Melihat perkembangan di kalangan generasi pelajar
yang sudah kurang kepekaannya terhadap sebarang isu berbangkit sama ada yang
melibatkan pelajar ataupun masyarakat (ummah). Mereka langsung tidak
menunjukkan sebarang reaksi terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.
Mahasiswa
kampus pusat pengajian tinggi pula lebih tertumpu kepada dunia akedemiknya
sehingga tiada masa terluang untuk meneliti dan memerhati persoalan masyarakat
di sekitarnya. Penumpuan yang berlebih-lebihan terhadap hal-hal yang berkaitan
akedemik telah memperbodohkan mahasiswa dan menjerumuskan mahasiswa itu sendiri
kepada kejumudan tindakan dan kepasifan pemikiran serta idea untuk
diketengahkan kepada masyarakat. Sungguhpun begitu, kita amat menyanjung tinggi
sikap segelintir mahasiswa yang mengambil tahu mengenai keadaan sekelilingnya
walaupun di belenggu dengan hambatan akedemik tetapi masih mampu dan bersedia
untuk bersama-sama dengan masyarakat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi
oleh umat.
Seterusnya,
orientasi peperiksaan dan latihan mental di kampus pusat pengajian tinggi telah
meletihkan mahasiswa yang sibuk dengan tutorial, kuliah, esei, peperiksaan dan
lain-lain. Kesibukan ini ditambah pula dengan terbentuknya budaya takut (culture of fear) di kalangan mahasiswa
akibat daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) walaupun ada
beberapa Akta yang dipinda tetapi mahasiswa di kampus masih fobia apabila
mendengar perkataan AUKU.
Kesemuanya
amat mempengaruhi pergerakan mahasiswa. Kelesuan dan ketidakupayaan mahasiswa
kembali ke tengah masyarakat dan memperjuangkan nasib dan masa depan umat telah
meletakkan taraf mahasiswa ke tempat yang rendah sehinggakan masyarakat yang
suatu ketika dahulu meletakkan status mahasiswa begitu tinggi kini telah
meremehkan kualiti siswazah yang dilahirkan daripada institiusi pengajian
tinggi di negara ini. Kampus pusat pengajian tinggi adalah pusat dan gedung
berkembangnya segala ilmu. Gerakan mahasiswa yang berkembang dalam suasana
keilmuan mestilah merealisasikan fungsi tersebut di dalam masyarakat. Kriteria
ini menjadikan mahasiswa sebagai egen
penting dalam menerajui perubahan dalam masyarakat.
Kini
suasana yang kontradik telahpun berlaku. Penentuan arah perjuangan mahasiswa
ditentukan dan dipengaruhi oleh suasana luar sehingga menyebabkan gerakan
mahasiswa mula hilang kredibiliti dan kewibawaannya. Mereka menjadi boneka
kepada parti politik luar. Justifikasinya , kita melihat sendiri siri
perpecahan di kalangan mahasiswa dan masyarakat kampus di sebabkan perbezaan
parti yang disokong dan wadah yang disokong. Seharusnya, kita mencari
titik-titik persamaan sehingga persoalan yang lebih besar, global dan holistik
dapat diperjuangkan oleh mahasiswa itu sendiri.
Suasana
mendung ini mesti segera di ubati seterusnya di tangani. Generasi pelajar dan
mahasiswa mestilah diberikan pengarahan yang setepatnya kerana mahu tidak mahu
mereka merupakan generasi penyusul dan pewaris kepada kepimpinan umat masa
hadapan. Justeru itu, generasi pelajar dan mahasiswa seharusnya mendalami dan
menghayati matlamat perjuangan supaya pengelibatan dalam gerakan pelajar ini
adalah pengelibatan yang penuh pengertian.
PRESIDEN GRUP PENGKAJI TAMADUN DUNIA (GPTD UNISEL)
No comments:
Post a Comment