Oleh Wan Ritini Wan Ismail, Aktivis Grup Ibn Battutah GPTD
25 April 2008 (Jumaat)
Usai solat Subuh, aku masih termangu-mangu. Antara
percaya dan tidak, antara yakin dan tidak..harinya telah tiba. Hari yang
sepatutnya kami berempat, anggota X-GEM akan berangkat ke Aceh. Jujur
kukatakan, saat-saat akhir begini bisikan syaitan amat kuat. Bermacam-macam
benda yang terlintas di fikiranku. Lantas, jalan paling selamat yang kupilih
adalah berdiam diri. Cuba memotivasikan diri dengan hal-hal yang positif.
Sesampainya di Anjung Rahmat, perasaan di dada
semakin membuak-buak. Teringat kata-kata ibuku, “Setiap apa yang kita buat,
kita mesti yakin. Ingat, apa yang Allah takdirkan untuk kita..adalah yang
terbaik untuk kita. Mungkin kebaikan tu kita tak nampak sekarang, tapi pasti
ada.”
Kawan sekelasku semasa di Tahun Asas, Zaidi turut
datang ke sini untuk mengucapkan selamat jalan. Dia adalah antara pengasas Biro
al-Rihlah. Namun, entah kenapa dia syahid di tengah jalan. Mungkin terikat
dengan komitmen yang lebih penting. Dia benar-benar terkejut apabila mendapat
tahu kumpulan kami akan ke Aceh. Perasaan sedikit menyesal mungkin terlintas di
fikirannya.
Sebelum bertolak ke LCCT, kami diberi amanat
terakhir oleh Abg Din. Misi Rahmatan Lil Alamin ini memerlukan keikhlasan dan
kekuatan mental yang tinggi. Bersama dalam satu kumpulan mestilah sentiasa berbincang,
bertolak ansur, dan memahami antara satu sama lain. Andai timbul sebarang
pertelingkahan, wajar diselesaikan dengan segera sebelum merebak dan boleh
menjejaskan prestasi kumpulan.
Kami bertolak ke LCCT dengan menaiki van yang
dipandu oleh Hakim. Tiba-tiba sesuatu yang tidak dijangka telah terjadi. Kami
tertinggal laptop! Perasaanku pada waktu itu memang tak keruan. Terpaksa kami
berpatah balik ke Anjung Rahmat. Semua berdiam diri bagaikan pesalah yang akan
dihukum gantung. Aku rasa bersalah kerana tidak peka dengan barang sendiri.
Memang kami sudah sepakat menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga laptop itu
kepada Fendi, tetapi sebagai tuan punya laptop..aku cuai!
Kami tiba di LCCT pada pukul 10.50 pagi. Kami agak kelam-kabut di sana kerana masing-masing
tiada pengalaman berlepas ke luar negara. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi
prosedur yang telah ditetapkan.Deringan telefon bimbit mematikan langkahku.
Nama abang yang tertera. Tapi kutahu, suara ibu yang bakal kudengar. Tepat
sekali. Perasaan sebak tiba-tiba hadir. Aku benar-benar perlukan sokongan ibu
di saat ini. Aku membayangkan alangkah indahnya andai ibu yang bakal
melambai-lambaikan tangan di sini. Sepertiku, ibu juga begitu. Suaranya
tertahan-tahan kerana menangis. Pesanannya supaya aku menjaga solat, makan,
adab dan tingkah laku semasa berada di sana nanti. Aku terlalu payah untuk
menangis. Tapi bila mendengar esakan ibu, hatiku runtun. “Misi ni bukan setakat
membawa nama kumpulan kamu, tapi juga nama negara dan agama.”
Pengalaman pertama menaiki pesawat amat
menyeronokkan. Apa yang lebih menyeronokkan, penumpang di sebelah kananku
adalah orang Aceh. Perjalanan selama 1 jam 25 minit itu telah membibitkan
sebuah perkenalan antara kami. Namanya Kak Nur Asmah, dari Lhokseumawe. Dia
amat senang hati bila aku bercakap dalam bahasa Aceh. Sebaris dua ayat cuma.
Banyak cerita daripadanya yang boleh kutitip sepanjang berada di sana nanti.
Setibanya kami di Bandar Udara Sultan Iskandar
Muda, sekali lagi kami berdepan dengan masalah. Kami terpaksa mengisi borang
penumpang luar negara. Kamilah antara orang yang terakhir yang keluar daripada
lapangan terbang itu.
Langkah kaki seakan kaku apabila melihat keadaan
di lapangan terbang di sini. Bagaikan ada suatu renjatan elektrik, hati bagai
dipalu-palu. Benarkah apa yang kulihat? Lapangan terbang di sini seperti stesen
kereta api daerah di Malaysia. Orang-orang di sini mula memandang kami dengan
pandangan yang luar biasa. Abg Faisal yang sepatutnya datang menjemput kami
telah ke masjid terlebih dahulu untuk solat Jumaat. Kami menunggu di situ.
Beberapa orang lelaki datang menawarkan perkhidmatan kereta sewa. Aku mulai
rasa kurang selesa dengan keadaan itu. Bukan memburukkan mereka, tapi
wajah-wajah penduduk yang kami lihat di sini amat menakutkan. Imaginasiku mula
melayang memikirkan hal yang pelik-pelik. Doaku semoga Abg Faisal akan cepat
sampai.
Alhamdulillah, tak lama kemudian Abg Faisal tiba
dengan menaiki kenderaan yang bernama Kijang. Kami menyusuri jalan-jalan di
Banda Aceh untuk ke Sekretariat Global Peace Malaysia (GPM), di Pagar Air.
Pada pengamatanku, suasana di sini tidak jauh
bezanya dengan tempat kelahiranku, Kelantan. Keadaan persekitaran, gaya hidup
penduduk, struktur bangunan dan kediaman mirip sekali. Kebetulan, sewaktu kami
melalui jalan-jalan di sini, beberapa buah masjid baru sahaja selesai solat
Jumaat dan kami dapat melihat orang ramai berpusu-pusu meninggalkan masjid. Hal
ini terus mengingatkan aku kepada tanah air tercinta.
Setibanya kami di Sekretariat GPM, kami disambut
oleh isteri Abg Faisal, Kak Nila dan anak mereka, Fatih. Wah, ada bendera
Malaysia yang berkibar di bumi Aceh!
Kami solat jamak taqdim dan makan tengahari.
Sedikit mesyuarat ringkas telah kami adakan bersama Abg Faisal. Ini bagi
melicinkan perjalanan misi kami nanti.
Muzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam adalah
tempat pertama kami kunjungi bagi memulakan rencana kami di sini. Di sini ada
replika Makam Ratu Nahrisyah, beberapa keping lempengan emas yang ditemui di
makam Sultan Iskandar Thani, surat-surat Raja Samudera Pasai (Sultan Zainal
Abidin V kepada Alfonso de Albuquerque). Di bahagian atas muzium ini pula
terdapat pakaian dan perhiasan tradisional orang Aceh. Kami turut mengunjungi
Rumah Aceh yang terletak di hadapan muzium ini.
Kami ke Masjid Raya Baiturrahman untuk menjemput
Abg Murdani, wakil dari Dewan Dakwah Islam Indonesia (DDII).Kami difahamkan,
Abg Murdani yang akan menemani kami menjalankan misi sepanjang berada di sini.
Selepas itu, kami ke makam Syeikh Abdul Rauf bin Ali
AlFansuri AlSingkili. Kawasan makam ini masih dalam proses pembaikan semula
selepas dilanda tsunami. Di sekitar kawasan ini juga terdapat rumah-rumah yang
baru dibina. Syukur tak terhingga kerana walaupun tragedi yang menimpa penduduk
di sini telah berlaku 4 tahun yang lalu, kami akhirnya sampai juga di sini.
Kami berjalan-jalan di kawasan pantai yang terletak di hadapan makam tersebut.
Apabila memandang air laut yang berombak tenang, aku terfikir tsunami yang
berlaku dahulu. Betapa besarnya kuasa Allah s.w.t. Dengan sekelip mata sahaja,
air yang tenang bisa mengorbankan beribu-ribu nyawa dan meruntuhkan bangunan
yang berdiri teguh. Subhanallah!
Kami juga dibawa melawat kesan tsunami yang lain.
Kapal yang mendarat di atas 3 buah rumah. Menurut Abg Faisal, kapal ini
diperbaiki dan akan dijadikan suatu tempat lawatan sejarah untuk kunjungan
orang ramai.
Seterusnya, kami dibawa melawat pejabat DDII. Di
sini, kami diberi penerangan ringkas mengenai badan dakwah ini. Kami juga
berbincang mengenai perjalanan program kami sepanjang berada di sini. Aku
pelik..sepanjang perbincangan kami itu, Abg Murdani seolah-olah hanya bercakap
dengan Fendi dan Hafiz. Terasa bagaikan terpinggir. Syafa juga turut merasai
hal yang sama. Akalku terus berfikir, bagaimana kami ingin berkomunikasi
dengannya selama seminggu di sini? Hom!
Kami kembali ke Sekretariat GPM sekitar jam 6.30
petang. Teringat seketika..jika di Malaysia sekarang sudah jam 7..30 malam.
Cintaku tertinggal di Malaysia..
Selepas solat jamak taqdim secara berjemaah, kami
mengadakan mesyuarat. Muhasabah mengenai perjalanan kami pada hari ini dan
perancangan untuk esok. Selepas makan malam, kami menyiapkan tugasan
masing-masing. Bahagianku adalah menyiapkan laporan untuk dihantar ke Malaysia
malam ini. Suatu kejadian yang tak diduga berlaku. Fendi memarahi Hafiz. Aku cuma
berdiam diri. Api yang sedang bernyala
tak wajar diusik. Nanti makin merebak.
Apabila Fendi keluar ke Warnet (Warung Internet)
untuk menghantar laporan kepada Abg Su, aku memanggil Hafiz. Aku perlu
“membasuh” pemikirannya sekarang. Memang telah kuketahui, dia sedang kecewa
dengan apa yang terjadi dalam hidupnya sebelum ke sini, tetapi bila sudah
dicampur-adukkan dengan kerja, aku harus bertindak. Jika tidak, kami mungkin
bergaduh dengan lebih dahsyat. Selepas sesi “basuhan” itu, kami berehat dan
menyiapkan barang-barang untuk dibawa esok.
26 April 2008 (Sabtu)
Hari kedua kami di Banda Aceh. Selepas solat Subuh
berjemaah dan rehat seketika, aku berjalan-jalan di sekitar sekretariat. Melihat
anak-anak kecil yang bermain di halaman rumah membuatkan hatiku terdetik,
bagaimana masa depan mereka nanti seandainya kemiskinan terus membelenggu?
Kanak-kanak di negara kita disuap dengan pelbagai kemewahan walaupun ada segelintir
yang merana, tapi di sini apa yang kuamati kebanyakan kanak-kanak hidup dalam
serba kekurangan.
Kami bersiap-siap untuk ke terminal bas. Seorang
gadis manis mengunjungi kami. Menurut Kak Nila, dia adalah anak angkat kepada
Ummi Sharifah, rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan GPM, namanya Iras.
Sepanjang perjalanan menuju ke terminal bas, kami berbual panjang dengannya. Dia
juga pernah ke Malaysia mengikut ibu angkatnya. Kami singgah di Masjid Raya
Baiturrahman untuk menjemput Abg Murdani. Setibanya di terminal bas, kami terus
membeli tiket ke Lhokseumawe. Ada gambar angsa di dinding bas itu. Apa yang
menarik perhatian kami, ada dua ekor angsa dibawa naik ke dalam bas itu.
Terlintas di fikiran ketika itu, mungkin simbolik kepada bas. Telahanku silap,
rupa-rupanya angsa itu adalah milik salah seorang penumpang. Saat itu aku hampir
tergelak kerana tekaanku yang merapu tanpa bertanya terlebih dahulu. Benarlah
kata Abg Murdani “Malu bertanya,jalan-jalan”.
Sementara menanti bas bertolak, kami duduk di tempat
yang disediakan. Mataku melilau ke kawasan persekitaran. Di sini, kanak-kanak
berpakaian compang-camping dan kotor, lelaki dewasa tanpa arah tuju, dan orang
tua yang tidur di tempat duduk di situ. Perasaanku bercampur-baur. Di mana
nilai kemanusiaan kita?
Sudah tiba masanya kami bertolak. Pengalaman
pertama menaiki bas di negara orang tidak dapat dilupakan. Sedang enak
menikmati pemandangan di sekeliling, aku terhidu bau asap rokok. Hampir
terkejut apabila terpandang pemandu bas yang merokok di dalam bas yang berhawa
dingin. Hatiku menggelegak. Orang di sini merokok dengan sewenang-wenangnya
tanpa mengira tempat awam atau bukan. Terpaksalah kami menahan apatah lagi
berada di tempat duduk paling hadapan. Rupa-rupanya, bukan dia seorang yang
berbuat demikian. Ada juga penumpang lain yang turut merokok.
Setiap kali bas berhenti, akan ada pengemis
menaiki bas untuk meminta wang dan penjual makanan yang menjual pelbagai jenis
makanan kepada penumpang. Perjalanan jauh yang memakan masa itu kurasakan
seperti rentetan perjalanan kehidupan masyarakat di sini. Bas berhenti di
hadapan sebuah kedai makan. Bab makan di tempat lain selain daripada rumah,
amat menyeksa batinku. Namun kutahu, aku harus hadapi keadaan ini apatah lagi
apabila berada di sini.
Jalan menuju ke Kota Lhokseumawe agak mencabar
kerana terdapat curam, bukit, dan bermacam kerosakan jalan yang lain. Namun,
kehebatan pemandu di sini apatah lagi pemandu bas yang kami naiki memang tidak
dapat dipertikaikan lagi. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 7 jam 15
minit itu akhirnya tamat. Hari sudah gelap. Turun sahaja dari bas, kami menanti
di perhentian bas yang disediakan. Ada dua orang gadis dan seorang kanak-kanak
perempuan melintas jalan dan menuju ke arah kami. Fikirku, mungkin mereka
adalah orang yang bakal menyediakan tempat tumpangan untuk kami. Sapaan mereka
meyakinkan kami. Mereka adalah Kak Asniah dan Mulyani bersama sepupu
mereka, Pipit. Di seberang jalan Mamak (panggilan
bagi ibu) mereka menanti bersama Reza, anak lelakinya. Mereka berempat adalah
keluarga Kak Nila, Kami dibawa ke rumah mereka yang letaknya lebih kurang 0.4
km dari perhentian bas tadi.
Suasana kampung mulai terasa. Ingatan sekali lagi
terbias ke kampung halaman di Malaysia. Sebuah rumah yang sederhana. Bagi
lelaki, mereka ditempatkan di pesantren yang terletak berdekatan dengan rumah
ini.
Sewaktu ingin membuka pili, ternyata tidak keluar
air. Panik seketika dengan keadaan itu. Melalui Mamak, aku kini mengetahui
bahawa mereka tidak mendapat bekalan air apabila malam menjelang. Air untuk
mandi dan kegunaan lain telah disimpan di dalam besen-besen.
Selepas makan malam, kami mengunjungi ketua
kampung yang dipanggil Geucik di sini. Ini adalah adat apabila berkunjung ke
tempat orang, apatah lagi kami yang berlainan negara. Beliau berasa bangga dan
bertuah kerana mendapat kunjungan dari kami, orang Malaysia. Seperti yang
kulihat di dalam bas, Geucik juga merokok. Malahan, lelaki muda di sebelah
beliau (anak Abi, ketua pesantren) juga merokok. Apabila kutanyakan hal ini
kepada Mamak, dia mengatakan majoriti lelaki Aceh merokok tak kira usia tua
atau muda. Di situ, aku membuat satu kesimpulan kecil bahawa mereka kurang
mementingkan aspek kesihatan.
Kunjungan kami seterusnya adalah rumah Abi, ketua
pesantren. Adat menumpang di tempat orang, memang sewajarnya kami sebagai
tetamu memulakan pertemuan. Di pesantren yang diuruskan oleh beliaulah, Abg
Murdani, Fendi, dan Hafiz akan menginap.
Pulang sahaja dari melawat ketua kampung dan ketua
pesantren, kami memulakan diskusi dan perancangan untuk esok. Kami terus
mempersiapkan laporan dan memindahkan gambar ke laptop.
Tidurku pada malam itu agak terganggu dengan
nyamuk-nyamuk yang menggigit seluruh badan. Tapi, dek kerana kepenatan aku
terpaksa menderma darah kepada serangga-serangga itu.
27 April 2008 (Ahad)
Seawal jam 5.00 pagi aku terjaga. Seluruh badan
bengkak-bengkak digigit nyamuk. Dengan mata yang berat, aku melangkah ke
tandas. Teringat kata-kata Abg Faisal semalam “Orang Islam sekarang kuat-kuat.
Kerja angkat batu, angkat besi. Tapi mahu angkat selimut dan buka mata untuk
solat Subuh susah sekali.” Serta-merta mataku membulat. Agak pedas peringatan
itu. Langkah kaki terhenti apabila Kak As memberitahu kami tiada air.
Kami perlu ke rumah jiran sebelah untuk menimba
air dari perigi. Seingatku, kali terakhir aku menimba air dari perigi adalah
beberapa tahun yang lepas. Itupun kerana rumah kami di kampung terputus bekalan
elektrik. Selepas itu, kami cuma perlu membuka paip sahaja. Tidak perlu
bersusah-payah menimba lagi. Di sini, aku mengulangi kenangan itu kembali.
Menjelang jam 7.00 pagi, air belum lagi keluar. Aku dan Syafa mula memikirkan
yang kami tidak akan mandi pada hari ini. Agak sedih waktu itu. Tapi, inilah
namanya pengorbanan. Kita perlu mengorbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu
yang lain. Syukur alhamdulillah, air mulai keluar pada jam 7.30 pagi. Kami
bersiap dan menikmati sarapan pagi sebeleum bertolak ke destinasi yang dituju.
Pengalaman pertama menaiki labi-labi amat
menyeronokkan. Kenderaan ini boleh memuatkan 12 orang penumpang. Perasaan kagum
mulai kurasakan kerana setiap penumpang akan membayar kepada pemandu atau
kelindan yang berada di bahagian depan. Aku terfikir, adakah semuanya jujur?
Turun dari bahagian penumpang dan terus ke pemandu untuk membayar tambang.
Bermacam-macam gaya orang dapat kulihat apabila berada di dalam labi-labi ini.
Setibanya di Kota Lhokseumawe, kami berjalan
menuju ke pejabat Persatuan Pelajar Islam (PII). Jarak pejabat yang jauh dari
jalan utama memakan masa yang agak lama. Setibanya kami di sana, kami dijemput
ke ruang mesyuarat mereka yang terletak di bahagian atas bangunan tersebut.
Tergamam seketika apabila menjengah ke ruang ini. Kosong tanpa sebarang
kelengkapan. Kerusi disusun sebaik sahaja kami masuk. Perjumpaan dengan
pelajar-pelajar itu amat menarik. Rupa-rupanya mereka masih menuntut dalam
menengah tinggi. Namun, kepetahan berbicara tak dapat disangkal lagi. Sebagai
setiausaha, tugasku kali ini agak mencabar. Mana tidaknya, percakapan mereka
agak cepat dan bahasa Indonesia + Aceh menyukarkanku untuk mencatat setiap isi
percakapan mereka.
Selepas pertemuan itu, kami meneruskan perjalanan
ke tempat yang seterusnya iaitu rumah salah seorang pimpinan Himpunan Mahasiswa
Islam (HMI). Sungguh menakjubkan apabila mereka yang kami temui seakan-akan
bukan mahasiswa. Lagak dan gaya mereka seperti pemuda jalanan. Bukan
merendahkan martabat mereka apatah lagi memperlekehkan kredibiliti mereka
sebagai pemimpin persatuan, tetapi hakikatnya begitu. Mata tidak akan menipu.
Aku dikejutkan dengan huluran tangan daripada salah seorang wakil HMI yang
ingin bersalaman. Cepat-cepat tolak dengan senyuman dan tunduk hormat.
Harapanku semoga dia akan faham. Perkenalan dan perbincangan kami pada waktu
itu berjalan lancar. Banyak perkara yang dibangkitkan mengenai hubungan dua
negara jiran ini. Mereka juga mencadangkan kami buku untuk membantu kajian kami
nanti iaitu Peradaban Aceh karya Muhammad Umar.
Kami solat di Masjid Darussalam. Aku begitu
tertarik dengan cara hidup orang di sini. Mereka akan cepat-cepat ke masjid
sebaik sahaja azan dilaungkan. Kuperhatikan, saf jemaah lelaki hampir 4 baris.
Struktur, rupa bentuk masjid di sini agak berbeza dengan masjid di Malaysia.
Konsep open air bagi setiap masjid
yang kami lihat di sini amat menarik perhatian kami. Mana tidaknya,selain
daripada menjimatkan tenaga elektrik (kipas), kita juga dapat menghirup udara
segar. Begitu juga dengan tempat mengambil air sembahyang.
Di sini, tempat mengambil air sembahyang tidak
terletak berdekatan dengan tempat solat. Bagi kaum wanita, kami terpaksa
mengambil wudhuk dan bersiap-siap di tempat tersebut dan terus ke dewan solat.
Selain itu, tiada masjid yang dibina dua tingkat. Satu paras dan tiada tirai
antara lelaki dan wanita. Jadi, setiap orang mesti menjaga aurat dan batas
kerana dewan solat masjid ibarat suatu kawasan lapang yang akan dipenuhi dengan
manusia apabila waktu solat menjelang.
Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI)
adalah badan ketiga yang kami temui dan bertempat di masjid ini. Sekali lagi
aku diuji. Bahasa dan percakapan mereka yang cepat menyukarkan aku mencatat. Keadaan
agak bercelaru seketika apabila Fendi diminta menjawab soalan yang diajukan
oleh salah seorang muslimah. Mereka tidak memahaminya lantas suasana tidak
terkawal serta-merta.
Jalan terbaik, aku dan Syafa mendekati mereka
menerangkan satu persatu. Begitu juga dengan kaum lelaki. Tugas Fendi dan Hafiz
untuk menjawab setiap persoalan yang mereka timbulkan.
Kami ke kedai makan yang berdekatan untuk makan
tengahari sebelum bertolak ke Makam Sultan Malikussaleh. Kami ke sana dengan menaiki
labi-labi. Suasana menjadi meriah apabila lawatan itu bukan setakat kami,
tetapi juga ditemani oleh teman-teman dari PII, HMI, dan KAMMI. Pada waktu itu,
aku mengagumi sikap mereka yang mudah mesra dengan kami sehingga sanggup
menemani kami mengunjungi tempat-tempat yang kami lewati.
Sedang asyik aku megumpulkan maklumat dari penjaga
makam di Makam Ratu Nahrisyah, Syafa datang. Dia agak terasa hati dengan apa
yang telah Fendi katakan padanya. Aku cuba mengambil jalan tengah kerana tidak
ingin hal ini menjadi semakin parah. Namun, Syafa tetap dengan keputusannya.
Dia bertegas mengatakan dia benar-benar mendengar perkataan itu keluar dari
mulut Fendi. Aku tidak berada di tempat mereka bercakap tadi, jadi sama ada hal
itu benar atau tidak…entahlah.
Pulang dari lawatan-lawatan tersebut, kami
mempersiapkan diri. Sewaktu ke tandas, kudapati paip tidak berfungsi. Air tidak
keluar. Bukan setakat itu, apa yang lebih membuatkan aku rasa seperti ingin
menangis adalah apabila terdapat dua ekor katak yang berlainan saiz berada di
sekitar tandas. Tanpa menghiraukan perasaan malu, aku bertempik sekuat hati.
Mamak datang. Untuk seketika, dia tergelak. Ditambah pula dengan kehadiran Kak
As dan Mul. Teruk aku diketawakan. Namun, Mul menemaniku sehingga selesai aku
mandi. Perasaan malu yang teramat sangat memang ada. Tetapi demi ‘menyelamatkan’
diri daripada katak-katak itu, terpaksa kutebalkan muka. Peristiwa ini
mengingatkanku kepada sejarah silam yang pernah kualami.
Sepanjang malam mereka mentertawakanku. Selepas
makan malam, kami bersiap-siap untuk keluar bagi memenuhi undangan wakil dari
HMI. Pada malam itu, mereka meraikan kami bagaikan seorang raja. Tiba-tiba
fikiranku terlintas kepada salah satu bab dalam Kitab Ibn Battutah. Dalam bab
di mana Ibn Battutah singgah di Samudera-Pasai, beliau dilayan dengan baik
sekali kerana adat orang di situ yang memuliakan tetamu. Wah, kami kini merasai
apa yang pelayar Islam itu rasa. Biarpun berbeza zaman, namun adat mereka masih
lagi kukuh dipegang.
Satu peristiwa yang amat berbekas di hatiku pada
malam itu adalah apabila sesi post-mortem
yang mana terjadinya scene yang agak
tegang apabila Syafa dan Fendi masing-masing mempertahankan hak masing-masing.
Aku cuba menjadi orang tengah kerana kerja berpasukan amat penting. Usai
mesyuarat itu dalam keadaaan yang kurang baik. Cuba berdiplomasi dengan Syafa
ibarat menarik benang di dalam tepung. Tepung tidak berselerak dan benag tidak
putus.
Tetapi Syafa tetap Syafa. Dipertahankannya juga
kebenaran dirinya. Tidurku malam itu bukan setakat terganggu dengan nyamuk,
ditambah pula dengan masalah baru yang menimpa kumpulan ini. Agak susah apabila
masing-masing tidak ingin menjatuhkan ego. Entah kenapa aku terasa seperti aku
dipertanggungjawabkan untuk meleraikan perselisihan ini.
28 April 2008 (Isnin)
Sarapan kami pada pagi ini agak suram. Tiada gelak
tawa, usik-mengusik apatah lagi bertegur sapa. Perjalanan kami ke Kota
Lhokseumawe terasa bagaikan terlalu jauh. Masing-masing membuat hal sendiri.
Aku agak tertekan dengan situasi ini. Apalah salahnya andai salah seorang
mengalah. Seperti biasa, Hafiz seolah-olah merasakan tiada apa yang berlaku.
Keanak-anakan!
Kami tiba di Kantor Perpustakaan dengan satu
misi-mencari seberapa banyak bahan bacaan yang boleh didapati untuk kajian
ilmiah kami. Ternyata tidak banyak buku yang berkaitan, cuma kami mendapat dua
buah buku yang boleh difotostat. “Wan Ritini, tolong mintak duit dengan
perbendaharaan.” Fendi di sebelah kananku dan Syafa di kiriku. Aku mengeluh
kecil. “Mintak sendiri” luahku. Apabila terpandangkan muka kesian Fendi, aku
mengalah. Aku ingin melihat selama mana mereka boleh bertahan dengan situasi
begini.
Selepas itu, kami ke DISPUDPARPORA. Pertemuan
dengan Pak Munawwar banyak menjelaskan kami tentang keadaan sebenar Aceh yang
seolah-olah dianak tirikan oleh pihak pemerintah Indonesia. Beliau banyak
memberikan pandangan terhadap bahan-bahan sejarah yang semakin dilupakan oleh
masyarakat.
Sewaktu kami ingin meninggalkan pejabat itu, Pak
Munawwar menghulurkan tangan ingin bersalaman denganku. Kaget seketika dengan
situasi itu. Sepanjang berada di sini, beberapa kali adegan ini berlaku padaku.
Aku menundukkan kepala sedikit, tanda aku tidak akan menerima huluran tangan
itu dan sebagai menghormati beliau. Namun, Pak Munawwar tidak memahami
tindakanku itu. Hal ini berterusan selama beberapa minit. Akhirnya beliau
menyedari keadaaan itu. Katanya “Maaf ya, agama kita sama. Namun syiar Islam
kita beda-beda.” Aku kurang mengerti akan pernyataan yang keluar dari mulutnya.
Kami berjalan kaki ke Masjid Darussalam. Sepanjang
perjalanan itu, masing-masing mendiamkan diri.Kebetulan, pada waktu itu sesi
persekolahan baru sahaja tamat. Berpusu-pusu kanak-kanak yang keluar dari
sekolah. Jalan yang kami lalui itu berdekatan dengan sekolah dasar yang ada di
kota tersebut. Semua kelihatan ceria. Suasana begitu sibuk sekali. Kebingitan itu
ditambah lagi dengan bunyi hon-hon kenderaan yang bersimpang-siur memenuhi
jalan-jalan di situ. Satu tabiat pemandu di sini yang kuperhatikan adalah
mereka suka membunyikan hon kenderaan, tidak kira dalam apa jua situasi. Meriah
dan bising. Sepanjang berada di Aceh, aku belum pernah melihat keadaan jalan
yang bersesak-sesak di jalan walaupun terdapat banyak sekali kenderaan.
Semuanya berjalan lancar dan seolah-olah lampu trafik tidak berfungsi.
Kali kedua kami singgah di Masjid Darussalam. Aku
kagum dengan sikap masyarakat di sini yang meletakkan ajaran Islam sebagai
suatu asas yang kukuh dalam kehidupan mereka. Namun apabila timbul isu
kebersihan, mereka nampaknya kurang peka. Menghairankan kerana agama Islam
sendiri menekankan konsep kebersihan dalam kehidupan setiap penganutnya. Bukan
mengaibkan mereka, tapi keadaan tandas mereka agak kurang dijaga kebersihannya.
Entah kenapa, doaku padaNya amat
bersungguh-sungguh kali ini. Pohonku, pintaku semoga hubungan Fendi dan Syafa
akan pulih semula dan semoga hubungan kami berempat tidak akan tergugat dengan
masalah-masalah kecil. Runtuhkanlah benteng ego yang membatasi antara kami.
Pertemuan dengan wakil-wakil dari KAMMI pada
petang itu agak menarik. Isu-isu panas yang ditimbulkan. Ayat-ayat disusun
dengan baik bimbang andai mengguris hati mana-mana pihak. Subhanallah, keadaan
yang tegang kerana diajukan dengan pelbagai soalan ini sebenarnya terselindung
satu rahmat. Fendi menegur Syafa dan akulah orang yang berada di antara mereka,
yang menjadi saksi bahawa perang ‘adik-beradik’ sudah berakhir. Alhamdulillah,
doaku dimakbulkan Allah.
Selepas makan tengahari, kami meneruskan
perjalanan ke Pusat Studi Islam dan Perpustakaan Tgk Muhammad Hasbi Al Shiddieqy.
Di sini tidak terdapat buku-buku yang kami inginkan. Walaupun agak hampa dengan
keadaan itu, namun aku yakin pencarian ini tidak akan berakhir dan pasti akan menemui
jalan penyelesaian.
Kami menaiki labi-labi menuju ke tempat
penginapan. Aku jatuh hati dengan kenderaan ini. Mungkin kerana keunikan
perkhidmatannya dan fungsinya yang menyumbang kepada keselesaan pengangkutan
masyarakat. Apabila tiba di destinasi, aku seakan-akan tidak mahu turun
daripada kenderaan ini. Seperti anak kecil!
Setibanya kami di Kampung Bayu, kami tidak terus
pulang ke rumah, tetapi berjalan beberapa langkah menyusuri jalan raya. Kami
tiba di Tugu Cot Plieng. Tugu ini dibina bagi memperingati jasa Cot Plieng,
seorang wira yang mempertahankan negara ketika serangan Jepun. Apa yang
menyedihkan, tugu ini seolah-olah tak terjaga. Keadaannya yang agak daif di
tepi jalan itu seolah-olah tidak membawa apa-apa makna kepada masyarakat.
Semak-samun memenuhi sekeliling tugu itu. Kesian!
Kesempatan masa pada petang itu memberikan kami
peluang untuk menghirup udara di kampung ini. Melihat kanak-kanak bermain
mengingatkanku kepada anak-anak buah di Malaysia. Kerinduan itu datang
tiba-tiba.
Kami mengemaskan barang-barang. Kami dijangka akan
menaiki bas pada pukul 9.00 malam nanti untuk pulang ke Banda Aceh. Mamak
memandangku. Mungkin hatinya sayu mengenangkan pertemuan singkat ini. Apabila
aku mengambil tuala untuk mandi, Mamak mengekoriku. Aku pelik… Segan tiba-tiba.
Kenapa? Rupa-rupanya dia ingin menemaniku mandi. Aku hampir tergelak, namun
kupendam bimbang andai mengguris hatinya. “Yalah, Tini takut katak kan. Mamak
mau temani.” Apabila Mul datang, barulah dia beredar. Malu tiba-tiba. Aku telah
menyusahkan Mamak dan Mul. Namun, bagi mereka lain pula ceritanya. Aku
dikatakanya melucukan. Entah apa yang lucu tidak kuketahui.
Makan malam kami pada malam itu terasa meriahnya.
Semua makan bersama kecuali Reza, anak Makcik yang agak terasing sepanjang kami
di sini. Dia hanya akan bercakap denganku apabila aku yang menegurnya.
Kami menziarahi Geuchik dan Abi. Sewaktu kami ke
rumah Geuchik, mereka sedang membuat persiapan untuk menyambut Maulid Nabi pada
kekesokan harinya. Kaum perempuan menyiapkan bersa pulut dan kelapa goreng dan
dibungkus dengan daun pisang. Geuchik meminta kami menunda keberangkatan kami
pada malam itu supaya dapat meraikan Maulid Nabi bersama mereka. Namun,
pelawaan itu terpaksa kami tolak kerana tuntutan tanggungjawab dan masa lebih
utama.
Kami menunggu bas di tepi jalan untuk pulang ke
Banda Aceh. Aku berbual-bual dengan Mamak. Banyak rahsia dan kisah hidupnya
telah kudengar. Aku kagum dengan semangat wanita berusia 48 tahun ini.
Kecekalannya menyara dan membesarkan anak-anak tanpa seorang suami telah menyuntik
semangat anak-anaknya untuk belajar. Walaupun kehidupan di sini menuntut mereka
untuk berusaha dengan gigih, namun kesepakatan dan kasih sayang antara ahli
keluarga telah menjadikan mereka tabah. Aku banyak belajar dari kisah-kisahnya
itu.
Bas tiba dan kami terpaksa berangkat meninggalkan
Kampung Bayu dengan hati yang berat. Teringat pesan Mamak “Jangan lupakan kami.
Ada waktu, ada kesempatan, datang ke sini lagi.”
Bas yang kami naiki akhirnya bertolak meninggalkan
kampung itu. Seperti 2 hari yang lepas, keadaan di dalam bas tidak berubah.
Setiap kali bas berhenti, ada saja penjual makanan dan peminta sedekah yang
naik ke dalam bas.
29 April 2008 (Selasa)
Kami tiba di Banda Aceh pada pukul 4.10 pagi.
Dengan berjalan kaki, kami pulang ke sekretariat GPM. Sedikit muhasabah
dilakukan untuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Lhokseumawe. Beberapa
penambahbaikan dilakukan. Perancangan juga dilakukan dengan rapi untuk aktiviti
di Banda Aceh ini. Seperti biasa, tugasku untuk menyiapkan laporan harian. Dua
laporan harian mesti kusiapkan kerana tiada kesempatan semasa berada di Kota
Lhokseumawe.Agak sulit untukku menyiapkan kedua-dua laporan tersebut.Selesai
noktah terakhir, maklumat kusimpan sebagai 27 & 28 April 2008.
Tiba-tiba aku teringat yang aku tertinggal 1 fakta
untuk laporan 27hb. Folder tersebut
kubuka. Masya Allah, Cuma tinggal beberapa baris sahaja. Ke mana yang lainnya?
Kalut seketika dengan keadaan tersebut kerana aku bukanlah seorang manusia yang
suka membuat kerja yang sama berulang kali. Ingin kukhabarkan kepada yang lain,
tetapi kupendamkan. Biarlah dulu. Kutinggalkan kerja-kerja tersebut dan
menunaikan solat. Hampir menangis waktu aku menadah tangan memohon doa kepada
Yang Esa. Berada di sini membuatkan aku merasakan hubunganku dengan Allah sw.t.
terasa begitu dekat. Mungkin kerana segala yang kupendamkan tidak dapat
kuceritakan kepada ibu, apatah lagi sahabatku. Membayangkan yang aku terpaksa
membuat laporan harian sekali lagi. Haru!
Selesai solat, sekali lagi aku membuka folder tersebut dengan harapan supaya
apa yang kusimpan tadi akan ada. Hampa! Kusedar, aku terpaksa memberitahu
Syafa. Kekalutan suasana pada waktu itu amat melucukan. Akhirnya semua penghuni
rumah sekretariat itu mengetahui akan apa yang terjadi. Dengan bantuan Abang
Faisal, akhirnya semua data yang kusimpan kembali ditemui. Hahaha.
Lawatan kami pada hari ini bermula dengan
mengunjungi makam Sultan Iskandar Muda. Makam ini agak berlainan dengan
makam-makam yang kami lihat sebelum ini kerana makam ini dicat dengan cat hijau
dan kuning.
Kami seterusnya melawat kapal PLTD APUNG 1, sebuah
kapal yang mendarat ketika tsunami. Semasa kami tiba di sana, bahagian atas
kapal tersebut tidak dapat dinaiki kerana telah masuk solat waktu Asar. Kami
cuma berjalan-jalan di sekeliling kapal tersebut. Dalam fikiran, terlintas akan
betapa banyaknya mayat yang terhimpit di bawah kapal ini. Tidak diketahui
sesiapa.
Kunjungan kami yang seterusnya adalah Kuburan
Massal. Di sinilah yang menjadi saksi mangsa-mangsa tsunami yang ditanam
beramai-ramai pada tahun 2004. Sebanyak 14,264 mayat yang dketahui dan tidak
diketahui siapa ditanam di sini. Suasana kelihatan suram tiba-tiba apabila
masing-masing mengenangkan peristiwa tersebut. Sekarang, kuburan tersebut telah
dipenuhi dengan rumput-rumput yang menghijau.
Abg Faisal membawa kami ke Universitas Syiah
Kuala. Di sana, kami telah melawat kuburan para ulama’ yang telah datang ke
sini mengembangkan ajaran agama Islam.
Sebelum pulang, kami singgah di WarKop (Warung
Kopi). Di sini, kami diberi minuman yang bernama ‘bandrek’.
Rasanya seperti teh halia tetapi lebih pedas dan
menyengat lidah. Bagaimana harus kuhabiskan minuman ini? Melihat Syafa dan
Hafiz yang tidak boleh minum hati aku tercuit. Lucu. Betapa susahnya ingin
menelan seteguk demi seteguk air itu. Abg Faisal dan Abg Murdani biasa sahaja.
Mana tidaknya, mereka yang memesan air ini. Aku memang tabik dengan Fendi.
Air-air bandrek kami dihabiskannya dengan senang hati.
30 April 2008 (Rabu)
Hari ini kami telah mengunjungi Badan Perpustakaan
Banda Aceh. Di perpustakaan ini, kami telah berkenalan dengan Pn. Nurmala Dewi,
staf di sini. Beliau telah bermurah hati untuk meminjamkan buku ‘Aceh Sepanjang
Abad’ kepada kami. Perpustakaan ini dipenuhi dengan para pelajar yang ingin
menelaah dan menggunakan buku di sini sebagai rujukan. Mataku terpandang akan
seorang staf lelaki yang berada di hujung meja panjang yang kami duduki. Dia
dengan bersahaja telah menghisap rokok tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Perpustakaan ini dilengkapi dengan penghawa dingin tetapi tidak dijaga keadaan
udaranya.
Kami ke kedai buku Dunia Muslim. Di kedai buku
ini, kami telah membeli beberapa buah buku. Karya Habiburrahman El Shirazy
sememangnya tidak kutinggalkan.
Dengan menaiki labi-labi, kenderaan yang kusuka
sepanjang berada di sini, kami telah ke Gedung Perpustakaan Iain ar-Raniry.
Buku-buku mengenai para ulama’ Aceh tidak kami temui. Terpaksalah kami berlalu
dengan perasaan yang hampa.
Kami pulang ke Banda Aceh dengan menaiki damri
(bas pendek). Kami berhenti di hadapan Masjid Raya Baiturrahman untuk solat dan
rehat sementara menanti Kak Nila.
Kami meneruskan penjelajahan ini ke Pasar Atjeh
dan kedai Souvenir Aceh Putra. Di kedai-kedai ini kami membeli sedikit cenderamata
untuk dibawa pulang ke Malaysia sebaga tanda kenang-kenangan.
Abg Faisal dan Kak Nila telah menanti kami di
Masjid Raya Baiturrahman. Keadaan di masjid ini memang meriah apabila petang
menjelma. Kanak-kanak yang baru selesai mengaji di masjid, ibu bapa yang
menanti di halaman, para penjual makanan, dan banyak lagi dapat kami temui di
sini. Pelbagai ragam manusia dapat dilihat.
Janji dengan Puan Nurmala untuk ke rumahnya bagi
mengambil buku telah kami tunaikan lewat petang itu. Kami pulang dengan hati
yang lapang.
01 Mei 2008 (Khamis)
Hari ini kami ke Rumah Asuh The Habibie Center.
Rumah asuh ini terdapat 2 bahagian iaitu Rumah Asuh Beung Cala untuk penghuni
lelaki dan Rumah Asuh Darussalam untuk penghuni perempuan. Pada hari ini, semua
penghuni berkumpul di sini untuk meraikan Maulid Nabi Besar Muhammad
s.a.w.Sewaktu kami tiba, para penghuni rumah asuh ini sedang memperdengarkan
nasyid kepada para hadirin yang datang ke majlis tersebut. Kami agak teruja
kerana inilah kali pertama kami mengikuti sambutan Maulidur Rasul di negara
orang. Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan ini.
Kesempatan untuk berkenalan dengan para pengasuh
dan penghuni di sini tidak kami lepaskan. Perbualan bersama mereka amat menarik
dan kami banyak berkongsi cerita mengenai pelbagai isu. Kami bersembang dan
menyanyi bersama. Mereka mudah menyesuaikan diri dengan kami. Salah seorang
daripada mereka, namanya Dini. Nama dan wajahnya kuingati kerana kepetahannya
berkata-kata berbanding dengan temannya yana lain. Dia gembira apabila
mengetahui namanya mirip dengan namaku.
Kami bertolak menuju ke TamanSari Gunongan dan
Kandang. Tempat ini merupakan tempat bersenang-senang Puteri Pahang. Beliau
adalah permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda. Kami berpeluang untuk menaiki
gunung tersebut. Keunikan struktur gunung itu menarik perhatian kami.
02 Mei 2008 (Jumaat)
Suasana pagi ini meriah apabila kami bersiap-siap
sebelum bertolak ke Malaysia. Masa selama lapan hari di sini bagaikan terlalu
pantas. Sarapan kami pada pagi ini istimewa sekali. Kak Nila menyediakan jus
avocado. Ia merupakan campuran avocado dengan milo. Pertama kali aku merasa jus
ini. Sedap!
Kami tiba di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda
awal sekali. Waktu itu, perasaan yang aku rasa sebelum bertolak ke sini
kurasakan kembali.Selepas check in barang-barang,
kami keluar untuk berjumpa dengan Abg Faisal sekeluarga dan Abg Murdani.
Nasihat dan pesanan mereka terpahat di ingatan. Masing-masing mendiamkan diri
apabila berada di Dewan Menunggu. Mungkin mengingati pengalaman yang telah kami
tempuhi sepanjang berada di sini.
Lambaian terakhir sebelum bertolak..penerbangan
kami adalah pada pukul 12.45 tengahari. Kami tiba di LCCT pada pukul 2.15
petang waktu Malaysia.
Kami menaiki bas ke KL Sentral. Tiba di sana,
Fendi, Hafiz, dan Syafa dijemput oleh Hakim dan Abg Suhail. Dan aku meneruskan
perjalanan pulang ke Unisel kerana tuntutan tanggungjawab menanti di sana.
No comments:
Post a Comment