Saturday, April 24, 2010

Mahasiswa dan Aktiviti Universiti

Dalam susurgalur sebagai kehidupan mahasiswa di universiti, kita dititikberatkan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang didalam peperiksaan. Dengan keberhasilan untuk memperolehi keputusan yang cemerlang ini, pelajar dikatakan lebih terjamin untuk mudah memperolehi kerja setelah usai pembelajaran mereka nanti. Inilah pendapat yang sering diberitahu kepada para mahasiswa samaada melalui media, ibubapa, guru-guru dan akhirnya telah mengakibatkan segelintir pelajar mengasingkan diri mereka daripada aktiviti di universiti dan hanya menjadikan universiti sebagai tempat untuk menghadiri kuliah, membaca buku, jawab peperiksaan dan sebagainya.

Keengganan mahasiswa untuk melibatkan diri di dalam aktiviti kampus bukanlah sesuatu perkara yang baru. Bayangkan aktiviti di universiti kita sekiranya di dokumentasikan dan kemudian di jilid untuk menjadi bahan bacaan oleh generasi di masa hadapan. Sudah tentu kita akan berasa malu dengan kelesuan kita dalam melakukan aktiviti di kampus. Jauh berbeza dengan universiti di sebuah negara yang maju, aktiviti di universiti kita banyak dilompongi disebabkan keengganan mahasiswa universiti itu sendiri yang berfikir tindakan mereka untuk tidak aktif itu adalah berada di tempat yang betul iaitu demi menjamin keselamatan CGPA.

Tidak berlebihan sekiranya penulis menganggap bahawa keadaan ini adalah “Zaman kegelapan” bagi universiti dan ia berlaku pada zaman kita sekarang. Keadaan yang sama juga berlaku di zaman kegelapan yang terdahulu samaada di barat dan timur. Zaman kegelapan yang bererti bahawa penduduknya berasa bahawa kehidupan harian yang telah dilaluinya adalah dalam keadaan yang benar dan normal, sebaliknya di masa hadapan menyatakan bahawa zaman yang dilaluinya itu berada dalam zaman yang penuh kekeliruan. Zaman kegelapan ini juga bermakna tiada perkembangan idea berlaku berikutan penduduknya itu sendiri yang sudah berpuas hati dengan apa yang diterimanya. Hakikatnya hal ini boleh sahaja disamakan dengan keadaan kita sekarang, bahawa penolakan kita terhadap aktiviti di universiti bererti kita menolak untuk penjanaan kekreatifan minda dan idea dan sebaliknya memilih untuk menjadi statik dengan menjadikan “A” didalam kertas peperiksaan sebagai matlamat pelajar semata-mata.

Kesan yang diterima bukan sahaja berlanjutan selama bertahun-tahun malah boleh berlanjutan sehingga beratusan tahun akibat daripada tindakan yang tidak mahu berbuat apa-apa ini. Ia juga merebak sehinggakan menimbulkan konflik-konflik yang sia-sia seperti pergaduhan, penipuan dan sebagainya. Akibatnya, perjalanan hidup menjadi sia-sia dan sejarah hanya memandang keadaan itu sebagai zaman yang penuh kesuraman. Tidak lebih daripada itu. Malangnya, hal yang sama juga sedang berlaku di universiti kita. Universiti yang sepatutnya menjadi pusat melahirkan tokoh ilmuan dan cendikiawan akhirnya hanya melahirkan manusia untuk menjadi pekerja yang taat kepada majikan. Mahasiswa apabila tamat pembelajaran di universiti bukannya berfikir untuk berkhidmat kepada negara sebaliknya hanya berfikir untuk bagaimana mencari kerja. Ini kerana aktiviti mahasiswa universiti yang sepatutnya saling bertukar idea dan pendapat telah berganti menjadi pembelajaran sehala yang tidak menjana kekreatifan minda.

Berikutan daripada inilah revolusi pemikiran harus dijalankan. Fikrah mahasiswa yang telah dicorakkan untuk memilih menjadi pasif harus diganti supaya mahasiswa itu sendiri menjadi lebih aktif, kreatif dan bertenaga. Seruan untuk menggalakkan mahasiswa kembali aktif harus banyak dijalankan samaada oleh media, kerajaan, pensyarah mahupun ibubapa. Inilah akhirnya yang akan menunjukkan institusi universiti berbeza sama sekali dengan institusi alam persekolahan dan akhirnya berhasil memperlihatkan gahnya sesebuah institusi yang bernama universiti.

Penulis : Reza Aidil bin Mohd Aris, pelajar Fakulti Sains Sosial Pengurusan Industri di dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Psikologi, Unisel.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails