Seorang manusia sudah mampu berjalan dengan baik, bercakap, dan sebagainya apabila mencecah usia 2 tahun. Sebuah bangunan juga mampu disiapkan dengan baik dalam tempoh 2 tahun seandainya tenaga kerja dalam pembinaannya bersungguh-sungguh menyiapkan dan kelengkapan materialnya mencukupi.
Pastinya, usia 2 tahun bukanlah suatu jangka masa yang panjang. Begitulah juga dalam sesebuah organisasi. Dalam tempoh 2 tahun, SWOT ANALYSIS organisasi ini sewajarnya dihadam dengan sebaik-baiknya bagi panduan para pimpinan hari ini dan yang akan datang.
Manifestasi daripada tarikh penubuhan GPTD UNISEL , marilah kita sama-sama merenung kembali kewujudan awal GPTD UNISEL. Bagaimana GPTD UNISEL mula menapak di tengah-tengah kemelut hedonisme dalam diri mahasiswa? Merenung sejarah bukanlah bertujuan untuk menjadikan hati kita riak dengan segala apa yang kita raih pada hari ini, tetapi untuk kita muhasabah diri tentang perjalanan GPTD UNISEL yang masih jauh dalam mengimarahkan bumi UNISEL yang kita cintai.
Ada 3 perkara penting yang dilihat sangat kritikal dan penting dalam melahirkan sukarelawan yang benar-benar mantap dan ideal untuk dipersembahkan kepada masyarakat dunia iaitu:
1. Sukarelawan sebagai agen perubah
2. Penerapan konsep budaya ilmu
3. Sukarelawan bukan mereka yang manja
Tarikh 12 Rabiul Awwal 1432H ini seharusnya menjadi suatu tanda kesyukuran dan kerendahan hati kita kerana GPTD UNISEL sudah makin dikenali dalam melahirkan generasi yang aktif melakukan kajian tokoh dan khidmat sosial di pentas antarabangsa.
Kita adalah kelompok mahasiswa yang diamanahkan sebagai pengemban amanah misi transformasi sosial. Istilah ini bermaksud kita sewajarnya sudah tidak bisu dan pekak lagi apabila mendengar dan melihat kemungkaran yang kian berleluasa. Para sukarelawan seharusnya responsif kepada ayat perubahan:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga kaum itu merubah apa yang ada pada dirinya” –Al Ra’d:11
Kita tidak mampu untuk merubah segalanya sekaligus, tetapi kita sangat berkemampuan untuk merubah sedikit demi sedikit apa sudah sebati dalam masyarakat sedangkan hal tersebut bertentangan dengan agama. Contohnya, dalam mendepani politik kampus yang kelihatan agak kebudak-budakkan. Sebagai seorang mahasiswa dan sukarelawan, seharusnya kita mengambil prinsip non partisan sebagai suatu langkah yang baik kerana mahasiswa perlu menyokong yang benar yang membangkang yang batil.
Ambillah iktibar daripada kisah Rasulullah sewaktu mendamaikan pertelingkahan antara ketua-ketua kabilah ketika mereka berebut mahu meletakkan hajaratul aswad di tempat asalnya. Penuh berhikmah dan toleransi.
Konsep budaya ilmu atau istilah memugar budaya ilmu dalam diri setiap mahasiswa sewajarnya sudah dihadam oleh setiap sukarelawan selepas 2 tahun kelahiran GPTD UNISEL. Bagaimana mahu memugar sedangkan kita masih ‘suam-suam kuku’ dalam mencari ilmu?
Seorang Imam Besar ketika dijemput ke istana Khalifah Harun Al-Rasyid untuk mengajar putera-puteranya, beliau menjawab dengan kata-kata yang sarat dengan makna, “Ilmu itu harus didatangi, bukan mendatangi”
Dalam buku Pendidikan Al-Hikmah & Misi Pencerahan, Dr. Siddiq Fadzil mengulas kata-kata Imam Besar ini dengan “Ilmu bukan hanya harus didatangi, malah cara datangnya juga harus dengan semangat dan sikap (merendah) yang sesuai dengan ketinggian martabat ilmu, dan sesuai pula dengan sikap tahu diri bahawa dia memerlukan ilmu, bukan sebaliknya”
Berhentilah menjadi generasi yang hanya tahu ‘menadah’ tanpa usaha. Ilmu itu harus digali dan dicari dengan sebaiknya. Ilmu hidup dan kehidupan.
Seringkali kita berdepan dengan teman-teman yang futur (gugur) di tengah medan perjuangan. Saat itu, mungkin ada yang turut sama futur, ada juga yang mula mengangkat kaki perlahan-lahan meninggalkan legasi kesukarelawanan ini, kehadiran ke diskusi mula ada tenggelam timbulnya, dan segala macam kerenah yang ada kalanya tidak terjangkau dek fikiran untuk diambil kira.
Tidak mahu berpenat, mudah patah hati, kecewa, rendah diri, dan pelbagai reaksi negatif terpamer di wajah-wajah mereka yang mahu berundur. GPTD UNISEL tidak mudah melatah dalam mendepani isu seperti ini. Yang hadir, kita raikan. Yang berundur, kita tidak memaksa. Mungkin jalan yang dipilih berlainan dengan kaedah yang dibawa oleh GPTD UNISEL. Sikap tidak terhegeh-hegeh dalam mengejar ahli menjadikan GPTD UNISEL sebagai sebuah badan yang disegani.
Lantaran itulah, kita cuba bersikap positif dan menganggap itu semua adalah lumrah dalam organisasi. Dalam melahirkan seorang sukarelawan, kita mahukan mereka yang berjiwa besar, bukan mereka yang mudah kecil hati apabila hadirnya krisis atau menjauhkan diri apabila kecewa.
Kerja sukarela banyak menuntut pengorbanan fizikal dan mental. Mana mungkin dunia boleh kita takluk seandainya hati masih seperti anak-anak kecil. Sensitif itu perlu, tapi bertempat.
Jika dikira soal terguris atau kecewa, Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling banyak diuji dengan dugaan sebegini. Andai benar kita mengaku sebagai umat Rasulullah s.a.w., bukakanlah sedikit hati kita untuk menjadi lebih kuat & mantap.
Lahirnya GPTD UNISEL pada 12 Rabiul Awwal 1430H signifikan dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah suatu kebetulan yang direka-reka. Ia adalah hikmah yang padat dengan makna, sarat dengan nilai.
Tiada guna jika kita hanya mengenang kelahiran Junjungan besar ini, tetapi ketokohannya tidak kita contohi dan teladani. Jika benar kita sayangkan Baginda, tunjukkan. GPTD UNISEL adalah medan untuk kita mengeksperimen dan mentadabbur akhlak Rasulullah s.a.w.
“Tidak aku diutuskan ke dunia, kecuali untuk menyebarkan rahmat ke sekelian alam” Rasulullah s.a.w.
Ayuh teman, tidak guna hanya berpangku tangan membaca ayat-ayat ini sedangkan diri masih dibuai lena yang asyik, tidak bererti perjuangan Rasulullah s.a.w. kepada kita seandainya kita masih seronok menganyam angan-angan hedonisme yang tak berkesudahan.
Salam Maulidur Rasul!
Wan Ritini Wan Ismail
Mantan Setiausaha GPTD Unisel
No comments:
Post a Comment