Wednesday, November 28, 2012

Haramkan shisha yang memudaratkan

Gejala menghisap shisha yang semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran.


Langkah ini perlu diambil dengan segera memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan menghisap rokok.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain.

Penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter.

Mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.

Dalam satu laporan oleh sebuah akhbar tempatan yang memuatkan temubual dengan seorang pengamal perubatan mengenai bahaya menghisap shisha, dikatakan penghisap shisha turut boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan.

Penggunaan arang dalam peralatan dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan si penghisap.

Air didihan yang digunakan juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha.

Tindakan tegas perlu diambil segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan.

SM MOHAMED IDRIS presiden CAP. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Sumber : Malaysiakini

Tuesday, November 20, 2012

CATATAN WACANA SINAR HARIAN “Peranan Ulama Menasihati Pemimpin”

Kami bertolak dari Dewan Biru Unisel pada 3.00 petang.  Tiga orang wakil daripada GPTD  diketuai oleh Sdr Nor Hafiz Bin Razali, Sdr Muhd harris Fadhilah bin Johari dan Sdri Nur Hazzanina Bt Farizah.  Perjalanan kami ke destinasi  memakan masa yang agak lama akibat daripada kesesakan Jalan Raya pada waktu itu. Kami tiba di pusat Karangkraf Shah Alam  pada 3.40 minit petang.

Tepat 4.00 petang program dimulakan dengan Al-Fatehah oleh pengerusi majlis dan diserahkan kepada moderator untuk menguruskan Majlis Wacana Sinar ‘’Peranan  Ulama Menasihati Pemimpin’’. Dr Maszlee Malik dari UIAM bertindak sebagai moderator dalam menguruskan majlis  tersebut. Seterusnya tetamu jemputan yang di bawa khas untuk  hidangan ilmu kepada kita adalah  bekas Presiden ABIM yang juga Presiden Wardah, Datuk Dr Siddiq Fadzil; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Syahrin Md Jamaluddin, yang juga Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Malaysia. Pada awalnya setiap jemputan diberi masa dua minit untuk memberi hujah atau pandangan dan pengenalan terhadap tajuk utama forum wacana ini. Kemudian pusingan kedua sesi diteruskan sehingga pusingan kedua dan pusingan ketiga. Pada pusingan keempat yang menariknya di sana audien diberi peluang untuk menanyakan soalan. Sebagai penutup jemputan khas untuk wacana diberi peluang  menyimpulkan forum ini.

Sesi pertama dimulakan oleh Datuk Dr. Siddiq Fadzil beliau menceritakan siapakah ulama yang sebenarnya dan definisi seorang pemimpin. Memang sangat menarik setiap hujah yang diberikan. Memetik daripada salah satu hujah dari beliau ketika  teringat pada satu puisi seorang ibu dan ayah yang menasihati anak nya. ‘’apabila besar jadilah orang besar kerana orang besar itu habuannya banyak, orang kecil habuannya kecil, orang kecil jujur dibilang tolol,orang besar tolol dibilang jujur, orang besar bisa berbicara seenaknya, orang kecil paling-paling dibicarakan’’  beliau juga turut mengupas ciri-ciri ulama yang sebenarnya ulama adalah orang yang diangkat oleh masyarakat kerana sifat-sifat yang boleh dicontohi. Seterusnya giliran  Dr. Asri memberi hujah adalah  apakah hubungan pemimpin dengan ulama dan bagaimana ulama menegur pemerintah adakah ulama perlu menegur pemerintah secara terbuka atau tertutup. Persoalan di sini adakah ulama menegur pemerintah dengan berjumpa dengannya, atau mengkritik secara terbuka atau perlu diampu semasa menegur? Giliran ketiga merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno iaitu Shahrin Jamaluddin juga menyetujui pendapat yang diberikan oleh Dr. Asri. 

Dalam sesi kedua pusingan berjalan seperti biasa antara isu yang hangat diutarakan daripada Datuk Dr. Siddiq Fadzil dengan menyokong pendapat beliau berkenaan  ciri-ciri  ulama yang benar-benar ulama. Ulama yang menjadi ulama bukan orang yang mengaku dirinya ulama tetapi diangkat oleh masyarakat berdasarkan pemerhatian dan perwatakannya yang menjadi tauladan. Dengan itu, ulama yang dipilih oleh masyarakat merupakan ulama yang mewarisi sifat-sifat para anbia’ dan ulama itu yang sepatutnya dicontohi. Majlis diteruskan dengan hujah yang diberikan oleh Dr. Asri yang merupakan jemputan khas yang amat berpengalaman dalam membahaskan topik  ini. Dalam penyampaian beliau telah menyentuh tentang isu yang sangat sensitif adalah sekiranya pemimpin itu dipilih dikalangan ulama, bagaimana atau adakah pemimpin itu tidak boleh ditegur? Beliau telah memberi contoh salah satu parti di Malaysia iaitu Parti Pas. Seandainya Pas memimpin negara ini suatu hari nanti adakah pemimpin mereka tidak boleh ditegur, sekiranya hal ini telah disuburkan dalam parti itu sendiri tidak hairanlah di masa akan datang  negara ini dipimpin seperti Ayatollah. Maka, pemerintah harus bersikap terbuka untuk menerima teguran daripada ulama.  

Seterusnya, merupakan giliran Syahrin Md Jamaluddin yang menjawab soalan moderator iaitu  peranan ulama UMNO dalam menegur pemimpin UMNO itu sendiri. Menjawab  pertanyaan tersebut  setiap tahun setiap cawangan pusat akan membuat musyawarah di mana pada ketika itu mereka menegur dan membuat penilaian terhadap setiap ketua-ketua bahagian menurut kata beliau pada sidang wacana tersebut. Sesi yang ketiga diteruskan dengan pandangan yang cukup menarik daripada  Datuk Dr Siddiq Fadzil iaitu pemimpin yang dipilih merupakan orang yang berduit. Hal ini telah disuburkan didalam UMNO itu sendiri, kita dapat melihat bahawa pemimpin yang dipilih merupakan orang yang berduit. Di sini saya suka memetik kata-kata beliau “dalam politik ini  pendapat-pendapat ulama  itu tidak penting, yang penting adalah pendapatan”.  Diteruskan dengan giliran Dr. Asri untuk memberi hujah beliau adalah dengan menyambung dan menyokong  apa yang diutarakan oleh Datuk Dr Siddiq Fadzil dan pandangan beliau pada sesi yang sebelum ini. Beliau menegaskan secara santai Adakah ulama perlu menegur pemerintah secara terbuka atau tertutup? Yang membolehkan ulama menegur secara terbuka adalah jika masalah itu merupakan kepentingan awam maka, ulama harus menegur secara terang-terangan dan beradab sopan. Disebaliknya, jika masalah melibatkan perilaku peribadi harus ditegur secara peribadi dengan berjumpa dengan pemimpin itu dan tegurlah dengan adab kesopanan.

Pada sesi yang ke-empat ini audien diberi peluang tampil untuk melontarkan sebarang pertanyaan. Antara pertanyaan yang menarik minat saya adalah pemimpin  patut dipilih dalam kalangan ulama. Dr. Asri menjawab persoalan ini ulama itu boleh menjadi pemimpin sekiranya dia mempunyai sifat kepimpinan dan bukan semua ulama ada sikap kepimpinan mungkin ulama itu sendiri  ada integriti dan sifatnya diangkat menjadi ulama tidak bermakna dia boleh menjadi pemimpin. Namun sekiranya ulama itu mempunyai sikap kepimpinan maka,boleh dijadikan pemimpin. Dalam sesi membuat kesimpulan, ulasan yang cukup  bagus untuk dikongsi daripada Datuk Dr Siddiq Fadzil ialah kerajaan perlu memberi peluang kepada rakyat untuk mandiri. Beliau mengatakan rakyat terlalu bergantung dengan kerajaan nah, disini kita melihat untuk membuat Majlis Maulidur Rasul pun minta bantuan dari YB seperti yang di ulas oleh Shahrin Md. Jamaluddin. sebagai contoh institusi seperti sekolah rakyat perlu diadakan. 

Pada 6:30 petang acara yang berlangsung selama dua jam selesai. Kami bertolak pulang ke unisel dan selamat tiba tanpa sebarang kesesakan jalanraya. Di sini, kami yang mewakili GPTD mengucapkan terima kasih kepada En. Izwan Suhadak, Penasihat GPTD Unisel kerana memberi peluang untuk menghadiri majlis ini yang amat bermakna kepada kita semua. Majlis yang sangat baik dan patut dirasai budaya perbahasan dan suasana menimba ilmu seperti ini di seluruh kampus di Malaysia.

Nur Hazzanina Bt Farizah merupakan mahasiswa jurusan Diploma TESL di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor dalam semester dua tahun pertama. Beliau adalah Exco Unit Bahasa di bawah Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel. Boleh dihubungi melalui Facebook : Erysza Sophea.

Monday, October 29, 2012

Sukarelawan bersilaturahmi semasa Kembara Qurban @Patani

PATANI, 28 Oktober 2012 - Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) telah menghantar empat sukarelawan dalam Kembara Qurban @Patani dengan usahasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Hayrat Foundation yang menjayakan ibadah qurban di Wilayah Selatan Thailand yang meliputi Narathiwat, Yala dan Patani. Projek ini adalah rentetan daripada Kembara Ramadan @Patani yang dilaksanakan pada bulan puasa yang lepas. Meneruskan misi rahmatan lil alamin untuk mempertautkan ukhuwah umat Melayu di wilayah bergolak di bumi Patani GPTD komited untuk melaksanakan Kembara Qurban @Patani. Selesai pengagihan lembu dan sembelihan serta penyerahan daging qurban, sukarelawan GPTD sempat singgah di Surau Aur di Yaring Patani, binaan surau yang tertua di Asia Tenggara (lebih 500 tahun). 
 
Muhammad Fakhrul Amiruddin telah mengetuai sukarelawan GPTD iaitu Huzaimi, Tengku Farhana dan Ili Akmal. Turut serta dalam delegasi kali ini adalah rakan strategik GPM adalah saudara Soleh daripada Turki dan fasih berbahasa Melayu. Beliau telah ikuti ibadah qurban di Patani buat kali kedua untuk kali ini. "Terima kasih kepada GPTD kerana telah memberi peluang kepada saya untuk mengikuti kembara ini, pengalaman dan ilmu tidak akan saya lupakan", kata saudari Tengku Farhana yang sangat teruja dengan misi kali ini. "Kami tidur bersama keluarga angkat dan rasa sangat mesra seperti sebuah keluarga kandung", kata saudari Ili Akmal yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke sini.

-Unit Media

Travelog Ekspedisi Generasi Muda


Oleh Wan Ritini Wan Ismail, Aktivis Grup Ibn Battutah GPTD

25 April 2008 (Jumaat)

Usai solat Subuh, aku masih termangu-mangu. Antara percaya dan tidak, antara yakin dan tidak..harinya telah tiba. Hari yang sepatutnya kami berempat, anggota X-GEM akan berangkat ke Aceh. Jujur kukatakan, saat-saat akhir begini bisikan syaitan amat kuat. Bermacam-macam benda yang terlintas di fikiranku. Lantas, jalan paling selamat yang kupilih adalah berdiam diri. Cuba memotivasikan diri dengan hal-hal yang positif.

Sesampainya di Anjung Rahmat, perasaan di dada semakin membuak-buak. Teringat kata-kata ibuku, “Setiap apa yang kita buat, kita mesti yakin. Ingat, apa yang Allah takdirkan untuk kita..adalah yang terbaik untuk kita. Mungkin kebaikan tu kita tak nampak sekarang, tapi pasti ada.”

Kawan sekelasku semasa di Tahun Asas, Zaidi turut datang ke sini untuk mengucapkan selamat jalan. Dia adalah antara pengasas Biro al-Rihlah. Namun, entah kenapa dia syahid di tengah jalan. Mungkin terikat dengan komitmen yang lebih penting. Dia benar-benar terkejut apabila mendapat tahu kumpulan kami akan ke Aceh. Perasaan sedikit menyesal mungkin terlintas di fikirannya.

Sebelum bertolak ke LCCT, kami diberi amanat terakhir oleh Abg Din. Misi Rahmatan Lil Alamin ini memerlukan keikhlasan dan kekuatan mental yang tinggi. Bersama dalam satu kumpulan mestilah sentiasa berbincang, bertolak ansur, dan memahami antara satu sama lain. Andai timbul sebarang pertelingkahan, wajar diselesaikan dengan segera sebelum merebak dan boleh menjejaskan prestasi kumpulan.

Kami bertolak ke LCCT dengan menaiki van yang dipandu oleh Hakim. Tiba-tiba sesuatu yang tidak dijangka telah terjadi. Kami tertinggal laptop! Perasaanku pada waktu itu memang tak keruan. Terpaksa kami berpatah balik ke Anjung Rahmat. Semua berdiam diri bagaikan pesalah yang akan dihukum gantung. Aku rasa bersalah kerana tidak peka dengan barang sendiri. Memang kami sudah sepakat menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga laptop itu kepada Fendi, tetapi sebagai tuan punya laptop..aku cuai!

Kami tiba di LCCT pada pukul 10.50 pagi.   Kami agak kelam-kabut di sana kerana masing-masing tiada pengalaman berlepas ke luar negara. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi prosedur yang telah ditetapkan.Deringan telefon bimbit mematikan langkahku. Nama abang yang tertera. Tapi kutahu, suara ibu yang bakal kudengar. Tepat sekali. Perasaan sebak tiba-tiba hadir. Aku benar-benar perlukan sokongan ibu di saat ini. Aku membayangkan alangkah indahnya andai ibu yang bakal melambai-lambaikan tangan di sini. Sepertiku, ibu juga begitu. Suaranya tertahan-tahan kerana menangis. Pesanannya supaya aku menjaga solat, makan, adab dan tingkah laku semasa berada di sana nanti. Aku terlalu payah untuk menangis. Tapi bila mendengar esakan ibu, hatiku runtun. “Misi ni bukan setakat membawa nama kumpulan kamu, tapi juga nama negara dan agama.”

Pengalaman pertama menaiki pesawat amat menyeronokkan. Apa yang lebih menyeronokkan, penumpang di sebelah kananku adalah orang Aceh. Perjalanan selama 1 jam 25 minit itu telah membibitkan sebuah perkenalan antara kami. Namanya Kak Nur Asmah, dari Lhokseumawe. Dia amat senang hati bila aku bercakap dalam bahasa Aceh. Sebaris dua ayat cuma. Banyak cerita daripadanya yang boleh kutitip sepanjang berada di sana nanti.

Setibanya kami di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda, sekali lagi kami berdepan dengan masalah. Kami terpaksa mengisi borang penumpang luar negara. Kamilah antara orang yang terakhir yang keluar daripada lapangan terbang itu.

Langkah kaki seakan kaku apabila melihat keadaan di lapangan terbang di sini. Bagaikan ada suatu renjatan elektrik, hati bagai dipalu-palu. Benarkah apa yang kulihat? Lapangan terbang di sini seperti stesen kereta api daerah di Malaysia. Orang-orang di sini mula memandang kami dengan pandangan yang luar biasa. Abg Faisal yang sepatutnya datang menjemput kami telah ke masjid terlebih dahulu untuk solat Jumaat. Kami menunggu di situ. Beberapa orang lelaki datang menawarkan perkhidmatan kereta sewa. Aku mulai rasa kurang selesa dengan keadaan itu. Bukan memburukkan mereka, tapi wajah-wajah penduduk yang kami lihat di sini amat menakutkan. Imaginasiku mula melayang memikirkan hal yang pelik-pelik. Doaku semoga Abg Faisal akan cepat sampai.

Alhamdulillah, tak lama kemudian Abg Faisal tiba dengan menaiki kenderaan yang bernama Kijang. Kami menyusuri jalan-jalan di Banda Aceh untuk ke Sekretariat Global Peace Malaysia (GPM), di Pagar Air.

Pada pengamatanku, suasana di sini tidak jauh bezanya dengan tempat kelahiranku, Kelantan. Keadaan persekitaran, gaya hidup penduduk, struktur bangunan dan kediaman mirip sekali. Kebetulan, sewaktu kami melalui jalan-jalan di sini, beberapa buah masjid baru sahaja selesai solat Jumaat dan kami dapat melihat orang ramai berpusu-pusu meninggalkan masjid. Hal ini terus mengingatkan aku kepada tanah air tercinta.

Setibanya kami di Sekretariat GPM, kami disambut oleh isteri Abg Faisal, Kak Nila dan anak mereka, Fatih. Wah, ada bendera Malaysia yang berkibar di bumi Aceh!
Kami solat jamak taqdim dan makan tengahari. Sedikit mesyuarat ringkas telah kami adakan bersama Abg Faisal. Ini bagi melicinkan perjalanan misi kami nanti.

Muzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam adalah tempat pertama kami kunjungi bagi memulakan rencana kami di sini. Di sini ada replika Makam Ratu Nahrisyah, beberapa keping lempengan emas yang ditemui di makam Sultan Iskandar Thani, surat-surat Raja Samudera Pasai (Sultan Zainal Abidin V kepada Alfonso de Albuquerque). Di bahagian atas muzium ini pula terdapat pakaian dan perhiasan tradisional orang Aceh. Kami turut mengunjungi Rumah Aceh yang terletak di hadapan muzium ini.

Kami ke Masjid Raya Baiturrahman untuk menjemput Abg Murdani, wakil dari Dewan Dakwah Islam Indonesia (DDII).Kami difahamkan, Abg Murdani yang akan menemani kami menjalankan misi sepanjang berada di sini.

Selepas itu, kami ke makam Syeikh Abdul Rauf bin Ali AlFansuri AlSingkili. Kawasan makam ini masih dalam proses pembaikan semula selepas dilanda tsunami. Di sekitar kawasan ini juga terdapat rumah-rumah yang baru dibina. Syukur tak terhingga kerana walaupun tragedi yang menimpa penduduk di sini telah berlaku 4 tahun yang lalu, kami akhirnya sampai juga di sini. Kami berjalan-jalan di kawasan pantai yang terletak di hadapan makam tersebut. Apabila memandang air laut yang berombak tenang, aku terfikir tsunami yang berlaku dahulu. Betapa besarnya kuasa Allah s.w.t. Dengan sekelip mata sahaja, air yang tenang bisa mengorbankan beribu-ribu nyawa dan meruntuhkan bangunan yang berdiri teguh. Subhanallah!

Kami juga dibawa melawat kesan tsunami yang lain. Kapal yang mendarat di atas 3 buah rumah. Menurut Abg Faisal, kapal ini diperbaiki dan akan dijadikan suatu tempat lawatan sejarah untuk kunjungan orang ramai.  

Seterusnya, kami dibawa melawat pejabat DDII. Di sini, kami diberi penerangan ringkas mengenai badan dakwah ini. Kami juga berbincang mengenai perjalanan program kami sepanjang berada di sini. Aku pelik..sepanjang perbincangan kami itu, Abg Murdani seolah-olah hanya bercakap dengan Fendi dan Hafiz. Terasa bagaikan terpinggir. Syafa juga turut merasai hal yang sama. Akalku terus berfikir, bagaimana kami ingin berkomunikasi dengannya selama seminggu di sini? Hom!

Kami kembali ke Sekretariat GPM sekitar jam 6.30 petang. Teringat seketika..jika di Malaysia sekarang sudah jam 7..30 malam. Cintaku tertinggal di Malaysia..

Selepas solat jamak taqdim secara berjemaah, kami mengadakan mesyuarat. Muhasabah mengenai perjalanan kami pada hari ini dan perancangan untuk esok. Selepas makan malam, kami menyiapkan tugasan masing-masing. Bahagianku adalah menyiapkan laporan untuk dihantar ke Malaysia malam ini. Suatu kejadian yang tak diduga berlaku. Fendi memarahi Hafiz. Aku cuma berdiam diri. Api yang  sedang bernyala tak wajar diusik. Nanti makin merebak.

Apabila Fendi keluar ke Warnet (Warung Internet) untuk menghantar laporan kepada Abg Su, aku memanggil Hafiz. Aku perlu “membasuh” pemikirannya sekarang. Memang telah kuketahui, dia sedang kecewa dengan apa yang terjadi dalam hidupnya sebelum ke sini, tetapi bila sudah dicampur-adukkan dengan kerja, aku harus bertindak. Jika tidak, kami mungkin bergaduh dengan lebih dahsyat. Selepas sesi “basuhan” itu, kami berehat dan menyiapkan barang-barang untuk dibawa esok.

26 April 2008 (Sabtu)

Hari kedua kami di Banda Aceh. Selepas solat Subuh berjemaah dan rehat seketika, aku berjalan-jalan di sekitar sekretariat. Melihat anak-anak kecil yang bermain di halaman rumah membuatkan hatiku terdetik, bagaimana masa depan mereka nanti seandainya kemiskinan terus membelenggu? Kanak-kanak di negara kita disuap dengan pelbagai kemewahan walaupun ada segelintir yang merana, tapi di sini apa yang kuamati kebanyakan kanak-kanak hidup dalam serba kekurangan.

Kami bersiap-siap untuk ke terminal bas. Seorang gadis manis mengunjungi kami. Menurut Kak Nila, dia adalah anak angkat kepada Ummi Sharifah, rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan GPM, namanya Iras. Sepanjang perjalanan menuju ke terminal bas, kami berbual panjang dengannya. Dia juga pernah ke Malaysia mengikut ibu angkatnya. Kami singgah di Masjid Raya Baiturrahman untuk menjemput Abg Murdani. Setibanya di terminal bas, kami terus membeli tiket ke Lhokseumawe. Ada gambar angsa di dinding bas itu. Apa yang menarik perhatian kami, ada dua ekor angsa dibawa naik ke dalam bas itu. Terlintas di fikiran ketika itu, mungkin simbolik kepada bas. Telahanku silap, rupa-rupanya angsa itu adalah milik salah seorang penumpang. Saat itu aku hampir tergelak kerana tekaanku yang merapu tanpa bertanya terlebih dahulu. Benarlah kata Abg Murdani “Malu bertanya,jalan-jalan”.

Sementara menanti bas bertolak, kami duduk di tempat yang disediakan. Mataku melilau ke kawasan persekitaran. Di sini, kanak-kanak berpakaian compang-camping dan kotor, lelaki dewasa tanpa arah tuju, dan orang tua yang tidur di tempat duduk di situ. Perasaanku bercampur-baur. Di mana nilai kemanusiaan kita?

Sudah tiba masanya kami bertolak. Pengalaman pertama menaiki bas di negara orang tidak dapat dilupakan. Sedang enak menikmati pemandangan di sekeliling, aku terhidu bau asap rokok. Hampir terkejut apabila terpandang pemandu bas yang merokok di dalam bas yang berhawa dingin. Hatiku menggelegak. Orang di sini merokok dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira tempat awam atau bukan. Terpaksalah kami menahan apatah lagi berada di tempat duduk paling hadapan. Rupa-rupanya, bukan dia seorang yang berbuat demikian. Ada juga penumpang lain yang turut merokok.

Setiap kali bas berhenti, akan ada pengemis menaiki bas untuk meminta wang dan penjual makanan yang menjual pelbagai jenis makanan kepada penumpang. Perjalanan jauh yang memakan masa itu kurasakan seperti rentetan perjalanan kehidupan masyarakat di sini. Bas berhenti di hadapan sebuah kedai makan. Bab makan di tempat lain selain daripada rumah, amat menyeksa batinku. Namun kutahu, aku harus hadapi keadaan ini apatah lagi apabila berada di sini.
Jalan menuju ke Kota Lhokseumawe agak mencabar kerana terdapat curam, bukit, dan bermacam kerosakan jalan yang lain. Namun, kehebatan pemandu di sini apatah lagi pemandu bas yang kami naiki memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 7 jam 15 minit itu akhirnya tamat. Hari sudah gelap. Turun sahaja dari bas, kami menanti di perhentian bas yang disediakan. Ada dua orang gadis dan seorang kanak-kanak perempuan melintas jalan dan menuju ke arah kami. Fikirku, mungkin mereka adalah orang yang bakal menyediakan tempat tumpangan untuk kami. Sapaan mereka meyakinkan kami. Mereka adalah Kak Asniah dan Mulyani bersama sepupu mereka,  Pipit. Di seberang jalan Mamak (panggilan bagi ibu) mereka menanti bersama Reza, anak lelakinya. Mereka berempat adalah keluarga Kak Nila, Kami dibawa ke rumah mereka yang letaknya lebih kurang 0.4 km dari perhentian bas tadi.

Suasana kampung mulai terasa. Ingatan sekali lagi terbias ke kampung halaman di Malaysia. Sebuah rumah yang sederhana. Bagi lelaki, mereka ditempatkan di pesantren yang terletak berdekatan dengan rumah ini.

Sewaktu ingin membuka pili, ternyata tidak keluar air. Panik seketika dengan keadaan itu. Melalui Mamak, aku kini mengetahui bahawa mereka tidak mendapat bekalan air apabila malam menjelang. Air untuk mandi dan kegunaan lain telah disimpan di dalam besen-besen.

Selepas makan malam, kami mengunjungi ketua kampung yang dipanggil Geucik di sini. Ini adalah adat apabila berkunjung ke tempat orang, apatah lagi kami yang berlainan negara. Beliau berasa bangga dan bertuah kerana mendapat kunjungan dari kami, orang Malaysia. Seperti yang kulihat di dalam bas, Geucik juga merokok. Malahan, lelaki muda di sebelah beliau (anak Abi, ketua pesantren) juga merokok. Apabila kutanyakan hal ini kepada Mamak, dia mengatakan majoriti lelaki Aceh merokok tak kira usia tua atau muda. Di situ, aku membuat satu kesimpulan kecil bahawa mereka kurang mementingkan aspek kesihatan.

Kunjungan kami seterusnya adalah rumah Abi, ketua pesantren. Adat menumpang di tempat orang, memang sewajarnya kami sebagai tetamu memulakan pertemuan. Di pesantren yang diuruskan oleh beliaulah, Abg Murdani, Fendi, dan Hafiz akan menginap.
Pulang sahaja dari melawat ketua kampung dan ketua pesantren, kami memulakan diskusi dan perancangan untuk esok. Kami terus mempersiapkan laporan dan memindahkan gambar ke laptop.

Tidurku pada malam itu agak terganggu dengan nyamuk-nyamuk yang menggigit seluruh badan. Tapi, dek kerana kepenatan aku terpaksa menderma darah kepada serangga-serangga itu. 


27 April 2008 (Ahad)

Seawal jam 5.00 pagi aku terjaga. Seluruh badan bengkak-bengkak digigit nyamuk. Dengan mata yang berat, aku melangkah ke tandas. Teringat kata-kata Abg Faisal semalam “Orang Islam sekarang kuat-kuat. Kerja angkat batu, angkat besi. Tapi mahu angkat selimut dan buka mata untuk solat Subuh susah sekali.” Serta-merta mataku membulat. Agak pedas peringatan itu. Langkah kaki terhenti apabila Kak As memberitahu kami tiada air.

Kami perlu ke rumah jiran sebelah untuk menimba air dari perigi. Seingatku, kali terakhir aku menimba air dari perigi adalah beberapa tahun yang lepas. Itupun kerana rumah kami di kampung terputus bekalan elektrik. Selepas itu, kami cuma perlu membuka paip sahaja. Tidak perlu bersusah-payah menimba lagi. Di sini, aku mengulangi kenangan itu kembali. Menjelang jam 7.00 pagi, air belum lagi keluar. Aku dan Syafa mula memikirkan yang kami tidak akan mandi pada hari ini. Agak sedih waktu itu. Tapi, inilah namanya pengorbanan. Kita perlu mengorbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Syukur alhamdulillah, air mulai keluar pada jam 7.30 pagi. Kami bersiap dan menikmati sarapan pagi sebeleum bertolak ke destinasi yang dituju.

Pengalaman pertama menaiki labi-labi amat menyeronokkan. Kenderaan ini boleh memuatkan 12 orang penumpang. Perasaan kagum mulai kurasakan kerana setiap penumpang akan membayar kepada pemandu atau kelindan yang berada di bahagian depan. Aku terfikir, adakah semuanya jujur? Turun dari bahagian penumpang dan terus ke pemandu untuk membayar tambang. Bermacam-macam gaya orang dapat kulihat apabila berada di dalam labi-labi ini.

Setibanya di Kota Lhokseumawe, kami berjalan menuju ke pejabat Persatuan Pelajar Islam (PII). Jarak pejabat yang jauh dari jalan utama memakan masa yang agak lama. Setibanya kami di sana, kami dijemput ke ruang mesyuarat mereka yang terletak di bahagian atas bangunan tersebut. Tergamam seketika apabila menjengah ke ruang ini. Kosong tanpa sebarang kelengkapan. Kerusi disusun sebaik sahaja kami masuk. Perjumpaan dengan pelajar-pelajar itu amat menarik. Rupa-rupanya mereka masih menuntut dalam menengah tinggi. Namun, kepetahan berbicara tak dapat disangkal lagi. Sebagai setiausaha, tugasku kali ini agak mencabar. Mana tidaknya, percakapan mereka agak cepat dan bahasa Indonesia + Aceh menyukarkanku untuk mencatat setiap isi percakapan mereka.

Selepas pertemuan itu, kami meneruskan perjalanan ke tempat yang seterusnya iaitu rumah salah seorang pimpinan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI). Sungguh menakjubkan apabila mereka yang kami temui seakan-akan bukan mahasiswa. Lagak dan gaya mereka seperti pemuda jalanan. Bukan merendahkan martabat mereka apatah lagi memperlekehkan kredibiliti mereka sebagai pemimpin persatuan, tetapi hakikatnya begitu. Mata tidak akan menipu. Aku dikejutkan dengan huluran tangan daripada salah seorang wakil HMI yang ingin bersalaman. Cepat-cepat tolak dengan senyuman dan tunduk hormat. Harapanku semoga dia akan faham. Perkenalan dan perbincangan kami pada waktu itu berjalan lancar. Banyak perkara yang dibangkitkan mengenai hubungan dua negara jiran ini. Mereka juga mencadangkan kami buku untuk membantu kajian kami nanti iaitu Peradaban Aceh karya Muhammad Umar.

Kami solat di Masjid Darussalam. Aku begitu tertarik dengan cara hidup orang di sini. Mereka akan cepat-cepat ke masjid sebaik sahaja azan dilaungkan. Kuperhatikan, saf jemaah lelaki hampir 4 baris. Struktur, rupa bentuk masjid di sini agak berbeza dengan masjid di Malaysia. Konsep open air bagi setiap masjid yang kami lihat di sini amat menarik perhatian kami. Mana tidaknya,selain daripada menjimatkan tenaga elektrik (kipas), kita juga dapat menghirup udara segar. Begitu juga dengan tempat mengambil air sembahyang.

Di sini, tempat mengambil air sembahyang tidak terletak berdekatan dengan tempat solat. Bagi kaum wanita, kami terpaksa mengambil wudhuk dan bersiap-siap di tempat tersebut dan terus ke dewan solat. Selain itu, tiada masjid yang dibina dua tingkat. Satu paras dan tiada tirai antara lelaki dan wanita. Jadi, setiap orang mesti menjaga aurat dan batas kerana dewan solat masjid ibarat suatu kawasan lapang yang akan dipenuhi dengan manusia apabila waktu solat menjelang.

Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI) adalah badan ketiga yang kami temui dan bertempat di masjid ini. Sekali lagi aku diuji. Bahasa dan percakapan mereka yang cepat menyukarkan aku mencatat. Keadaan agak bercelaru seketika apabila Fendi diminta menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang muslimah. Mereka tidak memahaminya lantas suasana tidak terkawal serta-merta.

Jalan terbaik, aku dan Syafa mendekati mereka menerangkan satu persatu. Begitu juga dengan kaum lelaki. Tugas Fendi dan Hafiz untuk menjawab setiap persoalan yang mereka timbulkan.

Kami ke kedai makan yang berdekatan untuk makan tengahari sebelum bertolak ke Makam Sultan Malikussaleh. Kami ke sana dengan menaiki labi-labi. Suasana menjadi meriah apabila lawatan itu bukan setakat kami, tetapi juga ditemani oleh teman-teman dari PII, HMI, dan KAMMI. Pada waktu itu, aku mengagumi sikap mereka yang mudah mesra dengan kami sehingga sanggup menemani kami mengunjungi tempat-tempat yang kami lewati.
Sedang asyik aku megumpulkan maklumat dari penjaga makam di Makam Ratu Nahrisyah, Syafa datang. Dia agak terasa hati dengan apa yang telah Fendi katakan padanya. Aku cuba mengambil jalan tengah kerana tidak ingin hal ini menjadi semakin parah. Namun, Syafa tetap dengan keputusannya. Dia bertegas mengatakan dia benar-benar mendengar perkataan itu keluar dari mulut Fendi. Aku tidak berada di tempat mereka bercakap tadi, jadi sama ada hal itu benar atau tidak…entahlah.

Pulang dari lawatan-lawatan tersebut, kami mempersiapkan diri. Sewaktu ke tandas, kudapati paip tidak berfungsi. Air tidak keluar. Bukan setakat itu, apa yang lebih membuatkan aku rasa seperti ingin menangis adalah apabila terdapat dua ekor katak yang berlainan saiz berada di sekitar tandas. Tanpa menghiraukan perasaan malu, aku bertempik sekuat hati. Mamak datang. Untuk seketika, dia tergelak. Ditambah pula dengan kehadiran Kak As dan Mul. Teruk aku diketawakan. Namun, Mul menemaniku sehingga selesai aku mandi. Perasaan malu yang teramat sangat memang ada. Tetapi demi ‘menyelamatkan’ diri daripada katak-katak itu, terpaksa kutebalkan muka. Peristiwa ini mengingatkanku kepada sejarah silam yang pernah kualami.

Sepanjang malam mereka mentertawakanku. Selepas makan malam, kami bersiap-siap untuk keluar bagi memenuhi undangan wakil dari HMI. Pada malam itu, mereka meraikan kami bagaikan seorang raja. Tiba-tiba fikiranku terlintas kepada salah satu bab dalam Kitab Ibn Battutah. Dalam bab di mana Ibn Battutah singgah di Samudera-Pasai, beliau dilayan dengan baik sekali kerana adat orang di situ yang memuliakan tetamu. Wah, kami kini merasai apa yang pelayar Islam itu rasa. Biarpun berbeza zaman, namun adat mereka masih lagi kukuh dipegang.

Satu peristiwa yang amat berbekas di hatiku pada malam itu adalah apabila sesi post-mortem yang mana terjadinya scene yang agak tegang apabila Syafa dan Fendi masing-masing mempertahankan hak masing-masing. Aku cuba menjadi orang tengah kerana kerja berpasukan amat penting. Usai mesyuarat itu dalam keadaaan yang kurang baik. Cuba berdiplomasi dengan Syafa ibarat menarik benang di dalam tepung. Tepung tidak berselerak dan benag tidak putus.

Tetapi Syafa tetap Syafa. Dipertahankannya juga kebenaran dirinya. Tidurku malam itu bukan setakat terganggu dengan nyamuk, ditambah pula dengan masalah baru yang menimpa kumpulan ini. Agak susah apabila masing-masing tidak ingin menjatuhkan ego. Entah kenapa aku terasa seperti aku dipertanggungjawabkan untuk meleraikan perselisihan ini.



28 April 2008 (Isnin)

Sarapan kami pada pagi ini agak suram. Tiada gelak tawa, usik-mengusik apatah lagi bertegur sapa. Perjalanan kami ke Kota Lhokseumawe terasa bagaikan terlalu jauh. Masing-masing membuat hal sendiri. Aku agak tertekan dengan situasi ini. Apalah salahnya andai salah seorang mengalah. Seperti biasa, Hafiz seolah-olah merasakan tiada apa yang berlaku. Keanak-anakan!

Kami tiba di Kantor Perpustakaan dengan satu misi-mencari seberapa banyak bahan bacaan yang boleh didapati untuk kajian ilmiah kami. Ternyata tidak banyak buku yang berkaitan, cuma kami mendapat dua buah buku yang boleh difotostat. “Wan Ritini, tolong mintak duit dengan perbendaharaan.” Fendi di sebelah kananku dan Syafa di kiriku. Aku mengeluh kecil. “Mintak sendiri” luahku. Apabila terpandangkan muka kesian Fendi, aku mengalah. Aku ingin melihat selama mana mereka boleh bertahan dengan situasi begini.

Selepas itu, kami ke DISPUDPARPORA. Pertemuan dengan Pak Munawwar banyak menjelaskan kami tentang keadaan sebenar Aceh yang seolah-olah dianak tirikan oleh pihak pemerintah Indonesia. Beliau banyak memberikan pandangan terhadap bahan-bahan sejarah yang semakin dilupakan oleh masyarakat.

Sewaktu kami ingin meninggalkan pejabat itu, Pak Munawwar menghulurkan tangan ingin bersalaman denganku. Kaget seketika dengan situasi itu. Sepanjang berada di sini, beberapa kali adegan ini berlaku padaku. Aku menundukkan kepala sedikit, tanda aku tidak akan menerima huluran tangan itu dan sebagai menghormati beliau. Namun, Pak Munawwar tidak memahami tindakanku itu. Hal ini berterusan selama beberapa minit. Akhirnya beliau menyedari keadaaan itu. Katanya “Maaf ya, agama kita sama. Namun syiar Islam kita beda-beda.” Aku kurang mengerti akan pernyataan yang keluar dari mulutnya.

Kami berjalan kaki ke Masjid Darussalam. Sepanjang perjalanan itu, masing-masing mendiamkan diri.Kebetulan, pada waktu itu sesi persekolahan baru sahaja tamat. Berpusu-pusu kanak-kanak yang keluar dari sekolah. Jalan yang kami lalui itu berdekatan dengan sekolah dasar yang ada di kota tersebut. Semua kelihatan ceria. Suasana begitu sibuk sekali. Kebingitan itu ditambah lagi dengan bunyi hon-hon kenderaan yang bersimpang-siur memenuhi jalan-jalan di situ. Satu tabiat pemandu di sini yang kuperhatikan adalah mereka suka membunyikan hon kenderaan, tidak kira dalam apa jua situasi. Meriah dan bising. Sepanjang berada di Aceh, aku belum pernah melihat keadaan jalan yang bersesak-sesak di jalan walaupun terdapat banyak sekali kenderaan. Semuanya berjalan lancar dan seolah-olah lampu trafik tidak berfungsi.
Kali kedua kami singgah di Masjid Darussalam. Aku kagum dengan sikap masyarakat di sini yang meletakkan ajaran Islam sebagai suatu asas yang kukuh dalam kehidupan mereka. Namun apabila timbul isu kebersihan, mereka nampaknya kurang peka. Menghairankan kerana agama Islam sendiri menekankan konsep kebersihan dalam kehidupan setiap penganutnya. Bukan mengaibkan mereka, tapi keadaan tandas mereka agak kurang dijaga kebersihannya.

Entah kenapa, doaku padaNya amat bersungguh-sungguh kali ini. Pohonku, pintaku semoga hubungan Fendi dan Syafa akan pulih semula dan semoga hubungan kami berempat tidak akan tergugat dengan masalah-masalah kecil. Runtuhkanlah benteng ego yang membatasi antara kami.

Pertemuan dengan wakil-wakil dari KAMMI pada petang itu agak menarik. Isu-isu panas yang ditimbulkan. Ayat-ayat disusun dengan baik bimbang andai mengguris hati mana-mana pihak. Subhanallah, keadaan yang tegang kerana diajukan dengan pelbagai soalan ini sebenarnya terselindung satu rahmat. Fendi menegur Syafa dan akulah orang yang berada di antara mereka, yang menjadi saksi bahawa perang ‘adik-beradik’ sudah berakhir. Alhamdulillah, doaku dimakbulkan Allah.

Selepas makan tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Pusat Studi Islam dan Perpustakaan Tgk Muhammad Hasbi Al Shiddieqy. Di sini tidak terdapat buku-buku yang kami inginkan. Walaupun agak hampa dengan keadaan itu, namun aku yakin pencarian ini tidak akan berakhir dan pasti akan menemui jalan penyelesaian.

Kami menaiki labi-labi menuju ke tempat penginapan. Aku jatuh hati dengan kenderaan ini. Mungkin kerana keunikan perkhidmatannya dan fungsinya yang menyumbang kepada keselesaan pengangkutan masyarakat. Apabila tiba di destinasi, aku seakan-akan tidak mahu turun daripada kenderaan ini. Seperti anak kecil!

Setibanya kami di Kampung Bayu, kami tidak terus pulang ke rumah, tetapi berjalan beberapa langkah menyusuri jalan raya. Kami tiba di Tugu Cot Plieng. Tugu ini dibina bagi memperingati jasa Cot Plieng, seorang wira yang mempertahankan negara ketika serangan Jepun. Apa yang menyedihkan, tugu ini seolah-olah tak terjaga. Keadaannya yang agak daif di tepi jalan itu seolah-olah tidak membawa apa-apa makna kepada masyarakat. Semak-samun memenuhi sekeliling tugu itu. Kesian!

Kesempatan masa pada petang itu memberikan kami peluang untuk menghirup udara di kampung ini. Melihat kanak-kanak bermain mengingatkanku kepada anak-anak buah di Malaysia. Kerinduan itu datang tiba-tiba.
Kami mengemaskan barang-barang. Kami dijangka akan menaiki bas pada pukul 9.00 malam nanti untuk pulang ke Banda Aceh. Mamak memandangku. Mungkin hatinya sayu mengenangkan pertemuan singkat ini. Apabila aku mengambil tuala untuk mandi, Mamak mengekoriku. Aku pelik… Segan tiba-tiba. Kenapa? Rupa-rupanya dia ingin menemaniku mandi. Aku hampir tergelak, namun kupendam bimbang andai mengguris hatinya. “Yalah, Tini takut katak kan. Mamak mau temani.” Apabila Mul datang, barulah dia beredar. Malu tiba-tiba. Aku telah menyusahkan Mamak dan Mul. Namun, bagi mereka lain pula ceritanya. Aku dikatakanya melucukan. Entah apa yang lucu tidak kuketahui.

Makan malam kami pada malam itu terasa meriahnya. Semua makan bersama kecuali Reza, anak Makcik yang agak terasing sepanjang kami di sini. Dia hanya akan bercakap denganku apabila aku yang menegurnya.

Kami menziarahi Geuchik dan Abi. Sewaktu kami ke rumah Geuchik, mereka sedang membuat persiapan untuk menyambut Maulid Nabi pada kekesokan harinya. Kaum perempuan menyiapkan bersa pulut dan kelapa goreng dan dibungkus dengan daun pisang. Geuchik meminta kami menunda keberangkatan kami pada malam itu supaya dapat meraikan Maulid Nabi bersama mereka. Namun, pelawaan itu terpaksa kami tolak kerana tuntutan tanggungjawab dan masa lebih utama.

Kami menunggu bas di tepi jalan untuk pulang ke Banda Aceh. Aku berbual-bual dengan Mamak. Banyak rahsia dan kisah hidupnya telah kudengar. Aku kagum dengan semangat wanita berusia 48 tahun ini. Kecekalannya menyara dan membesarkan anak-anak tanpa seorang suami telah menyuntik semangat anak-anaknya untuk belajar. Walaupun kehidupan di sini menuntut mereka untuk berusaha dengan gigih, namun kesepakatan dan kasih sayang antara ahli keluarga telah menjadikan mereka tabah. Aku banyak belajar dari kisah-kisahnya itu.

Bas tiba dan kami terpaksa berangkat meninggalkan Kampung Bayu dengan hati yang berat. Teringat pesan Mamak “Jangan lupakan kami. Ada waktu, ada kesempatan, datang ke sini lagi.”

Bas yang kami naiki akhirnya bertolak meninggalkan kampung itu. Seperti 2 hari yang lepas, keadaan di dalam bas tidak berubah. Setiap kali bas berhenti, ada saja penjual makanan dan peminta sedekah yang naik ke dalam bas.   


29 April 2008 (Selasa)    

Kami tiba di Banda Aceh pada pukul 4.10 pagi. Dengan berjalan kaki, kami pulang ke sekretariat GPM. Sedikit muhasabah dilakukan untuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Lhokseumawe. Beberapa penambahbaikan dilakukan. Perancangan juga dilakukan dengan rapi untuk aktiviti di Banda Aceh ini. Seperti biasa, tugasku untuk menyiapkan laporan harian. Dua laporan harian mesti kusiapkan kerana tiada kesempatan semasa berada di Kota Lhokseumawe.Agak sulit untukku menyiapkan kedua-dua laporan tersebut.Selesai noktah terakhir, maklumat kusimpan sebagai 27 & 28 April 2008.

Tiba-tiba aku teringat yang aku tertinggal 1 fakta untuk laporan 27hb. Folder tersebut kubuka. Masya Allah, Cuma tinggal beberapa baris sahaja. Ke mana yang lainnya? Kalut seketika dengan keadaan tersebut kerana aku bukanlah seorang manusia yang suka membuat kerja yang sama berulang kali. Ingin kukhabarkan kepada yang lain, tetapi kupendamkan. Biarlah dulu. Kutinggalkan kerja-kerja tersebut dan menunaikan solat. Hampir menangis waktu aku menadah tangan memohon doa kepada Yang Esa. Berada di sini membuatkan aku merasakan hubunganku dengan Allah sw.t. terasa begitu dekat. Mungkin kerana segala yang kupendamkan tidak dapat kuceritakan kepada ibu, apatah lagi sahabatku. Membayangkan yang aku terpaksa membuat laporan harian sekali lagi. Haru!

Selesai solat, sekali lagi aku membuka folder tersebut dengan harapan supaya apa yang kusimpan tadi akan ada. Hampa! Kusedar, aku terpaksa memberitahu Syafa. Kekalutan suasana pada waktu itu amat melucukan. Akhirnya semua penghuni rumah sekretariat itu mengetahui akan apa yang terjadi. Dengan bantuan Abang Faisal, akhirnya semua data yang kusimpan kembali ditemui. Hahaha.

Lawatan kami pada hari ini bermula dengan mengunjungi makam Sultan Iskandar Muda. Makam ini agak berlainan dengan makam-makam yang kami lihat sebelum ini kerana makam ini dicat dengan cat hijau dan kuning.

Kami seterusnya melawat kapal PLTD APUNG 1, sebuah kapal yang mendarat ketika tsunami. Semasa kami tiba di sana, bahagian atas kapal tersebut tidak dapat dinaiki kerana telah masuk solat waktu Asar. Kami cuma berjalan-jalan di sekeliling kapal tersebut. Dalam fikiran, terlintas akan betapa banyaknya mayat yang terhimpit di bawah kapal ini. Tidak diketahui sesiapa.

Kunjungan kami yang seterusnya adalah Kuburan Massal. Di sinilah yang menjadi saksi mangsa-mangsa tsunami yang ditanam beramai-ramai pada tahun 2004. Sebanyak 14,264 mayat yang dketahui dan tidak diketahui siapa ditanam di sini. Suasana kelihatan suram tiba-tiba apabila masing-masing mengenangkan peristiwa tersebut. Sekarang, kuburan tersebut telah dipenuhi dengan rumput-rumput yang menghijau.

Abg Faisal membawa kami ke Universitas Syiah Kuala. Di sana, kami telah melawat kuburan para ulama’ yang telah datang ke sini mengembangkan ajaran agama Islam.
Sebelum pulang, kami singgah di WarKop (Warung Kopi). Di sini, kami diberi minuman yang bernama ‘bandrek’.

Rasanya seperti teh halia tetapi lebih pedas dan menyengat lidah. Bagaimana harus kuhabiskan minuman ini? Melihat Syafa dan Hafiz yang tidak boleh minum hati aku tercuit. Lucu. Betapa susahnya ingin menelan seteguk demi seteguk air itu. Abg Faisal dan Abg Murdani biasa sahaja. Mana tidaknya, mereka yang memesan air ini. Aku memang tabik dengan Fendi. Air-air bandrek kami dihabiskannya dengan senang hati.


30 April 2008 (Rabu)

Hari ini kami telah mengunjungi Badan Perpustakaan Banda Aceh. Di perpustakaan ini, kami telah berkenalan dengan Pn. Nurmala Dewi, staf di sini. Beliau telah bermurah hati untuk meminjamkan buku ‘Aceh Sepanjang Abad’ kepada kami. Perpustakaan ini dipenuhi dengan para pelajar yang ingin menelaah dan menggunakan buku di sini sebagai rujukan. Mataku terpandang akan seorang staf lelaki yang berada di hujung meja panjang yang kami duduki. Dia dengan bersahaja telah menghisap rokok tanpa menghiraukan orang sekeliling. Perpustakaan ini dilengkapi dengan penghawa dingin tetapi tidak dijaga keadaan udaranya.

Kami ke kedai buku Dunia Muslim. Di kedai buku ini, kami telah membeli beberapa buah buku. Karya Habiburrahman El Shirazy sememangnya tidak kutinggalkan.
Dengan menaiki labi-labi, kenderaan yang kusuka sepanjang berada di sini, kami telah ke Gedung Perpustakaan Iain ar-Raniry. Buku-buku mengenai para ulama’ Aceh tidak kami temui. Terpaksalah kami berlalu dengan perasaan yang hampa.

Kami pulang ke Banda Aceh dengan menaiki damri (bas pendek). Kami berhenti di hadapan Masjid Raya Baiturrahman untuk solat dan rehat sementara menanti Kak Nila.
Kami meneruskan penjelajahan ini ke Pasar Atjeh dan kedai Souvenir Aceh Putra. Di kedai-kedai ini kami membeli sedikit cenderamata untuk dibawa pulang ke Malaysia sebaga tanda kenang-kenangan.

Abg Faisal dan Kak Nila telah menanti kami di Masjid Raya Baiturrahman. Keadaan di masjid ini memang meriah apabila petang menjelma. Kanak-kanak yang baru selesai mengaji di masjid, ibu bapa yang menanti di halaman, para penjual makanan, dan banyak lagi dapat kami temui di sini. Pelbagai ragam manusia dapat dilihat.

Janji dengan Puan Nurmala untuk ke rumahnya bagi mengambil buku telah kami tunaikan lewat petang itu. Kami pulang dengan hati yang lapang.


01 Mei 2008 (Khamis)

Hari ini kami ke Rumah Asuh The Habibie Center. Rumah asuh ini terdapat 2 bahagian iaitu Rumah Asuh Beung Cala untuk penghuni lelaki dan Rumah Asuh Darussalam untuk penghuni perempuan. Pada hari ini, semua penghuni berkumpul di sini untuk meraikan Maulid Nabi Besar Muhammad s.a.w.Sewaktu kami tiba, para penghuni rumah asuh ini sedang memperdengarkan nasyid kepada para hadirin yang datang ke majlis tersebut. Kami agak teruja kerana inilah kali pertama kami mengikuti sambutan Maulidur Rasul di negara orang. Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan ini.

Kesempatan untuk berkenalan dengan para pengasuh dan penghuni di sini tidak kami lepaskan. Perbualan bersama mereka amat menarik dan kami banyak berkongsi cerita mengenai pelbagai isu. Kami bersembang dan menyanyi bersama. Mereka mudah menyesuaikan diri dengan kami. Salah seorang daripada mereka, namanya Dini. Nama dan wajahnya kuingati kerana kepetahannya berkata-kata berbanding dengan temannya yana lain. Dia gembira apabila mengetahui namanya mirip dengan namaku.

Kami bertolak menuju ke TamanSari Gunongan dan Kandang. Tempat ini merupakan tempat bersenang-senang Puteri Pahang. Beliau adalah permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda. Kami berpeluang untuk menaiki gunung tersebut. Keunikan struktur gunung itu menarik perhatian kami.


02 Mei 2008 (Jumaat)

Suasana pagi ini meriah apabila kami bersiap-siap sebelum bertolak ke Malaysia. Masa selama lapan hari di sini bagaikan terlalu pantas. Sarapan kami pada pagi ini istimewa sekali. Kak Nila menyediakan jus avocado. Ia merupakan campuran avocado dengan milo. Pertama kali aku merasa jus ini. Sedap!

Kami tiba di Bandar Udara Sultan Iskandar Muda awal sekali. Waktu itu, perasaan yang aku rasa sebelum bertolak ke sini kurasakan kembali.Selepas check in barang-barang, kami keluar untuk berjumpa dengan Abg Faisal sekeluarga dan Abg Murdani. Nasihat dan pesanan mereka terpahat di ingatan. Masing-masing mendiamkan diri apabila berada di Dewan Menunggu. Mungkin mengingati pengalaman yang telah kami tempuhi sepanjang berada di sini.

Lambaian terakhir sebelum bertolak..penerbangan kami adalah pada pukul 12.45 tengahari. Kami tiba di LCCT pada pukul 2.15 petang waktu Malaysia.
Kami menaiki bas ke KL Sentral. Tiba di sana, Fendi, Hafiz, dan Syafa dijemput oleh Hakim dan Abg Suhail. Dan aku meneruskan perjalanan pulang ke Unisel kerana tuntutan tanggungjawab menanti di sana.

Related Posts with Thumbnails