Wednesday, December 29, 2010

Bedah Buku : Maria

Buku yang akan dibedah di dalam Diskusi Al-Amin pada malam ini di Surau Fitm. Semua dijemput hadir. Sila hubungi Hani di talian 010 269 3310 jika berminat untuk ikuti.

Sinopsis

Maria adalah gadis Jerman bermazhab Katolik. Mengharungi liku-liku hidup sebagai anak kepada ibu yang fanatik pada mazhab itu, sedangkan ayahnya seorang ateis. Namun, kehendak Allah mengatasi segalanya. Pertemuaannya dengan pemuda Mesir membuka episod pergelutan tiga penjuru , Islam-Kristian-Ateis. Abdul Wahab, pemuda Mesir yang belajar di Jerman berjaya menarik Maria ke jalan Allah akhirnya memilih Maria sebagai calon isteri selepas kematian tunangnya, Salwa. Pada saat itu juga, Maria memutuskan hubungan kasihnya dengan pemuda Turki bernama Muhammad yang sudah hilang pegangan Islamnya.

Hubungan antara Abdul Wahab dan Maria diuji apabila Abdul Wahab mendapat berita Salwa sebenarnya masih hidup. Maria terperangkap antara cinta dan pengorbanan di samping tekanan daripada ibu dan adiknya. Mampukah Maria terus berdiri atas niat murni demi Islam yang dianutinya tanpa Abdul Wahab di sisi? Mampukah dia terus hidup dalam mengharungi kemelut akidah dan tekanan keluarganya? Biodata Penulis: Emine atau Aminah Uzqan Syenlikoghu, penulis terkemuka Turki dilahirkan pada tahun 1953 di bandar Istanbul. Beliau sempat melalui zaman-zaman perubahan Turki.

Menjadi pengarah umum Majalah Mektup dari tahun 1985. Bergiat cergas dalam kegiatan Islam dan kesusateraan antarabangsa. Beliau banyak menghasilkan karya-karya bermutu dan dipenjara beberapa kali kerana karya-karyanya. Pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Fakulti Usuluddin. Biodata Penterjermah: Mohd Rofizi bin Dollah. Berasal dari Kampung Alor Majam, Bachok, Kelantan. Menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar peringkat Sarjana Muda dalam Fakulti Bahasa Arab dengan mendapat B.A (Hons) pada tahun 1997. Kini berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi.

- Unit Kajian

Pengalaman kembara mencetuskan tindakan

Gombak, 25 Disember 2010/19 Muharram 1432H - GPTD Pusat telah menganjurkan Siri Perkongsian Pengalaman GPTD selepas relawan berkhidmat di luar negara. Siri kali ini relawan berkongsi pengalaman dalam XPDC Wali Songo, XPDC Cheng Ho & Kembara Mesir. Sebelum itu, Presiden GPTD, Sdr Muhammad Suhail mengucapkan tahniah kepada anak muda yang berani melakukan eksperimentasi semasa menjalankan misi luar negara walaupun banyak cabaran yang di lalui. GPTD Unisel melaporkan aktiviti yang dilaksanakan semasa ziarah ke Jawa, Indonesia. Sdr. Hakim bercerita tentang sosio-budaya masyarakat Mesir yang pelbagai karenah ketika dalam usaha masuk ke Gaza, Palestin.

Di akhir acara, Ucapan Perasmian oleh Sdr Jufitri Joha selaku Pengerusi GPTD menyentuh tentang kepentingan relawan GPTD perlu bersedia untuk menjadi VL - Volunteer Leaders. Pengerusi melancarkan projek Pembinaan Perpustakaan di Maahad Al Ahya Al Mubalighin di Cirebon, hasil resolusi Grup Wali Songo menjalankan XPDC Wali Songo. Media massa yang turut hadir KOSMO & Berita Harian.



-Unit Media

Tuesday, December 28, 2010

GPTD Unisel telah menyampaikan sumbangan kepada Mak Wok

Rantau Panjang, 28 Disember 2010 / 22 Muharram 1432H - GPTD Unisel telah menyampaikan sumbangan kepada Mak Wok mangsa kebakaran di Kg Rantau Panjang. Sumbangan adalah hasil kutipan yang dilaksanakan oleh relawan GPTD Unisel yang ke setiap rumah di 9 Kluster sehingga lewat 3 pagi. Projek ini diketuai oleh Sdr Helmy telah meyampaikan sendiri kepada mangsa. Dalam kebakaran yang berlaku, 3 buah motosikal hangus terbakar dan sebuah bot separuh rentung. Dua buah keluarga anak beranak hilang sehelai sepinggang. "Terima kasih banyak-banyak atas bantuan yang diberikan, makcik doakan anak-anak berjaya", kata Mak Wok kepada relawan GPTD Unisel.

"Ini usaha yang kami dapat lakukan, walaupun tidak seberapa harap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga ini", kata Sdr Helmy ketua Projek Misi Bantuan Kebakaran Kg Rantau Panjang. "Tahniah & terima kasih kepada warga Unisel yang sudi memberi sumbangan ikhlas", tambah Sdr Helmy lagi. Jumlah yang diserahkan adalah RM849.25. Turut hadir adalah Penasihat GPTD Unisel, En Izwan Suhadak Ishak.

Lihat Foto
-Unit Media

Friday, December 17, 2010

Thursday, December 16, 2010

Tinjauan Misi Bantuan Kebakaran Kg Rantau Panjang

Rantau Panjang, 16 Disember 2010 / 10 Muharram 1432H - Sukarelawan GPTD Unisel telah melakukan tinjauan ke rumah yang hanggus terbakar dijilat api di Kg Rantau Panjang, Batang Berjuntai. Sdr Mohd Helmy selaku ketua Misi Bantuan Kebakaran telah bertemu dengan keluarga mangsa yang terkena musibah tersebut. Tinjauan awal ini bertujuan untuk dapat data bagi tindakan lanjut di peringkat kampus. Kejadian kebakaran berlaku pada 9 Disember 2010 sekitar jam 9.00 malam apabila berlaku litar pintas. Rumah kayu menyebabkan api sangat pantas marak sehingga keliling pokok juga hangus dan hampir merebak ke rumah sebelah. Dua buah keluarga yang tinggal di rumah tersebut berjumlah 10 orang semuanya. Seorang nenek berumur 90 tahun yang lumpuh berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga.

Ketika berkunjung ke rumah sementara, Pak Rashid ke Kuala Selangor menguruskan kad pengenalan. sdr Mohd Helmy hanya berkesempatan bertemu dengan menantu beliau. "Sehelai sepinggang, tidak ada yang dapat selamatkan", kata Makcik Aminah jiran Pak Rashid yang juga merupakan ipar beliau. Susulan itu, GPTD Unisel melancarkan kutipan derma di dalam Unisel Kampus Bestari Jaya bagi mengurangkan beban yang dihadapi. "Kita akan buat kutipan dari kolej ke kolej dan seluruh kampus bermula hari esok", kata Sdr Mohd Helmy. Turut serta dalam tinjauan awal adalah Penasihat GPTD Unisel, En Izwan Suhadak.

- Unit Media

Mumia temukan Dr. Maurice dengan Islam

Pada pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.


Sumber : Utusan Online

Kisah Bahasa Melayu di Jepun


Mazlan Nordin
(Mingguan Malaysia, 9 Mei 2010)

SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih daripada 200 judul.

Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardenssemasa Perang Pasifik.

Esei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore, 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.

Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka termasuklah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.

Sebilangan mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.
Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."
Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajarkan bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.

Moriyama menambah: "Oleh sebab tiada guru Jepun yang dapat mengajarkan bahasa Melayu di sekolah, maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima orang guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."

Lantas disebut nama seorang daripada mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurniai bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.
Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris termasuklah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Empat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Buku itu kemudian diulang cetak sehingga 30 kali.

Yang turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.
Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.

Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.

Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 ialah cerita-cerita daripada Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

Pada satu peringkat lain, diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."

Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita, beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.

Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat-menyurat kedua-duanya menggunakan tulisan Jawi.

Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian baginda kepada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.
Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajarkan di sekolah-sekolah yang dahulu mengajarkan bahasa Inggeris.

Sumber : Kembara Bahasa

Wednesday, December 15, 2010

Gagasan Transformasi Diri & Sosial dihayati bersama

Bestari Jaya, 15 Disember 2010 / 9 Muharram 1432H - Malam Taaruf GPTD Unisel telah berlangsung dengan jaya di Dewan Senat dengan kehadiran daripada kepemimpinan GPTD Pusat, Pelajar Indonesia (Program pertukaran pelajar IKMI), sukarelawan baru & lama. Acara bermula dengan ucapan Presiden GPTD Unisel, Sdr Muhammad Izzat Chiairil Anuar. "Terima kasih kepada sukarelawan baru yang telah memilih organisasi yang betul untuk melakukan transformasi diri & sosial", kata Izzat dengan penuh semangat. Kemudian penasihat, En Izwan Suhadak telah menyampaikan syarahan tentang konsep GPTD=(AIS=AIR)+3m sebagai sebuah gagasan untuk sukarelawan hayati.

Sdri Hdariyani Kampun, selaku Setiausaha merangkap Pengarah program telah berkongsi pengalaman dalam 3 XPDC yang pernah diikutinya iaitu XPDC HAMKA, XPDC WALI SONGO & XPDC CHENG HO. Pada malam tersebut dilancarkan Grup Ibn Battutah yang akan melaksanakan XPDC IBN BATTUTAH pada pertengahan tahun 2011. Pada akhir acara sukarelawan bersetuju untuk melaksanakan Misi Bantuan Kebakaran di Kg Rantau Panjang yang akan diketuai oleh Sdr Mohd Helmy.

-Unit Media

Tamadun Melayu & Tamadun China Berwacana


Awang Sariyan
(Inti sari Syarahan Sarjana Pelawat ATMA,Univerisiti Kebangsaan Malaysia, pada 20 Julai 2010 di Bilik Majlis UKM)

LANDASAN BICARA

Keperluan mengkaji tamadun lain dan usaha menjalin persefahaman antara tamadun berkaitan rapat dengan hakikat kejadian manusia yang diciptakan Allah berbangsa-bangsa untuk saling mengenal (al-Hujurat: 13). Erti ‘saling mengenal’ tidak terbatas pada usaha mengenal sifat-sifat asas bangsa dan tamadun lain semata-mata, sebaliknya turut mencakup maksud saling memanfaatkan segi-segi kekuatan bangsa dan tamadun lain, baik dalam soal ilmu, teknologi, ekonomi, budaya dan yang lain. Sisi lain yang penting daripada kerjasama ketamadunan antara pelbagai bangsa ialah pembinaan sikap saling menghormati dan bertolak ansur demi keharmonian sejagat dan terelaknya tindakan mengenakan hegemoni oleh mana-mana bangsa terhadap bangsa lain.

Interaksi antara Tamadun Melayu dengan Tamadun China

1. Sumber sejarah China terawal mencatat hubungan China dengan alam Melayu dalam zaman Dinasti Han sebelum tahun Masihi lagi. Han Shu – Di Li Zhi atau Kepustakaan Dinasti Han – Catatan Geografi memerikan pelayaran utusan Maharaja Wu Di (140 S.M – 87 S.M) ke India yang melalui Semenanjung Tanah Melayu dan sambil itu melakukan perniagaan barter dengan negeri-negeri di Asia Tenggara dan Asia Selatan (Liang Liji, 1996: 13-15).

2. Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7 (Liang Liji, 1996: 25-26).

3. Zaman gemilang hubungan tamadun Melayu-China berlaku dalam zaman Dinasti Ming pada abad ke-15. Hubungan kedua-dua tamadun dalam zaman itu mencapai puncak hubungan diplomatik yang halus dan teratur, baik dalam hubungan politik antara dua kuasa besar mahupun dalam hubungan perdagangan dan kebudayaan.

4. Melaka di bawah pemerintahan Raja Parameswara (Sultan Iskandar Syah) menjadi destinasi pertama misi Maharaja Ming Cheng Zhu ke alam Melayu pada tahun 1403. Sejarah pembukaan hubungan diplomatik antara China dengan Melaka itu tercatat dalam Ming Shi (Sejarah Dinasti China) (Liang Liji, 1996: 42).

5. Liang Liji (1996) merumuskan tiga perkara penting yang menjadi natijah interaksi dan hubungan antara dua tamadun besar itu:

 Terjalinnya hubungan persahabatan yang saling menghormati, saling memahami dan saling menghargai sehingga tidak berlaku perselisihan dan pertikaian yang dapat menjejaskan hubungan persahabatan dua bangsa itu.

 Wujudnya sikap yang sama dalam memupuk perdamaian dan keadilan, dengan menolak kekerasan dan perseteruan. Hal ini berbeda sama sekali dengan kedatangan armada bangsa Barat yang membawa niat dan misi penjajahan.

 Wujudnya kerjasama ekonomi dalam bentuk perdagangan dua hala melalui tiga sistem pada zaman itu, iaitu perdagangan antara raja (dalam bentuk persembahan ufti dan balasan anugerah pelbagai barang berharga), perdagangan antara kerajaan berdasarkan kontrak penjualan barangan tertentu hanya kepada Kerajaan China dengan harga yang menguntungkan Melaka, dan perdagangan awam dalam kalangan masyarakat umum.

6. Manfaat lain yang tidak kurang pentingnya ialah pengaruh dan peluasan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu. Dalam zaman Sriwijaya memang telah ada perhatian pendeta Buddha China dalam mempelajari bahasa Melayu kuno; dalam dalam zaman Kesultanan Melayu pula bahasa Melayu dipelajari dan digunakan untuk urusan perdagangan dan kehidupan oleh orang China daripada golongan lain juga, khususnya pedagang.

7. Yang penting juga ialah adanya “perhatian diraja” pada pihak Dinasti Ming dengan penubuhan jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) untuk memenuhi kepentingan dan keperluan hubungan luar. Tong Shi atau jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil (Xiao Tong Shi) berjumlah 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu, iaitu seorang untuk Melaka dan seorang untuk Sumatera.

8. Untuk melatih para jurubahasa, pada tahun 1405 Maharaja Ming Cheng Zhu menubuhkan akademi bahasa yang dikenal sebagai Si Yi Guan (Balai Bahasa Negeri-negeri Asing) di ibu negara Ying Tian Fu (kini Nanjing). Terdapat lapan jabatan di akademi bahasa asing itu. Bahasa Melayu dimasukkan di bawah Hui Hui Guan (Jabatan Islam yang meliputi Parsi, Arab, Melaka, Jawa dan lain-lain). Akademi bahasa asing itu bertahan melebihi 400 tahun, dan dilanjutkan dalam Dinasti Qing yang menggantikan Dinasti Ming walaupun namanya diubah pada 1748 menjadi Hui Tong Si Yi Guan.

9. Pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan yang merentas tamadun turut menggerakkan usaha menyusun kamus dwibahasa yang penting untuk kegunaan pedagang dan orang China lainnya dalam interaksi di alam Melayu. Kamus China-Melayu disusun untuk keperluan Kerajaan China dalam Dinasti Ming dalam menjalin hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16 kamus itu masih menjadi rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah China.

10. Man La Jia Guo Yi Yu atau Senarai Perkataan Negeri Melaka meliputi kosa kata dari zaman awal bermulanya hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melaka, iaitu pada tahun 1403 hingga tahun jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata China yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang (astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum. Setiap entri diberi padanan bahasa Melayunya dengan tulisan China.

11. Hubungan Melayu-China yang kurang aktif disebabkan masalah dalaman kerajaan China dan penjajahan Barat di alam Melayu terjalin semula dalam abad 18/19, tetapi dengan pola yang jauh berbeda, kerana kedatangan orang Cina bukan diutus oleh pemerintah Cina atas hubungan diplomasi, melainkan diupayakan oleh penjajah Barat untuk memenuhi keperluan ekonominya, dengan kebanyakan pendatang itu dijadikan buruh di lombong bijih timah dan sebilangan yang lain mencuba nasib dalam perniagaan.

12. Sejarah, akhirnya, memberikan acuan kepada pola demografi dan sistem kemasyarakatan di Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, apabila orang Cina dan orang India yang bermastautin diberi taraf kerakyatan pada waktu Persekutan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kini orang Cina merupakan kira-kira 25 peratus daripada penduduk Malaysia, dan mereka turut mewarnai kepelbagaian kebudayaan di Malaysia melalui cara hidup dalam bidang kesenian, perayaan, makanan, busana, sistem kepercayaan dan yang lain.

13. Sinar baharu dalam hubungan antara alam Melayu dengan Republik Rakyat China muncul pada tahun 1970-an apabila timbul rasa saling memerlukan untuk menjalin hubungan diplomatik bagi kepentingan bersama. Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada tahun 1974. Hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi, khusunya perdagangan dua hala, beransur-ansur melebar dalam bidang-bidang lain, seperti pelancongan, pendidikan dan kebudayaan

14. Sejak tahun 1946 bahasa Melayu varian Indonesia telah diajarkan di Institut Bahasa-bahasa Asing di Kota Nanjing dan dipindahkan ke Beijing pada tahun 1949 apabila Republik Rakyat China ditubuhkan. Hingga kini jurusan bahasa atau pengajian Indonesia masih menjadi salah satu fokus pengajian di Universiti Peking dan pada tahun 1961 menjadi salah satu bahasa asing yang diajarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (Beijing Foreign Studies University, atau singkatannya BFSU), sementara di Universiti Pengajian Asing dan Perdagangan Luar Guangdong di Guangzhou pula pada tahun 1970 (Zhao Yue Zhen, 1970).

15. Pada tahun 1961 juga BFSU mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Tanah Melayu dengan Prof. Wu Zong Yu sebagai tenaga perintisnya. Pada tahun 1998 bahasa Melayu mula diajarkan di Institut Bahasa Asing Luoyang dan pada tahun 2001 di Institut Penyiaran Radio Beijing (kini Universiti Komunikasi China). Pada permulaan tahun akademik 2008-2009 pula, iaitu dalam bulan September 2008, Universiti Bangsa-bangsa Peribumi Guangxi (Guangxi University for Nationalities) pula mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Malaysia, sebagai tambahan bagi jurusan bahasa Indonesia yang sedia diajarkan di situ.

16. Pada 20 Jun 1997, ditubuhkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, khususnya untuk pengajaran bahasa Melayu di negara China. Pada 1 September 2005 pula ditubuhkan Pusat Pengajian Melayu China, dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sebagai pangkalan pengembangan pengajian Melayu di RRC.

18.Dengan peningkatan program pengajaran bahasa Melayu kepada program pengajian Melayu, Pusat Pengajian Melayu China secara rasminya menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan pengajian Melayu di Republik Rakyat China, dan turut membantu penubuhan Program Bahasa/Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi yang lain di seluruh negara. Pengarah Pusat Pengajian Melayu China ialah Prof. Wu Zong Yu yang memulakan program pengajaran bahasa Melayu di BFSU sejak tahun 1961 dan terus-menerus menjalin kerjasama dengan negara-negara di dunia Melayu.

19.Satu lagi detik bersejarah dalam hubungan ilmiah dan pendidikan antara dua buah negara ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China yang merupakan jawatan ilmiah kehormat yang ditubuhkan bersama antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, sebagai pengiktirafan kepada peranan Beijing Foreign Studies University dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di Republik Rakyat China sejak tahun 1961.

20. Kursi ini antara lain berperanan memperkenalkan bidang-bidang baru dalam pengajian Melayu (bahasa, sastera, budaya dll), meningkatkan program ilmiah di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, menganjurkan seminar serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa/pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China.

Cadangan Pelan Tindakan

1. Penyelidikan:

a. Hubungan antara Malaysia/alam Melayu dengan Cina dalam pelbagai aspek ketamadunan seperti politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah/pemikiran, dari zaman dahulu hingga kini, terutama dengan berdasarkan sumber-sumber Cina dan Melayu sendiri.

Langkah: (i).Sumber-sumber Cina yang ada dalam tradisi istana dinasti-dinasti Cina itu dikumpulkan, diterjemahkan dan dibuat anotasinya, agar dapat diperoleh gambaran yang tuntas tentang sumber-sumber yang dapat dijadikan asas analisis.

(ii)Kemudian dipilih sumber-sumber yang primer untuk dijadikan asas analisis, dengan sokongan sumber-sumber sekunder. Hasil yang dapat dibayangkan ialah sebuah buku besar atau beberapa jilid yang memerikan hubungan ketamadunan Melayu-Cina dalam pelbagai ranah, secara kronologis dari zaman awal hingga zaman mutakhir.

b. Kajian sosiolinguistik dalam konteks persebaran bahasa Melayu di tanah besar Cina, dengan menyedari adanya komuniti yang menggunakan bahasa Melayu.

Yang paling menarik dan penting disegerakan ialah kajian bahasa dalam kalangan komuniti Cina yang lahir di alam Melayu, majoritinya di Indonesia, yang pindah atau lebih tepat pulang ke tanah lelulur mereka pada tahun 1950-an dan 1960-an, di beberapa provinsi seperti di Guangdong, Hainan, Fujian dan malahan di Beijing juga. Diberitakan bahawa mereka, khususnya kalangan yang berusia masih menggunakan bahasa Melayu varian Indonesia, dan malahan masih mengamalkan corak kehidupan di alam Melayu daripada segi makanan, busana, kesenian dan lain-lain. Kajian ini perlu disegerakan kerana generasi tua dalam komuniti itu kian berkurangan disebabkan faktor alamiah.

c. Aspek sosiolinguistik yang lain ialah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan komuniti Cina di RRC. Antaranya termasuklah:

(i) peniaga yang berinteraksi dengan pelancong dari alam Melayu, baik di kaki Tembok Besar China mahupun di gedung-gedung beli-belah.

(ii) kalangan tenaga pengajar dan pelajar warganegara RRC di jurusan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di beberapa institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China. Di Nanning, provinsi Guangxi, malah ada sekolah rendah yang mengajarkan bahasa Melayu/Indonesia beberapa jam seminggu.

(iii) karyawan di institusi lain seperti di Bahagian Bahasa Melayu dan Bahagian Bahasa Indonesia, China Radio International (CRI).

d. Perkembangan Islam di tanah besar Cina dan kaitannya dengan pengislaman di alam Melayu

Aspek ini penting juga dikaji oleh sebab ada teori yang menyebut peranan pendakwah dari Cina yang turut mengembangkan Islam di alam Melayu. Beberapa orang daripada Wali Songo yang terkenal sebagai ulamak dan pengembang Islam di Indonesia pernah dikaitkan dengan usaha dakwah dari Cina dan ada daripada kalangan mereka yang dikatakan berketurunan Cina.

Selain itu, pengaruh seni bina Cina kepada seni bina masjid di Melaka amat jelas dan hal ini pasti ada kaitannya juga dengan pengaruh pendakwah dari Cina. Apatah lagi Laksamana Zheng He yang menjadi utusan Maharaja Cina ke Melaka merupakan tokoh Islam. Isu adakah Laksamana Zheng He sekadar menjadi utursan Maharaja China, atau sebenarnya berperanan juga dalam dakwah Islam perlu dikaji.

e. Kajian-kajian perbandingan yang berkaitan dengan pelbagai aspek dalam tamadun Cina dan Islam, terutama yang berkaitan dengan Islam di alam Melayu.

Analisis pernah dilakukan, misalnya, oleh Jaffary Awang (2005) tentang perbandingan antara nilai dan amalan budaya niaga Cina dengan nilai dan budaya niaga dalam Islam dan analisis Nasruddin Yunos (2005) menyentuh aspek kerohanian dan kebendaan dalam budaya bekerja masyarakat Cina.

f. Kajian perbandingan falsafah dan pemikiran Cina dengan falsafah dan pemikiran Melayu.

Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya pernah mengadakan siri seminar perbandingan ketamadunan dan hasil seminar dan kajian yang telah dijalankan dapat menjadi titik tolak untuk diperdalam dan diperluas. Antara yang menarik dan penting termasuklah perbandingan Konfusionisme, yang menjadi salah satu asas tamadun Cina dalam hal pemikiran, dengan Islam yang yang menjadi tunjang tamadun Melayu.

g. Kajian perbandingan pelbagai aspek kebudayaan antara dua tamadun.

Antaranya: sistem nilai, kesantunan, lambang dan imej (objek alam, warna dll), kesenian (antaranya perbandingan wayang kulit Melayu dengan wayang kulit Cina), sastera (antaranya perbandingan antara pantun Melayu dengan puisi Cina yang menyerupai pantun), busana, permainan tradisi dan seni bina.

h. Kajian kontrastif tentang pelbagai aspek sistem bahasa Melayu dan bahasa Cina, seperti aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan peribahasa.

Kajian kontrastif aspek fonologi, morfologi dan sintaksis dapat membantu pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, khususnya bagi pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Kajian perbandingan peribahasa pula lebih berkaitan dengan falsafah, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa masyarakat dan dapat dimanfaatkan untuk peneguhan penguasaan bahasa, terutama dalam aspek dinamis bahasa seperti dalam pidato dan karangan.

2. Penerbitan

a. Kamus dwibahasa bahasa Melayu-bahasa Cina, terutama kamus pelajar, yang menekankan latar budaya yang sesuai dengan keperluan pelajar; kamus yang disusun dengan berasaskan konsep medan makna (kerana kamus seumpama itu dapat membantu pemahaman unsur budaya atau tamadun dengan lebih berkesan); kamus ungkapan (bukan sekadar peribahasa, tetapi meliputi aspek ungkapan yang lebih luas), kerana inilah aspek penggunaan bahasa yang paling mencabar bagi pelajar asing.

b. Kamus di talian (online dictionary) yang memberikan kemudahan kepada pelajar membuat rujukan segera dan entri serta maklumat kamus pun dapat senantiasa dikemaskinikan dari waktu ke waktu, berbanding dengan kamus bercetak yang memerlukan waktu yang panjang untuk memperoleh edisi semakannya.
c. Buku pedagogi bahasa untuk rujukan dan panduan pengajaran bahasa Melayu kepada pelajar asing, secara bermodul. Yang berkaitan dengan buku pedagogi ialah buku tuntunan bahasa yang praktis untuk kegunaan pelajar dalam bentuk yang mesra pengguna (termasuk dalam bentuk komik dan aplikasi bahan tuntunan bahasa dalam realiti kehidupan), yang memperhitungkan latar budaya Melayu dan budaya setempat pelajar asing. Daripada segi bentuknya, buku bercetak memerlukan sokongan bahan terbitan elektronik seperti CD dan DVD.

d. Siri monograf kajian semasa yang memerikan aspek-aspek tertentu tamadun Melayu dan tamadun Cina untuk memupuk pemahaman dan persefahaman dalam kalangan pendukung dua tamadun itu. Dalam konteks ini, Kursi Pengajian Melayu di Pusat Pengajian Melayu China telah memulakan penerbitan siri tersebut. Siri itu dapat dimanfaatkan juga untuk memuat tesis dan disertasi yang dihasilkan oleh sarjana Melayu dan China tentang bidang pengajian Melayu (linguistik, sastera, budaya, sejarah, falsafah dll). Model yang dapat digunakan ialah siri penerbitan yang pada suatu waktu dahulu amat mengesankan, iaitu ILDEP (Indonesian Language for Development Project) yang diusahakan oleh Institut Antarabangsa Pengajian Asia Tenggara (IIAS) di Leiden, Belanda dengan kerjasama Pusat Bahasa Indonesia.

e. Portal atau laman web pengajian Melayu yang berpangkalan di Beijing untuk memuat berita, hasil kajian, penerbitan dan bahan-bahan tuntutan bahasa dll. Sebagai permulaan, Pusat Pengajian Melayu China telah bekerjasama dengan Bahagian Bahasa Melayu, Radio China Antarabangsa dalam pengisian blog yang disediakan oleh Laman Web CRI untuk Kursi Pengajian Melayu.


3. Kegiatan:

Contohnya pertandingan pidato dan penulisan wilayah Asia Timur, persidangan, seminar, kolokium dan siri kunjungan budaya ke lokasi-lokasi di tanah besar China, di alam Melayu dan lain-lain. Program pertukaran pelajar BFSU – UM yang bermula sejak tahun 2007 telah memperlihatkan kesan positif dalam konteks persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu. Pelajar BFSU, di sisi memperoleh manfaat ilmu bahasa, sastera dan budaya Melayu sepanjang satu semester di Universiti Malaya turut menyertai program perambihan (homestay) di rumah keluarga Melayu, sambil melakukan penelitan dan menyediakan kajian. Pelajar Universiti Malaya pula selama sebulan setengah ditempatkan di BFSU untuk mempelajari bahasa Mandarin dan meninjau aspek-aspek kebudayaan masyarakat Cina di tanah leluhur sahabat-sahabat Cinanya di Malaysia.

4. Prasarana dan Jaringan Kerjasama:

1. Mengaktifkan semula Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri Malaysia pada tahun 1997 dan telah mula digerakkan pada tahun 2000 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, tetapi malangnya terhenti sesudah tahun 2004 atas alasan yang tidak jelas kepada anggota-angota MABM yang mewakili benua dan wilayah. MABM, dalam tempoh empat tahun bergerak telah berhasil membentuk rangkaian kerjasama antara negara, wilayah dan benua, sama ada melalui peningkatan program pengajian Melayu/Indonesia di serata dunia, pertukaran pakar dalam bidang bahasa, sastera dan budaya, penjanaan projek kajian, penerbitan jurnal antarabangsa Melayu, siri seminar antarabangsa beserta kunjungan budaya, program perambihan (homestay) pelajar bahasa Melayu/Indonesia antarabangsa di alam Melayu dan beberapa program lain lagi.

2. Pelbagai pusat pengajian Melayu yang ada di seluruh dunia perlu mengadakan jaringan kerjasama yang lebih akrab dan padu, seperti melalui penganjuran projek kajian dan penerbitan bersama (yang dengan sendirinya dapat menghemat kos). Direktori Pengajian Melayu Sedunia perlu diusahakan supaya semua sarjana pengajian Melayu dapat dikenal pasti, baik daripada segi bidang kepakaran, cara perhubungan mahupun pengemaskinian data peribadi.

Sunday, December 12, 2010

Sukarelawan GPTD selamat pulang ke kampus

Alor Setar, 12 Disember 2010 - Sukarelawan GPTD Unisel dan Malaysian Relief Agency (MRA) bekerjasama membungkus bantuan makanan berjumlah 200 set pakej bantuan yang mengandungi beras, minyak, gula dan tepung. Bantuan dipunggah ke dalam belakang lori untuk diedarkan kepasa mangsa banjir di Taman Tabung Haji. Sukarelawan diuji dengan kerosakan bas dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Ini tidak melemahkan semangat juang para sukarelawan yang terlibat. Semua sukarelawan daripada Unisel, MSU dan KLMU selamat sampai ke kampus masing-masing. "Saya berharap akan ada program sebegini lagi pada masa akan datang", kata Mohd Badrul, sukarelawan GPTD Unisel.

Saturday, December 11, 2010

Bergotong Royong di Taman Tabung Haji

Alor Setar, 11 Disember 2010 - Aktivis GPTD ke Taman Tabung Haji, bergotong royong bersama JKKK Taman Tabung Haji. Sukarelawan lelaki ditugaskan membersihkan longkang yang tersumbat sejauh 2 kilometer. Manakala sukarelawan siswi diminta untuk mengumpul dan mengutip sampah. Sukarelawan mengambil peluang meninjau ke Pekan Rabu untuk merasai suasana pasar di sana sambil beramah mesra. "Terima kasih kerana sudi membersihkan taman kami", kata Pengerusi JKKK Taman Tabung Haji.

Dilaporkan oleh Aimi Nadirah, Sukarelawan GPTD Unisel

-Unit Media

Friday, December 10, 2010

GPTD Unisel ke Misi Bantuan Banjir di Kedah

Kuala Lumpur, 10 Disember 2010 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) akan menjalankan Misi Bantuan Banjir ke Alor Setar, Kedah. Sukarelawan GPTD seramai 11 orang diketuai oleh Sdri Hdariyani Kampun akan bersama-sama kelapangan untuk membersihkan kawasan taman perumahan yang dilanda banjir teruk baru-baru ini.

Dimaklumkan bahawa IPT lain juga turut serta antaranya KLMU, MSU, & Kolej Komuniti selain Unisel Kampus Bestari Jaya. Satu rombongan bas akan di hantar dengan misi membersihkan kawasan rumah dan sekitar di Taman Tabung Haji. Misi akan selesai pada hari Ahad ini. "Saya baru hubungi MRA semalam dan alhamdulillah 11 orang siap untuk berkhidmat untuk masyarakat", kata Hdariyani yang juga merupakan Setiausaha GPTD Unisel yang baru pulang dari XPDC Wali Songo di Jawa, Indonesia. "Pengalaman semasa di Posko Merapi di Jawa Tengah akan digunakan semasa dilapangan", tambah Hdariyani lagi.

-Unit Media


Memperingati 37 Tahun Pulangnya Za`ba ke Pangkuan Allah


Pada 23 Oktober 2010, genaplah 37 tahun Pendeta Za`ba (1895-1973) meninggalkan alam fana untuk kembali ke pangkuan Allah S.W.T. Untuk mengenang jasa bakti Allahyarham kepada bahasa dan persuratan Melayu, saya siarkan sebuah makalah yang pernah saya tulis tentang sumbangan beliau dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu.



ZA`BA DALAM BIDANG BAHASA DAN PERSURATAN
Sumbangan Pemikiran Za`ba dalam Pelanjutan Tradisi Linguistik Melayu

Prof. Dr. Awang Sariyan

[Dlm. Abdul Hamid Mahmood et al. 2005. Memartabatkan Warisan Pendeta Za`ba. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (hlm. 12 – 19)]


Tradisi linguistik Melayu yang diupayakan oleh tokoh setempat dan serantau di Alam Melayu dapat dikesan titik awalnya pada pertengahan abad ke-19, iaitu dengan mengambil tarikh terhasilnya karya tatabahasa Melayu oleh Raja Ali Haji, tokoh persuratan di Pulau Penyengat, Riau. Karya itu berjudul Kitab Bustan al-Katibin dan terbit pada tahun 1857. Karya tersebut merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa Melayu. Pada tahun 1859, Raja Ali Haji menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa pula, iaitu karya yang dapat dikategorikan sebagai kamus dan sekali gus tatabahasa Melayu.

Sesudah Raja Ali Haji, kurang jelas perkembangan penulisan linguistik Melayu oleh anak watan Melayu, sehinggalah kira-kira satu abad kemudian muncul seorang tokoh yang cukup gigih dan giat berusaha memantapkan sistem bahasa Melayu formal melalui penyusunan sistem ejaan Jawi dan Rumi, tatabahasa dan retorik. Tokoh itu ialah Za`ba, yang lahir pada 16 September 1895 di Batu Kikir, Jempul, Negeri Sembilan.

Za`ba ( Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad ) diiktiraf oleh masyarakat dan negara Malaysia, khususnya dan Alam Melayu, umumnya sebagai tokoh cendekiawan yang cukup berwibawa. Beliau pemikir dan pencetus beberapa gagasan besar dalam pelbagai bidang – agama, ekonomi, bahasa, sastera, politik, pendidikan, dan kebudayaan sebagai suatu keseluruhan yang menandai tamadun Melayu. Dalam bidang agama, beliau dapat digolongkan sebagai cendekiawan yang mendukung gerakan islah. Dalam bidang politik barangkali ada yang tidak tahu bahawa beliau penggerak aktif dalam menyatukan orang Melayu untuk menolak gagasan Malayan Union kerajaan Inggeris.

Daripada sekian banyak bidang yang diceburinya, bidang bahasalah yang tampaknya paling banyak dipertalikan orang dengan ketokohan dan sumbangannya. Sehingga kini, nama Za`ba seakan-akan bersinonim dengan perkembangan bahasa Melayu pada zaman baharu. Hal ini tidak menghairankan kerana memang Za`balah yang meletakkan asas sistem bahasa Melayu baharu, baik dalam bidang ejaan, tatabahasa Melayu mahupun retorik. Za`balah yang menandai awal babak perkembangan ilmu bahasa atau linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920-an, kira-kira satu dekad lebih awal daripada tokoh linguistik Amerika yang cukup berpengaruh dalam dunia linguistik Barat pada satu waktu dahulu, iaitu Leonard Bloomfield.

Taraf Za`ba sebagai perintis bahasa Melayu baharu diungkapkan dengan menarik sekali oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam pidato umum pengurniaan ijazah Doktor Kehormat Persuratan kepada Za`ba oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973 dengan kata-kata, “Karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar pelita yang menerangi suasana kelam keliru dan menunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dialah pemukul rebana kalbu masyarakat kita dalam Dewan Persuratan dan nyaring debarannya masih terdengar ke hari ini!”

Seorang sarjana besar dari Indonesia Prof. Dr. Harimurti Kridalaksana (1986) mengangkat Za`ba sebagai Bapa Tata Bahasa Tradisional Melayu Malaysia, setaraf dengan Sasrasoeganda yang digelar Bapa Tata Bahasa Tradisional Indonesia. Pengangkatan taraf itu berasaskan pada pengaruh tatabahasa yang disusun oleh Za`ba yang cukup luas dan dalam tempoh yang panjang dalam sistem pendidikan di negara ini.

Prof. Dr. Asmah Haji Omar (1975), dengan berasaskan peranan buku tatabahasa karangan Za`ba yang dijadikan buku pegangan dalam sistem pendidikan di negara ini, menganggap buku Pelita Bahasa Melayu yang terbit dalam tiga jilid itu sebagai bible bagi guru-guru bahasa Melayu. Menurut Prof. Asmah lagi, sehingga tahun 1968 semua buku teks bahasa Melayu yang digunakan di sekolah disusun dengan berasaskan buku tatabahasa Za`ba. Hal ini bererti bahawa pengaruh Za`ba melampaui tempoh paling tidak 30 tahun dalam perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Malah sesudah munculnya pelbagai aliran linguistik dalam percubaan menganalisis jalan bahasa Melayu ketika ini, tatabahasa yang disusun oleh Za`ba masih tetap dirujuki. Buku Tatabahasa Dewan yang menjadi buku pegangan Kementerian Pendidikan Malaysia, misalnya, masih tetap menggunakan buku Za`ba itu sebagai salah satu rujukan penting.

Sering juga kedengaran kata-kata sebilangan sarjana linguistik sendiri bahawa setengah-setengah konsep yang diperkatakan kini sebenarnya telah sedia ada dalam buku Za`ba tetapi tidak disedari oleh setengah-setengah ahli linguistik moden yang kadang-kadang tidak suka menoleh ke belakang untuk mengambil manfaat daripada hasil kerja orang terdahulu. Sebahagian analisis Za`ba yang ternyata masih dapat dijadikan sandaran untuk analisis bahasa Melayu kini telah saya kemukakan dalam kertas kerja yang berjudul “Penyusunan Tatabahasa Melayu di Malaysia : Dari Pelita Bahasa Melayu ke Tatabahasa Dewan” untuk Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di Universiti Malaya pada tahun 1989.

Sebelum terbitnya Pelita Bahasa Melayu dalam tiga penggal pada tahun 1940, 1946 dan 1949 (pada tahun 2000 diterbitkan semula dalam edisi ejaan baharu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka), Za`ba sebenarnya telah menghasilkan buku Ilmu Bahasa Melayu pada tahun 1926 dan 1927. Buku Pelita Bahasa Melayu Penggal I yang terbit pada tahun 1940 telah mula ditulis pada tahun 1934 dan 11 bab selesai pada tahun 1936. Buku Pelita Bahasa Melayu Penggal II pula siap ditulis pada tahun 1942 tetapi ditangguhkan penerbitannya ke tahun 1946 sesudah dibaiki dan disemak. Tiga tahun kemudian terbit pula Pelita Bahasa Melayu Penggal III. Ketiga-tiga buah buku beliau inilah yang menjulang namanya sebagai pengasas bahasa Melayu baharu. Maka memang kena pada tempatnya beliau dianugerahi gelar Pendeta dalam Kongres Bahasa Melayu dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956.

Keunggulan Za`ba terletak pada kekuatan dan ketajaman intuisi serta pemerhatiannya terhadap sistem bahasa Melayu. Walaupun beliau tidak terdedah secara formal dalam disiplin linguistik, khususnya linguistik moden, analisis yang dihasilkannya membuktikan bahawa gagasan-gagasan penting dalam bidang ilmu itu ada dalam intuisinya. Apatah dihairankan kerana segala gagasan yang dikemukakan oleh ahli-ahli linguistik ternama di Barat itu pun sebenarnya hasil renungan dan pemikiran mereka juga. Dan kita di Alam Melayu ternyata memiliki pemikir yang setanding dengan sarjana di Barat. Pada saat istilah fonologi belum dikenal orang di negara in pada tahun 1930-an, Za`ba telah mengemukakannya lewat analisisnya tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Orang yang tidak memiliki intuisi tentang fonologi tidak mungkin dapat mengetengahkan analisis sistem ejaan sesuatu bahasa, kerana ejaan atau huruf merupakan lambang atau gambaran sistem bunyi bahasa.

Prof. Asmah Haji Omar (1976) dapat mengesan beberapa prinsip fonologi yang melandasi analisis Za`ba tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Antaranya termasuklah :

a. Keutamaan ucapan di atas tulisan (kewujudan bunyi mendahului tulisan)

“Maka sungguhpun ada beberapa banyak bangsa seperti Semang, Sakai dan sebagainya yang tiada mengerti pada jalan tulis-menulis tetapi sekaliannya bangsa-bangsa itu tahu juga bersuara dan bercakap.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 3)

b. Huruf sebagai lambang untuk bunyi

“Manusia itu tatkala bertambah-tambah majunya dapatlah ia merupakan tiap-tiap
suatu bunyi yang disebutnya itu dengan suatu gambar – gunanya untuk menampakkan percakapan itu kepada mata, supaya dapat difahamkan dengan dipandang sahaja oleh orang yang tiada mendengar seperti orang yang jauh jarak tempatnya atau masanya daripada orang yang punya percakapan itu.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 5)

c. Hubungan antara fikiran dengan mekanisme bahasa

“...Bunyi itu masuk ke telinga mereka langsung terus kepada otaknya. Maka dengan
serta-merta otak itu mengenal akan dia dan mengerti akan maksudnya. Begitulah
juga pada segala bunyi-bunyi lain yang ada bermakna bagi orang yang punya bahasa
itu.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab 1, pecahan 1 – 2 )


Dalam usaha mengemukakan sistem ejaan bagi bahasa Melayu, Za`ba turut memperlihatkan ketajaman intuisinya tentang konsep-konsep fonetik, walaupun dengan cara yang cukup sederhana. Za`ba memperkenalkan adanya perbedaan bunyi vokal (yang diistilahkannya sebagai huruf saksi) dan bunyi konsonan (yang diistilahkannya sebagai huruf benar). Tentang huruf (sebenarnya bunyi) saksi, Za`ba mengenal pasti adanya bunyi vokal sempit atau tinggi (seperti bunyi u dan i). Za`ba menggolongkan bunyi a, e, o sebagai bunyi kasar dan e pepet, e, u sebagai bunyi halus.

Demikian juga Za`ba telah mengetengahkan konsep diftong dan vokal rangkap (istilah beliau bunyi berkait rapat dan bunyi berkait renggang ), ciri suprasegmental (seperti kepanjangan bunyi) yang menurutnya bukan sifat bahasa Melayu, dan keharmonian vokal. Tentang keharmonian vokal yang menjadi asas pengejaan kata yang terdiri daripda dua suku kata dan lebih, prinsip Za`ba berdasar pada keselarasan vokal halus lawan halus dan vokal kasar lawan kasar. Katanya :

“Pakailah saksi halus di hujung jika bunyi yang dahulunya halus, dan
pakailah saksi kasar di hujung jika bunyi yang dahulunya kasar.”
(Pelita Bahasa Melayu Penggal I, Bab V, pecahan 54)

Analisis Za`ba yang cukup berpengaruh dalam menentukan jalan bahasa Melayu ialah dalam bidang tatabahasa. Analisis beliau tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis Za`ba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu istilah-istilah tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional.

Dalam membicarakan kata, Za`ba menggolongkan kata kepada lima golongan yang utama, iaitu nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan. Setiap golonga utama itu dipecah-pecahkan kepada subgolongan. Misalnya di bawah nama ada nama betul dan ganti nama. Di bawah kedua-duanya ada pula pecahan yang lebih kecil, iaitu nama am atau nama nika dan nama khas. Tentang perbuatan pula, dipecahkannya golongan itu kepada perbuatan melampau dan perbuatan tidak melampau, yang kini kita kenal sebagai kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Antara gagasan Za`ba yang menarik tentang perbuatan ialah adanya perbuatan yang dapat menduduki fungsi nama, iaitu yang disebutnya perbuatan nama dan nama perbuatan. Jelas bahawa hal yang kini dibincangkan oleh ahli linguistik moden sebagai bentuk nominal telah dibincangkan jauh lebih awal oleh Za`ba.

Tentang sifat pula, Za`ba membahaginya kepada sifat nama dan sifat kata. Yang pertama merujuk kepada golongan kata yang dikenal sebagai adjektif, sementara yang kedua merujuk kepada adverba. Dalam keriuhan perancang bahasa dan pengguna bahasa mendapati tiadanya golongan kata adverba dalam buku Tatabahasa Dewan (sebelum edisi baharu 2009), maka sekali lagi tatabahasa yang disusun oleh Za`ba dirujuki untuk mengambil keputusan memasukkan golongan kata itu dalam edisi baharu buku tatabahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu.

Tentang kata sendi pula, Za`balah yang meletakkan asas penggunaan kata sendi yang tepat, misalnya antara kata pada dengan kata di, ke dengan kepada, dari dengan daripada, dan yang lain. Hingga kini, ketetapan yang dibuat Za`ba itu menjadi pegangan pendidik dan pelajar serta masyarakat umum dalam penggunaan bahasa Melayu rasmi.

Analisis Za`ba tentang ayat bahasa Melayu berkisar di sekitar ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait, dan ayat bercampur. Penggolongan ayat sedemikian tidak jauh berbeda dengan yang berlaku dalam bahasa-bahasa lain, dan hal ini memenuhi salah satu ciri asas kesejagatan bahasa. Ayat selapis merujuk kepada konsep ayat tunggal, iaitu ayat ayat yang terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. Ayat berlapis samalah dengan ayat gabungan, sementara ayat berkait ialah padanan istilah bagi ayat pancangan walaupun konsep ayat berkait Za`ba lebih banyak berkaitan dengan ayat pancangan keterangan sahaja. Ayat bercampur samalah dengan ayat campuran, iaitu ayat yang terdiri daripada pelbagai binaan ayat. Jelaslah bahawa analisis ayat atau sintaksis yang terdapat dalam buku-buku tatabahasa kini masih tetap berasas pada analisis yang dibuat oleh Za`ba. Yang membedakannya hanya soal istilah dan kerangka pendekatannya sahaja. Sebagai contoh, sementara Za`ba menggunakan pendekatan tradisional, Tatabahasa Dewan, khususnya dalam aspek sintaksis, disusun berasaskan pendekatan transformasi–generatif.

Jenis-jenis ayat yang terbahagi kepada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan pun telah dianalisis oleh Za`ba. Demikian juga ragam ayat yang dikenal sebagai ayat aktif dan ayat pasif telah digarap oleh Za`ba dengan istilah ayat bangun membuat dan ayat bangun kena buat. Kajian yang saya lakukan menunjukkan bahawa rumus-rumus ayat pasif bahasa Melayu rasmi yang dikemukakan oleh sarjana-sarjana linguistik moden tidak ada perbedaannya sama sekali dengan yang telah dikemukakan oleh Za`ba lebih setengah abad yang silam.

Selain berjasa besar dalam meletakkan asas sistem bahasa Melayu dalam bidang ejaan dan tatabahasa, Za`ba berjasa besar juga dalam mengetengahkan ilmu retorik. Karyanya Ilmu Mengarang Melayu yang mula terbit pada tahun 1934 telah dicetak ulang sebanyak enam kali dalam edisi Jawi hingga tahun 1956 dan terbit pula dalam edisi Rumi (dengan pindaan dan pembaikan) pada tahun 1962. Buku tersebut memberikan pedoman yang cukup praktis dalam kerja karang-mengarang, baik dalam bentuk prosa mahupun puisi.

Prof. Dr. Hashim Awang dalam kertas kerjanya “Retorika Melayu dari Tanggapan Za`ba” untuk Kongres Bahasa Melayu Sedunia (21 – 25 Ogos 1995) mengangkat Za`ba sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Kata beliau, buku Ilmu Mengarang Melayu Za’ba mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Za`ba itu.

Pembicaraan tentang pemikiran dan kesarjanaan Za`ba tidak mungkin terungkapkan dalam makalah sesederhana ini. Kajian yang mendalam lagi analitis dan kritis diperlukan untuk menghargai jasa dan sumbangan Za`ba dalam bidang bahasa dan persuratan. Usahlah kita sekadar mengagumi Ferdinand de Saussure, Leonard Bloomfield, Noam A. Chomsky, M. A. K. Halliday, John Lyons, dan yang lain dari dunia barat sehingga lupa akan kehebatan Za`ba dalam meletakkan asas perkembangan ilmu bahasa atau linguistik di Malaysia dan di Alam Melayu. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za`ba dalam rangka mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut, malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu. Demikian juga, usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za`ba yang bersifat muzium tokoh seakan-akan muzium Hemingway di England itu akan dapat mengabadikan sumbangan Za`ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini.


Rujukan

Asmah Haji Omar, 1976. "Za`ba dalam Linguistik : Satu Tinjauan mengenai Aspek-aspek Bahasa yang Diutarakannya" dlm. Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu ( Esei-esei Penghormatan kepada Pendeta Za`ba ). Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Awang Sariyan, 1977. "Tatabahasa Za`ba dan Tatabahasa Asmah Haji Omar: Satu Perbandingan dan Penilaian dari Segi Analisa Ayat Melayu". Latihan Ilmiah, Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Bangi Universiti Kebangsaan Malaysia.

Awang Sariyan, 1996. "Penyusunan Tatabahasa Melayu : Dari Pelita Bahasa Melayu ke
Tatabahasa Dewan” dlm. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harimurti Kridalaksana, 1986. Kelas Kata dalam Bahasa Indonesia. Jakarta : Penerbit PT Gramedia.

Hashim Awang, 1995. "Retorika Melayu dari Tanggapan Za`ba". Kertas Kerja Kongres Bahasa Melayu Sedunia (21-25 Ogos 1995), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1976. "Pendeta Za’ba : Suatu Penghormatan" dlm. Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan (Esei-esei Penghormatan kepada Pendeta Za’ba). Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumber : Kembara Bahasa

Thursday, December 9, 2010

Catatan Kembara XPDC Wali Songo


"Kembara diri dan jiwa. InsyaAllah."

Bismillah.

Ini pengalaman saya selaku exco PKPIM menyertai Ekspedisi Menjejak Wali Songo anjuran Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) UNISEL yang bukan sekadar berobjektifkan jalan-jalan ke Makam Wali Allah itu. Namun ia merupakan kembara panjang (2 minggu) dalam menjalani tarbiyyah Allah dimuka bumi-Nya. Di tempat asing dan di temani sahabat seperjuangan seramai tujuh orang, malah tiga daripadanya adalah muslimah, menjadikan kami cepat akrab sebagai satu pasukan.

Awal ketibaan kami di Tanah Jawa, Sang Merapi menyambut mesra dengan butir-butir debu melaju menyimbah udara sekitarnya. Alhamdulillah, sepanjang empat hari di Yogjakarta, tiada apa-apa yang buruk menimpa kami. Syukur panjang kami panjatkan kepada Ilahi. Moga itu adalah tanda redha-Nya pada kembara kami ini. InsyaAllah.

Persahabatan yang terjalin bersama mahasiswa-mahasiswa Indonesia membuahkan pelbagai hikmah. Kami masih sangat berterima kasih kepada sahabat-sahabat dari Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) yang banyak membantu kembara kami di Yogjakarta, Semarang dan Surabaya. Hingga soal penginapan, makan dan minum juga banyak yang terbantu. Malah kepada sahabat dari Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indeonesia (KAMMI) yang sangat mesra menerima kunjungan dan ziarah kami.

Sejujurnya ziarah ini bukan sekadar memaut ukhuwwah, malah menguatkan idealisma perjuangan mahasiswa yang kebanyakan diskusi antara kami banyak membicarakan soal mewujudkan masyarakat yang lebih baik, dakwah Islam itu sendiri dan soal meningkatkan kesedaran pemuda Islam mengenai kepentingan menyumbang kepada masyarakat. Malah perkongsian kami bukan sekadar itu, tetapi meliputi hubungan dakwah Malaysia-Indonesia dan harapan-harapan agar syiar Islam akan terus menyinar di bumi Allah ini.

Saya juga telah dijemput untuk diwawancara oleh Radio Suara Muslim Surabaya, salah satu saluran radio terbesar di Surabaya untuk berkongsi pengalaman kembara dan memperkenalkan PKPIM sebagai salah satu NGO dakwah di Malaysia. Kami juga berkesempatan membuat pertemuan bersama editorial Majalah Suara Hidayatullah, Kepimpinan Lembaga Dakwah Kampus (LDK), dan Ikatan Mahasiswa Hidayatullah yang kesemua mereka merupakan bekas pelajar di Pesantren Hidayatullah.

Sebuah pesantren terbesar di Indonesia. Alhamdulillah. Pengalaman ini membuatkan saya terfikir akan pengaruh media dalam dakwah dimana jika di Malaysia keadaannya mungkin lebih baik. Maksud saya, di Malaysia tiada cabaran seperti Indonesia dimana saluran radio dan televisyennya bebas menyiarkan rancangan-rancangan dari pelbagai agama. Pada saya itu satu cabaran besar buat pendakwah Islam di Indonesia dan melihat kesungguhan sahabat-sahabat baru saya ini, membuatkan hati semakin yakin dengan jalan perjuangan yang dipilih. Allahuakhbar.

Selain itu, kembara ke Makam Wali Allah ini banyak membuka mata kami dalam mencari kebenaran. Sebenarnya wali-wali Allah ini bukanlah satu individu sahaja yang menyampaikan ajaran Islam di Tanah Jawa, tapi sebenarnya sekumpulan anak muda yang dihantar untuk menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat disana. Malah sebenarnya bukan sembilan ini saja bahkan ramai lagi wali-wali Allah yang mungkin kisahnya tidak diceritakan seperti Wali Songo.

"Masih mampu tersenyum walau kelelahan."

Sejujurnya kembara ini punya beribu hikmah yang tak tertuliskan semua. Soal kembara diri dan jiwa. Soal pengabdian diri kepada Allah yang bukan hanya berkisar soal Ibadah, tetapi juga soal kerja-kerja dakwah, membantu mereka yang memerlukan dan sebagainya. Malah sebagai seorang muslimah, saya kira perjuangan seorang wanita tidak hanya perlu dibelakang tabir, tetapi juga ada waktunya kita harus kehadapan dalam menyampaikan kebenaran.

Soal kerjasama berkumpulan, sebenarnya bukan sahaja dalam soal tugasan sahaja walaupun ia sangat perlu sewaktu dalam kembara. Tetapi juga dalam penjagaan kembara rohani secara jamaie seperti solat berjemaah, qiyamullail, tazkirah dan tidak dilupakan bacaan ma'thurat harian sebagai bekal diri dan pasukan.

Alhamdulillah, hingga di hujung kembara, setiap pengalaman dirasai manisnya. Walau sebenarnya tugasan harus disambung di Malaysia, namun penghayatan atas segala tarbiyyah-Nyadiharapkan mampu menjadikan kami ini muslimah-muslimah yang akan menyumbang kepada ummat. InsyaAllah.

Siti Nur Dalila Melatu Samsi
Exco PKPIM 2010/2011 juga merupakan aktivis GPTD yang mengikuti XPDC WALI SONGO 2010 ke Jawa, Indonesia

Related Posts with Thumbnails