Alhamdulilah Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah dan kurnia-Nya kita masih dapat merasa nikmat kehidupan serta bernafas di muka bumi Allah s.w.t yang luas ini. Muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd. Jika kita meneliti semula, sepanjang perjalanan kita berpuasa sebulan di bulan Ramadhan adalah merupakan satu perjuangan dan jihad bagi umat Islam, kerana berpuasa bukan sahaja bererti menahan diri dari lapar dan dahaga, serta dari perkara-perkara lain yang di larang ketika berpuasa, tetapi juga merupakan peperangan melawan dan mengawal hawa nafsu dengan bersenjatakan iman, taqwa dan ibadat. Perjuangan ini bukan dengan niat dan semangat semata-mata, tetapi dengan amalan, kesungguhan serta disiplin yang begitu tinggi. Ibadat puasa dapat membawa satu perubahan yang besar, iaitu satu kemenangan kepada diri kita, jika diamal dengan tekun dan sabar.
Jihad sepanjang bulan Ramadhan merupakan satu latihan yang berkesan bagi membawa kita melalui satu proses perubahan sebagai seorang Muslim yang sejati. Bukan sahaja kita harus tekun dan sabar menjalankan ibadah puasa, bahkan dalam keadaan di mana kita menjalankan tugas-tugas harian dan tanggungjawab seperti di bulan-bulan yang lain. Di samping itu, di dalam bulan Ramadhan ini kita dilatih dan terlatih untuk memberi kepada yang memerlukan seperti di dalam pembayaran Zakat Fitrah atau Zakat Harta. Umat islam seharusnya mengambil iktibar dalam suasana yang gembira pasti ada Umat yang lainnya masih menderita disebabkan kemiskinan dan penindasan. Justeru itu, kedatangan bulan Syawal iaitu Hari Raya Aidil Fitri merupakan detik kemenangan bagi seluruh Umat Islam. Yang menjadi harapan kita ialah kemenangan yang berterusan di mana kita dapat menghayati nilai-nilai Islam yang menjadi dorongan dan asas kepada segala amalan kita.
Hikmat puasa yang seharusnya membawa perubahan yang besar kepada Umat Islam. Tahun ini merupaka tahun yang menjadi cabaran bagi seluruh rakyat Malaysia dengan peristiwa Tragedi Pesawat MH17 yang ditembak di dalam wilayah konflik antara Russia dan Ukraine. Umat Islam keseluruhannya sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa pembedilan dan pembantaian di bulan Ramadhan oleh Rejim Zionis ke atas penduduk Islam di Gaza dan Palestine sehinggakan begitu banyak nyawa yang terkorban dan yang menyedihkan kita, kebanyakan mangsa terdiri dariapada kanak-kanak, wanita dan golongan tua.
Segala peristiwa sedih dan pahit yang menimpa umat Islam adalah pengajaran bagi kita semua. Soalnya ialah apakah kita faham pengajaran yang terdapat dalam peristiwa-peristiwa ini. Penebusan maruah dan wilayah Islam, bukan tanggungjawab mereka yang berada di sana sahaja tetapi adalah tanggungjawab seluruh Umat Islam. Tanggungjawab ini bukan memerlukan suara yang berani dan lantang dari sejauh 4000 batu, tetapi, persiapan dan disiplin, yang memberi kesan mendalam. Untuk membuat persiapan ini kita bukan hanya memerlukan dua tiga hari, atau dua tiga bulan, ataupun dua tiga tahun, tetapi puluhan tahun. Yang penting bukan semangat berkobar-kobar yang seperti kata pepatah melayu 'Hangat-hangat tahi ayam', tetapi dedikasi dan azam yang tinggi dan berterusan. Tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi jika kita mempunyai azam yang kuat dan jika kita menggunakan masa dan akal fikiran untuk membuat persiapan.
Jika kita sanggup mengakui hakikat kebenaran ini. Kita harus bersyukur di atas segala rahmat dan nikmat daripada Allah s.w.t di atas kemenangan kita setelah melalui Universiti Ramadhan dengan mengambil iktibar dan pengajaran buat diri sendiri. Dalam kita menyambut kedatangan Syawal ini, penghayatan terhadap iktibar di bulan Ramadhan seharusnya tidak dilupakan begitu sahaja. Kegembiraan yang di sambut juga tidak berlebihan dengan lambakan pelbagai pembaziran. Keselamatan ketika pulang ke kampung untuk menyambut kedatangan Syawal juga perlu di ambil berat.
Seterusnya, akhir kata, mewakili seluruh barisan kepimpinan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD Unisel) mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada sekelian umat Islam.
ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHILHAMD.
Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL
AMIRUDDIN BIN HAMDAN
Presiden Grup Pengkaji Tamadun
Dunia (GPTD Unisel)