hujan. Begitulah terus menerus.

Ayat 15 menjelaskan fungsi hujan yang turun dapat mengeluarkan biji-biji benih dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Antara lada, timun, kacang, jagung, pada dan sebagainya. Bagi tumbuhan yang sudah mengakar, air hujan yang membasahi bumi akan mengalirkan hidup pada dirinya. Sebagaimana diterangkan dalam ayat 16, manusia akhirnya membuat kebun atau sawah yang lebih teratur berdasarkan akal manusia yang memikirkan dan belajar daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap persekitaran. Maka daripada tumbuhan bukan sahaja untuk makanan tetapi sebagai pakaian. Keluarlah kapas untuk ditenun menjadi pakaian

Hamka menjelaskan bahawa ayat 14 sehingga 16 memberi suatu gambaran bahawa manusia belajar menyesuaikan dirinya dengan alam kurniaan Allah swt. Akhirnya lahirlah sebuah cara hidup atau kebudayaan manusia berdasarkan aturan alam yang telah ditetapkan Allah swt.


Disediakan oleh,

Abu Sobirin



Tuesday, March 30, 2010

Hadith : MASA AKAN MENJADI SINGKAT


Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". H.R.Termizi


- Unit Pembina




Monday, March 29, 2010

Ayahanda Nor Hafiz Razali diserang angin ahmar

Jelebu, 27 Mac 2010 - Ayahanda Nor Hafiz Razali, Pemangku Presiden GPTD UNISEL telah diserang angin ahmar (strok) dan sekarang dalam keadaan koma. Dimaklumkan ayah Nor Hafiz Razali menghidapi sakit jantung dan strok tersebut adalah faktor sakit jantung beliau. Mohon semua sahabat-sahabat solat hajat dan membacakan doa agar sakit beliau sembuh seperti sediakala.

- Unit Media

SENARAI BACAAN AYAT-AYAT PENAWAR UNTUK PENYAKIT STROK ATAU SAKIT ANGIN AHMAR:

(Pesakit hendaklah berjumpa saya terlebih dahulu dan saya perlu sentuh badan pesakit sebelum memulakan amalan-amalan ini. Jin-jin ahmar mesti di keluarkan dahulu dari dalam badan pesakit sebelum meneruskan perubatan.)

A. Amalan Minggu Pertama dan Kedua:

1. Surah Asy-Syu'araa' ayat 95 hingga 118, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Adz-Dzariyaat ayat 31 hingga 50, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

B. Amalan Minggu Ketiga dan Keempat:

1. Surah Al-Israa' ayat 79 hingga 94, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Al-Ahqaaf ayat 21 hingga 28, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

C. Amalan Minggu Kelima dan Keenam:

1. Surah Al-Hasyr ayat 18 hingga 24, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Ar-rad ayat 19 hingga 34, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.






Aktivis bertemu di Santai Bersama Buku @PWTC

Kuala Lumpur, 28 Mac 2010 - Santai Bersama Buku di PWTC bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 telah mengumpulkan aktivis GPTD dari seluruh negara. Selepas meninjau dan membeli buku-buku pilihan secara bebas, semua berkumpul di Medan Selera Putra berhampiran dengan Hotel Putra Pacific. Turut hadir adalah Mr. Lee, daripada Korea Selatan yang merupakan pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Pertemuan santai ini mengisi diskusi ilmiah dan membina ukhwah sesama aktivis. Beberapa buah buku cadangan sebagai bacaan wajib adalah Art of War oleh Sun Tzu. Buku ini telah dikupas oleh Sdr Afzan, Naib Presiden GPTD Pusat yang juga penggerak GPTD Kelantan dan Grup Generasi al-Fateh. Strategi peperangan oleh Sun Tzu sangat menarik dikaji dan diaplikasi dalam pelbagai bidang sama ada bisnes, pengurusan dan lain-lain. Sdr Suhail, Presiden GPTD meminta Grup Cheng Ho menjadikan Art of War sebahagian daripada kajian mereka.

Sdr. Najemuddin, Setiausaha Agung memperkenalkan koleksi tulisan Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah iaitu Ulama Nusantara. Buku tersebut akan menjadi rujukan dan koleksi dalam Perpustakaan GPTD. Bagi grup yang membuat kajian berkaitan ulama boleh merujuk buku tersebut. Beberapa aktivis baru daripada Universiti Industri Selangor turut hadir memperkenalkan diri. Sdri. Wan Ritini Wan Ismail memaklumkan beberapa program semasa GPTD UNISEL serta menjemput mereka untuk hadir.

- Unit Media

Nota : Imbas Galeri GPTD


Friday, March 26, 2010

Jom Santai Bersama Buku







17,303 anak luar nikah Melayu 2009

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Sumber : Bharian





PILOT : Idealisme Anak Muda Merentas Sempadan


Bestari Jaya, 26 Mac 2010 - Pidato Lorong Tengah [PILOT] bertema Idealisme Anak Muda Merentas Sempadan dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Biru, Pusat Komuniti Pelajar semalam. Sdr Mohd Idris, Presiden Gamis telah diwakili oleh Sdr Muhammad daripada Gamis UKM menyampaikan pidatonya yang bertajuk Meneladani Ketokohan Sultan Muhammad al-Fateh dengan penuh bersemangat. Pemidato seterusnya oleh Sdr Faiz Ali, aktivis GPTD Turki dan merupakan pelajar universiti di sana yang kini sedang bercuti. Beliau telah berkongsikan pengalaman sebagai aktivis pelajar dan menambah tentang pengkisahan Sultan Muhammad al-Fateh.

Pada malam itu, dua orang pelajar Turki juga turut hadir memeriahkan program tersebut. Cevdet merupakan pelajar Sarjana Kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia telah menerangkan tentang ketokohan Badiuzaman Said Nursi seorang reformis selepas kejatuhan Empayar Turki Osmaniyyah. Badiuzaman menghasilkan karya agung iaitu Risalah An-Nuur dan menjadi bacaan umat Islam di sana. Peserta yang hadir kurang lebih 40 orang pelajar dan pensyarah daripada dalam Unisel. Presiden GPTD Pusat, Sdr Muhammad Suhail yang sudah pulang daripada Ghuangzho, China turut hadir untuk mendengar pemidato menyampaikan perkongsian ilmu.

-Unit Media

Nota : Imbas Galeri GPTD


Thursday, March 25, 2010

Tim Winter ulama kulit putih

Kaum kulit putih khususnya dari Eropah yang musyrik sering berbangga dengan darah Anglo Saxon yang mengalir dalam tubuh mereka. Namun, bagi Tim Winter atau nama sebenarnya Timothy John Winter yang berketurunan Anglo Saxon tanpa segan mengakui bahawa beliau sebenarnya berketurunan Anglo-Muslim. Ia kesan secara langsung sebaik sahaja beliau memeluk Islam sekitar tahun 1970-an dahulu.

Perkara ini sebenarnya tidak pelik kerana jika kita kembali ke abad ke-18, di sekitar England telah wujud kelompok masyarakat yang dikenali sebagai Anglo Muslim atau Anglo-Mohammedan. Jumlah mereka semakin berkembang dan kini dianggar terdapat lebih 100,000 warga kulit putih United Kingdom (UK) yang beragama Islam sama ada secara keturunan mahupun mualaf. Jika dikaji semula sejarah, Islam bukanlah suatu agama yang baru bagi kalangan kaum kulit putih. Mungkin kebanyakan nenek moyang mereka dahulu beragama Islam.

Sekalipun tidak beragama Islam, Kristian yang mereka anuti cukup berbeza daripada aspek ibadat, amalan dan ajaran. Sebagaimana yang diakui sendiri oleh Tim, datuknya merupakan dari generasi terakhir keturunan keluarga beliau yang mengakui kebenaran Kristian. "Datuk saya tidak pernah menyentuh holy water sehingga ke akhir hayatnya," katanya. Beliau kini ialah ulama Islam kulit putih yang sangat terkenal.

"Mengimbau zaman di mana anak-anak muda duduk semeja sambil minum kopi dan masing-masing berbicara mengenai apakah makna hidup, mengenalpasti di manakah sebenarnya kita berada dan ke arah manakah haluan hidup ini. "Semua itu kononnya terjawab apabila ramai kalangan rakan memilih cara hidup hippie malah ramai juga yang terus menetap di India yang kononnya menjanjikan hidup penuh dengan adat ketimuran, eksotik dan kelas pertengahan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak seperti rakan-rakannya itu tetapi lebih memilih untuk ke Asia Barat atau lebih tepat, Islam. "Saya memilih sesuatu yang secara radikal berbeza berbanding agama tradisi bangsa India atau Zen Buddha. "Saya tidak memerlukan agama yang ganjil atau eksotik dan saya juga tidak bertujuan untuk mencari alternatif identiti yang baru untuk diri sendiri," katanya. Apa yang pasti, Tim tidak lagi mengunjungi gereja kerana tidak dapat menerima konsep-konsep yang diketengahkan.

Ditanya adakah semua konsep itu tidak munasabah untuk diterima apatah lagi tanpa banyak soal, beliau menjawab: "Catatan mengenai Nabi Isa a.s boleh dilihat dari dua bentuk. Iaitu sebagaimana baginda diceritakan dalam sejarah dan kisah-kisah baginda dalam perjanjian baru. "Tetapi adakah Nabi Isa yang diceritakan oleh kedua-dua sumber itu adalah dari individu yang sama? "Ini kerana daripada kedua-duanya tidak ada yang sama dan berbeza-beza. Tambahan pula, beliau tidak mempunyai kapasiti yang cukup kuat untuk mempunyai kepercayaan terhadap doktrin-doktrin yang abstrak.

"Sejauh pemahaman saya, Nabi Isa secara ultimatumnya guru kepada bangsa Yahudi yang membawakan mesej yang besar dari Injil Hebrews bahawa manusia boleh diterima di sisi tuhan atas kekuasaan tuhan yang mempunyai kuasa untuk mengampun," katanya. Tuhan bagi Tim sedia untuk mengampun dan memberkati hidup hamba-hamba tanpa sebarang masalah, jauh sekali hasil daripada pengorbanan mana-mana pihak. "Bagi saya itu darjah monoteisme paling tinggi bagi tuhan dan saya dapati ia menjadi ajaran utama dalam Islam," katanya.

Antara punca lain yang menarik Tim kepada Islam tidak sahaja isi kandungan al-Quran tetapi tentulah juga alunan bacaan ayat-ayat suci itu yang beliau sifatkan bagaikan daya tarikan sekuat magnet kepadanya untuk mendekati dan seterusnya mencintai Islam. "Pernah semasa berada di Kaherah Mesir, saya sempat mengira sebanyak 38 kedai secara serentak memasang rakaman bacaan al-Quran di sana-sini, sepanjang hari. "Pertama kali mengalami suasana seperti itu, dengan alunan bacaan al-Quran pelbagai jenis lagu itu menjadikan ia 'muzik' kegemaran saya.

"Malah saya tidak ragu-ragu mengatakan bahawa ia merupakan suatu seni Islam yang sangat hebat," katanya. Namun pada asasnya Tim memeluk Islam selepas mengkaji dan membuat perbandingan pelbagai falsafah dan teologi agama dan beliau tidak menemui suatu agama yang amalannya begitu sempurna, selain Islam. Berdasarkan kepada pengetahuan yang ada tidk sesuai lagi jika meletakkan Tim atau nama Islamnya Dr. Abdul Hakim Murad sebagai saudara Muslim. Sebab, pengetahuannya mengenai Islam persis beliau dilahirkan dan dibesarkan secara Islam, terlalu luas dan amat mendalam.

Lahir pada tahun 1960, beliau memegang ijazah kelas pertama dalam bahasa Arab dari Universiti Cambridge pada tahun 1983. Atas minat dan cinta beliau terhadap Islam, Tim atau Abdul Hakim menyambung pengajian mengenai Islam di Universiti al Azhar, Mesir. Beliau pulang semula ke England pada 1989 untuk menyambung pengajian di Universiti London bagi pengajian Turki dan Parsi. Kini beliau merupakan pensyarah di Shaykh Zayed Pengajian Islam di Fakulti Diviniti Universiti Cambridge, juga merupakan Pengarah Pengajian Teologi di Kolej Wolfson dan baru-baru ini menerima ijazah kedoktoran dari Universiti Oxford.

Apabila menyebut beliau berketurunan Anglo Saxon, sesuai dengan itu juga Abdul Hakim adalah Pengarah Pertubuhan yang dikenali The Anglo Muslim Fellowship untuk Eropah Timur dan memegang pelbagai lagi jawatan dalam dunia akademik dan pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan Islam. Sudah tentunya, Abdul Hakim memberi sumbangan yang sangat besar dalam dunia Islam dengan menulis buku-buku, jurnal, artikel, syarahan, panel forum dalam pelbagai topik yang sangat menyentuh mengenai dunia dan ilmu-ilmu Islam.

Yang menarik, beliau antara bangsa kulit putih pertama menterjemahkan kitab-kitab muktabar ke bahasa Inggeris seperti, The Remembrance of Death and the Afterlife (Cambridge 1989) oleh Imam Al Ghazali. Hikmah yang sangat besar apabila Tim memeluk Islam ialah kemampuan beliau berdakwah menyebarkan Islam terutamanya pada mereka yang sebangsa dengannya. Usaha dakwahnya menjadi lebih berkesan kerana beliau begitu memahami soal bahasa dan budaya bangsanya sendiri.

Hujah-hujah yang padat dan bernas sentiasa diberikan dalam konteks hubungan Islam dan Barat (Kristian), dakwah, aliran-aliran seperti wahabi, sunni, syiah dan politik. Begitu tertarik apabila dalam satu artikel, Abdul Hakim menulis mengenai beberapa kelemahan umat Islam yang agak unik. "Sehingga ke abad 18, ramai ulama percaya bahawa dunia penerbitan membabitkan percetakan adalah haram hukumnya. "Ini apabila mereka percaya teks-teks yang melibatkan agama Islam adalah terlalu suci untuk dicetak dan diulang cetak berkali-kali.

"Bagi mereka jika hendak ditulis mestilah ditulis tangan dengan perlahan-lahan dan penuh dengan rasa kecintaan dengan tulisan-tulisan berseni kaligrafi atau khat dan dibukukan dengan penuh seni, juga secara tangan," katanya. Begitu juga dengan kejatuhan kerajaan atau empayar Islam Uthmaniah di awal abad ke-19 yang menyebabkan banyak wilayah Islam jatuh ke tangan asing terutamanya Rusia. Ramai pakar sejarah mengakui kemenangan di pihak Rusia itu berpunca pihak musuh mempunyai disiplin yang tinggi dan lebih-lebih lagi peralatan ketenteraan yang moden dan terkini untuk zaman itu.

Sedangkan di pihak Islam, mereka percaya kepada kemenangan boleh dicapai hanya melalui 'keimanan' tanpa perlu mengubah strategi perang yang ada. "Mereka juga percaya jika dibekalkan senjata seperti senapang, iaitu tembakan ke arah musuh dari jarak jauh dianggap seperti tindakan seorang pengecut berbanding berlawan dengan pedang sambil merenung mata musuh barulah dianggap sebagai pahlawan sejati," kata beliau. Sebenarnya membaca mengenai Dr. Abdul Murad, banyak ilmu yang boleh dipelajari dan diambil pengajaran.

Namun jika berpeluang mendengar sendiri syarahan dan menyaksikan kehadirannya adalah lebih baik. Justeru itu, berita baiknya beliau akan hadir ke negara ini pada 27 hingga 29 Mac ini yang dibawa khas oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui sayap, Islam Outreach mereka. Bertempat di Dewan Auditorium Dewan Jubli Perak, Shah Alam, Selangor, Dr. Abdul Hakim Murad akan menyampaikan syarahan pada 27 Mac ini. Hubungi talian 0342569822 untuk maklumat lanjut program ini. Jangan lepaskan peluang terbaik ini!

Sumber : Utusan






Tahniah kepada yang menang dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2010/11

Bestari Jaya, 25 Mac 2010 - Semua pelajar yang menawarkan diri sebagai calon Majlis Perwakilan Pelajar bagi penggal 2010/2011 bagi Unisel untuk kerusi umum telah menang tanpa bertanding. Hanya kerusi Fakulti Perniagaan sahaja yang dipertandingkan semalam dengan dimenangi oleh Sdr Azim Md Kasim. Hanya kurang lebih 13 peratus sahaja pelajar Fakulti Perniagaan yang keluar mengundi berdasarkan jumlah pelajar yang layak sebagai pengundi. Kerusi Antarabangsa juga tidak dipertandingkan dan telah dimenangi oleh Abdi Karin. Berdasarkan keputusan keseluruhan terdapat lapan orang calon daripada Fakulti Perniagaan, empat orang daripada Fakulti Pendidikan & Pengajian Bahasa, tiga orang daripada Fakulti Sains Sosial & Pengajian Industri, seorang daripada Fakulti Kejuruteraan dan seorang daripada Fakulti Sains & Teknologi Alam.



- Unit Media



Ulasan Setiausaha

Tahniah kepada Sdr Nor Hafiz Razali (Mantan Pemangku Presiden GPTD UNISEL) atas kemenangan dalam Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Salam takziah atas taklifan sebagai pemimpin pelajar, semoga dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sempurna.




Pidato Lorong Tengah [PILOT] : Idealisme Anak Muda Merentas Sempadan








Monday, March 22, 2010

Sunday, March 21, 2010

Khemah Kerja GPTD UNISEL berjaya

Bestari Jaya, 21 Mac 2010 - Khemah Kerja GPTD UNISEL telah berjaya dilaksanakan bermula 19 -21 Mac 2010 di Kampus Bestari Jaya. Program ini bertujuan untuk penyediaan dokumen lengkap sebagai persediaan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) buat kali kedua dan kali pertama sebagai organisasi berdaftar di Unisel. Lebih menarik MPAT kali ini akan meraikan Ulang Tahun 1 tahun GPTD UNISEL. Walaupun baru berusia setahun jagung, tetapi program dan projek yang dianjurkan telah mendapat sambutan daripada warga kampus.

Terkini adalah PILOT : Pidato Lorong Tengah yang akan berlangsung pada 25 Mac 2010 Khamis di Dewan Biru, Pusat Komuniti Pelajar memperkenalkan Aktivis Turki & Grup Al-Fateh, Sdr Faiz Ali yang berkongsikan pengalaman beliau di Turki. Insya Allah beliau akan membawa sekali pelajar Turki untuk hadir menyampaikan sedikit tentang Badiuzaman Said Nursi. Turut dijemput Sdr Mohd Idris, Presiden Gamis akan menyentuh tajuk "Meneladani Ketokohan Sultan Muhammad al-Fateh".

Dalam khemah kerja juga, Ucapan Dasar Presiden yang berjaya disiapkan sepenuhnya. Beberapa proposal untuk gerak kerja Grup Wali Songo, Grup Ibn Battutah, Grup Hamka, & Grup Cheng Ho telah siap sepenuhnya. Hanya tinggal untuk dihantar ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar menunggu kelulursan program. Dijangka grup-grup ini akan ke misi luar negara pada bulan November ini.


Friday, March 19, 2010

Manusia menangis, apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri. Allah yang menciptakan ketawa dan tangis. Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti. Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:

1. Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
2. Menangis kerana rasa takut.
3. Menangis kerana cinta.
4. Menangis kerana gembira.
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6. Menangis kerana terlalu sedih.
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10. Menangis orang munafik yakni pura-pura menangis.

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka. Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis.

Rasulullah bersabda, maksudnya:

"Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu: Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat. Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya. Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud:

Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.
1. Apabila dahinya berpeluh.
2 Air matanya berlinang.
3. Hidungnya keluar cecair.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t. Justeru, serulah air mata itu daripada persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.

Penulis ialah saudara Nor Hafiz bin Razali, merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri sedang menuntut di Tahun Pertama di Universiti Industri Selangor.

- Unit Pembina




Wednesday, March 17, 2010

Zionis ceroboh arah kiblat Masjid al-Aqsa

Palestin, 17 Mac 2010 – Pada hari Selasa Ahad (14/3), berpuluh-puluh tentera Zionis menceroboh bahagian selatan masjid al-Aqsa dan bertindak menghalau kira-kira 20 orang yang sedang beriktikaf dan sembahyang di dalamnya menggunakan kekerasan, sehingga menyebabkan beberapa orang yang bertahan di dalamnya mengalami kecederaan.

Beberapa sumber tempatan memaklumkan kepada Pusat Media Palestin bahawa berpuluh-puluh tentera Zionis melakukan pencerobohan tersebut secara mengejut. Mereka juga menghalau orang-orang yang sedang beriktikaf di dalamnya melalui salah sebuah pintu dan menghalang daripada masuk kembali ke dalam masjid serta merampas kad pengenalan.

Beberapa orang penduduk bandar al-Quds dari kalangan rakyat Palestin yang tinggal di situ melakukan iktikaf di dalam masjid al-Qibli selepas solat Isyak, setelah beberapa orang ulama menyeru agar mereka bertahan di dalam masjid al-Aqsa, selepas ancaman berulang kali daripada pihak Zionis untuk menceroboh masjid tersebut.

Perlu dinyatakan bahawa masjid al-Qibli adalah terletak di bahagian selatan daripada masjid al-Aqsa, iaitu arah kiblat dan merupakan ruang solat utama bagi kaum lelaki dan tempat imam di dalam masjid al-Aqsa.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir





KEMBARA MAC 2010 Edisi ke-2



E-zine KEMBARA keluaran Mac 2010 telah pun berjaya dimuatnaik ke server yang mengalami gangguan akhir-akhir ini. Pihak GPTD memohon maaf atas kelewatan dan berharap para pembaca dapat bersabar dengan keadaan yang tak dapat dijangkakan ini. InsyaAllah sekiranya GPTD mempunyai sumber dana yang kukuh pada masa akan datang, kami akan berusaha untuk memiliki server berbayar bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sila klik di sini untuk muatturun KEMBARA Mac 2010.



Student Representative Council 2010/2011 Election


Please be informed the current (2009/2010) Student Representative Council's (SRC) term will be disperse effective 1st March 2010. A new Student Representative Council is to be elected for 2010/2011 will be held on 24th March 2010.

Student who meet the eligibility criteria set out below may offer to be elected in the Student Representative Council in the forthcoming election session 2010/2011. Please study carefully the attached Student Representative Council flow chart for the 2010/2011 session.

Student Representative Council Qualifications:

  • Must have and maintain a 2.5 cumulative point average.
  • Aspire to be a leader
  • Are of good character and sound of mind, abide bye the university's rules and regulations and respect the country's law
  • prepared to undergo training and development courses


Those students who are interested can obtain the Nomination Form (C1) from Student Affairs Department commencing 2nd to 15th March 2010. Completed
Nomination Form (C1) should be submitted on 16th March 2010 during the Declaration of Candidates Session.

Click below links for more information


Related Posts with Thumbnails