Wednesday, February 16, 2011

Sebuah catatan al-Amin


“Apabila hati hilang cahaya iman, langkahnya hidup bagai hilang pedoman”itu kata Opick.

Saya ingin menulis sesuatu tentang Nabi sempena hari kelahiran baginda.

Semalam kawan bukan islam bertanya “ Esok cuti sempena apa?”Katanya. ”Sempena kelahiran Nabi Muhammad”kata saya. “Cuti ni seluruh Malaysia ke?”Soalnya lagi. “Iya”kataku pendek. Dalam minda bermain-main dengan soalan sebentar tadi. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan cuti sempena kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Kalau dulu pengertian bila menyambut cuti sempena Maulidul Rasul ialah ke masjid dan mendengar ceramah berkenaan Nabi Muhammad dan akan diberikan pulut dan telur. Berarak seluruh pekan itu sambil berselawat kepada Nabi Muhammad dan banyak lagi aktiviti lainnya. Aktiviti sebegitu mejadi rutin setiap tahun bagi menyambut kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Bukan ingin mengatakan menyambut maulidul rasul adalah salah, tidak sama sekali bahkan itu lebih baik daripada hanya bercuti di rumah. Namun yang ingin ditekankan adalah sejauh mana cinta dan sayang kita kepada Nabi Muhammad selepas menyambutnya. Adakah rindu kita semakin menebal ingin bertemu dengan beliau? Adakah cinta dan sayang kita semakin tinggi dan menjadikan beliau sebagai idola sepanjang zaman? Adakah mendengar ceramah di masjid dan berselawat akan berlarutan?

Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang sungguh indah . Beliau tidak sekali-kali mengaku kalah dalam menegakkan perjuangan. Berapa ramai hari ini seperti beliau yang berani menegakkan perjuangan apalagi ketika seorang diri ? Mungkin ada tetapi boleh dibilang dengan jari, hanya sebilangan sahaja. Memang perjuangan itu memerlukan jemaah kerana jika sebatang lidi tidak mungkin dapat membersihkan halaman rumah tetapi perlu kita ingat Nabi dahulunya mula berdakwah seorang diri. Ini kerana itu adalah tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada beliau bukan kerana nama maka berdakwah itu wajib baginya walaupun pelbagai kendala perlu dilalui.

Pelbagai penderaan fizikal, emosi yang beliau lalui jika dibandingkan dengan kita umat beliau dalam berdakwah . Liku-liku berdakwah itu sememangnya wajib bagi setiap orang yang beriman kerana tidak ada jalan lurus dan senang bagi orang yang ingin mendapat keredhaan Allah. Semuanya perlu dilalui samada pahit ataupun manis. Berbeza pada hari ini, liku-liku perjuangan itu tetap ada tetapi semangat untuk menghadapi liku-liku itu kurang. Diakui kita tidak dapat menandingi perjuangan Nabi namun serapkan sedikit lebih baik jika tidak ada langsung.

Lebih parah lagi anak muda di dalam kampus masa kini mewujudkan “aku aku kau kau” kerana tidak ingin turut serta di dalam berdakwah. Banyak kerja katanya, takut pointer turun katanya, terlalu aktif menyebabkan tiada masa dengan kawan katanya, dan bermacam alasan lagi. Sebenarnya ketika kita berkata sedemikian untuk mengelak Allah akan mengabulkan setiap perkataan yang keluar daripada mulut kita. Menyedihkan kerana semua yang berkata sedemikian yang mengaku adalah islam dan lebih menyedihkan pelajar pengajian islam. Memahami apa ertinya aku sebagai islam sangat-sangat penting bagi mengetahui tujuan sebenar kamu di muka bumi ini.

Ada yang berjuang tetapi perjuangan kadang-kadang bersifat untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Ingin menjadi pemimpin kerana pada nama. Kemungkinan orang seperti ini lupa bahawa jika dia naik ke atas mana sekalipun akan ada yang lebih di atas daripadanya. Makanya penting memahami maksud kepimpinan itu sebelum memimpin kerana apabila sudah menjadi pemimpin kelak ditakuti tidak akan dapat belajar lagi makna pemimpin itu.

Alangkah lucu orang-orang ini.

Bagaimana agaknya perasaan Rasulullah ketika Abu Talib, bapa saudara beliau sendiri menolak ajaran yang dibawa baginda. Apa reaksi kita agaknya jika keluarga melakukan hal yang sedemikian, adakah kita lebih memilih keputusan keluarga daripada kewajipan kita ? Keluarga menyuruh kita jangan terlalu aktif di kampus di dalam persatuan dikhuatiri pointer akan turun. Adakah dengan tidak melakukan apa-apa kegiatan di kampus akan menyebabkan keputusan kita lebih tinggi sebelumnya. Dengan yakin saya mengatakan tidak. Semua itu terpulang bagaimana kita menguruskan masa dengan lebih baik. Bimbang dan takut bila pada hari ini tiada lagi sifat mengambil berat sesama saudara islam itu apalagi dikalangan anak muda. Bagaimana pula akan generasi akan datang?

Bukannya tajuk utama artikel ini untuk menggalakkan menyertai ataupun aktif bagi anak muda di dalam kampus tetapi penekanan bahawa kewajipan kita di dalam berdakwah. Menyertai apa-apa persatuan itu tidak ada masalah selagi persatuan itu tidak lari daripada panduan AL-Quran dan As-Sunnah. Kewajipan yang seperti Nabi Muhammad lakukan dahulu ketika berdakwah seorang diri, ditolak ajarannya oleh saudara sendiri ,disiksa dan bermacam lagi kerana rasa kewajipan sebagai hamba Allah yang wajib untuk dipatuhi yang harus dicontohi. Jika dunia ini dipenuhi seperti akhlak dan sifat rasulullah alangkah indahnya dunia namun jika dipenuhi dengan pemuda pemudi yang “aku aku kau kau” maka tunggulah azab Allah ini.

Hdariyani Kampun adalah Setiausaha GPTD Unisel dan merupakan pelajar di Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Unisel.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails