Tuesday, May 1, 2012

Selamat Datang & Tahniah kepada Mahasiswa Baharu Unisel



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum W.B.T. Dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah Bersyukur Kita Ke Hadrat Allah SWT kerana dengan liimpah  kurnianya kemasukan mahasiswa yang baru memasuki Universiti Selangor pada sesi 3/2011-12 telah berada setapak lagi dalam kehidupan. Saya mewakili barisan kepimpinan Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD Unisel), mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua  para mahasiswa/i baru Universiti Selangor  kerana menjadi golongan yang bertuah terpilih melanjutkan pengajian di sini.

Saudara – saudari menjadi  keutamaan kami di Universiti Selangor ini. Untuk makluman Universiti Selangor yang ditubuhkan  pada sekitar 2009 sebagai institut pengajian tinggi yang merupakan salah satu universiti  kerajaan negeri dalam Malaysia. Mahasiswa baru juga perlu berbangga dan bersyukur dengan kemasukan ke UNISEL kerana  universiti ini salah sebuah institut yang mengaplikasikan konsep praktikal serta teori dalam pembelajaran. Oleh itu, segala peluang yang diberikan janganlah disia-siakan dan dihampakan. Tuntutlah ilmu dengan sebaik-baiknya seperti yang disarankan oleh Islam.

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Az-Zumar:9)

Kecemerlangan anda dalam bidang akademik sangat diharapkan dari pihak universiti, ibu bapa dan semua yang berada disekeliling anda. Kecemerlangan anda di sekolah, matrikulasi, diploma, politeknik dan sebagainya perlulah diteruskan di Unisel bagi merealisasikan visi Unisel untuk “MENCORAK MASYARAKAT”.

Mahasiswa yang dikasihi sekalian,

Selain berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik, anda juga mestilah menjadi mahasiswa/yang sentiasa matang, berfikir di luar kotak dan menilai sesuatu setelah meneliti semua sumber pandangan pelbagai pihak selari dengan Visi Universiti Selangor untuk menjadi sebuah universiti yang terkenal yang memupuk profesional dan ilmuan dengan nilai-nilai moral dan etika yang tinggi serta misi Unisel komited untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang sangat baik dan kondusif untuk membangunkan kompeten, dan etika profesional serta ilmuan. Hal ini kerana mahasiswa merupakan agen perubahan bagi menentukan masa depan negara.

Kami (GPTD Unisel) sentiasa mengalu-alukan kedatangan mahasiswa baru ke kampus  ini. GPTD Unisel menawarkan segala bentuk medium yang sesuai dengan jiwa mahasiswa terutamanya dalam akademik dan kebajikan mahasiswa. Salah satu medium latihan GPTD Unisel ialah dengan latihan yang menekankan konsep AIS iaitu berdasarkan aspek penekanan aktivti yang lebih kepada aktivisme, intelektualisme dan spiritualisme serta dihubungjalinkan konsep 3M iaitu menjejak, meneladani dan memimpin.

Mahasiswa yang dikasihi sekalian,
              
Kami di sini rasa terpanggil memberi ruang fikir apabila pernah disebut oleh intelektual terkemuka, Syed Hussein Alatas khuatir akan penguasaan masyarakat sedang membangun oleh orang-orang bebal, iaitu revolusi orang-orang bebal. Antara ciri orang-orang bebal termasuklah ketidakmampuan menganalisis masalah, ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah itu dikemukan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohanannya. Justeru, platform GPTD Unisel menawarkan kepada mahasiswa untuk berpartisasi menyerlahkan proses penambahan proses pembelajaran berasaskan pengetahuan, skil kendiri  serta pelbagai proses yang lebih praktikal berdasarkan teori-teori yang lebih ditekankan dalam bilik-bilik kuliah.

Kami meraikan keterujaan anda di kampus dengan tangan terbuka serta menerima anda sebagai ahli keluarga  kami. Ini kerana berada di kampus adalah sangat berbeza dengan suasana sekolah. Anda akan berjauhan daripada ibu bapa, duit biasiswa atau pinjaman akan diberikan dalam 4 angka, pengaruh kawan-kawan dari pelbagai latarbelakang. Oleh itu, kami bersedia bersama anda mengharungi pancaroba, cabaran dan rintangan di kampus untuk memastikan anda tidak hanyut dan tenggelam di dunia kampus.

Akhir kata dari saya mewakili pimpinan GPTD Unisel mengharapkan mahasiswa baharu dapat menempuh dunia kampus dengan jayanya dan prinsip budaya ilmu menjadikan nadi utama untuk anda terarah di kampus. Salam Mahasiswa Pewaris Masa Depan.

Sekian, terima kasih.

“Menjejak,Meneladani dan Memimpin”


NOR HAFIZ BIN RAZALI

Presiden GPTD Unisel


Bertarikh: 8 Jamadil’akhir 1433 H bersamaan 30 April 2012
Kemaskini 1 Mei 2012

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails