Thursday, December 1, 2011

INSPIRASI HIJRAH : Meneladani keberanian anak muda


Semangat Hijrah Nabi Muhammad Rasulullah saw dan sahabatnya tidak patut mula dan berakhir hanya pada awal Muharram tetapi perlu terus konsisten meninjau dan memahami makna-makna penting yang boleh ditangkap dan terus masuk ke dalam diri. Maka dikesempatan ini saya ingin membuat beberapa catatan untuk santapan di sepanjang bulan Haram Muharram.

Ayuh kita imbas babak penting anak muda Saidina Ali bin Abi Talib ra yang telah diminta oleh Nabi Muhammad Rasulullah saw. Baginda memberitahu: 'Aku akan berhijrah tetapi engkau perlu mengambil tempat aku di rumah.' Saidina Ali bin Abi Talib tanpa banyak soal menuruti dan mentaati hasrat Nabi Muhammad Rasulullah saw. Saidina Ali bin Abi Talib menyedari bahaya bakal dihadapinya namun demi Rasulullah saw dan kesinambungan risalah nubuwwah beliau merelakan. Pada malam itu, setiap kabilah menugaskan para pemuda mengepung rumah Rasulullah saw.

Mereka mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah saw. Mereka begitu yakin Rasulullah saw tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Saidina Ali bin Abi Talib ra dan bukannya Rasulullah saw bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah saw keluar dari rumah itu. Jika Saidina Ali bin Abi Talib ra menerima Islam pada usia 15 tahun pada usianya pada malam Rasulullah saw berhijrah adalah 28 tahun berdasarkan tahun hijrah Rasulullah saw pada tahun ke 13 selepas kerasulan.

Seorang lagi anak muda untuk tatapan para mujahidah. Asma' Abu Bakar yang telah membantu ayahnya dan baginda Rasulullah saw dengan menghantar bekalan makanan selama tiga hari ke Gua Thur. Ketika itu, Asma' Abu Bakar berusia 27 tahun dikatakan sedang mengandung 7 bulan berulang alik setiap petang dari Kota Mekah ke Gua Thur tempat persembunyian Rasulullah saw dan Saidina Abu Bakar. Jika mengikut kiraan dan ukuran, Asma' Abu Bakar perlu berjalan sejauh 5 kilometer (ulang alik 10 kilometer) dan mendaki Jabal Thur setinggi 458 meter. Jika ketinggian sebegini pada ketika ini perlukan masa 1 jam 30 minit. Dalam catatan, keadaan Jabal Thur yang batu-batuan menyebabkan tapak kaki Rasulullah saw melecet ketika mendakinya.

Oleh itu Saidina Abu Bakar telah mendukung Rasulullah saw hingga ke puncak bukit. Bagaimanakah keadaannya ibu mengandung yang mendaki Jabal Thur? Sungguh besar pengorbanan Asma Abu Bakar. Malah ketika Kaum Quraisy tahu Rasulullah saw sudah terlepas keluar dari Mekah, Abu Jahal, datang ke rumah Abu Bakar dan bertanya kepada Asma Abu Bakar, "Mana ayahmu, hai puteri Abu Bakar?" Jawab Asma Abu Bakar, 'Demi Allah! Aku tidak tahu ke mana ayahku pergi.' Abu Jahal yang jahat dan kurang ajar itu mengangkat tangan dan menampar pipi Asma Abu Bakar hingga melayang anting-anting di telinganya.

Dikatakan bahawa Saidina Abu Bakar tidak meninggalkan sedikit pun bekalan harta tetapi beliau tetap cekal. Dirakamkan dalam catatan sejarah, Asma Abu Bakar berhijrah beberapa ketika selepas peristiwa Hijrah Rasulullah saw. Beliau melahirkan anak di Madinah dan dinamakan Abdullah Bin Zubair, itulah anak pertama muhajirin yang lahir di sana. Jarak Mekah ke Madinah adalah beranggaran 444 kilometer dan mengambil masa 10-14 hari perjalanan.

Begitulah 2 watak anak muda yang berani yang patut diteladani oleh kita semua. Bandingkan diri kita dengan mereka sewaktu mudanya pengorbanan yang telah dilakukan demi keyakinan dan kebenaran. Hijrah hati dan pemikiran adalah total. Keberanian Saidina Ali Abi Talib menanti ajal dihujung tanduk. Keberanian Asma Abu Bakar memikul beban anak dalam kandungan. Ayuh kita mulakan langkah BERANI selepas 1433 tahun HIJRAH Rasulullah saw lakukan sesuatu daripada kejahilan kepada keilmuan, daripada gulip gulita kepada terang benderang.


ABU IRSYAD

7 Muharram 1433H

KUALA LUMPUR


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails