Wednesday, September 30, 2015

BENGKEL VIDEOGRAFI FANTASTIK

Alhamdulillah pada 6 September 2015 bersamaan 22 Zulkaedah 1436H (Ahad), Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel telah berjaya menganjurkan sebuah program Bengkel Videografi Fantastik. Bengkel ini diadakan di Makmal Komputer GL209, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Unisel. Dibawakan khas Encik Nor Helmee Zainal Abidin, CEO Bil Hikmah. Beliau mempunyai pelbagai pengalaman bekerja dalam penerbitan di TV3 dan TV Al-Hijrah.
Pelbagai tips yang kami perolehi daripada beliau, didalam pembikinan video kita perlu memahami demografi, kenali emosi penonton dan mengenali sasaran penonton. “Melihat dengan mata masuk ke akal dan mendengar dengan telinga masuk ke hati.” – Encik Helmee.
Lima perkara penting di dalam pembikinan video adalah kandungan (content), posisi kamera (camera angle), muzik latar, bakat, set dan prop. Kandungan di dalam video sangat penting kepada sasaran contohnya golongan tua, kandungannya lebih berbentuk ilmu, kepada golongan muda lebih berbentuk aksesori, animasi atau lakonan dan tidak boleh menyampaikan ilmu yang berlebihan, kerana golongan muda ini lebih sukar memahami jika terlalu banyak informasi yang diberikan. Dan kepada kanak-kanak perlu berulang-ulang, kerana proses pembelajaran mereka untuk mengingat. Dari segi posisi kamera juga Encik Helmee menerangkan beberapa posisi dan pergerakan kamera yang asas di dalam mengambil video.
Kami juga didedahkan tentang kaedah produksi yang melibatkan tiga aturan iaitu ‘Preproduction’, ‘Production’ dan ‘Postproduction’. Kami juga diberitahu tentang kepentingan dan cara membuat ‘Running Order’ (R.O.).
Alhamdulillah, dengan ilmu-ilmu yang telah diperolehi didalam bengkel, kami diminta membuat video berdurasi satu minit. Dengan mematuhi segala yang telah dirancang di dalam R.O,video-video dapat dihasilkan dengan baik.
Semoga dengan bengkel yang telah dijalankan ini dapat memberikan suatu pengetahuan baru kepada semua peserta dan menjadi suatu pemangkin semangat bagi menghasilkan video yang menarik penonton. “ Jangan pandang rendah pada idea bodoh anda” – En Helmee. Jangan takut untuk menghasilkan video, kerana mungkin dengan idea bodoh itu ia memberikan impak yang maksima kepada penonton.

Disediakan oleh, Anis Nur Syuhada Safuan , Pengarah Program 

Memaknai Pengorbanan Keluarga Soleh Nabi Ibrahim AS.

Saban tahun, umat Islam seluruh dunia akan meraikan Eidul Adha pada tanggal 10 Zulhijah, pasti kota Mekah atau Tanah Haram akan dipenuhi dengan lautan manusia yang telah terpilih menjadi jemputan sebagai tetamu Allah. Ucapan Talbiyah, Labbaika Allahumma Labbaik, Labbaikaa syariika laka labbaik, Innal hamda wan ni'mata laka wal mulk Laa syariika laka membawa makna yang sangat mendalam dalam jiwa mereka yang benar-benar merasakan mereka insan yang terpilih kerana berkesempatan menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Setiap perbuatan dan syarat rukun haji yang dilaksanakan membawa mesej hikmah yang tersendiri dan sesiapa yang mendapat haji Mabrur, maka beruntunglah dia kerana tamatnya ibadah haji yang dilaksanakan maka dia umpama kain putih seperti bayi yang dilahirkan ke dunia.

Bukan itu sahaja, ketika Eidul Adha juga, umat Islam yang tidak berpeluang mengerjakan ibadah haji akan berpeluang membuat ibadah korban, dengan membuat sembelihan binatang ternak seperti kambing, lembu, kibas dan kerbau. Ibadah korban ini adalah bersempena memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS setelah mendapat perintah daripada Allah SWT melalui mimpinya bahawa anaknya perlu dikorbankan. Atas tiket perintah Allah dan posisi mereka sebagai hambaNya, maka seruan ini disahut dengan hati yang reda. Sehinggalah turun perintah Allah, supaya penyembelihan itu diganti dengan seekor kibas. Pengajaran atau ibrah yang benar-benar perlu untuk diambil dan dirasai oleh umat Islam hari ini bukanlah sekadar mengerjakan ibadah Haji bagi yang mampu dan melakukan ibadah korban binatang ternak semata-mata, tetapi sesuatu yang lebih besar iaitu memaknai dengan lebih jelas pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.

Melihat konteks hari ini, dengan pelbagai permasalahan serta agenda politik, ekonomi dan budaya yang sedang dirasai oleh umat dunia hari ini, mengorbankan masa lapang untuk diisi dengan aktiviti yang lebih bermanafaat adalah perlu untuk diutamakan. Keluar dari zon selesa perlu untuk difikirkan kewajarannya kerana permasalahan hari ini meminta kita untuk tidak cukup untuk sekadar selesa pada keadaan yang ada sekarang. Hal ini tidaklah bermakna untuk tidak mesyukuri atas apa yang dipinjamkan kepada kita hari ini, tetapi berusaha untuk ‘ambil kisah’ terhadap apa yang berlaku pada hari ini sebagai persediaan unutk menghadapi hari yang akan mendatang dengan mengambil kira dunia 10 tahun akan datang. Persediaan menghadapi cabaran akan datang tidak cukup dengan sekadar hidup memenuhi tugas menghadiri kuliah sahaja.

Mari kita teliti, apakah yang menjadikan anak muda Israel cemerlang dengan pelbagai kejayaan walaupun pada dasarnya Negara mereka tidak diiktiraf penduduk dunia termasuk US. Faktor utama menjadikan produk mereka Berjaya menembusi pasaran dunia dan digeruni Negara lain adalah kerana perinsip mereka yang walau apa hiburan serta aktiviti masa lapang mereka, mereka tidak akan jatuh pada zon selesa. Mereka akan sentiasa berjaga-jaga bahawa sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar iaitu membuat persiapan untuk menghadapi kebangkitan umat Islam. Hasilnya kini, kita bukan sahaja melihat produk mereka menjadi kegunaan kita sekarang, malahan ekonomi kita berada digenggaman mereka.

Sebagai anak muda yang membawa peranan sebagai pelapis, peneraju, penonggak, pencetus kemakmuran dan keamanan Negara, maju dan mundurnya sesebuah Negara adalah terletak pada bahu anak muda. Justeru itu, keluar dari zon selesa, mengorbankan perkara yang dirasakan tidak perlu untuk diperhalusi seninya sehingga membuang masa hendaklah disemak kembali keseriusan terhadap perkara itu kerana siapa kita anak muda hari ini akan memberi impak terhadap perkembangan kemajuan agama, bangsa dan Negara hari esok.

Kegemilangan Melaka pada kurun ke-15, bukanlah sekadar dihayati diatas kertas didalam dewan peperiksaan tetapi dimaknai dalam konteks hari ini.  Bersempena dengan sambutan Eidul Adha dan Hari Malaysia yang jatuh, kurang lebih seminggu  sahaja untuk dimaknai dalam konteks yang lebih besar dengan membawa tenaga anak muda pemuda-pemudi yang merupakan aset penting sumber Negara, barisan ini hendaklah diberi perhatiaan dan dimainkan peranan dengan lebih jelas supaya Malaysia, sebuah Negara Islam yang mempunyai sejarah bangsa melayu yang hebat suatu masa dahulu serta merupakan sebuah Negara yang makmur dan membangun tidak sekadar terhenti gah pada sejarah dan nama sahaja.  

Sekian, Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha.


Related Posts with Thumbnails