Monday, January 18, 2010

Tahniah buat Faisal Tehrani atas penerimaan Hadiah Sastera Perdana

Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL) ingin mengucapkan tahniah & syabas atas kejayaan Saudara Faisal Tehrani atas penerimaan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007 bagi 3 Kategori A: Novel ( Bedar Sukma Bisu, DBP, 2007), Kategori B: Esei ('Pengabaian Ilmu dalam Karya Sastera', Dewan Sastera, Jun 2006) dan Kategori C: Novel Remaja (Manikam Kalbu, DBP, 2007). Kami penggerak GPTD UNISEL adalah peminat karya sastera Faisal Tehrani. Malah di UNISEL sendiri ramai mahasiswa yang turut mengikut perkembangan dan pemikiran saudara melalui blog. Suatu ketika dahulu juga UNISEL melalui Persatuan I-Rakan pernah menganjurkan Bengkel Penulisan : Bila Pena Menari yang mana pengarah programnya adalah Sdri Wan Ritini Wan Ismail (kini merupakan Setiausaha GPTD UNISEL). Baru-baru ini GPTD UNISEL telah menjalankan XPDC HAMKA ke Maninjau, Indonesia dan memberikan khidmat sosio pendidikan di Pondok Pesantren Prof Dr Hamka (PPPDH). Kesempatan tersebut kami telah menyampaikan karya sastera Saudara Faisal Tehrani kepada pihak PPPDH untuk dijadikan bahan bacaan pelajar-pelajar di sini yang akan diabadikan di dalam perpustakaan mereka. Semoga kejayaan ini akan terus membangkit kemahuan saudara menghasilkan lebih banyak lagi novel yang mendidik generasi muda pemikir-aktivis untuk terus membangunkan ummah. Sebagaimana Prof Dr Hamka juga telah melakukan transformasi sosial melalui karya novelnya antaranya Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Ven Der Wijck dan lain-lain lagi.


Saf Pimpinan GPTD UNISEL sessi 2009/2010




No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails