Tuesday, March 29, 2011

Surat Sahaya Tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa Al-Fathani

Sahabat-Sahabat GPTD yang dikasihi. Semoga dalam naungan rahmat Allah SWT hendaknya.

Dalam surat sahaya pada kali ini ingin dirakamkan sebuah biografi Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa Al-Fathani, Ulama Melayu yang berasal dari Fatani Darul Salam (Sekarang di bawah naungan Kerajaan Thailand). Semoga mendapat manfaat para relawan dan pengkaji sejarah umat Islam nusantara. Sahaya terpanggil untuk berkongsikan latarbelakang ulama besar ini disebabkan dua perkara. Pertama : Bacaan terhadap karya dan catatan Tuan Guru Hj Wan Mohd. Shaghir Abdullah tentang ulama nusantara. Kedua : Sahaya pernah ziarah ke kediaman (juga sebagai Sekretariat Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (PENGKAJI), Stor menyimpan koleksi penerbitan PENGKAJI) beliau di Gombak bersama Sdr Raimi Mohamed ketika itu sebagai Presiden PKPIM. Banyak sejarah ulama & nusantara yang sahaya ketahui berdasarkan penulisan beliau. Lebih signifikan beliau adalah cucu kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathani atau lebih dikenali sebagai Syeikh Ahmad Al-Fathani.

Ada juga yang memanggil Syeikh Ahmad Al-Fathani dengan nama Tuan Guru Wan Ahmad. Beliau adalah ulama besar dan namanya termasyur bukan sahaja di Tanah Suci Mekah tetapi sampai ke negeri-negeri bawah angin. Dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada malam Jumaat 5 Syaaban 1272H bersamaan 10 April 1856 dan wafat pada 11 Zulhijjah 1325H bersamaan 14 Januari 1908 dimakamkan di Mekah. Kelahiran beliau jika mengikut tahun Siam adalah tahun ular besar. Pada tahun yang sama juga Sultan Muhammad Raja Fathani mangkat. Syeikh Ahmad al-Fathani disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek keilmuan merangkumi duniawi dan ukhrawi. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, bahasa, sejarah, budaya, pentadbiran dan lain-lain lagi. Sistem Pendidikan Pondok Kelantan di Kota Bharu menggunakan kitab karangan beliau. Beliau menanamkan semangat dinamis kepada umat dan merupakan tokoh penting pembina Intelektual Islamiyyah di Dunia Melayu pada akhir abad ke-19 dan abad ke-20.

Semasa kecil ketika berusia dua tahun beliau telah dilatih oleh orang tuanya menghafal pelbagai matan. Kebiasaannya kanak-kanak berusia enam atau tujuh tahun barulah diajarkan sedemikian. Sejak kecil beliau sering bersendirian untuk mengingati hafalan matan yang diberikan oleh orang tuanya. Pada usia enam tahun beliau telah mengikuti ibu bapanya berhijrah ke Mekah. Ketika di Mekah beliau tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar tetapi beliau sebenarnya sering belajar secara sembunyi-sembunyi. Sikapnya itu menyebabkan orang tuanya mulai khuatir jika hal demikian berlaku terus menerus. Itu pastikan akan menggagalkan cita-cita besar orang tuanya untuk melihat beliau sebagai seorang ilmuan termasyhur. Namun orang tuanya lega serta hairan kerana apabila ditanyakan kepada anaknya pasti dapat menjawab dengan baik dan hafalannya luar biasa. Beliau menghafal pelbagai matan melebihi teman-temannya yang lain. Di kalangan masyarakat Fathani dan Kelantan di Mekah ketika itu mempercayai beliau dikurniakan dengan ilmu ladunni.

Di Mekah beliau bersahabat dengan Ahmad Dahlan[i] yang berasal dari Jawa. Ahmad Dahlan adalah seorang anak yang sangat rajin belajar & menghafal. Pada suatu hari bapa beliau Syeikh Muhammad Zain terlepas kata dengan lafaz “Ahmad, mu malas belajar nanti mu aku beri air kencing sahabatmu Ahmad Dahlan”. Kata-kata itu sangat terkesan kepada beliau[ii]. Maka beliau bertekad meninggalkan Mekah untuk mencari ilmu pengetahuan. Destinasi pertama beliau adalah Baitulmaqdis. Diberitakan dalam perjalanan itu beliau keputusan bekalan air, maka terpaksalah beliau meminum air kencingnya sendiri. Di Baitulmaqdis beliau belajar ilmu perubatan dan ilmu agama hampir dua tahun. Beliau bersahabat dengan Sayid Yusuf an-Nabhani pengarang kitab Al Anwarul Muhammadiyah. Sekembali ke Mekah beliau mahir dalam membuat berjenis-jenis ubat semacam makjun dan itu menjadi rutin harian beliau[iii]. Melihat kegiatannya begitu orang tuanya memaksa beliau meneladani ulama-ulama tua Fathani Darussalam seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.[iv]

Mulai saat itu beliau berazam ke Masjid Jami’ Al Azhar (kini dikenali sebagai Universiti Al-Azhar) Mesir. Sewaktu mula berangkat meniggalkan Mekah, beliau berkata kepada orang tuanya, “aku tidak akan berpakaian lebih dari sehelai dan tidak akan memakai serban yang berekor panjang sebelum menjadi seorang ulama besar yang mahir dalam perlbagai bidang ilmu”. Diriwayatkan beliau ke Mesir dengan berjalan kaki dan berenang di Sungai Nil dengan membawa sebuah Al-Quran[v]. Ketika belajar di Mesir, beliau hanya punya sehelai baju putih, sehelai serban dan sehelai kain untuk bersalin. Beliau mencuci bajunya setiap dua hari sekali. Keadaannya begitu sehingga beliau kembali ke Mekah dengan bajunya telah banyak tampal disebabkan koyak. Selama belajar beliau tidak makan lebih daripada sebuku roti yang dibelah empat. Satu perempat untuk makan siang, satu perempat makan malam. Manakala separuh lagi disedekahkan kepada pelajar-pelajar yang tidak punya apa-apa seperti beliau.

Beliau memperolehi roti daripada sedekah anak muridnya. Beliau mengajar walaupun masih belajar[vi]. Sekali sekala beliau mendapat sedekah pisang daripada hartawan. Beliau tidak pernah dikirimkan berupa wang dari orang tuanya. Ini adalah atas permintaan beliau yang tidak mahu membebankan sesuatu kepada orang tuanya[vii]. Ketika masih belajar di Mesir, beliau telah mula menyusun kitab yang semuanya berbahasa Arab. Antaranya Manzhumatul ‘Awamil yang merupakan pembaharuan bahasa dari kitab Matan ‘Awamil susunan Syeikh Abdul Qahir al-Jurjani. Beliau pernah tinggal di Mesir selama tujuh tahun sebagai pentashhih kitab-kitab.

Dalam tahun kembali ke Mekah Syarif Husein Raja Mekah mengadakan pertandingan dakwah/pidato di Masjidil Haram. Ketika itu beliau digelar Syeikh Ahmad Az Zaki Mesir oleh masyarakat Melayu Mekah. Oleh kerana ramai masyarakat Melayu di sana menyebabkan Bahasa Melayu adalah bahasa kedua sebagai pengantar selepas bahasa Arab. Diriwayatkan beliau menjadi juara dalam pertandingan tersebut dan digelar sebagai Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al Fathani sehingga menjadi terkenal di kalangan orang Arab dan dilantik sebagai ahli bahasa kerajaan. Antara anak murid Syeikh Ahmad Al-Fathani adalah Tok Kenali, Haji Ibrahim (Mufti Kelantan), syeikh Abdul Ghani Aceh, Syeikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi. Syeikh Thahir Jalaluddin al Minangkabawi, Haji Wan Musa bin Haji Abdush Shamad Tabal (Intektual Kelantan), Prof. Dr. C. Snouck Hurgronje[viii] dan lain-lain lagi. Diriwayatkan Sultan Deli (kini di Medan, Indonesia) adalah anak murid beliau.

Syeikh Ahmad al-Fathani pernah bertemu dengan Sultan Abu Bakar (Sultan Johor) semasa di Istanbul, Turki pada tahun 1296H bersamaan 1879M. Ketika itu Sultan Abu Bakar[ix] berkunjung ke Pusat Daulah Islamiyyah sedunia pada zaman itu. Beliau ditawarkan oleh Sultan Abu Bakar sebagai Syeikhul Islam di Johor tetapi menolaknya. Syeikh Ahmad al-Fathani dilantik oleh Sultan ‘Abdul Hamid II, Khalifah Turki Othmaniyyah sebagai pentashhih kitab. Pada tahun 1302 H bersamaan 1884 M beliau dilantik sebagai ketua kilang percetakan al-amiriyyah di Mekah bagi mencetak kitab-kitab Melayu dengan arahan Sultan ‘Abdul Hamid II. Pada tahun 1303 H bersamaan 1885 M beliau menghadiri Perhimpunan Ulama Islam Uthmaniyyah yang diadakan di Istanbul sebagai wakil Syarif Mekah. Di dalam persidangan ini isu-isu ummat Islam dibincangkan. Beliau membentangkan kitab sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh li fi Amr al-Din yang merupakan kitab pertama dicetak di Kilang Percetakan al-Amiriyyah di Mekah dan dihadiahkan kepada Sultan ‘Abdul Hamid II. Di dalam muqaddimah kita tersebut menyebut tentang hubungan Daulah Turki Othmaniyyah dengan alam Melayu iaitu Aceh. Menurut beliau bendera Daulah Turki Othmaniyyah pernah berkibar di kerajaan Aceh dan pernah menerima sebuah meriam tembaga merah bernama Meriam Lada Sicupak dan nafiri (terompet perang) perak dari Sultan Salim[x]. Sultan ‘Abdul Hamid II yang gembira dengan pengkisahan tersebut menghadiahkan beliau Globe Dunia supaya dapatlah diterangkan kepada penduduk Mekah tentang kedudukan dan peranan Daulah Turki Othmaniyyah serta mengenal musuh-musuh politiknya. Manakala pada tahun 1312 H bersamaan 1894 beliau dilantik sebagai ketua kilang percetakan al-Amiriyyah di Mekah bagi mencetak kitab-kitab Melayu.

Semoga penulisan surat atau catatan akan terus istiqomah kerana ini menjadi satu nilai sejarah buat generasi hadapan. Sebagaimana telah dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang berutusan surat kepada anak muridnya. Maaf atas kelewatan surat pada kali ini. Doakan ziarah sahaya ke Patani pada 1 April 2011 mendapat manfaat harapnya.

Yang benar,


IZWAN SUHADAK ISHAK

28 Mac 2011


[i] Ahmad Dahlan adalah pengasas Muhammadiyah di Indonesia pada 8 November 1912 dan merupakan keturunan ke-11 Makhdum Ibrahim As-Samarqandy atau Syeikh Maulana Malik Ibrahim. Syeikh Maulana Malik Ibrahim adalah ketua Wali Songo angkatan pertama yang dihantar oleh Sultan Muhammad I, Khalifah Turki Othmaniyyah pada tahun 1404M. Untuk mengenali riwayat hidup Ahmad Dahlan disarankan membaca novel atau menonton filem Sang Pencerah.

[ii] Peristiwa ini mengingatkan sahaya kepada kata-kata yang terlepas diungkap oleh Haji Abdul Karim Amrullah juga dikenali Syeikh Haji Rasul ayah Buya Hamka dengan lafaz, “Kau anak yang tak berguna” , setelah mendapat aduan dari orang kampung atas kenakalannya. Ungkapan tersebut sangat terkesan pada dirinya sehingga beliau mula berubah sehingga membawa dirinya ke Mekah.

[iii] Sahaya terfikir ada baiknya relawan GPTD menguasai asas teknik rawatan kecemasan serta mempelajari ilmu herba yang boleh diaplikasi dalam kehidupan seharian dan untuk kegunaan dilapangan. Mungkin habatus sauda adalah bekalan wajib untuk membina ketahanan fizikal bagi relawan yang menjalankan sesuatu misi.

[iv] Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur. Makam Maulana Malik Ibrahim dimakamkan di Gresik, Jawa Timur Indonesia. Mungkin nama Gresik diambil sempenan nama Kerisek, Patani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Saidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

[v] Diceritakan oleh Hjh Wan Zainab anak beliau pada 1963 di Pulau Midai, Riau. Juga dari Tuan Guru Hj Abdul Qadir Sena di Patani, Yala dan Bangkok pada 1971.

[vi] Salah satu Budaya 7 Pelajar Islam (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) adalah Sedia Belajar, Mengajar & Diajar yang sejajar dengan apa yang telah ulama dulu lakukan.

[vii] Sahaya ketika belajar juga tidak pernah minta kiriman wang kerana ditaja dengan biasiswa JPA namun tidak pernah berjaya untuk menolak pemberian wang oleh ibu. Mungkin ingin mengambil sedikit barokah daripada wang yang ibu kirimkan. Selepas tamat belajar tiada sedikit pun sahaya simpan wang biasiswa tersebut. Ini disindir oleh ibu dan dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Seingat sahaya kebanyakan wang dihabiskan untuk membeli buku dan perjuangan di alam kampus.

[viii] Pada awalnya Syeikh Ahmad al-Fathani meragukan kehadiran Snouck Hurgronje ke Mekah pada tahun 1884 kerana mencari kelemahan Islam. Tetapi beberapa masa terakhir sebelum Snouck Hurgronje meninggalkan Mekah, beliau setuju mengajar ilmu bahasa Arab. Itu pun selepas meminta Snouck Hurgronje melafazkan syahadah didepannya. Snouck Hurgronje dalam catatannya mengelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai seorang sarjana ulung.

[ix] Pernah diceritakan di dalam karya Faisal Tehrani, Surat-Surat Perempuan Johor bahawa Sultan Abu Bakar pernah ke Eropah dan mendapat penghormatan dan meninjau kemodenan kerajaan di sana.

[x] Pada tahun 1564 M, Sultan Alauddin Al Kahar, Aceh Darussalam mengirimkan utusan Daulah Turki Othmaniyyah yang pada masa itu diperintah oleh Sultan Salim I. Tujuan Sultan Alauddin Al Kahar adalah meminta bantuan peperangan dalam rangka menghadapi kolonial Portugis di Melaka. Utusan yang dipimpin oleh panglima Husein Efendi membawa lada (ketika komoditi yang sangat bernilai) dalam jumlah yang banyak. Tapi sayangnya kerana jauhnya perjalanan yang ditempuh banyak lada yang menjadi busuk. Sehingga yang tinggal hanyalah secupak lada. Lada itulah yang kemudian dipersembahkan kepada Sultan Salim II ketika itu selepas Sultan Salim I mangkat pada tahun 1966. Sultan Salim II kemudian mengirimkan 300 orang pakar pembuat senjata dari Turki di bawah pimpinan Laksamana Turki yang bernama laksamana Kurt Oglu Hizir. Selain itu Sultan Salim II juga memberikan sebuah meriam yang sangat bagus untuk kerajaan Aceh Darussalam. Meriam tersebut kemudian diberi nama “ Lada Secupak”. Kapal-kapal Aceh dibenarkan mengibarkan bendera Daulah Turki Othmaniyyah.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails