29/12/2009 | Selasa
Hari ini penulis dan aktivis lain bangun seawal jam 3.00 pagi dan bersiap untuk ke Terminal LCC di Kuala Lumpur. Kami bersesak-sesak menaiki sebuah van dan tiba di sana untuk berlepas ke Padang, Indonesia. Kami check-in barang dan terus menunaikan solat subuh di sana. Kapal terbang berlepas pada jam 7.00 pagi waktu Malaysia. Kami tiba di Bandar Udara Minangkabau, Padang, Indonesia pada jam 9.05 pagi waktu Indonesia Barat. Rombongan kami disambut oleh Abang Fauzan dan Renal dari Dewan Dakwah Islamiah Indonesia. Seterusnya kami dibawa ke Pejabat Dewan Dakwah Islamiah Indonesia dan kami menjamu sarapan pagi di warung berhampiran. Kami menikmati lontong yang berharga Rp 3500.
Selepas menunaikan solat zohor, kami para aktivis telah ke Pariaman untuk meninjau keadaan di sana. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam. Dalam perjalanan ke sana, kami sempat memotret foto untuk dijadikan kajian.Sesampainya kami di sana, kami sempat untuk bersama dengan beberapa mahasiswa daripada Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) untuk mengajar kanak-kanak mangsa gempa. Bagi penulis ini adalah pengalaman baru untuk dijadikan sebagai panduan kelak.
Selepas solat maghrib, kami menikmati makan malam dan seterusnya ada forum diskusi antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia. Ucapan alu-aluan telah dimulakan oleh Saudara Renal dan seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan pengenalan daripada Encik Izwan Suhadak tentang organisasi penubuhan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD). Majlis diteruskan lagi dengan ucapan tuan rumah dan forum diskusi dimulakan.
Penulis sendiri kagum dengan cara mahasiswa dari Indonesia membahaskan sesuatu masalah dan mengajak kami mencari resolusi bersama. Antara persoalan yang ditimbulkan ialah pola hidup masyarakat, aspek-aspek masalah pendidikan di Malaysia diselesaikan dan cara pendidik untuk timbulkan rasa cintakan sejarah. Selain itu mereka juga ada menanyakan tentang reaksi mahasiswa Malaysia dengan pemerintah serta berlakukah demonstrasi antara mahasiswa. Alhamdulillah, segala persoalan dapat dijawab dengan baik walaupun agak mencabar pemikiran kami.
Pada jam 10.30 malam waktu Indonesia Barat, forum diskusi tamat dan kami bergerak ke tempat penginapan di LPMP. Kami merehatkan diri dan menunggu untuk agenda seterusnya pada esok pagi.
Penulis adalah aktivis GPTD UNISEL yang mengikuti XPDC HAMKA ke Maninjau, Indonesia
No comments:
Post a Comment