Tuesday, November 1, 2011

Pejuang bahasa perlu sentiasa turun padang

Kuala Lumpur, 30 Oktober 2011 - Rakyat perlu memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan serta pada masa yang sama mempelajari bahasa asing untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Beliau berkata masyarakat wajar menambil iktibar daripada sejarah orang Eropah dahulu yang mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang terdapat dalam bahasa itu.
  
Katanya orang Eropah mempelajari sesuatu bahasa untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu tanpa merendahkan kemampuan bahasa mereka sendiri dan mempunyai rasa bangga yang amat kental terhadap bahasa mereka.
  
"Orang Eropah kemudiannya menggunakan bahasa mereka sendiri untuk memperkayakan ilmu yang diperolehi. Mereka menulis karya-karya agung dalam bahasa mereka sendiri. Universiti-universiti didirikan untuk mengajar ilmu yang baru ditemui dalam bahasa-bahasa Eropah.
  
"Hari ini, orang Eropah tidak perlu lagi mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Mereka telah berjaya mencipta ilmu dalam bahasa mereka sendiri dan mengembangkannya ke seluruh dunia dan akhirnya bangsa Eropah menjadi bangsa yang maju dan bahasa mereka juga menjadi bahasa yang maju," katanya.
  
Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibunegara hari ini.
  
Beliau berkata para pejuang bahasa mempunyai peranan penting untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa kebangsaan itu.
  
"Pejuang bahasa tidak harus lagi bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-mata dan perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat, menjadi penggerak kesedaran rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kemajuan," katanya.

Para ilmuan di negara ini juga perlu mempergiatkan usaha untuk berkarya dalam bahasa Melayu selain usaha-usaha penciptaan istilah sains dan teknologi dalam bahasa itu, katanya.
  
"Kerajaan juga akan memperkukuhkan peranan Institut Terjemahan Negara yang akan bertanggungjawab untuk memperhebatkan lagi usaha penterjemahan buku-buku ilmiah antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah menambah khazanah keilmuan dalam bahasa Melayu.
  
"Saya juga menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini bahawa penerbitan dalam bahasa Melayu akan dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.
  
Muhyiddin turut mencadangkan agar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Bahasa Melayu Universiti Malaya dan DBP menjalin kerjasama untuk menawarkan latihan dan kursus dalam bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.
  
"Untuk memastikan akses yang lebih luas dan mudah serta kos yang lebih efektif, teknologi digital boleh dimanfaatkan dengan menawarkan kursus-kursus dalam bentuk pembelajaran atas talian," katanya.
  
Beliau berkata kerajaan juga akan menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu ke negara-negara luar dan melatih rakyat Malaysia di luar negara sebagai munsyi bahasa Melayu mulai tahun depan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails