Monday, July 7, 2014

PERUTUSAN RAMADHAN : MENDIDIK JIWA MEMBANGUN DIRI MERAIH TAQWA

Alhamdulilah Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih dapat merasa nikmat kehidupan dan yang paling utama adalah nikmat berada di dalam Universiti Ramadhan. Jika menurut pandangan umum tafsiran terhadap Universiti ialah sebuah tempat yang menjadi pusat pengumpulan ilmu pembelajaran dan peradaban maka yang ingin ditekankan ialah berada dibulan Ramadhan ini merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai dan antara bulan yang amat bermakna  bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan. Merenung kembali peristiwa bersejarah Al Quran diturunkan yang menjadi rujukan Serta panduan Umat Islam.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah; 2:185 : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Penekanan yang perlu diambil berat oleh semua Masyarakat Islam dan pembentukan belia remaja yang berkualiti khususnya ialah soal mendidik jiwa yang bersih dari segala anasir-anasir yang tidak sihat dalam kontek pembangunan diri seseorang. Beberapa perkara yang boleh diambil sebagai tip memasuki Universiti Ramadhan iaitu :-
Ramadhan jalan menuju ketaqwaan
Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”. (Al Baqarah: 183). Ayat di atas menerangkan bahawa puasa adalah sebab yang boleh menimbulkan kesedaran terhadap pelakunya menuju ketaqwaan, kerana puasa mampu meredam syahwat. Ini sesuai dengan salah satu penafsiran yang disebutkan Imam Al Qurthubi, yang berpadukan kepada hadits riwayat Imam Ahmad yang menyebutkan bahawa puasa adalah perisai.

Berpuasa menumbuhkan sifat amanah
Wahbah Zuhaili dalam bukunya Al Fiqh Al Islami berpendapat bahawa puasa mengajarkan rasa amanat dan muraqabah di hadapan Allah Ta’ala, baik dengan amalan yang nampak mahupun yang tersembunyi. Maka tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam berpuasa kecuali Allah Ta’ala

Puasa Ramadhan melatih diri berdisiplin
Puasa juga melatih diri berdisiplin , Wahbah Zuhaili menjelaskan bahawa seorang yang berpuasa harus makan dan minum dalam waktu yang terbatas. Bahkan dalam berbuka puasa pun harus disegerakan. Displin masa juga dipertekankan dalam soal mengerjakan ibadah solat, bangun sahur, berbuka dan sebagainya. Sejajar dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar seharusnya mempunyai displin ilmu yang mantap serta waktu pembelajarannya harus kolektif dan tersusun.

Bulan Ramadhan menumbuhkan rasa solidariti sesama muslim
Wahbah Zuhali juga menjelaskan bahawa puasa Ramadhan menumbuhkan rasa solidariti di antara sesama muslim. Pada bulan ini semua umat Islam, dari timur hingga barat diwajibkan untuk menjalankan puasa. Mereka berpuasa dan berbuka dalam waktu yang sama, kerana mereka memiliki tuhan yang satu. Seorang yang merasa lapar dan dahaga akhirnya juga boleh turut merasakan kesengsaraan saudara-saudaranya yang kekurangan atau tertimpa bencana. Sehingga tumbuh perasaan kasih sayang terhadap umat Islam yang lain.

Puasa Ramadhan melatih kesabaran
Bulan Ramadhan adalah bulan puasa di mana pada siang hari kita diperintahkan meninggalkan makanan yang asalnya halal. Begitu pula di saat ada seseorang itu mengganggu kita. Rasulullah Saw. bersabda: “Bila seseorang menghina atau mencacinya, hendaknya ia berkata 'Sesungguhnya aku sedang puasa." (HR. Bukhari). Sifat sabar ini merupakan sifat yang jarang dipraktikan dalam kehidupan seharian, malah kita lebih kerap menggunakan hawa nafsu untuk membuat sesuatu keputusan.

Ramadhan bulan ampunan
Bulan Ramadhan adalah bulan ampunan, Rasulullah Saw. bersabda: “Dan siapa yang berpuasa Ramadhan dengan dasar keimanan dan pengharapan redha Allah, diampunkan untuknya dosa yang telah lalu.”(HR. Bukhari). Masa yang terbaik bermunajat kepada Allah s.w.t ialah berada di dalam bulan Ramadhan. Seharusnya kita merebut peluang ini tanpa meninggalkan sedikit ruang sekali pun sebagaimana kita menonton perlawanan bola sepak, pemain penyerangnya sentiasa menggunakan segala peluang yang ada walaupun masa yang tinggal hanya berbaki satu minit. Seterusnya menyedari bahawa kita mungkin tidak dapat merasai nikmat berada di dalam bualn Ramadhan yang akan datang maka jangan pernah tinggalkan peluang dan anugerah yang diberi Allah s.w.t kepada kita.

Keutamaan memberi minum orang yang berpuasa
Allah akan memberi minum kelak di akhirat Rasulullah Saw. bersabda: “Dan barang siapa memberi minuman orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya dari telaga minuman yang tidak menghauskan hingga ia masuk ke dalam syurga”. (HR. Ibnu Huzaimah dalam Shahihnya). Dan sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan. Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik sedekah iaitu sedekah di bulan Ramadhan.” (HR.Tirmidzi) 

Doa mustajab di bulan Ramadhan
Diriwatkan dari Abu Umamah R.A, bahawa Rasulullah Saw. bersabda:”, Dan untuk setiap muslim di setiap hari dan petang (dalam bulan Ramadhan) doa yang mustajab (HR. Bazar). Rasulullah juga bersabda:” Tiga golongan yang tidak ditolak doanya iaitu orang yang berpuasa hingga berbuka, imam adil, dan doa orang yang dizalimi”. (HR. Tirmidzi).

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan
Allah Ta’ala berfirman: “Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan atas petunjuk itu, serta pemisah antara haq dan batil”. (Al Baqarah: 185). Ibnu Katsir mengatakan bahawa Allah Ta’ala menyanjung bulan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain, iaitu dengan memilihnya sebagai bulan dimana Al-Quran diturunkan di dalamnya.

Dengan itu, penghayatan terhadap bulan Ramadhan ini bukan hanya menahan lapar semata tetapi penekanan dan memaknai tujuan sebenar iaitu melatih jiwa sebagai hamba dan khalifah dimuka bumi seterusnya dapat membina perwatakan peribadi muslim sejati pada diri dalam meraih ketaqwaan kepada Allah s.w.t di bulan yang penuh barakah ini. Dalam sisi padang sebagai seorang pelajar dan mahasiswa, pemaknaan terhadap Universiti Ramadhan ini perlu dipraktikkan dalam pembudayaan ilmu yang dipelajari disamping melihat dalam kontek yang realiti penekanan terhadap nilai sebenar Bulan Ramadhan. Mudah-mudahan ramadhan kali ini lebih bermakna dalam meningkatkan ketaqwaan diri serta perubahan secara konsisten. Semoga menjadi insan adabi yang bergraduasi dengan cemerlang dalam Universiti Ramadhan kali ini.

Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL AMIRUDDIN BIN HAMDAN
Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD Unisel)

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails