Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
Kehadapan sahabat-sahabat GPTD,
Semoga dalam naungan rahmat Allah hendaknya. Surat ini ditulis atas dasar menyahut saranan Gurulatih penulisan, Sdr Yusni Yusoff semasa Bengkel Penulisan GPTD pada 20 Februari 2011 (Ahad). Sahaya (saya atau hamba) tersentuh ketika Grulatih menyebut imbasan lalu tentang perdebatan tentang kerelevanan antara surat dan emel. Perdebatan antara beliau dan sahaya. Sahaya tidak menyangka peristiwa itu menjadi satu ingatan buat Gurulatih. Sahaya hampir tidak ingat langsung. Tetapi selepas beberapa ketika kenangan itu terbit kembali di lintasan minda. Sahaya kembali terbayang suasana perdebatan yang panjang di ruang pejabat GPTD di hujung belakang Anjung Rahmat, Gombak.
Kini ketika sahaya menulis, memang dapat dirasai keseronokan & kepuasan menulis huruf demi huruf, perkataan demi perkataan. Terkenang pengalaman menulis karangan tingkatan lima di sekolah dahulu. Antara bacaan yang terkesan kepada sahaya adalah Surat-Surat Perempuan Johor karya Faisal Tehrani. Ini menambah motivasi sahaya untuk kembali menulis dengan jiwa (hati & akal). Lebih terkesan apabila minda sahaya mengimbas kembali firman Allah dalam Surah An Nuur (Cahaya) ayat pertama yang bermaksud :
“Ini adalah satu surat yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas agar kamu selalu mengingati”
Maka istilah surat lebih maknawi dan mendasar ertinya kepada kehidupan insani jika merujuk kepada ayat tadi. Surat juga sama erti dengan Surah yang menerangkan pesan-pesan besar dalam Al-Quran kepada umat manusia yang membacanya. Barangkali budaya dan etika persuratan mengajak penulis untuk mencatatkan aksara yang punya mesej benar, jelas dan penting. Bukan untuk fitnah atau gosip. Ini harus dicermati dan diteladani berdasarkan tadabur ayat di atas. Mesej yang yang disampaikan oleh seorang penulis kepada pembaca sama ada ibu kepada anak, majikan kepada staf, rakyata kepada pemerintah atau sebaliknya harus diamati dan responsif (tindakan) selepas kandungan surat dibaca dan difahami.
Persuratan sebenarnya mengajak kepada budaya fikir & amal. Tiada makna jika mesej, pesanan atau persoalan yang terkandung di dalam surat tidak diambil endah. Ini bercanggah dengan pesan dan perintah Allah dalam wahyu pertama dalam Surah Al Alaq. Kalimah pertama mengajak manusia IQRA = BACA. Perbahasan baca tidak semata-mata perbuatan membaca tulisan. Tetapi sewajarnya membaca suasana, keadaan, jangkaan, ramalan, sikap, fenomena dan alam. Mungkin rangkuman yang lebuh tepat adalah membaca ayat-ayat Allah. Ayat merujuk juga kepada makna tanda. Maka yang kena dibaca adalah tanda-tanda kebesaran Allah.
Sahaya rasa cukup untuk surat awal sebagai permulaan momentum penulisan.
Asam rumbia dibelah-belah,
Buah Separah dalam raga,
Dunia ikut firman Allah,
Akhirat juga mendapat syurga.
Yang ikhlas,
IZWAN SUHADAK ISHAK
23 Februari 2001/17 Rabiulawwal 1432
No comments:
Post a Comment