Saban tahun, umat Islam seluruh
dunia akan meraikan Eidul Adha pada tanggal 10 Zulhijah, pasti kota Mekah atau
Tanah Haram akan dipenuhi dengan lautan manusia yang telah terpilih menjadi
jemputan sebagai tetamu Allah. Ucapan Talbiyah, Labbaika Allahumma Labbaik, Labbaikaa syariika laka labbaik, Innal
hamda wan ni'mata laka wal mulk Laa syariika laka membawa makna yang sangat
mendalam dalam jiwa mereka yang benar-benar merasakan mereka insan yang terpilih
kerana berkesempatan menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Setiap perbuatan dan
syarat rukun haji yang dilaksanakan membawa mesej hikmah yang tersendiri dan
sesiapa yang mendapat haji Mabrur, maka beruntunglah dia kerana tamatnya ibadah
haji yang dilaksanakan maka dia umpama kain putih seperti bayi yang dilahirkan
ke dunia.
Bukan itu sahaja, ketika Eidul
Adha juga, umat Islam yang tidak berpeluang mengerjakan ibadah haji akan
berpeluang membuat ibadah korban, dengan membuat sembelihan binatang ternak seperti
kambing, lembu, kibas dan kerbau. Ibadah korban ini adalah bersempena
memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan
anaknya, Nabi Ismail AS setelah mendapat perintah daripada Allah SWT melalui
mimpinya bahawa anaknya perlu dikorbankan. Atas tiket perintah Allah dan posisi
mereka sebagai hambaNya, maka seruan ini disahut dengan hati yang reda. Sehinggalah
turun perintah Allah, supaya penyembelihan itu diganti dengan seekor kibas.
Pengajaran atau ibrah yang benar-benar perlu untuk diambil dan dirasai oleh
umat Islam hari ini bukanlah sekadar mengerjakan ibadah Haji bagi yang mampu
dan melakukan ibadah korban binatang ternak semata-mata, tetapi sesuatu yang
lebih besar iaitu memaknai dengan lebih jelas pengorbanan yang telah dilakukan
oleh Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.
Melihat konteks hari ini, dengan
pelbagai permasalahan serta agenda politik, ekonomi dan budaya yang sedang
dirasai oleh umat dunia hari ini, mengorbankan masa lapang untuk diisi dengan
aktiviti yang lebih bermanafaat adalah perlu untuk diutamakan. Keluar dari zon
selesa perlu untuk difikirkan kewajarannya kerana permasalahan hari ini meminta
kita untuk tidak cukup untuk sekadar selesa pada keadaan yang ada sekarang. Hal
ini tidaklah bermakna untuk tidak mesyukuri atas apa yang dipinjamkan kepada
kita hari ini, tetapi berusaha untuk ‘ambil kisah’ terhadap apa yang berlaku
pada hari ini sebagai persediaan unutk menghadapi hari yang akan mendatang
dengan mengambil kira dunia 10 tahun akan datang. Persediaan menghadapi cabaran
akan datang tidak cukup dengan sekadar hidup memenuhi tugas menghadiri kuliah
sahaja.
Mari kita teliti, apakah yang
menjadikan anak muda Israel cemerlang dengan pelbagai kejayaan walaupun pada
dasarnya Negara mereka tidak diiktiraf penduduk dunia termasuk US. Faktor utama
menjadikan produk mereka Berjaya menembusi pasaran dunia dan digeruni Negara
lain adalah kerana perinsip mereka yang walau apa hiburan serta aktiviti masa
lapang mereka, mereka tidak akan jatuh pada zon selesa. Mereka akan sentiasa
berjaga-jaga bahawa sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar
iaitu membuat persiapan untuk menghadapi kebangkitan umat Islam. Hasilnya kini,
kita bukan sahaja melihat produk mereka menjadi kegunaan kita sekarang, malahan
ekonomi kita berada digenggaman mereka.
Sebagai anak muda yang membawa
peranan sebagai pelapis, peneraju, penonggak, pencetus kemakmuran dan keamanan
Negara, maju dan mundurnya sesebuah Negara adalah terletak pada bahu anak muda.
Justeru itu, keluar dari zon selesa, mengorbankan perkara yang dirasakan tidak
perlu untuk diperhalusi seninya sehingga membuang masa hendaklah disemak
kembali keseriusan terhadap perkara itu kerana siapa kita anak muda hari ini
akan memberi impak terhadap perkembangan kemajuan agama, bangsa dan Negara hari
esok.
Kegemilangan Melaka pada kurun
ke-15, bukanlah sekadar dihayati diatas kertas didalam dewan peperiksaan tetapi
dimaknai dalam konteks hari ini. Bersempena
dengan sambutan Eidul Adha dan Hari Malaysia yang jatuh, kurang lebih seminggu sahaja untuk dimaknai dalam konteks yang
lebih besar dengan membawa tenaga anak muda pemuda-pemudi yang merupakan aset
penting sumber Negara, barisan ini hendaklah diberi perhatiaan dan dimainkan
peranan dengan lebih jelas supaya Malaysia, sebuah Negara Islam yang mempunyai
sejarah bangsa melayu yang hebat suatu masa dahulu serta merupakan sebuah
Negara yang makmur dan membangun tidak sekadar terhenti gah pada sejarah dan
nama sahaja.
Sekian, Selamat menyambut Hari
Raya Eidul Adha.
No comments:
Post a Comment