Telahan saya meleset apabila mudah sahaja melepasi pintu imigresen kerana rupanya Malaysia amat disanjung oleh rakyat Kosova. Kehadiran saya di bumi Balkan ini adalah mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menghadiri mesyuarat Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) yang beribu pejabat di Turki.
Ketika Bosnia, Macedonia, Montengero, Slovenia, Crotia, sudah merdeka daripada Yugoslavia dan ketika Kosova dinafikan kemerdekaannya oleh bekas penjajahnya Serbia, Malaysia antara negara terawal mengiktiraf kemerdekaan Kosova. Malaysia terpaksa membayar harga pengiktirafan tersebut apabila pejabat kedutaan Malaysia di Kosova 'dihalau' keluar oleh pihak Serbia setahun yang lalu.
Ketika pertemuan ramah mesra bersama Mufti Kosova, Sheikh Naim Ternava, beliau kerap kali menyebut nama Malaysia kerana rasa terhutang budi dengan sumbangan Malaysia terhadap kemerdekaan Kosova. Manakala sewaktu pertemuan dan interaksi dengan ratusan belia Islam Kosova, saya sempat berkenalan dengan Imam Masjid Hamidije, Sheikh Irfankrasn di mana katanya, pembinaan masjid tersebut hasil biayaan dan sumbangan kerajaan Malaysia sepenuhnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah tentu berbangga seperti mana yang dilakukan Malaysia di Bosnia satu ketika dahulu.
Negara bekas pengaruh komunis ini kecil sahaja. Bagi saya ia lebih kurang sebesar negeri asal saya iaitu Negeri Sembilan. Saya sempat mengelilingi ke utara di Mitrovica dan selatan di Prizren hanya mengambil masa kurang dari sehari. Namun negara kecil ini mempunyai tekad yang kuat untuk terus menjadi sebuah negara umat Islam merdeka dan berdaulat, walaupun masih diperhatikan oleh Serbia di sebelah utara.
Perjuangan darah dan air mata menjadi kelaziman bagi pejuang kemerdekaan. Kosova juga telah menyaksikan ribuan pejuang kemerdekaan Kosova gugur syahid ketika menghalau Serbia keluar dari bumi mereka. Nama-nama seperti Adam Jashari, Hamzah Jashari, Syaaban Jashari dan Zahir Beyazid menjadi kebanggaan rakyat Kosova kerana mereka inilah yang menggerakkan kebangkitan perjuangan rakyat menentang penindasan dan kezaliman yang akhirnya mereka sendiri gugur bermandikan darah syahid.
Saya sempat bertanya Haydar Mziu, (pelajar Kosova yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kebetulan balik bercuti) tentang kehidupan zaman kecilnya di bawah cengkaman Serbia, beliau lantas menjawab bahawa kehidupan mereka berada dalam ketakutan dan dinafikan hak sebagai seorang manusia merdeka. Mereka susah bergerak bebas kerana pos kawalan tentera Serbia berada di merata-rata.
Penindasan inilah yang menyebabkan rakyat Kosova bingkas bangun dan melawan kekufuran. Haydar Mziu, merupakan antara belasan pelajar Kosova yang ditaja setiap tahun oleh Yayasan Al Bukhary Malaysia untuk belajar di UIAM. Satu lagi kebanggaan Malaysia.
Serbia akhirnya akur dan keluar dari bumi Kosova ini apabila mereka dibom oleh tentera Perjanjian Pakatan Antlantik Utara (NATO) 10 tahun yang lampau di mana Richard Holbrooke (Bekas Duta Amerika Syarikat ke Balkan) berhujah, "NATO's air attack on the former Yugoslavia a decade ago was "the right thing to do" and had improved the lives of Kosovo Albanians and Serbs." Akhirnyapada Februari 2008, Kosova mengisytiharkan mereka sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat daripada kediktatoran Serbia. Kosova diiktiraf oleh 56 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan Malaysia serta 22 dari 27 buah negara ahli Kesatuan Eropah.
Kosova dan negara Balkan lain pernah hidup di bawah keadilan pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah dan kesan pengaruh Turki amat kuat mempengaruhi kehidupan harian masyarakat Kosova. Kesannya boleh dilihat dengan jelas pada seni bina masjidnya yang mirip dan serupa dengan masjid yang ada di Turki. Di Prizren sebagai sebuah fakta, masyarakat di sana bertutur dalam bahasa Turki dengan fasih.
Di Kosova terdapat makam Sultan Murad 1, iaitu Khalifah Turki Uthmaniyyah dan makamnya dipelihara oleh kerajaan Kosova setelah Serbia membiarkan sahaja monumen bersejarah ini. Setengah riwayat menyatakan makam Sultan Murad 1 juga berada di Turki tapi saya dimaklumkan secara tidak pasti kebenarannya, jasad Sultan Murad 1 tanpa isi dalam badan berada di Turki dan di Kosova hanya ada isi dalaman sahaja dikuburkan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Saya berasa gembira kerana berada di bumi Kosova kerana sebagai seorang umat Islam, kita menghulurkan salam persahabatan dengan umat Islam Kosova khususnya generasi mudanya yang penuh bersemangat. Pimpinan muda belia Kosova fasih berbahasa Arab menggambarkan iltizam mereka mendalami agama dan mengembangkannya di bumi Eropah.
Peluang yang terhidang, diambil oleh saya untuk mengadakan kerjasama erat dan solidariti Belia Islam Malaysia dengan Belia Islam Kosova. Dengan kerjasama ini, bakal menaikkan lagi aroma keharuman nama Malaysia di mata rakyat Kosova. Umat Islam harus optimis dan yakin dengan suasana semasa bahawa Islam akan terus berkembang di bumi Eropah dan tidak mustahil 100 tahun akan datang Eropah akan menjadi Kesatuan Islam Eropah bermula dengan tiga negara asas umat Islam di Eropah Timur iaitu Albania, Bosnia dan Kosova.
- Nota : Jufitri bin Joha merupakan penuntut di Durham, United Kingdom EXCO Hubungan Antarabangsa ABIM, PENGERUSI Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD),PENOLONG Setiausaha Agung Briged Bakti Malaysia, NAIB Pengerusi Himpunan Ilmuan Muda (HAKIM) & NAIB YDP ABIM rembau.
No comments:
Post a Comment