Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H

“Salam Maal Hijrah”. Alhamdulillah bersama-samalah kita merafa’kan kesyukuran kehadrat Illahi kerana masih diberikan ruang dan kesempatan untuk terus menjalani kehidupan dan sekali lagi menyambut kehadiran Maal Hijrah (tahun baru hijrah) pada tahun ini. Menyingkap kembali kisah penghijraan nabi dan kaum muhajirin beberapa tahun dahulu, tanpa disedari kini sudah genap 1433 tahun masa itu berlalu.

Betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah dan kaum muhajirin untuk menyelamatkan Islam suatu masa dahulu. Mereka terpaksa berhijrah meninggalkan harta, keluarga dan tanah air sendiri demi menyelamatkan akidah dan menyahut seruan Illahi. Tidak kurang juga hebatnya pengorbanan kaum ansar yang sanggup memberikan perlindungan dan memenuhi keperluan kaum muhajirin di bumi Madinah. Marilah bersama-sama kita merefleksi diri kita kembali sejauh manakah kita memahami,menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan umat Islam suatu masa dahulu.

Adapun peristiwa hijrah dan sambutan maal hijrah yang acap kali kita sambut ini bukanlah sekadar satu proses peralihan daripada satu tahun ke tahun yang baru semata-mata. Namun, di sebalik sambutan ini tersirat beribu-ribu makna dan hikmah yang perlu kita singkapi dan fahami layaknya kita sebagai seorang insan yang berakal. Makna hijrah itu bukan sekadar satu perpindahan dari suatu tempat ketempat yang lain, tetapi hijrah juga merupakan satu proses tranformasi daripada keadaan yang kurang baik kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik yang berlaku dalam diri individu khasnya dan masyarakat secara amnya. Sebagai seorang muslim kita perlulah memahami dan melaksanakan tuntutan hijrah dengan sebaiknya. Sempena maal hijrah kali ini marilah bersama-sama kita menghijrahkan diri kita kearah jalan yang lebih diredhai Allah. Jadikanlah pengalaman lalu sebagai pedoman untuk kita membina satu titian yang lebih kukuh untuk menjalani hari-hari yang mendatang.

Sebagai panduan bagi kita semua antara cara untuk melakukan hijrah diri.

Pertama:

NIAT. Hijrah harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas semata-mata mengharap keredhaan Allah. Sesungguhnya niat merupakan elemen penting dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana niat kita mempengaruhi hasil daripada usaha yang kita lakukan.

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a.beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dianiatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya.Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya kearah perkara yang ditujuinya itu.

Tips kedua:

TETAPKAN MATLAMAT. Matlamat hijrah kita yang utama pastilah untuk mendapat keredhaan Allah. Matlamat yang disasarkan harus realistic dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Mulakan dengan perubahan yang kecil dan mudah tetapi harus konsisten. Matlamat amat penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada usaha yang bakal kita laksanakan.

Tips ketiga:

HINDARI PERSEPSI DAN PERKATAAN YANG NEGATIF. Sentiasa berfikiran positif atas usaha yang kita lakukan. Ketahuilah bahawa setiap manusia diberikan peluang oleh Allah untuk berubah selagi mana ajalnya belum tiba dan belum berlakunya hari kiamat. Berlaku adillah pada diri anda. Elakkan perkataan yang negative keluar dari mulut anda. Perdengarkan pula kata-kata positif dan latihlah diri untuk menuturkan kata-kata tersebut agar diri anda seperti menjadi orang yang baru.Tukarlah kata- kata kegagalan kepada nota-nota kejayaan.Lafazkanlah kata-kata “aku ingin berhijrah”, “aku ingin berubah”, “aku pasti boleh berubah” , agar diharapkan ia menjadi suatu doa yang baik.

Tips keempat:

KUATKAN TEKAD DAN SEMANGAT. Untuk berhijrah pengorbanan amat diperlukan. Kerana hijrah itu terjadi atas landasan pengorbanan. Apabila orang melihat sebarang perubahan yang kita lakukan pasti ada yang memuji malah tidak kurang ada yang mengeji. Apa yang penting jangan goyah sebaliknya kuatkan semangat dan tekad anda untuk mencapai matlamat yang dilakar. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang irihati dengan perubahan positif anda.

Tips kelima:

BERDOALAH. Sesungguhnya Allah telah berfirman:

Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina."

(Al-Mu’min 40: 60)

Iringilah setiap usahamu dalam hijrah yang kamu lakukan dengan doa yang tulus dan ikhlas. Yakinlah bahawa Allah pasti membantumu selagi mana kamu berusaha untuk mencapai redhaNYA dan selagimana kamu berada di jalanNYA. Percayalah bahawa kamu tidak akan pernah berseorangan dalam hijrah tersebut kerana DIA sentiasa ada disisimu.

Bersama-samalah kita menjadikan Maalhijrah kali ini sebagai satu titik permulaan baru untuk memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan diri. Hijrah kita adalah hijrah dari alam gelap ke alam cahaya. Dari alam leka ke alam jaga. Dari fantasi ke alam realiti. Ingatlah hidup di dunia ini hanyalah satu persinggahan, sebelum kita menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Ketahuilah bahawa kerana hijrahlah manusia mampu membina ketamadunan, Kerana hijrahlah, manusia mampu mencapai kegemilangan,dan kerana hijrahlah, manusia semakin mahir dengan ilmu kehidupan.Oleh itu, bersama-samalah kita mengorak langkah bagi merealisasikan matlamat hijrah kita.

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka merubah keadaan diri mereka sendiri..." (Surah Ar-Ra'dayat 11).


Disediakan oleh


UMMAHATUL HAMIMAH

Penulis merupakan pelajar Tahun Asas Fakulti Sains & Bioteknologi di Universiti Selangor. Di dalam Grup Penkaji Tamadun Dunia Unisel, penulis adalah Exco Unit Pembina serta Editor Risalah Madani. Penulis juga terlibat sebagai sukarelawan Jejak Pattani yang akan menjalankan khidmat sosio-budaya pada bulan Januari.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails