Tuesday, November 3, 2015





PULPA GOMBAK – Pada 16 hingga 18 Oktober 2015, seramai 14 orang peserta telah menyertai Jambori Membangun Pemuda (Jambori GUNDA) yang telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Unisel. Objektif Jambori tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan suasana di alam kempus dan kelibatan aktif seorang mahasiswa ke dalam persatuan. Dalam kesibukan mahasiswa di dalam membuat kerja kursus, para peserta telah memilih untuk mengikuti Jambori tersebut bagi membina jati diri dan membangun potensi diri. Teringat saya pada pesanan Pak Natsir iaitu “pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh ummat”.
            Perbagai aktiviti dan pengisian diberikan kepada para peserta. Antaranya cara berpidato dengan baik, realiti di alam kampus, hamba dan khalifah dan sebagainya lagi. Di dalam pengisian tersebut, Kak Hafidzah salah seorang jemputan, telah menyatakan bahawa seorang mahasiswa perlu untuk meneroka segala yang ada bagi mendapatkan pengalaman dan ilmu. Seorang mahasiswa juga perlulah mengelakkan diri dengan dengan penyakit 3K iaitu kelas, kafe dan katil. Tambahan pula, bagi mengiatkan diri aktif di dalam persatuan, mereka hendaklah pandai dan bijak dalam mengatur jadual. Kita juga hendaklah berhati-hati dalam pemilihan kawan supaya kita tidak tercicir dan terjebak di dalam perkara-perkara yang tidak baik. Antara ciri-ciri kawan baik ialah pertama ialah apabila dia melihat kawannya teringat pada Allah, kedua ialah apabila dia mendengar kata-kata kawannya bertambah ilmunya, ketiga ialah apabila melihat kerjanya dia teringat pada hari akhirat.
Selain itu, teringat saya pada pesanan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Saudara Fazril menyatakan untuk menjadi seorang mahasiswa yang berguna hendaklah sentiasa mengamalkan 3 perkara iaitu : jangan tidur selepas subuh, sentiasa membawa buku ke mana sahaja dan yang terakhir ialah sentiasa memberi sumbangan pada yang lain. Oleh sebab itu, seorang mahasiswa hendaklah bijak dalam menguruskan masa supaya mereka tidak terlepas sebarang peluang ketika berada di alam kampus.











Saturday, October 31, 2015


Maal Hijrah
Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam.
Perlu kita sedari bahawa Allah S.W.T tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.
Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T  yang bermaksud:
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)
Kisah Hijrah
Rasulullah S.A.W. berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah S.W.T sebagai Rasul untuk seluruh umat manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah S.W.T supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.
Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah S.A.W .mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah S.A.W. diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.
Rasulullah menunggu perintah daripada Allah S.W.T.. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah S.W.T mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.
Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah S.A.W. walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah S.A.W.. Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah S.A.W. Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah S.A.W. bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah S.A.W.  keluar dari rumah itu. Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.
Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraisy menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah S.A.W. tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh sarang labah-labah dan sepasang burung merpati.
Allah S.W.T membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraisy kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka iaitu Abdullah.
Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraisy. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah S.W.T. Sementara itu, kaum Quraisy di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah S.A.W. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah S.A.W. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah S.W.T., Rasulullah S.A.W. dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah S.A.W dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah S.A.W dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.
Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah S.A.W.. Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah S.A.W. akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah S.A.W. mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah S.W.T.
Kesan daripada penghijrahan Rasulullah S.A.W. dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

Wednesday, September 30, 2015

BENGKEL VIDEOGRAFI FANTASTIK

Alhamdulillah pada 6 September 2015 bersamaan 22 Zulkaedah 1436H (Ahad), Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel telah berjaya menganjurkan sebuah program Bengkel Videografi Fantastik. Bengkel ini diadakan di Makmal Komputer GL209, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Unisel. Dibawakan khas Encik Nor Helmee Zainal Abidin, CEO Bil Hikmah. Beliau mempunyai pelbagai pengalaman bekerja dalam penerbitan di TV3 dan TV Al-Hijrah.
Pelbagai tips yang kami perolehi daripada beliau, didalam pembikinan video kita perlu memahami demografi, kenali emosi penonton dan mengenali sasaran penonton. “Melihat dengan mata masuk ke akal dan mendengar dengan telinga masuk ke hati.” – Encik Helmee.
Lima perkara penting di dalam pembikinan video adalah kandungan (content), posisi kamera (camera angle), muzik latar, bakat, set dan prop. Kandungan di dalam video sangat penting kepada sasaran contohnya golongan tua, kandungannya lebih berbentuk ilmu, kepada golongan muda lebih berbentuk aksesori, animasi atau lakonan dan tidak boleh menyampaikan ilmu yang berlebihan, kerana golongan muda ini lebih sukar memahami jika terlalu banyak informasi yang diberikan. Dan kepada kanak-kanak perlu berulang-ulang, kerana proses pembelajaran mereka untuk mengingat. Dari segi posisi kamera juga Encik Helmee menerangkan beberapa posisi dan pergerakan kamera yang asas di dalam mengambil video.
Kami juga didedahkan tentang kaedah produksi yang melibatkan tiga aturan iaitu ‘Preproduction’, ‘Production’ dan ‘Postproduction’. Kami juga diberitahu tentang kepentingan dan cara membuat ‘Running Order’ (R.O.).
Alhamdulillah, dengan ilmu-ilmu yang telah diperolehi didalam bengkel, kami diminta membuat video berdurasi satu minit. Dengan mematuhi segala yang telah dirancang di dalam R.O,video-video dapat dihasilkan dengan baik.
Semoga dengan bengkel yang telah dijalankan ini dapat memberikan suatu pengetahuan baru kepada semua peserta dan menjadi suatu pemangkin semangat bagi menghasilkan video yang menarik penonton. “ Jangan pandang rendah pada idea bodoh anda” – En Helmee. Jangan takut untuk menghasilkan video, kerana mungkin dengan idea bodoh itu ia memberikan impak yang maksima kepada penonton.

Disediakan oleh, Anis Nur Syuhada Safuan , Pengarah Program 

Memaknai Pengorbanan Keluarga Soleh Nabi Ibrahim AS.

Saban tahun, umat Islam seluruh dunia akan meraikan Eidul Adha pada tanggal 10 Zulhijah, pasti kota Mekah atau Tanah Haram akan dipenuhi dengan lautan manusia yang telah terpilih menjadi jemputan sebagai tetamu Allah. Ucapan Talbiyah, Labbaika Allahumma Labbaik, Labbaikaa syariika laka labbaik, Innal hamda wan ni'mata laka wal mulk Laa syariika laka membawa makna yang sangat mendalam dalam jiwa mereka yang benar-benar merasakan mereka insan yang terpilih kerana berkesempatan menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Setiap perbuatan dan syarat rukun haji yang dilaksanakan membawa mesej hikmah yang tersendiri dan sesiapa yang mendapat haji Mabrur, maka beruntunglah dia kerana tamatnya ibadah haji yang dilaksanakan maka dia umpama kain putih seperti bayi yang dilahirkan ke dunia.

Bukan itu sahaja, ketika Eidul Adha juga, umat Islam yang tidak berpeluang mengerjakan ibadah haji akan berpeluang membuat ibadah korban, dengan membuat sembelihan binatang ternak seperti kambing, lembu, kibas dan kerbau. Ibadah korban ini adalah bersempena memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS setelah mendapat perintah daripada Allah SWT melalui mimpinya bahawa anaknya perlu dikorbankan. Atas tiket perintah Allah dan posisi mereka sebagai hambaNya, maka seruan ini disahut dengan hati yang reda. Sehinggalah turun perintah Allah, supaya penyembelihan itu diganti dengan seekor kibas. Pengajaran atau ibrah yang benar-benar perlu untuk diambil dan dirasai oleh umat Islam hari ini bukanlah sekadar mengerjakan ibadah Haji bagi yang mampu dan melakukan ibadah korban binatang ternak semata-mata, tetapi sesuatu yang lebih besar iaitu memaknai dengan lebih jelas pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.

Melihat konteks hari ini, dengan pelbagai permasalahan serta agenda politik, ekonomi dan budaya yang sedang dirasai oleh umat dunia hari ini, mengorbankan masa lapang untuk diisi dengan aktiviti yang lebih bermanafaat adalah perlu untuk diutamakan. Keluar dari zon selesa perlu untuk difikirkan kewajarannya kerana permasalahan hari ini meminta kita untuk tidak cukup untuk sekadar selesa pada keadaan yang ada sekarang. Hal ini tidaklah bermakna untuk tidak mesyukuri atas apa yang dipinjamkan kepada kita hari ini, tetapi berusaha untuk ‘ambil kisah’ terhadap apa yang berlaku pada hari ini sebagai persediaan unutk menghadapi hari yang akan mendatang dengan mengambil kira dunia 10 tahun akan datang. Persediaan menghadapi cabaran akan datang tidak cukup dengan sekadar hidup memenuhi tugas menghadiri kuliah sahaja.

Mari kita teliti, apakah yang menjadikan anak muda Israel cemerlang dengan pelbagai kejayaan walaupun pada dasarnya Negara mereka tidak diiktiraf penduduk dunia termasuk US. Faktor utama menjadikan produk mereka Berjaya menembusi pasaran dunia dan digeruni Negara lain adalah kerana perinsip mereka yang walau apa hiburan serta aktiviti masa lapang mereka, mereka tidak akan jatuh pada zon selesa. Mereka akan sentiasa berjaga-jaga bahawa sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar iaitu membuat persiapan untuk menghadapi kebangkitan umat Islam. Hasilnya kini, kita bukan sahaja melihat produk mereka menjadi kegunaan kita sekarang, malahan ekonomi kita berada digenggaman mereka.

Sebagai anak muda yang membawa peranan sebagai pelapis, peneraju, penonggak, pencetus kemakmuran dan keamanan Negara, maju dan mundurnya sesebuah Negara adalah terletak pada bahu anak muda. Justeru itu, keluar dari zon selesa, mengorbankan perkara yang dirasakan tidak perlu untuk diperhalusi seninya sehingga membuang masa hendaklah disemak kembali keseriusan terhadap perkara itu kerana siapa kita anak muda hari ini akan memberi impak terhadap perkembangan kemajuan agama, bangsa dan Negara hari esok.

Kegemilangan Melaka pada kurun ke-15, bukanlah sekadar dihayati diatas kertas didalam dewan peperiksaan tetapi dimaknai dalam konteks hari ini.  Bersempena dengan sambutan Eidul Adha dan Hari Malaysia yang jatuh, kurang lebih seminggu  sahaja untuk dimaknai dalam konteks yang lebih besar dengan membawa tenaga anak muda pemuda-pemudi yang merupakan aset penting sumber Negara, barisan ini hendaklah diberi perhatiaan dan dimainkan peranan dengan lebih jelas supaya Malaysia, sebuah Negara Islam yang mempunyai sejarah bangsa melayu yang hebat suatu masa dahulu serta merupakan sebuah Negara yang makmur dan membangun tidak sekadar terhenti gah pada sejarah dan nama sahaja.  

Sekian, Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha.

Monday, August 24, 2015

Hari Kemerdekaan 2015

TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan pada tahun 2015 kali ini lebih menekankan kepada semangat kejiwaan dan bersatu hati rakyat Malaysia apabila Sehati Sejiwa dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun 2015.

Pemilihan tema #sehatisejiwa telah diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek #sehatisejiwa juga mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini selain melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat tidak kira di mana mereka berada. 


Sunday, June 28, 2015

Sukarelawan Zoo Negara (SUZORA)


Assalammualaikum dan selamat menyambut ramadhan kareem 1436 Hijrah. Alhamdulillah ramadhan kali ini GPTD Unisel  telah  melaksanakan Program SUZORA (Sukarelawan zoo Negara) dengan jayanya. Program ini telah melibatkan 42 orang  mahasiswa Universiti Selangor Kampus Bestari Jaya. Objektif program ini adalah untuk menanam semangat  kesukarelawan dalam diri mahasiswa agar dapat menyemai bakti kepada masyarakat disamping menerapkan sifat kasih dan sayang terhadap haiwan.
Akhir kalam, dengan adanya program sebegini, Semoga Sukarelawan zoo Negara yang terlibat tidak berhenti setakat ini sahaja untuk menimba seberapa banyak  ilmu pengetahuan melalui pengalaman tetapi juga sentiasa mengaplikasikan ilmu yang telah diperoleh dalam Program SUZORA untuk pada masa akan datang justeru sepanjang  kehidupan mereka.

Nur Atika Binti Samsanur
ISM Pendidikan Awal Kanak-Kanak









Thursday, June 18, 2015

Salam Ramadan

Semoga Ramadan kali ini adalah yang lebih baik.

Thursday, June 4, 2015

Program Kem Survival Pemuda Relawan Bitara (Mukhayyam SUPERB 2015)




Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD Unisel) dgn kerjasama Persatuan Penggerak Mahasiswa (Ppmu Unisel) akan menganjurkan Program Kem Survival Pemuda Relawan Bitara (Mukhayyam SUPERB 2015) pada 12-14 Jun 2015 bertempat di Tapak Perkhemahan Kalumpang, Tanjung Malim. Penyertaan hanya terhad kpd 30 orng sahaja. Daftar segera, jangan tunggu lagi!!

SAKTI (Kem Asas Sukarelawan & Jati Diri)




Daftar segera : Sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-3917122
Terhad 100 orang peserta sahaja
RM 100 (Ahli)
RM 150 (Awam)
RM 400 (3 Orang)
In sha allah sama-sama kita mendapat ilmu yang bermanfaat


Wednesday, June 3, 2015

XPDC HAMKA 2015






Bestari Jaya,  19-29 Mei 2015 – GPTD Unisel telah menjalankan XPDC HAMKA yang bertempat di Jakarta, Indonesia. Lawatan selama 11 hari ini memberi peluang kepada aktivis GPTD yang terdiri daripada 6 orang sukarelawan untuk melihat sendiri tempat-tempat bersejarah di Indonesia di samping membuat perjumpaan bersama kedutaan Malaysia di Indonesia.

Diskusi utama adalah mengenai pemikiran Hamka, ulama sekaligus sastrawan besar Indonesia. Di samping temubual bersama keluarga Hamka dapat memberi kita peluang untuk mengkaji perspektif lain dalam diri Hamka dan sumbangannya.


Harapan saya supaya masyarakat masa kini khususnya golongan belia lebih berminat untuk mengkaji sejarah lampau kerana tanpa sejarah kita tidak akan tahu asal usul. 

Tuesday, May 12, 2015

Program Go-Kart

Bestari Jaya, 18 April 2015 – GPTD Unisel telah menganjurkan program go-kart yang bertempat di Kelab Go-Kart Tanjung Malim, Perak. Program ini terbuka kepada semua pelajar unisel dan alhamdulillah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 40 orang peserta yang menyertai program tersebut. Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara peserta yang terlibat. Akhir kata, kami berharap agar pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh GPTD Unisel pada masa akan datang. 







Related Posts with Thumbnails