Monday, August 31, 2009

Salam Merdeka : 1 Malaysia 52 Tahun

Alhamdulillah 52 tahun negara kita sudah merdeka. Mari kita hayati makna kemerdekaan. Merdeka dari kejahilan dari. Merdeka minda dari minda penjajah. Merdeka dari mengharap selain daripada Allah. Merdeka dari melakukan dosa kecil & besar. Mari kita hidupkan Ramadan untuk mendapatkan keMERDEKAan sebenar.

Sekretariat GPTD UNISEL


Tuesday, August 25, 2009

Kandungan Pemasyhuran Kemerdekaan


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.

Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.

Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala peranjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.

Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.

Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.

Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

------------------------------------------------------------------------------------------------

Pemasyhuran Kemerdekaan merupakan lambang kesatuan negeri-negeri Melayu bertaut pada satu nama sebuah negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Maka ini adalah satu bukti sejarah yang diperakui oleh British tentang ketuanan Melayu. Sepatutnya tiadalah suara-suara sumbang yang mempertikai hak orang Melayu di bumi mereka. Ini kerana sejak kewujudan Malaysia (nama baru Persekutuan Tanah Melayu selepas gabungan semenanjung dan Sabah & Sarawak) kepimpinan Melayu tidak pula mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat yang bukan Melayu.

Perpaduan yang terjalin harus sentiasa disuburkan dengan mengenali budaya & agama sesama masyarakat. Cuma perbalahan boleh terjadi disebabkan ketidakfahaman terhadap tradisi budaya & agama. Sejarah negara Madinah telah terbukti kejayaannya berdasarkan kepelbagaian masyarakat & agama yang wujud ketika itu. Oleh itu Malaysia telah berusaha mencontohi negara Madinah melalui perlembagaan Persekutuaan Tanah Melayu. Peranan yang perlu dilakukan sekarang ini selepas 52 tahun adalah menjaga perpaduan rakyat, bersama membangunkan negara tanpa menafikan hak kerakyatan yang berbilang kaum berlandaskan perlembagaan.

Jika dilihat kepada versi Bahasa Melayu Pemasyhuran Kemerdekaan yang ditulis dalam tulisan jawi, dapat disignifikasikan bahawa perkaitan Melayu & Islam. Tulisan jawi merupakan simbol yang diterbitkan berdasarkan karektor tulisan arab (Tulisan Al-Quran). Selain itu, banyak istilah bahasa Melayu juga mengambil istilah dan maksud di dalam bahasa arab. Nah, ini semua adalah satu manifestasi ciri-ciri kemelayuan yang ada dalam Alam Melayu tidak dapat dipisahkan antara Melayu dan Islam. Malah pemilihan tarikh 31 Ogos 1957 telah dipilih oleh Mufti Pulau Pinang ketika itu iaitu Haji Abdullah Fahim.
Ini menunjukkan kemerdekaan yang diusahakan melibatkan peranan ulama dan umarak secara bijaksana. Kesimpulannya, pengkajian tentang asal usul diri, keluarga, masyarakat, negara adalah amat penting untuk diterokai agar lahir suatu kefahaman yang kukuh untuk mempertahankan jatidiri sejati.


Friday, August 21, 2009

Kemaafan Menjelang Ramadan


Kebiasaannya bila menjelang bulan Ramadan kita mohon maaf mungkin disebabkan doa Jibrail seperti di bawah :

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: * Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); * Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri; * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya" Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang mengamiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat.

Saya sudah buat kajian sedikit, doa di atas tidak wujud (jika salah tolong betulkan) tetapi hadis yang ada adalah seperti berikut :

Dirujuk daripada buku Birrul Walidain oleh Ustadz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, hal. 44-45 terbitan Darul Qalam.

Ertinya: Nabi SAW naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya. “Kenapa engkau berkata ‘Amin, amin, amin, Ya Rasulullah?” Nabi SAW bersabda, “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’, kemudian Jibril berkata lagi, ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin”.

[Hadits Riwayat Bazzar dalama Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah)]

Kesimpulan : Mintalah maaf bila-bila pun...apabila kita buat kesilapan pada orang lain.




Monday, August 17, 2009

SAKTI Melahirkan Sukarelawan Terulung


Paroi, 16hb Ogos 2009 - Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel telah menyertai Latihan Sukarelawan Asas Tahap 1 anjuran GPTD Pusat & Jabatan Belia & Sukan Negeri Sembilan. Program yang bermula pada hari Jumaat diadakan di Pusat Dakwah Islamiah. Program ini bertujuan untuk melatih sukarelawan muda menjalan khidmat sosial, kajian di luar negara selain dalam negara. Antara IPT yang hadir sebagai peserta adalah UIA, USIM, KUIS, Kolej Lagenda, UiTM Seri Iskandar, Unisel Bestari Jaya, UNITEN, Politeknik PD. Seramai 60 orang peserta termasuk seorang non-muslim telah berjaya menamatkan latihan dan merancangan misi luar negara mengikut kampus & grup masing-masing. Misi yang telah dirancang seperti kajian tokoh Ibn Battutah di Maghribi & China, Ibn Khaldun di Maghribi, Cheng Ho di China, Hamka di Padang, Indonesia, Al-Fatih di Mesir & Palestin, Muhamad Ali & Malcom X di USA dan seorang tokoh ulama di Nigeria. Sebelum itu mereka akan menjalani latihan berkala dalam negara. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta memberi keyakinan peranan mereka dalam meneladani tokoh akan berjaya.



Sunday, August 16, 2009

Ramadhan Al-Mubarak




Seluruh Pimpinan GPTD UNISEL ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak 1430H. Muga Ramadhan kali ini membawa kita ke dalam zon ibadat bersama keikhlasan & istiqamah untuk menikmati ganjaran kelebihan beramal pada bulan umat Nabi Muhammad. Mari kita kejar malam lailatulqadar! Insya Allah, dipermudahkan segala urusan GPTD UNISEL dalam menjayakan gerak kerja yang telah dirancang pada tahun 2009 dan 2010.



Friday, August 14, 2009

Latihan SAKTI GPTD


Berikut tentatif terkini Kem Sakti GPTD di Pusat Dakwah Islamiyyah Paroi, Seremban:-

14 OGOS 09 / 23 SYAABAN 1430 H (KHAMIS)

3.00 ptg : Pendaftaran
5.00 ptg : Solat Asar, Khidmat Diri & Makan Malam
7.00 ptg : Solat Maghrib-Isya’ & Tazkirah

9.00 mlm : SLOT 1 – Belia dan Kerja Kesukarelaan
Panel: Prof. Dr. Haji Azimi Haji Hamzah
Pakar Rujuk Belia Malaysia dan United Nation


10.30 mlm : Minum Malam
10.45 mlm : Taklimat, Taaruf & Pengenalan Ringkas GPTD

15 OGOS 09 / 24 SYAABAN 1430 H (SABTU)

5.30 pg : Solat Subuh & Tazkirah
6.30 pg : Senaman & Jogging
8.00 pg : Sarapan & Kendiri

9.00 pg : SLOT 2 – Kesukarelaan dan Personaliti Belia
Panel: Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman
Pengerusi Future Global Network (FGN)


10.30 pg: Minum
11.00 pg: SLOT 3 – Kesukarelaan Membentuk Belia Berpersonaliti Positif:Pengalaman Ikhwanul Muslimun Mesir
Panel: Tuan Haji Shamsul Azhar Yahya
Yang Dipertua ABIM Negeri Sembilan


12.30 tgh : Makan Tengahari & Solat Zuhur
2.00 ptg : Perkongsian: Bagaimana Memulakan Sebuah Grup?
GPTD Bosnia dan lain-lain

3.30 ptg : Pembentangan Projek Tokoh : Sultan Muhammad al-Fateh Tokoh Personaliti Generasi Muda
Panel: Saudara Mohd Faizul Afzan Bin Mamat
Pengerusi GPTD Kelantan


4.30 ptg : Minum Petang, Solat Asar & Riadah
6.30 ptg : Makan Malam & Kendiri
7.00 ptg : Solat Maghrib-Isya’ & Tazkirah

9.00 mlm : SLOT 4 – Meneladani Ibn Battutah Membentuk Personaliti Belia Menjulang (Towering Personality)
Panel: Encik Syed Nurul Akla Syed Abdullah
Penterjemah Kitab Rihlah Ibn Battutah


10.30 mlm : LDK
12.00 mlm : Minum Malam & Tidur

16 OGOS 09 / 25 SYAABAN 1430 H (AHAD)

5.30 pg : Solat Subuh & Tazkirah
6.30 pg : Senaman
8.00 pg : Sarapan & Kendiri
8.30 pg : POA Kendalian Pengerusi GPTD,
Saudara Jufitri Joha

10.30 pg : Minum
11.00 pg : Pembentangan
12.00 tgh : Majlis Penutup oleh Presiden ABIM,
Saudara Muhd Razak Idris

12.50 thg : Makan Tengahari, Solat Zuhur & Pulang

Thursday, August 13, 2009

Makluman Terkini Program SAKTI



Perhatian kepada semua peserta Latihan SAKTI (Sukarelawan Asas Tahap 1). Sila berkumpul di hadapan Dewan Biru selepas solat Jumaat pada jam 2.45 petang. Mohon sampaikan maklumat terkini ini kepada rakan-rakan yang lain agar tiada yang ketinggalan. Masih ada kekosongan lima (5) orang peserta untuk turut serta di dalam program ini. Jika berminat atau ada sebarang kemusykilan sila hubungi @ SMS Saudari Wan Ritini (koordinator program) pada talian +6010 246 0435. Kita jumpa di sana!!!

Bahaya Fatwa Wahabi Mesir


Assalamualaikum Warahmatullah.

PENGENALAN

Di antara majalah kegemaran saya di sini (Mesir) adalah majalah al-Islam Waton dan beberapa majalah lain lagi. Boleh dikatakan hampir setiap keluaran majalah ini saya akan membelinya untuk dibaca. Banyak ilmu yang saya perolehi dari pembacaan majalah ini di samping dapat menambahkan lagi kosakata baru Bahasa Arab moden yang digunakan pada hari ini.

Di kesempatan yang singkat ini saya akan menterjemahkan satu artikel bertajuk: Wakil-Wakil Wahabi Di Mesir Mengembangkan (Fahaman Wahabi) Sehingga Terhasil (Berjaya) oleh (Syeikh) Abdul Razak Afifi karangan Dr Muhammad Hasini al-Halfawi. Artikel ini telah dikeluarkan oleh majalah al-Islam Waton bilangan 274 dan 275. Pada keluaran pertama (274) diterangkan biodata (Syeikh) Abdul Razak Afifi secara ringkas dan sedikit kata-kata dan fatwa darinya. Pada keluaran kedua (275) pula disambung semula segala kata-kata dan fatwanya itu. Cuma di sini saya akan menterjemahkan secara ringkas kata-kata dan fatwanya sahaja.



Saya lebih suka menterjemahkan artikel seperti ini dari menulisnya sendiri mengenai fahaman Wahabi kerana mungkin ada yang berkata saya sengaja menabur fitnah (tentang Wahabi) sedangkan diri sendiri tidaklah seberapa ilmunya. Mungkin dengan terjemahan ini menjelaskan sedikit sebanyak kepincangan dan bahaya fahaman Wahabi atau Salafi Jadian ini. Saya sama sekali tidak bermusuh atau berselisih dengan pihak Khalaf ataupun Salaf kerana mereka adalah golongan yang mulia lagi dihormati.

DI ANTARA KATA-KATA DAN FATWANYA

01. Mengkafirkan kerajaan Presiden Mesir iaitu kerajaan Husni Mubarak.

02. Mengisbatkan akidah dengan Hadis Ahad.

03. Menjauhi Tafsir Imam Fakhrulrazi.

04. Tidak menafikan bentuk-bentuk Allah Taala.

05. Melarang menyambut malam Nifsu Syaaban.

06. Melarang menyambut Maulidur Rasul

07. Berkata tinggi adalah tempat bagi Allah Taala.

08. Berpendapat pembukaan majlis dan perayaan dengan bacaan al-Quran al-Karim adalah bidaah.

09. Menyamakan rakyat Mesir sekarang dengan kafir Qurasy sebelum hijrah.

10. Berkata Allah Taala dekat dengan zatNya.

11. Membidaahkan jemaah Tabligh dan dakwah mereka.

12. Tidak harus berimamkan (solat) bagi mereka yang bertawasul dengan orang-orang soleh.

13. Tidak harus mengeluarkan zakat fitrah dengan tunai dan duit.

14. Haram bergambar.

15. Harus manusia berkahwin dengan jin dan sebaliknya.

16. Tidak harus perempuan memendekkan rambut.

17. Bercita-cita dan berharap untuk membakar sebahagian kitab-kitab mazhab empat.

18. Mengkritik akidah Imam Ibnu Kudamah al-Hanabili.

PENUTUP

Sebenarnya setiap satu dari fatwa-fatwanya di atas mempunyai penerangan dan rujukan yang telah dinyatakan di dalam majalah ini. Namun saya tidak menterjemahkan untuk diletakkan di sini kerana kesempatan masa yang terbatas. Jika ada kelapangan saya akan memanjangkan lagi penerangan bagi setiap fatwanya ini.

Semoga kita semua mendapat iktibar dan pengajaran dari terjemahan ringkas ini. Bacaan tambahan mengenai Ciri-Ciri Ringkas Fahaman Wahabi di sini:

http://buluh.iluvislam.com/?p=41

‘Memberi dan Berbakti’

Wallahualam.

Mengimbau Detik Kemerdekaan

Wednesday, August 12, 2009

Jom Kita Kibarkan Jalur Gemilang








Sempena kehadiran bulan Ogos sebagai bulan kemerdekaan, GPTD UNISEL ingin mengajak sahabat, teman, rakan, dan kawan berkempen mengibarkan bendera kebanggaan kita rakyat Malaysia iaitu Jalur Gemilang. Caranya mudah, letak Jalur Gemilang di mana-mana ruang pada blog saudara-saudari . Oleh yang demikian, sila ikut arahan yang ada di dalam maribinablog. Bersama memeriahkan Sambutan Kemerdekaan Ke-52 Malaysia.

AMARAN : Dilarang terbalikkan Jalur Gemilang!

Monday, August 10, 2009

Iman & Manusia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.



Firman Allah swt:



لَقَدْ خَلَقْنَا الإْنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (4) ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ (5) إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ (6)



Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

(at-Tin: 4-6)

Berikutnya kita akan menerangkan lima noktah daripada ribuan noktah yang ada berhubung dengan keindahan iman.



Noktah Pertama

Dengan cahaya iman, manusia akan mencapai darjat yang paling tinggi di antara yang tertinggi dan dengan ini dia telah melayakkan dirinya untuk masuk ke dalam syurga. Sebaliknya, kegelapan kekufuran menjatuhkan manusia ke peringkat yang paling rendah dan hina, sehingga dia layak sekali masuk ke dalam neraka jahannam. Iman menghubungkan manusia dengan penciptanya Yang Maha Agung dengan ikatan yang teguh. Dengan keimanan, manusia mencapai martabat yang tertinggi melalui penjelmaan seni Ilahi dan ukiran al-Asma’ al-Husna pada dirinya. Manakala kekufuran memutuskan hubungan suci ini sehingga seni ciptaan Allah yang ada pada manusia tadi menjadi kabur dan tersembunyi. Dengan demikian, nilai manusia tadi akan jatuh ke tahap nilai materialnya sahaja, sedangkan pada hakikatnya material yang terdapat dalam diri manusia itu langsung tidak mempunyai nilai, kerana ia akan binasa, hilang dan kehidupannya adalah kehidupan kehaiwanan yang sementara. Kita akan cuba menerangkan rahsia ini melalui satu perbandingan:

Bagi sesuatu hasil seni, nilai bahan yang terkandung di dalamnya adalah berbeza dari nilainya yang sebenar. Kadang-kala kedua-duanya kelihatan sama dan kadang-kala hasil seni tadi nampak lebih berharga dari bahan yang ada padanya. Namun begitu, dalam banyak hal, sesuatu hasil seni biasanya berharga berjuta-juta ringgit sedangkan bahan yang digunakan untuk menghasilkanya hanyalah bernilai beberapa puluh ringgit sahaja. Apabila hasil seni ini dibawa ke balai seni, maka ia pun akan dijual atas nilainya yang sebenar setelah dipamerkan dengan nama karyawan yang masyhur dan mahir yang menghasilkanya dinyatakan. Sebaliknya jika hasil seni itu dibawa ke kedai besi buruk, ia akan dinilai atau dijual atas nilai bahan besi yang terkandung di dalamnya sahaja dan mungkin tidak ada orang yang ingin membelinya.

Begitu juga halnya dengan manusia. Manusia adalah hasil seni Allah Yang Maha Kuasa yang menakjubkan. Dia adalah jelmaan mukjizat kudratNya yang paling tinggi dan halus. Allah menciptakannya untuk mempamerkan keseluruhan jelmaan al-Asma’ al-Husna sebagai paksi bagi ukuran jelmaanNya yang indah. Allah juga menjadikannya sebagai satu mini model bagi alam sejagat ini. Jika seseorang itu disinari dengan cahaya iman yang mantap, segala jelmaan seni ukiran Ilahi kelihatan jelas pada dirinya, bahkan dapat dibaca oleh orang lain. Jelmaan ini dibaca oleh seorang yang beriman dengan penuh kesedaran dan menjadikan orang lain turut dapat membacanya. Seolah-olah manusia yang beriman itu berkata “saya adalah ciptaan dan rekaan tuhan Yang Maha Mencipta. Lihatlah bagaimana terjelma pada diri saya rahmat dan kemurahanNya.” Dengan ini iman yang menghubungkan makhluk dengan penciptanya menjelaskan segala hasil seni yang wujud di dalam dirinya. Oleh itu, nilai manusia ditentukan mengikut kadar kezahiran dan jelmaan rekaan Ilahi pada dirinya. Maka manusia yang pada mulanya tidak mempunyai apa-apa nilai itu bertukar menjadi makhluk yang mempunyai martabat yang paling tinggi sehingga membolehkannya untuk menerima sapaan Ilahi dan mendapat kemuliaan yang melayakkannya untuk menjadi tetamu Allah di dalam syurga.

Manakala jika kekufuran -yang memutuskan hubungan seseorang dengan Allah- menyelinap masuk ke dalam diri manusia, ia akan menjatuhkan segala pengertian jelmaan al-Asma’ al-Husna ke dalam kegelapan dan memadamnya sama sekali sehingga tidak lagi dapat dilihat dan dibaca. Ini kerana kita tidak akan dapat memahami segala ukiran maknawi yang menunjukkan kepada Allah Yang Maha Mencipta dengan kita melupakan Allah itu sendiri. Bahkan jika kita melupakanNya, ini bererti kita telah membelakangkanNya. Di samping itu, kebanyakan tanda-tanda jelmaan ciptaan dan ukiranNya yang berharga dan indah akan pupus dan hilang. Jika adapun tanda-tanda tersebut yang masih tinggal, maka kita hanya akan menghubungkannya dengan sebab-sebab yang remeh seperti ‘semulajadi’, ‘kebetulan’ dan sebagainya. Ini akan menyebabkan segala hakikat yang merupakan permata yang berkilauan itu bertukar menjadi kaca hitam yang gelap. Ketika itu, nilainya hanya pada bahan buatannya sahaja. Sebagaimana kami telah jelaskan bahawa matlamat dan natijah fizikal manusia hanyalah untuk menghabiskan kehidupan singkat yang dimiliki oleh tuannya, iaitu makhluk yang paling lemah, berhajat dan berdukacita. Kemudian akhirnya fizikal manusia itu akan rosak dan binasa… Demikianlah bagaimana kekufuran meruntuhkan hakikat kemanusiaan dan menukarnya daripada seketul permata yang berharga kepada seketul arang yang langsung tidak bernilai.



Noktah Kedua:

Sebagaimana iman adalah cahaya yang menyinarkan manusia dan memperlihatkan segala tulisan-tulisan Ilahi yang tertulis di atasnya serta menyebabkan orang lain dapat membacanya, ia juga memberi sinaran kepada seluruh alam ini. Iman juga menyelamatkan manusia daripada pemikiran negatif terhadap kurun yang telah berlalu dan yang akan datang daripada kegelapan yang mencengkam.

Kami akan menjelaskan rahsia ini dengan membuat satu perumpamaan, berdasarkan kepada salah satu rahsia ayat berikut:



Firman Allah swt:



اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنْ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ



Maksudnya: “Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman).”

(al-Baqarah: 257)



Dalam satu imiginasi, saya melihat dua buah gunung yang amat tinggi. Kedudukan kedua-duanya saling berhadapan. Kedua-dua puncak gunung tersebut dihubungkan dengan satu jambatan yang hebat dan menakjubkan. Di bawah jambatan tersebut terdapat gaung yang amat dalam dan gelap. Saya pula sedang berdiri di atas jambatan itu. Ketika itu, dunia diselubungi oleh kegelapan dari segenap penjuru. Hampir tidak kelihatan apa-apa. Saya menoleh ke sebelah kanan, lalu saya nampak sebuah tanah perkuburan yang besar di sebalik kegelapan yang tidak berpenghujung itu. Demikianlah saya menggambarkannya. Kemudian saya melihat pula ke sebelah kiri. Seolah-olah saya nampak gelombang ombak kegelapan sedang mengganas dan membawa bersama-samanya segala bencana dan tragedi serta bersiap sedia untuk menerkam. Saya melihat pula ke bawah jambatan. Tergambar pada pandangan mata saya sebuah gaung yang amat dalam seolah-olah tidak mempunyai dasar. Saya pula hanya mempunyai sebuah lampu suluh malap yang berada pada genggaman tangan saya berhadapan dengan segala kegelapan yang menakutkan itu. Saya menyalakan lampu itu, lalu ternampaklah kepada saya keadaan yang lebih menyeramkan. Saya ternampak singa, binatang buas dan hantu sedang berkeliaran di setiap penjuru hingga di hujung dan di tepian jambatan. Lalu saya berkata kepada diri saya “alangkah baiknya jika saya tidak mempunyai lampu suluh tersebut yang memperlihatkan kepada saya segala makhluk yang menakutkan itu.” Setiap kali saya menghalakan lampu saya ke mana-mana arah, saya akan ternampak keadaan yang sama. Saya menyesal dan berkata kepada diri saya: “Lampu ini membawa musibah dan bencana kepada saya.” Lantaran kerana terlalu marah, saya campakkan lampu itu ke tanah dan ia pecah.

Tiba-tiba keadaan menjadi terang benderang, seolah-olah lampu yang saya campakkan itu terkena suiz lampu elektrik besar yang berkuasa tinggi sehingga dapat menerangi seluruh alam dan menghilangkan kegelapan. Setiap penjuru dan tempat menjadi terang dengan cahaya tersebut. Semuanya dapat dilihat dengan jelas dan terang sebagaimana keadaan sebenarnya. Lalu saya dapati jambatan yang tergantung di antara dua puncak gunung yang tinggi itu sebenarnya hanyalah sebuah jalan yang lurus dan landai. Tanah perkuburan besar yang saya nampak berada di sebelah kanan saya pula sebenarnya hanyalah majlis-majlis zikir, tahlil, ilmu dan ibadat yang dipandu oleh beberapa orang yang alim di dalam taman-taman hijau yang cantik yang menyebarkan kebahagiaan serta cahaya ke dalam hati. Manakala gaung yang dalam serta kejadian kemalangan yang saya lihat di sebelah kiri saya sebenarnya hanyalah bukit-bukit yang mempunyai pohon-pohon menghijau yang menyenangkan dan menyedapkan mata memandang. Di bahagian belakangnya, terdapat tempat persinggahan yang hebat, padang ragut yang menghijau dan taman yang indah… Ya, demikianlah apa yang saya dapat lihat melalui imiginasi saya. Manakala binatang-binatang buas dan makhluk-makhluk menakutkan yang saya saksikan itu sebenarnya hanyalah binatang-binatang jinak seperti unta, lembu, bebiri dan kambing. Ketika itu, saya membaca firman Allah swt:


اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنْ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّور



Maksudnya: “Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman).”

(al-Baqarah: 257)

Saya mula mengulang-ulangi: Segala puji bagi Allah terhadap cahaya keimanan yang dilimpahkan kepada saya. Kemudian saya tersedar daripada imiginasi tersebut. Yang dimaksudkan dengan dua buah gunung yang besar itu ialah permulaan kehidupan ini dan pengakhirannya, iaitu alam dunia ini dan alam barzakh… Jambatan yang terbentang itu pula ialah jalan kehidupan… Sebelah kanan saya pula ialah masa yang telah berlalu dan sebelah kiri saya pula ialah masa akan datang. Manakala lampu suluh pula ialah perasaan keegoan manusia yang berbangga-bangga dengan ilmu yang ada pada dirinya dan tidak mahu mendengar wahyu dari langit… Manakala hantu-hantu dan lembaga-lembaga serta binatang-binatang yang menakutkan itu ialah kejadian-kejadian menakjubkan yang berlaku di dalam alam ini.

Seseorang yang bergantung kepada keegoan dan keangkuhannya, terjatuh ke lembah kegelapan kealpaan dan diuji dengan pelbagai belenggu kesesatan yang mengelirukan, dia menyerupai keadaan saya yang pertama sebagaimana saya gambarkan melalui imiginasi tersebut. Dia melihat zaman lampaunya dengan menggunakan cahaya lampu suluh yang malap itu sebagai sebuah perkuburan besar yang berada di dalam kegelapan ‘ketiadaan’. Ini adalah gambaran tidak benar dan menyeleweng serta menyesatkan. Dia juga menggambarkan masa depannya sebagai sebuah tempat terpencil yang sentiasa diselubungi dengan pelbagai bencana dan tragedi yang dikatakan berpunca daripada ‘kebetulan’. Dia juga melihat segala kejadian dan benda yang wujud di atas dunia ini -yang semuanya dijadikan oleh Allah mempunyai tugas-tugas tertentu- seolah-olah sebagai binatang-binatang buas yang mengganas. Maka dia berhak mendapat ketetapan yang ditentukan oleh ayat berikut, firman Allah swt:



وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمْ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنْ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ



Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).”

(al-Baqarah: 257)



Tetapi jika manusia dibantu oleh hidayah Ilahi, iman dapat menyelinap memasuki hatinya, kebejatan dirinya dihancurkan dan dia mendengar serta memberikan perhatian kepada kitab Allah, maka dia menyamai keadaan saya yang kedua dalam peristiwa yang saya imaginasikan itu. Dengan itu, segala yang wujud mendapat sinaran cahaya dan dipenuhi dengan nur Ilahi. Alam seluruhnya berkata:


اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأْرْضِ



Maksudnya: “Allah yang menerangi langit dan bumi.”

(al-Nur: 35)



Ketika itu, zaman yang telah berlalu tidak lagi merupakan sebuah tanah perkuburan besar sebagaimana yang disangkakan. Bahkan seluruh zamannya sebagaimana disaksikan oleh pandangan hati yang suci adalah dipenuhi dengan pelbagai tugas ubudiyyah di bawah pimpinan seorang nabi yang diutuskan atau sekumpulan para wali yang salih. Pimpinan itu mengatur tugas ubudiyyah yang mulia itu serta menyebarkan dan meneguhkan paksinya di kalangan seluruh ummat Islam dalam bentuknya yang paling sempurna. Setelah kumpulan ini yang mempunyai ruh suci menunaikan segala tugas kehidupan dan kewajipan fitrahnya, mereka terbang menuju ke maqam yang tinggi dan mulia sambil menyebut berulang-ulang “Allah maha besar” (Allahu Akbar) hingga menembusi hijab masa hadapan.

Ketika berpaling ke arah kiri, dari jauh kelihatan melalui pandangan nur keimanan bahawa di sebalik kejadian-kejadian di dalam alam barzakh dan di akhirat yang sebesar gunung yang tinggi terdapat beberapa istana kebahagian syurga. Di dalam istana-istana itu dibentangkan rumah-rumah tetamu Allah yang tidak kelihatan di mana permulaan dan di mana penghujungnya. Setelah melihat semua ini, dia meyakini bahawa segala bencana alam seperti puting beliung, gempa bumi, taun dan sebagainya hanyalah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diperintahkan kepadanya sahaja. Maka dia melihat angin yang bertiup kencang pada musim bunga, hujan ribut yang turun dan seumpamanya yang pada zahirnya kelihatan seperti kejadian yang mengundang dukacita dan kesedihan, pada hakikatnya adalah paksi hikmat yang maha halus. Hinggakan kematian dianggap sebagai mukadimah bagi menempuh kehidupan yang abadi dan kubur dilihat sebagai pintu kebahagiaan yang kekal abadi… Gunakanlah perumpamaan ini terhadap realiti kehidupan yang lain!

Noktah Ketiga

Iman adalah cahaya dan juga kekuatan. Ya !, orang yang memiliki iman yang sebenarnya mampu mencabar seluruh alam sejagat ini dan berupaya menghadapi segala cabaran yang menimpanya bersandarkan kekuatan iman yang ada padanya. Dia mengharungi arus kehidupan serta menghadapi segala gelombang bencana besar yang menimpanya dengan aman dan selamat seraya berkata: “Saya bertawakkal kepada Allah”. Dengan itu, dia menyerah dan mengamanahkan bebanan yang berat kepada kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa. Dengan cara ini, dia menjalani kehidupan duniawi dengan rasa selesa, kemudian berehat di alam barzakh dan seterusnya mampu terbang ke syurga untuk menikmati kebahagiaan yang kekal abadi.

Jika sebaliknya dia tidak bertawakkal kepada Allah, bukan sahaja dia tidak akan mampu untuk terbang ke syurga, bahkan bebanan berat yang dipikulnya itu akan mengheretnya ke darjat yang rendah, serendah rendahnya. Ini bermakna iman membawa kepada tauhid (pengesaan Allah). Tauhid membawa kepada taslim (penyerahan diri kepada Allah). Taslim merealisasikan tawakkal dan tawakkal kepada Allah mempermudahkan jalan untuk mendapat kebahagiaan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Janganlah anda menyangka tawakkal kepada Allah bermaksud menolak konsep sebab dan musabab sama sekali. Tetapi tawakkal ialah bahawa kita tahu dan sedar sebab- musabab itu merupakan hijab yang berada di tangan Allah Yang Maha Berkuasa yang mesti dipenuhi. Dia juga sepatutnya mengetahui bahawa berusaha untuk merealisasikan sebab dan musabab ini umpama satu doa yang positif dengan keyakinan bahawa Allah lah yang menjadi penentu utama segala sesuatu dan hanya Dialah yang mesti disyukuri.

Kita boleh memahami kedudukan orang yang bertawakkal kepada Allah dan kedudukan orang yang tidak bertawakkal kepadaNya melalui perbandingan dua orang sahabat dalam cerita berikut:

Setelah membeli tiket, dua orang lelaki yang sedang memikul bebanan berat di atas kepala dan belakang mereka menaiki sebuah kapal. Sebaik sahaja mereka menaiki kapal tersebut, salah seorang daripadanya meletakkan barangan yang dipikulnya di atas lantai kapal dan terus duduk di atas baranganya lalu mengawalnya. Manakala rakannya yang bodoh dan degil tidak mahu meletakkan barangan yang dipikulnya. Apabila dia diberitahu: “Letakkan barang saudara agar saudara merasa selesa”, dia menjawab: “Tidak! Saya takut barangan saya ini mungkin hilang nanti. Saya cukup kuat untuk terus memikulnya di atas kepala dan belakang saya.” Dia diberitahu lagi: “Kapal di Raja yang membawa saudara dan kita semua ini dijamin lebih kuat dan lebih mampu menanggung barangan saudara itu daripada kita semua. Saudara mungkin akan kehilangan tenaga, merasa pening dan mungkin akan terjatuh ke dalam laut bersama-sama barangan itu. Kepala saudara yang tidak berakal dan tulang belakang saudara yang bengkok tidak akan mampu memikul bebanan barang yang kian berat setiap detik ini. Lagipun jika nakhoda kapal ini melihat saudara dalam keadaan begini, dia akan menyangka bahawa saudara orang yang tidak siuman dan akan menyingkirkan saudara daripada kapal ini, atau pun dia menyangka saudara sedang mencemuh kapal ini dan memperolok-olokkannya, lalu dia berkata: “Penjarakan dia!” Dengan itu, saudara akan memperbodohkan diri saudara sendiri di khalayak ramai. Bagi yang dapat memahami, mereka dapat melihat kelemahan saudara melalui sifat keangkuhan, kerendahan dan kemunafikan melalui kepura-puraan saudara. Kesemua sikap saudara ini telah menyebabkan saudara menjadi bahan yang ditertawakan oleh orang ramai. Tidakkah saudara nampak mereka sekarang sedang mentertawa dan menjatuhkan maruah saudara?”

Kemudian, setelah mendengar kata-kata yang panjang lebar ini, orang yang malang itu sedar akan kesalahannya. Dia pun meletakkan baranganya dan duduk di atasnya. Dia berkata kepada rakannya: “Semoga Allah memberkati saudara. Saudara telah menyelamatkan saya daripada kesengsaraan, kehinaan, dari dipenjarakan dan dari diperbodohkan. Saya juga telah diselamatkan dari menjadi bahan yang ditertawakan.”

Wahai manusia yang tidak mahu bertawakkal kepada Allah! Sedarlah dan kembalilah kepada kewarasan saudara sebagaimana yang berlaku kepada orang kedua itu. Dengan cara ini sahajalah saudara akan bebas daripada mengemis daripada makhluk. Saudara juga akan terselamat daripada perasaan ketakutan dan kegerunan ketika berhadapan dengan segala peristiwa yang menakutkan. Saudara juga akan terselamat daripada perasaan riyak dan diperbodohkan. Lebih dari itu, saudara juga akan terselamat daripada kecelakaan abadi dan segala belenggu kesempitan kehidupan di dunia ini.



Noktah Keempat

Iman membuatkan manusia menjadi manusia dalam erti kata yang sebenarnya. Bahkan iman menjadikan manusia sebagai raja kepada segala makhluk-makhluk yang lain. Oleh itu, iman dan doa adalah menjadi kewajipan manusia yang utama dan asasi bersesuaian dengan fitrah manusia itu sendiri. Kekufuran sebaliknya membuat manusia menjadi binatang buas yang sangat lemah.

Daripada beribu bukti yang ada dalam perkara ini, kami hanya akan membawa satu bukti sahaja. Iaitu perbezaan yang wujud di antara cara manusia dan binatang dilahirkan ke dunia ini. Ia merupakan satu bukti yang terang dan jelas. Ya! Perbezaaan ini menunjukkan bahawa manusia hanya boleh mencapai tahap kemanusiaannya yang sempurna hanya dengan keimanan sahaja. Ini adalah kerana sebaik sahaja binatang dilahirkan ke dunia ini, ia kelihatan seolah-olah telah dilatih dengan sempurna di satu dunia lain dengan kebolehan yang telah sempuna dalam semua hal. Dalam masa dua jam sahaja, atau dua hari atau paling lewat dua bulan, ia telah mempelajari segala syarat-syarat kehidupan dan hubungannya dengan seluruh alam semesta dan undang-undang kehidupan ini serta mahir dengannya. Sebagai contoh, seekor burung merpati atau lebah mampu memperolehi kekuatan dan menjadi mahir dalam kehidupan dengan baik dalam masa dua puluh hari sahaja melalui ilham dan hidayat daripada Allah, sedangkan manusia memerlukan masa selama dua puluh tahun untuk persedian tersebut. Ini bermakna peranan binatang yang utama bukanlah untuk mencapai kesempurnaan dengan menuntut ilmu dan mengejar kemajuan atau meminta bantuan dan berdoa dengan menunjukkan rasa kelemahannya. Tetapi tugasnya yang utama ialah berusaha dalam batasan sempadan kemampuan yang ada padanya, iaitu melaksanakan ubudiyyah yang amali.

Manakala manusia pula perlu mempelajari segala peraturan hidup yang bakal ditempuhinya ketika dia lahir ke dunia ini, kerana dia lahir ke dunia ini dalam keadaan tidak berilmu dan tidak berupaya mempelajari dengan sepenuhnya peraturan-peraturan hidup walaupun dalam masa dua puluh tahun. Dia perlu untuk terus belajar sehingga ke akhir hayatnya. Dengan lain perkataan dia dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan yang terlalu lemah dan dhaif, bahkan dia hanya mampu berdiri sendiri setelah berumur satu atau dua tahun. Hanya dalam masa lima belas tahun barulah dia mampu membezakan perkara yang membawa kebaikan dan yang membawa keburukan. Hanya dengan bantuan dan pengalaman bermasyarakat, dia berupaya mengambil pengajaran daripada perkara-perkara yang berfaedah dan menjauhi perkara-perkara lain yang memberi kecelakaan.

Ini bermakna kewajipan yang menjadi fithrah manusia ialah untuk mengejar kesempurnaan melalui menuntut ilmu dan untuk mengisytiharkan ubudiyyahnya (perhambaannya) kepada Allah melalui doa yang dilakukan. Ini bermakna dia perlu memberikan jawapan terhadap soalan-soalan berikut: “Atas sifat pengasih siapakah, perjalanan hidup saya ini diatur dengan begitu bijaksana? Atas sifat pemurah siapakah saya dibesarkan? Atas sifat pemurah siapakah saya disuapkan dan diaturkan rezeki dengan sempurna?” Melalui jawapan-jawapan tersebut, dia akan mengetahui bahawa tugasnya ialah berdoa, merendah diri, bertawassul dan berharap dengan memohon segala keperluannya daripada Allah Yang Maha Pemberi rezeki melalui rasa kelemahan dan kefakiran. Permintaannya itu hendaklah dihadapkan kepada Tuhan Yang Memenuhi segala hajat yang dia sendiri tidak mampu memenuhinya. Ini bermakna, bahawa tugasnya yang utama ialah terbang dan menuju ke tempat tinggi dengan menggunakan sayap kelemahan dan kedhaifan untuk menuju maqam ubudiyyah yang maha agung.

Ini juga bermakna, bahawa kehadiran manusia ke bumi ini ialah untuk disempurnakan kemanusiaannya melalui makrifat dan doa. Ini adalah kerana semua benda mempunyai hubungan dengan ilmu dan makrifat mengikut keadaan dan situasi sesuatu benda itu. Asas, dasar, cahaya dan ruh kepada semua ilmu yang hakiki ialah makrifat kepada Allah swt. Sebagaimana dasar kepada asas tersebut ialah keimanan kepada Allah swt.

Manusia terdedah kepada segala bentuk bala dan bencana serta serangan musuh yang tidak terhingga banyaknya kerana kelemahan mutlak yang dimilikinya. Di samping itu, manusia juga mempunyai permintaan dan keperluan yang berbagai-bagai sedangkan dia berada dalam keadaan papa kedana. Oleh itu, tugas fitrahnya yang utama selepas beriman, ialah berdoa. Doa adalah asas dan punca kepada semua jenis ibadat.

Untuk mencapai sesuatu keinginan atau hajat yang tidak boleh diperolehinya, seseorang bayi akan hanya menangis atau dia akan menyatakan hasratnya itu dengan perkataan. Dengan lain perkataan, dia akan meminta benda yang diingininya itu dalam bentuk perkataan atau tindakan. Dengan kedua-dua cara tadi, dia mungkin berjaya mencapai hasratnya itu.

Manusia yang merupakan makhluk Allah yang paling lemah, lembut dan fakir adalah laksana bayi manja yang lemah di kalangan makhluk ciptaan Allah. Dia mestilah berlindung di bawah naungan Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang sama ada dalam keadaan menangis dengan menggambarkan kelemahannya atau berdoa melalui kelemahan dan keberhajatannya sehingga keperluan dan keinginannya dipenuhi dan diperkenankan. Ketika itu, dia dianggap telah melaksanakan tugasnya untuk bersyukur terhadap segala pertolongan, pemenuhan permintaan dan kemudahan yang diberikan kepadanya.

Sebaliknya jika manusia itu tidak bersyukur kepada Allah dan berkata dengan penuh kesombongan seperti seorang kanak-kanak yang degil: “Saya akan dapatkan segala benda yang luar biasa ini dengan kekuatan, kecerdasan dan keupayaan saya sendiri.” Sedangkan kuasa yang ada pada benda-benda ini mengatasi kekuatannya sendiri sebanyak ribuan kali ganda. Tindakan ini merupakan kekufuran terhadap nikmat Allah. Ia juga adalah maksiat yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan. Ia juga melayakkan manusia untuk menerima seksaan yang pedih dan perit.



Noktah Kelima

Iman menuntut agar doa kepada Allah sentiasa dilakukan. Iman juga menjadikan doa sebagai satu cara yang mesti dilakukan bagi mewujudkan perantaraan antara seorang hamba dengan tuhannya. Fitrah manusia juga amat berkeinginan untuk sentiasa melakukan doa kepada tuhannya. Selaras dengan itu, Allah swt juga menyeru manusia supaya melakukannya. Firman Allah swt (al-Furqan: 77) yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya.”

Allah swt juga berfirman (Ghafir: 60) yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Jika saudara berkata: “Saya selalu berdoa tetapi doa saya tidak di terima. Sedangkan ayat di atas adalah umum, yang menyatakan bahawa setiap doa akan diperkenankan.”



Jawapannya:

Memustajabkan doa (menyahut) tidak sama dengan mengqabulkannya (melaksanakannya). Setiap doa pasti akan dimustajabkan (disahut), namun pengqabulan dan perlaksanaan perkara yang diminta adalah terserah kepada hikmat kebijaksanaan Allah swt sendiri.

Mungkin kita boleh membuat satu perumpamaan atau perbandingan:

Seorang kanak-kanak meraung kesakitan kepada seorang doktor: “Lihat dan buatlah pemeriksaan terhadap saya.” Doktor berkata: “Saya sedia menurut arahan kamu.” Lalu kanak-kanak itu berkata: “Berikan saya ubat ini.” Tetapi doktor itu hanya akan melakukan perkara yang akan memberikan manfaat dan kemaslahatan kepada kanak-kanak tersebut, sama ada dia akan memberikan ubat yang diminta oleh kanak-kanak tersebut, atau dia akan memberikan ubat lain yang lebih berkesan, atau dia tidak memberikan ubat langsung. Semua tindakan yang diambil itu adalah berdasarkan hikmat kebijaksanaannya semata-mata.

Begitu juga keadaannya dengan Allah swt. Oleh kerana Allah adalah tuhan yang maha bijaksana, yang maha memerhati dan yang maha berkira pada setiap ketika, maka dia adalah tuhan yang menyahut setiap doa para hambaNya. Dengan sahutan tersebut, segala perasaan takut dan keseorangan yang mencengkam perasaan para hambaNya akan segera terhapus lalu diganti dengan pengharapan, kejinakan dan ketenangan. Namun dalam masa yang sama, Allah swt juga sama ada akan terus memaqbulkan permintaan hambaNya, atau mengurniakan sesuatu yang lebih baik, atau menolaknya langsung. Semua ini dilakukan berdasarkan hikmat kebijaksanaanNya semata-mata. Bukan berdasarkan hawa nafsu dan angan-angan para hamba yang liar dan merosakkan.

Doa juga sejenis ‘ubudiyyah. Ia juga adalah buah kepada ibadah dan faedahnya berbentuk ukhrawi. Tujuan keduniaannya hanya waktu-waktu yang dipergunakan untuk melaksanakan doa dan ibadat tersebut. Manfaat duniawi tidak menjadi matlamat kepada doa dan ibadat tersebut.

Sebagai contoh: Sembahyang Istisqa’ (minta hujan) adalah satu jenis ibadat. Musim kemarau pula adalah waktu bagi menunaikan ibadat tersebut. Ibadat dan doa yang dilakukan itu bukanlah agar hujan diturunkan. Kerana jika sembahyang itu ditunaikan dengan niat sedemikian sahaja, maka ibadat tersebut tidak layak untuk dimaqbulkan, kerana ia tidak ikhlas kerana Allah swt.

Begitu juga dengan waktu tenggelam matahari yang merupakan perisytiharan kepada masuknya waktu maghrib. Begitu juga dengan waktu gerhana matahari atau bulan yang merupakan waktu menunaikan sembahyang sunat gerhana. Allah swt menyeru para hambaNya agar melaksanakan satu jenis ibadat bersempena dengan terhapusnya tanda siang atau malam yang menunjukkan kebesaran Allah swt. Ibadat atau sembahyang tersebut dilakukan bukanlah dengan tujuan agar matahari atau bulan terbit semula, kerana kedua-duanya telah diketahui dengan tepat oleh astronomis.

Begitu juga dengan waktu kemarau yang merupakan waktu untuk menunaikan sembahyang istisqa’ (meminta hujan). Begitu juga dengan waktu berlakunya bala bencana atau berlakunya sesuatu yang buruk serta memudaratkan merupakan waktu untuk melakukan beberapa doa tertentu. Kerana pada ketika itu, manusia menyedari tentang kelemahan dan keberhajatan dirinya, lalu dia mencari perlindungan dengan melakukan doa dan bertadharru’ (merendahkan diri) mengetuk pintu tuhan yang maha berkuasa. Namun jika Allah swt tetap tidak menghilangkan bala bencana, musibah dan keburukan yang menimpa sekalipun doa yang penuh pengharapan telah dilakukan, maka kita tidak boleh mengatakan bahawa doa tersebut tidak dimustajabkan. Bahkan kita hendaklah mengatakan bahawa waktu berdoa belum lagi berakhir. Sebaik sahaja Allah swt mengangkat bala bencana tersebut berdasarkan kelebihan dan kemuliaanNya semata-mata, maka waktu berdoa telah berakhir. Oleh sebab inilah, doa merupakan salah satu daripada rahsia ‘ubudiyyah.

‘Ubudiyyah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt. Seseorang manusia hendaklah mendapatkan perlindungan tuhannya dengan melakukan doa dan menzahirkan kelemahannya. Di samping itu, dia juga tidak boleh campur tangan atau membuat bantahan terhadap urusan ketuhanan tuhannya. Dia hendaklah menyerahkan segala-galanya kepada tuhannya. Di samping itu, dia hendaklah memberikan pergantungan sepenuhnya kepada hikmat kebijaksanaan tuhannya tanpa merasa ragu terhadap sifat rahmatNya dan tanpa merasa berputus asa daripada terus memberikan pengharapan kepadaNya.

Ya! Telah dapat dibuktikan dengan tanda-tanda yang terang nyata bahawa seluruh mawjudat (benda yang wujud) sentiasa bertasbih kepada Allah dengan tasbih yang khusus, dengan ibadat yang tertentu dan dengan sujud yang tersendiri. Hasil daripada situasi-situasi ibadat yang tidak terkira dan terbilang banyaknya ini lahirlah pelbagai jenis ibadat yang membawa kepada perlindungan di bawah naungan tuhan yang maha agung.

Doa juga boleh berlaku melalui ‘lisan persediaan dan penerimaan’. Seperti doa yang dilakukan oleh semua jenis tumbuhan dan pelbagai spesis haiwan. Mereka bermohon daripada tuhan yang amat melimpah ruah rezekiNya dalam suatu bentuk gambaran yang menampilkan pengertian-pengertian yang wujud pada al-asma’ al-husna. Doa juga boleh berlaku melalui ‘keperluan semulajadi’ seperti doa yang dilakukan oleh semua jenis hidupan bagi memperolehi keperluan-keperluan asasinya yang terkeluar daripada batasan kemampuannya. Lalu mereka bermohon daripada tuhan yang maha pemurah melalui lisan keperluan fitrahnya agar dikurniakan elemen-elemen yang boleh meneruskan kehidupannya melalui rezeki-rezeki yang diberikan kepadanya.

Atau doa juga boleh berlaku melalui ‘lisan keterpaksaan’, seperti doa yang dilakukan oleh seseorang terpaksa dengan melakukan tadharru’ sepenuhnya kepada tuhannya yang tidak dapat dilihat. Dia tidak menujukan permohonannya melainkan kepada tuhan yang maha pengasih dan sentiasa memenuhi keperluan hambaNya dan sentiasa memberikan perlindunganNya.

Ketiga-tiga jenis doa ini adalah dimaqbulkan jika sekiranya tidak berlaku sesuatu yang menyebabkan ia tidak boleh dimaqbulkan.

Jenis doa yang keempat ialah doa yang biasa kita lakukan. Doa ini juga terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Doa yang berbentuk amali dan praktikal.

Kedua: Doa yang berbentuk hati dan perkataan sahaja.

Contoh: Melakukan sebab musabab yang menjadikan kita memperolehi sesuatu adalah doa yang amali, tetapi perlu ditegaskan di sini sebab yang dilakukan itu bukanlah bertujuan untuk mewujudkan musabab. Tetapi ia hanyalah untuk mewujudkan situasi yang sesuai dan meredhakan Allah swt agar musabab itu boleh dimohon daripadaNya melalui lisaanul haal. Oleh itu, pembajakan yang kita lakukan hanyalah sebagai usaha untuk mengetuk pintu khazanah rahmat Ilahi. Memandangkan doa jenis amali ini dihalakan kepada tuhan yang amat pemurah, maka pada kebiasaannya, doa ini akan dimaqbulkan, tidak tertolak sama sekali.

Bahagian kedua pula, iaitu doa dalam bentuk lisan dan hati, iaitu memohon berlakunya sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia atau memohon sesuatu hajat yang tidak mungkin dapat diberikan oleh makhluk. Faedah terpenting daripada doa seumpama ini ialah untuk menunjukkan kepada seseorang yang berdoa bahawa di sana tetap ada orang yang mendengar lintasan hatinya, iaitu orang yang tanganNya boleh mencapai segala sesuatu. Orang itu juga mampu untuk memenuhi segala keinginan dan pengharapannya. Orang yang mengasihani kelemahan dan kefakirannya.

Wahai manusia yang lemah lagi fakir! Awaslah anda daripada melepaskan diri daripada berpegang dengan khazanah rahmat yang maha luas dan sumber kekuatan yang jitu, iaitu doa. Anda hendaklah berpegang teguh dengannya agar darjat anda meningkat ke darjat kemanusiaan yang paling tinggi. Anda hendaklah menjadikan doa para makhluk yang lain sebahagian daripada doa anda. Anda juga hendaklah menjadikan diri anda sebagai hamba atau wakil kepada makhluk yang lain ketika anda berkata “dan kepadaMulah kami memohon pertolongan”. Anda juga hendaklah menjadi cermin yang sebaiknya terhadap alam buana ini.

Terjemahan Kalimah Kedua Puluh Tiga dari kitab al-Kalimat karangan Badi’uzzaman Sa’id al-Nursi oleh:

Ustaz Anuar Fakhri Omar

Jabatan Syariah

Fakulti Pengajian Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia



Dan



Khairul Anuar Mohd. Nayan

Jabatan Kejuruteraan Awam & Struktur

Fakulti Kejuruteraan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, August 6, 2009

Rakyat diingatkan 7 wasiat Raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR 6 Ogos — Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah :

  • Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
  • Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
  • Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
  • Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
  • Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
  • Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
  • Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.

    (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Saraak).

    Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi, sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas yang bermula Selasa lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

    Menurut baginda, wasiat sembilan Raja Melayu terdiri dari empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

    “Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

    Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

    “Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah,” titah baginda.

    Mengenai Syed Hussein Alatas, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 23 Jan 2007, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Allahyarham sering membangkitkan mengenai kejijikan rasuah, dan dihuraikannya dalam buku tulisan beliau “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.” “Walaupun ianya kotor dan jijik, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya, malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas dari undang-undang dan hukum dunia,” titah baginda.

    Raja Nazrin Shah bertitah bahawa ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memeranginya ada kalanya bergema lebih nyaring daripada kalangan mereka yang tidak bebas daripada melakukannya.

    “Lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur dan rakyat melarat,” titah baginda.

    Baginda bertitah rasuah berlaku di mana-mana termasuk di istana, dalam sektor awam, swasta, organisasi politik, malah dalam badan-badan agama, kerana rasuah merupakan candu yang mengasyikkan dan yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah.

    “Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram,” titah Raja Nazrin Shah.

    Menurut baginda, rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.

  • Sumber - Utusan
  • Mahasiswa Islam berdakwah atau berpolitik?

    DALAM tempoh dua minggu ini, terdapat dua program penting melibatkan mahasiswa Islam.Pertama, pelancaran Kelab Dewan Amal Islami (DAMAI), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Julai lalu.

    Program kedua ialah Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan 2009 anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 8 Ogos ini. Ia dianjurkan sempena Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM Ke-48 dan pelancaran buku PKPIM, Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011).

    Kelab Damai IPTA ialah program terbaru DAMAI yang diperbadankan pada 2006. DAMAI ialah sebuah organisasi masyarakat sivil Islam. Ia bertujuan mengukuhkan persefahaman dan meningkatkan kerjasama gerakan Islam melalui satu gagasan bagi mencapai matlamat kecemerlangan semua bidang dan aktiviti dalam lingkungan syariah.

    Kelab Damai IPTA berfungsi sebagai perantara persatuan Islam di kampus dengan penyaluran bantuan dan sokongan untuk aktivitinya. Ia berperanan merapatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi membantu memperkasa persatuan-persatuan tersebut.

    Penubuhan kelab ini selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009 apabila mahasiswa dibenarkan bergabung dengan organisasi luar kampus. Bagi PKPIM – yang hampir terkubur akibat pindaan AUKU (1975) – program MPAT kembali memungkinkan mahasiswa Islam menghadirinya.

    Pindaan AUKU (2009) kelihatan menjanjikan gerakan mahasiswa Islam yang makin rancak. Tetapi adakah kerancakan itu akan menyamai atau mengatasi zaman keemasan gerakan mahasiswa era 1960-an hingga 1974? Adakah ia akan menandingi kerancakan ketika melonjaknya era dakwah kampus mulai 1970-an? Atau, adakah ia akan menghasilkan sesuatu yang baru? Hanya gerakan mahasiswa Islam yang ada jawapannya.

    Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar Islam di Malaysia bermula pada 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa tokoh pelajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang dari menuntut di Asia Barat. Mereka dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh, yang memulakan gerakan keilmuan Islam ke arah pembangunan sosioekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal.

    Tetapi, jika menggunakan istilah “mahasiswa Islam”, tanda permulaan misalnya boleh merujuk kepada peranan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), yang antara sumbangan awalnya ialah mendesak kerajaan membina masjid berhampiran kampus tersebut.

    Ini diikuti dengan penubuhan PKPIM di Asrama Kedua UM pada 1961. Tujuan asalnya ialah menggabungkan semua persatuan pelajar Islam selain menjadi wakil tunggal pelajar Islam negara ini dengan persatuan pelajar Islam luar negara.

    PKPIM ditubuhkan kerana merasakan dua buah pertubuhan pelajar peringkat kebangsaan yang sedia wujud ketika itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) tidak dapat mewakili sepenuhnya kepentingan mahasiswa dan pelajar Islam.

    Ketiga-tiga persatuan mahasiswa dan pelajar di peringkat kebangsaan ini menjadi sebahagian gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), iaitu badan induk bagi gerakan belia.

    Sedekad selepas penubuhannya, iaitu pada 1971, PKPIM bersama-sama dengan PMIUM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), menjadi pelopor program Gerakan Kempen Kesedaran (GKK). Ia untuk menimbulkan kesedaran mahasiswa dan pelajar, membantu usaha menggalakkan masyarakat desa supaya dapat menikmati pembangunan negara dan menyampaikan dakwah serta menekankan keperluan perubahan sikap sesuai dengan tuntutan masa.

    Pada tahun yang sama, PKPIM menganjurkan seminar yang mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam. Seminar itu berlangsung di Dewan Al-Malik Faisal, Petaling Jaya, yang kemudiannya menjadi dewan besar Kampus Sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila ditubuhkan kira-kira sedekad kemudian.

    Apabila AUKU dipinda pada 1975, PKPIM bingkas menentangnya, dan sehinggalah AUKU dipinda pada 2009, ia merupakan pertubuhan pelajar paling lama dan konsisten perjuangannya berhubung AUKU. Mutakhir, dasar kerajaan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan pada bulan Julai lalu, antara lain, terdapat ‘saham’ PKPIM di dalamnya.

    Namun, sumbangan terpenting ialah penyuburan program dakwah dan tarbiah serta tradisi intelektual Islam di kalangan mahasiswa.

    Menjelang dekad kelima kewujudannya, Presidennya, Mohd Hilmi Ramli berkata, kongres pada Sabtu ini bertujuan memberi makna dan kefahaman jelas akan teras-teras kenegaraan dalam mendepani isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia. Ia juga untuk merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan lebih baik untuk seluruh rakyat.

    Kongres ini juga ingin mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan “1Malaysia” dan gagasan “Politik Baru”.

    Sejak bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi, saya sering diajukan dengan soalan: Apakah sebenarnya teras pendekatan gerakan mahasiswa Islam – berdakwah atau berpolitik?

    Saya tidak pasti apakah soalan ini sebagai mengimbau frasa yang dipopularkan bekas Ketua Dewan Dakwah Indonesia, Allahyarham Mohammad Natsir, “berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur dakwah”, atau dibuat atas niat lain.

    Pada saya, umumnya gerakan mahasiswa Islam kita adalah berteraskan dakwah dan tarbiah. Ada yang turut membicara dan menyuarakan soal-soal politik. Dalam hal ini, kita perlu menganalisisnya dengan kebenaran dan keadilan.

    Sebagai contoh, ia tidak bertentangan dengan AUKU (2009). Kita juga tidak mahu jika ia langsung tidak mempedulikan politik. Begitu juga, ada perbezaan antara suara politik kepartian dengan politik non-partisan.

    Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mengehakupayakan gerakan mahasiswa Islam dalam memenuhi makna ayat al-Qur‘an: “Sesungguhnya mereka itu orangorang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk” (Al-Kahfi: 13)

    DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH ialah

    Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

    Sumber : Utusan

    Wednesday, August 5, 2009

    Keberadaan Sains Tabii dan Teknologi di Alam Melayu

    Abstrak
    Makalah ini semata-mata dikarang untuk menyerlahkan beberapa bukti yang mampu menjelaskan kedudukan Sains Tabii dan Teknologi yang wujud semenjak wujudnya Bangsa Melayu. Isu ini menjadi tema perbincangan yang agak besar kerana selama ini tiada siapa yang menjangkakan bahawa Bangsa Melayu ini juga memiliki kepustakaan Sains Tabii dan Teknologi yang boleh dipertaruhkan bagi mempertahankan keutuhan bangsa ini di zaman globalisasi. Sumber-sumber yang kami gunakan di sini merangkumi hanyalah sumber bertulis iaitu prasasti (batu bersurat) dan manuskrip. Kami belumlah lagi berkeupayaan untuk mengunakan sumber-sumber lisan dan monument/teknologi.

    1. Pengenalan
    Penulisan semula secara tepat berkenaan apa-apa sahaja berkaitan Rumpun Bangsa Melayu ini tidak akan dapat dicapai jika maklumat-maklumat yang dipertimbangkan hanyalah bersekitar kepada kajian-kajian manuskrip sahaja. Ini adalah kerana manuskrip Rumpun Bangsa Melayu yang tertua pernah ditemui adalah buku Ramayana karangan Yogiswara bertarikh pada tahun 852S/930M sedangkan Rumpun Bangsa Melayu diketahui wujud semenjak kurun ke-2M lagi. Dan isu tersebut pasti tidak akan dapat diselesaikan jikalah hanya mempertimbangkan manuskrip-manuskrip Rumpun Bangsa Melayu selepas kedatangan Islam, sebab itu telah lebih jauh lewat. Malah manuskrip tertuapun setakat ini iaitu Bahr al-Lahut dijangkakan bertarikh pada kurun ke-13M. Apatah lagi kalau hanyalah berteraskan manuskrip-manuskrip yang dihasilkan semasa penjajahan Eropah seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa. Jauh lagilah kalau hanya berpandukan manuskrip-manuskrip dan buku-buku yang ditulis selepas kemerdekaan. Ahli-ahli sejarah Perancis pernah membuktikan bahawa sejarah Funan-Chenla-Kemboja dapat ditulis dengan hampir tepat tanpa menggunakan apa-apa manuskrip. Bukan bersebabkan tiada manuskrip, samada tiada langsung (mustahil) atau telah musnah, tetapi bersebabkan tarikh penulisan manuskrip-manuskrip tersebut lewat iaitu sekitar kurun ke-18M. Walaupun mungkin ada kalangan manuskrip tersebut yang kandungannya berbentuk salinan atas salinan atas salinan atas …, sehinggakan berkemungkinannya maklumat-maklumat di dalamnya ditulis jauh lebih awal, namun masih tiada kajian teliti terhadap isu pentarikhan manuskrip-manuskrip Funan-Chenla-Kemboja ini. Manuskrip-manuskrip awal peradaban ini telah musnah, dimusnahkan dalam peperangan ataupun musnah secara semulajadi disebabkan faktor cuaca. Tetapi, mempertimbangkan wujudnya manuskrip-manuskrip peradaban ini dalam kebudayaan-kebudayaan lain di sekitarnya dalam bentuk terjemahan dan ulasan, terutamanya dalam kebudayaan Thai, Mon, Myanmar, Champa, Sriwijaya, Sailendra, Majapahit, Tibet, Mongolia, Nepal, Cina, Korea, Jepun dan lain-lainnya, amat jarang didengar. Contohnya, tiada siapapun (?) kalangan sarjana Kemboja yang memperdulikan kewujudan seorang sarjana Funan kelahiran Ujjini, India, yang membawa sejumlah 240 buah manuskrip agama Buddha yang dikutipnya dari perpustakaan-perpustakaan Funan ke Cina pada tahun 545M, lalu menerjemahkan sekitar 76 buah daripadanya. Beliau ini bernama Paramartha (499-569M), yang merupakan penerjemah ketiga yang bertugas di Cina setelah Mandrasena, yang tiba di Cina pada tahun 503M, dan Sanghapala yang bertugas sebagai penerjemah pada tahun 506-522M. Kami sedang mencari maklumat berkenaan 76 buah kitab ini menerusi sumber-sumber Cina, Tibet, Korea dan Jepun. Setakat ini kami menemui 40 judul daripada keseluruhan 76 judul yang diterjemahkan oleh beliau. Begitu juga halnya, tiada siapa kalangan sarjana Campa dan juga Vietnam (?) yang peduli terhadap rampasan sejumlah 1350 buah manuskrip oleh seorang panglima Cina pada tahun 605M. Tentera Campa mengalami kekalahan dalam peperangan menentang Cina ini, dan rajanya terpaksa untuk keluar belayar melarikan diri.

    Tanpa wujudnya manuskrip, atau tanpa mempertimbangkannya sebagai sumber penyelidikan, penyelidik-penyelidik terpaksa bergantung kepada sumber-sumber penyelidikan yang lebih kuno, iaitu prasasti (batu bersurat), sastera lisan dan teknologi. Prasasti secara umumnya bermaksud tulisan-tulisan pada medium-medium selain kertas, terutamanya batu, logam bernilai seperti tembaga, perak dan emas, pelepah dan kulit binatang/pokok. Namun, dalam kebanyakan keadaan, prasasti-prasasti tersebut hanyalah mengandungi hal-hal berkaitan istana dan pengurusan Negara atau kepolitikan. Jarang sekali prasasti merekodkan hal-hal berkaitan kerakyatan, apatah lagi keintelektualan. Sastera lisan pula bermaksud bentuk-bentuk hubungan manusia yang tidak direkodkan secara bertulis, dan hanyalah disampaikan dari satu generasi kepada generasi selepasnya menerusi hafalan. Seringkalilah pula kandungan perkara-perkara yang dihafal itu terseleweng sedikit, malah terseleweng jauh, apatah lagi mempertimbangkan factor masa. Contoh-contoh sastera lisan ini adalah nyanyian, sajak, mantera, doa dan lain-lain. Manakala teknologi bermaksud prasarana-prasarana yang dibangunkan oleh tukang-tukang tertentu bagi memudahkan kehidupan harian sesebuah masyarakat seumpamanya rumah, istana, kraftangan, persenjataan, alatan pertanian, perkapalan dan lain-lainnya. Setakat ini kami telahpun memulai kajian yang agak teliti terhadap prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu. Matlamat kajian ini adalah untuk mendokumentasikan seluruh prasasti Rumpun Bangsa Melayu, samada yang berbahasa Rumpun Melayu seperti Campa, Melayu Kuno dan Jawa, ataupun yang berbahasa lain seumpama Sanskrit, Tamil dan Pali. Daripada dokumentasi itu nantinya, kami akan melanjutkan kajian berbentuk pentafsiran pelbagai bentuk sains tabii dan teknologi yang dirakamkan di dalamnya. Contohnya, kita akan mengetahui dengan agak baik bagaimanakah Rumpun Bangsa Melayu mengendalikan hal-hal berkaitan pengukuran masa, daripada yang singkat seperti “jam” (asalnya perkataan Tamil) kepada yang panjang seperti “tahun” (perkataan ini dipakai juga dalam peradaban Maya bagi mewakili tahun). Begitu juga, kita boleh mengetahui bagaimana Rumpun Bangsa Melayu menyukat komoditi ekonomi seperti padi, buah-buahan, binatang ternak, emas-perak dan lain-lainnya. Juga, boleh diketahui dengan agak baik bagaimanakah Rumpun Bangsa Melayu melakukan pengiraan/penghitungan. Juga, boleh dikumpulkan maklumat berkenaan binaan-binaan yang dibangunkan oleh tukang-tukang seperti rumah, kuil, balai, istana, kapal dan lain-lainnya menerusi perkataan-perkataan yang mewakilinya. Juga, kita boleh mengetahui dengan teliti bagaimanakah sesuatu benda itu diwakili oleh sesuatu perkataan Melayu kuno, dan bagaimanakah evolusi perkataan itu sehingga kini? Dan pelbagai persoalan lain. Kami belumlah mampu mengusulkan apa-apa bentuk kajian teliti terhadap bahan-bahan sastera lisan dan teknologi Rumpun Rumpun Melayu ini. Setakat inipun kajian-kajian yang telah dilakukan oleh ramai sarjana tempatan mahupun antarabangsa hanyalah berbentuk dokumentasi dan gambaran sahaja tanpa mengkaji secara mendalam dalam pelbagai sudut pandang keilmuan tentangnya. Seumpamanya, mengambarkan wujudnya penyampaian maklumat dari mulut ke mulut dalam Rumpun Bangsa Melayu, tetapi tidak mendalam mengkajinya dari sudut pandang Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Ataupun, menggambarkan bagaimana hebatnya peperangan Campa menentang Viet, atau Kemboja menentang Thai, atau Sailendra menentang Jawa, atau Sriwijaya menentang Kemboja, atau Aceh menentang Belanda, tetapi tidak mendalam mengkajinya menurut sudut pandang Sains dan Strategi Pengurusan. Pokok-pangkalnya, sehingga sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu tidak melakukan analisis-analisis teliti terhadap maklumat-maklumat sastera lisan dan teknologi ini, sehingga itulah tidak mungkinnya diketahui dengan agak baik bagaimanakah sarjana-sarjana dan tukang-tukang Rumpun Bangsa Melayu silam menukilkan pengetahuan dalam pelbagai bidang bagi menyelesaikan kemelut permasalahan semasa. Memahami bagaimana sarjana-sarjana silam menyelesaikan permasalahan semasa mereka sepatutnya memberikan kita pedoman berupa prinsip-prinsip bagaimana perlunya pula kita bertindak terhadap permasalahan-permasalahan kini. Tiadanya kajian-kajian yang memberikan tafsiran keilmuan sebeginilah yang memudahkan atau memaksakan kenyataan dibuat bahawa Rumpun Bangsa Melayu tiada langsung menyumbang apa-apa dalam hal-hal keilmuan sepanjang kewujudannya setakat 2000 tahun ini. Sehinggakan dengan sinis kita mengatakan bahawa bergantung sahajalah kepada sains dan teknologi yang dicampakkan oleh Rumpun Bangsa Eropah/Barat kepada seluruh dunia. Seolah-olahnya tidak ada langsung pilihan yang lain, walaupun diketahui dengan jelas kesan buruk daripada pengambilan Sains dan Teknologi secara langsung tanpa tapisan ini. Inilah yang akan mempercepatkan tenggelamnya kita nanti dalam proses globalisasi itu, sebab kita tiada apa-apa kekuatan untuk menyaring atau menolaknya. Kekuatan yang ada tidak kita manfaatkan, malah kerapkali kita pinggirkan dan kecualikan.

    Hujah yang diberikan di atas sebenarnya hanyalah menegaskan bahawa kajian-kajian yang teliti perlu dilakukan terhadap sumber-sumber keilmuan Rumpun Bangsa Melayu, iaitu Sumber Bertulis seperti prasasti dan manuskrip, Sumber Lisan dan Sumber Teknologi. Dalam makalah ini kami akan membincangkan sumber bertulis sahaja. Pada bahagian seterusnya ini, kami akan merumuskan semula dan mengukuhkan hujah terhadap suatu perkara yang kami anggap amat penting daripada fakta-fakta di atas, iaitu berkenaan rencana penyelidikan mencungkil sains tabii dan teknologi Rumpun Bangsa Melayu.

    2. Rencana Penyelidikan Sains Tabii dan Teknologi
    Dua perkara yang telah kami sebut dalam bahagian Pengenalan di atas adalah dokumentasi sumber-sumber keilmuan dan pentafsiran sains tabii dan teknologi daripada sumber-sumber keilmuan berkenaan. “Dokumentasi sumber keilmuan” bermaksud mengumpulkan seluruh sumber keilmuan Rumpun Bangsa Melayu, iaitu samada yang bertulis. lisan mahupun teknologi, dalam suatu ensaiklopedia khusus. Namun, sumber teknologi mungkin memerlukan sebuah muzium teknologi. Manakala, “pentafsiran sains tabii dan teknologi terhadap sumber-sumber keilmuan” merujuk kepada aktiviti penyelidikan peringkat tinggi terhadap data-data khusus tentang sains tabii dan teknologi yang dirakamkan di dalam sumber-sumber berkenaan. Sumber teknologi memerlukan kita memberikan tafsiran secara tersirat. Ada tiga lagi aktiviti penyelidikan yang perlu ditambahkan kepada dua aktiviti ini, iaitu memahami dengan mendalam perkembangan sains tabii dan teknologi semasa, membandingkan kemajuan yang dicapai oleh sains tabii dan teknologi semasa dengan yang wujud dalam sumber kita, dan akhirnya membangun apa-apa maklumat berpotensi tentang sains tabii dan teknologi Rumpun Bangsa Melayu yang didapati belum dikembangkan dalam sains tabii dan teknologi semasa. Kami tuliskan semula secara bersistem al-Khwarizminya :
    i. Mengumpulkan sumber-sumber keilmuan, iaitu samada bertulis, lisan mahupun teknologi.
    ii. Mengenal data-data berkaitan sains tabii dan teknologi daripada sumber-sumber berkenaan. Menyusunnya dalam bentuk yang rasional.
    iii. Memahami kemajuan terkini sains tabii dan teknologi (kebanyakannya daripada Barat)
    iv. Membandingkan data-data sains tabii dan teknologi kita dengan kemajuan sains tabii dan teknologi terkini. Ini untuk mengenalpasti beberapa konsep sains tabii dan teknologi kita yang dirasakan berpotensi dan tiada dalam perkembangan semasa.
    v. Membangunkan konsep-konsep “baru” (sebenarnya sudah lama wujud) tersebut berdasarkan rujukan terhadap kaitannya dengan konsep-konsep yang sedia ada dalam perkembangan sains tabii dan teknologi semasa.

    Kami telahpun sebenarnya melaksanakan al-Khawarizmi ini beberapa kali ketika menumpukan kajian terhadap prasasti dan manuskrip Rumpun Bangsa Melayu. Keputusannya akan kami bahaskan di bawah. Namun, kami akui, fasal (v) itu belumlah pernah diusahakan. Pakar-pakar penyelidik yang menyokong kajian sebegini kebanyakannya masihlah bercakap-cakap sahaja berkenaannya, belumlah ada kajian yang agak teliti. Bahagian seterusnya ini akan membincangkan sumber bertulis prasasti, dan pada kali ini kami hanyalah mahu menyampaikan data-data berkenaan kepakaran sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu sebelum kedatangan Islam. Bidang ini secara luasnya dipanggil Pengelasan Ilmu.

    3. Pengelasan Sains Tabii dan Teknologi Bersumberkan Prasasti
    Bahagian ini dibangunkan berdasarkan kajian-kajian yang kami lakukan terhadap prasasti-prasasti yang dihasilkan oleh pelbagai Rumpun Bangsa Melayu. Umum mengetahui bahawa bukti-bukti bertulis berbentuk prasasti ini wujud semenjak kurun yang ke-2M hingga kepada kurun ke-16M, hilang apabila kertas mengambil alih peranan sebagai perantara merekodkan maklumat. Kandungan prasasti-prasasti ini pula bukanlah hanya dalam bahasa tempatan seperti Campa, Kawi dan Melayu Kuno, tetapi menggunakan juga bahasa-bahasa ilmu yang lain diwaktu itu seperti Sanskrit, Tamil dan Pali. Malangnya, sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu belumlah pernah memikirkan perlunya keseluruhan prasasti ini samada diterjemahkan atau diubahsuai ke Bahasa Melayu yang difahami kini, atau ke Bahasa Melayu sekitar selepas kurun ke-16M yang juga masih difahami kini. Itu semua untuk tujuan penyelidikan. Bukanlah kerana sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu tidak bijaksana, tetapi mungkin kerana tidak difikirkan keperluannya sehinggalah kini. Malahan, setahu kami, sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu hanyalah mula mengkaji prasasti ini daripada penyelidik-penyelidik Eropah selepas kemerdekaan Indonesia dan Malaysia sahaja. Tetapi, bersebabkan faktor-faktor keperluan yang pelbagai, seperti desakan untuk mengetahui cara mentadbir, cara berfikir, kepercayaan, dan lain-lainnya yang berkaitan Rumpun Bangsa Melayu yang diperlukan oleh pihak penjajah, sarjana-sarjana Eropah yang bertugas bagi pihak penjajah-penjajah Eropah di Alam Melayu ini begitu intensif menekuni kajian terhadap prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini. Melaluinya, mereka mengetahui pelbagai hal tentang Bangsa Melayu, yang sarjana-sarjana Bangsa Melayu sendiripun kadang-kadang tidak sedar tentangnya. Mendapatkan prasasti-prasasti yang dimaksudkan sudah merupakan satu kesukaran, kerana selalunya hanyalah didapat menerusi carigali arkeologi, namun mengkajinya untuk tujuan mentelaah isi kandungannya merupakan satu lagi bentuk kesukaran yang tidak terbayangkan. Seseorang pengkaji itu perlu memahami tulisan kuno disamping menguasai bahasa tulisan kuno tersebut. Apapun, sarjana-sarjana Eropah berjaya melepasi halangan kesukaran ini dan mendokumentasikan dengan teliti maklumat-maklumat perlu tentang sesuatu prasasti. Dan yang paling menarik, mereka menerjemahkan keseluruhan prasasti tersebut kebahasa mereka, iaitu bahasa Belanda, bahasa Perancis dan bahasa Inggeris. Tidak pula diketahui dengan jelas adakah Bangsa Portugis dan Bangsa Sepanyol juga melakukan penerjemahan terhadap prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini. Contohnya, keseluruhan prasasti Funan-Chenla-Kemboja dan prasasti Campa diterjemahkan kebahasa Perancis, keseluruhan prasasti Jawa dan Bali diterjemahkan kebahasa Belanda, dan keseluruhan prasasti Sriwijaya diterjemahkan kebahasa Inggeris. Kami sedang menerjemahkan kembali keseluruhan prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini kebahasa Melayu yang difahami kini, dengan segala kepayahan bersebabkan tidak mengetahui langsung tulisan-bahasa asal prasasti-prasasti berkenaan. Juga tidak mengetahui bahasa Belanda. Kami dibantu oleh Dr. Mohd Zain Musa, seorang sarjana Campa yang mahir berbahasa Campa, Melayu, Khmer, Inggeris dan Perancis. Sebenarnya, langkah terbaik adalah menerjemahkan ke Bahasa Melayu langsung daripada bahasa Sanskrit/Tamil/Pali atau mengubahsuaikan ke Bahasa Melayu daripada bahasa Campa/Kawi/Melayu Kuno itu. Tetapi, langkah itu masihlah jauh daripada kemampuan mana-mana sarjana atau kumpulan sarjana Rumpun Bangsa Melayu, kerana tiada atau hampir tiada kalangan sarjana Rumpun Bangsa Melayu yang mampu mentelaah prasasti tersebut dalam tulisan dan bahasa asalnya, lalu diterjemah/diubahsuai ke Bahasa Melayu. Walaupun begitu halnya, usaha-usaha perlu dimulakan bagi melatih sarjana-sarjana muda Rumpun Bangsa Melayu agar mahir menguasai beberapa bahasa kuno tersebut.

    Sebelum makalah ini ditulis, sekumpulan penyelidik yang dikepalai oleh Dr. Shaharir bin Mohd Zain yang bernaung di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM, telahpun mengadakan bengkel penerjemahan prasasti Rumpun Bangsa Melayu pada 9-10/8/2008 di INSPEM. Bahan-bahan asas kepada kerja-kerja terjemahan tersebut adalah salinan-salinan karbon, transkripsi-transkripsi dan terjemahan-terjemahan Inggeris/Perancis/ Belanda bagi prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu yang dimaksudkan. Kerja-kerja asas yang akan dilakukan adalah menerjemahkan ke Bahasa Melayu kini daripada bahasa-bahasa Eropah yang dinyatakan tadi, dan kemudiannya menyemak terjemahan tersebut dengan bahasa asal prasasti-prasasti tersebut. Proses yang kedua itu diharapkan dapat memberikan sedikit ketelitian terhadap penerjemahan yang dilakukan, sekurang-kurangnya menyemak perkataan-perkataan yang masih digunakan hingga kini. Ini sahaja yang dapat dilakukan setakat ini, bersebabkan kekangan kepakaran yang disebutkan tadi. Perolehan kami setakat ini terhadap himpunan prasasti-prasasti Rumpun Bangsa Melayu ini adalah seperti dalam senarai yang berikut:

    i. Prasasti Campa
    Sejumlah 210 buah, tidak termasuk yang ditemui oleh sarjana-sarjana Viet kemudiannya. Daripadanya 127 daripadanya dalam bahasa Campa, 42 dalam bahasa Sanskrit dan 27 dalam dwibahasa. Sumbernya Jacques (1995) dan Majumdar (1927/1985).

    ii. Prasasti Sriwijaya/Melayu/Minangkabau
    Sejumlah 79 buah, daripadanya 7 buah berbahasa Melayu Kuno dan selebihnya berbahasa Sanskrit. Sumbernya Casparis (1956, 1975 & 1995), Coedes dan Damais (1992), Hardjowardojo (1966) dan Bambang Budi Utomo (2007).

    iii. Prasasti Kutai
    Sejumlah 4 buah berbahasa Sanskrit. Sumbernya Hashim Musa (2003).

    iv. Prasasti Kedah
    Sejumlah 11 buah berbahasa Sanskrit. Sumbernya Jacq-Hergoualc’h (1992) dan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim (2006).

    v. Prasasti Ligor
    Sejumlah 7 buah prasasti berbahasa Sanskrit. Sumbernya Coedes dan Damais (1992).

    vi. Prasasti Jawa
    Sejumlah 40 buah semuanya setakat ini. Sumbernya Casparis (1956 & 1975) dan Prapanca (1365/1960).

    vii. Prasasti Bali
    Sejumlah 40 buah semuanya setakat ini, yang telah diterjemahkan ke bahasa Belanda. Sumbernya Roelof Goris (1954).

    Selain daripada hasil transkripsi dan terjemahan Bahasa Melayu bagi prasasti-prasasti tersebut, contohnya transkripsi 40 prasasti berbahasa Campa yang diterbitkan oleh penulis pertama dalam www.kesturi.net, yang terjemahan Bahasa Melayunya sedang diusahakan bersama Dr. Mohd Zain Musa. Kami sebenarnya telah juga berkesempatan mengkaji secara teliti beberapa prasasti yang isi kandungannya cenderung kepada membincangkan isu pengelasan ilmu. Prasasti yang dimaksudkan adalah seluruh prasasti Campa tadi, yang semuanya bertarikh sekitar kurun ke-2M hingga kurun ke-14M, dan sebuah prasasti kosmologi Sriwijaya/Sailendra bertarikh sekitar 650-800M yang berbahasa Sanskrit. Kami gabungkan maklumatnya untuk menyerlahkan pengelasan Sains Tabii dan Teknologi (PSTT) Rumpun Bangsa Melayu seperti berikut :

    PSTTP1 : Epistemologi dan Logik/Mantik, iaitu (i) Sumber pengetahuan iaitu addhyatmany ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara dalaman) dan vahye ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara luaran), (ii) Alat menerima pengetahuan iaitu caksuhcotghranajihvakayamanamsy (mata, telinga, hidung, lidah, kulit dan fikiran); (iii) Fungsi alat pengetahuan iaitu caksurvijnanam (kesedaran-mata), crotravijnanam (kesedaran-telinga), ghranavijnanam (kesedaran-hidung), jihvavijnanam (kesedaran-lidah), kayavijnanam (kesedaran-kulit), manovijnanam (kesedaran-fikiran)/ manasssamskarah (daya fikiran); (iv) Jenis pengetahuan iaitu vedanaskandhah (tahap perasaan), samskaraskandhah (tahap daya/tenaga), samjnaskandhah (tahap idea) dan vijnanaskandhah (tahap kesedaran); (v) Ontologi/Benda iaitu bhavatrsna (berkehendak kewujudan), vibhavatrsna (berkehendak ketiadaan), atmavadopadanam (mengikut doktrin kewujudan Atman), rupabhavah (kewujudan rupa/bentuk tulen) dan arupyabhavah (wujud ketiadaan rupa/bentuk).

    PSTTP2. Kosmologi/Astronomi/Astrologi/Horasastra, iaitu tentang empat benua jambhudvipah, utttarakurukodvipah, purvvavidehadvipah dan avaragodhanidvipah. Lapan neraka iaitu sanjiva, kalasutra, samghata, raurava, maharaurava, tapana, sampratapaka dan avicic. Lapan langit iaitu caturmaharajika, trayastrimca, yama, tusita, nirmanarati, parinirmitavacavarttinac, ceti pretalokah dan tiryyagjatic. Lima unsur asas dan terbitannya iaitu catvari mahabhutani catravi ca mahabhutany upadaya ca rupam (air, api, tanah, angin dan akasa, dan bentuk-bentuk yang terhasil daripadanya berjumlah lima organ dan lima kategori);

    PSTTP3. Embriologi, iaitu samjnajatih (menjadi), avakrantih (turun kedalam rahim ibu), abhinirvrttih (tumbesaran), skandhapratilabho (menguasai kumpulan dharma), dhatupratilabhah (menguasai 18 wilayah), ayatanapratilabhah (menguasai asas tanggapan), skandhabhinirvrttih (perkembangan kumpulan dharma), jivitendriyapradurbhavah (munculnya pancaindera);

    PSTTP4. Sains Kesihatan, iaitu (i) Kayasamskarah (daya badan). (ii) Tua yang bermaksud yat (botak), khalatatvam (kelabu), valitatvam (kedut), valipracurata (lisut), jirnata (tunduk), bhugnata (bongkok), kubjata (bengkok), gopanasivankata (bertongkat), dandaviskambhanata puratah pragbharakayata (berat badan kehadapan), tilakadikagatrata (tanda hitam pada tubuh), mandatvam (lambat), andhatvam (rabun), hanih (letih), parihanih (habis tenaga), indriyanam paripakah paribhedah samskaranam (pancaindera melemah), puranibhavah (nyanyuk) dan jarjaribhavah (musnah). (iii) Mati yang bermaksud satvanikayacyutih (keluar daripada erti manusia), cyavanatabhedah (mereput), antahanih (hilang tenaga dalaman), ayuso hanih (hilang kehidupan), jivitendriyanirodhah samskaranam (fungsi pancaindera berhenti), niksepo (hilang upaya) dan maranakalaksaya (nazak);

    PSTTP5. Botani, iaitu vijad ankuram (biji menghasilkan tunas), ankurat patram (tunas menghasilkan daun), patrat kandam (daun menghasilkan batang), kandan nalam (batang menghasilkan cabang), nalad garbhah (cabang menghasilkan ranting), garbhat puspah (ranting menghasilkan bunga) dan puspat palam (bunga menghasilkan buah).

    Itulah serba sedikitnya istilah-istilah sains tabii dalam Bahasa Melayu Kuno yang berbaur dengan Bahasa Sanskrit. Beberapa perkataan Bahasa Melayu yang dapat dikesan adalah “jnana=jana”, “mano=mana”, “rupa”, “jambhu=jambu”, “uttara=utara”, “purvva=purba” dan beberapa yang lain. Perlu diingatkan bahawa maklumat diatas amatlah kuno sifatnya, iaitu ketika Bahasa Melayu berada pada tahap lahir dan mula perkembangan. Kami pinggirkan pengelasan ilmu selainnya yang sedikit atau tiada kena mengena dengan Sains Tabii dan Teknologi. Memanglah amat sedikit kelihatannya masukan-masukan bernilai teknologi dalam senarai di atas. Tapi memang sedemikianlah halnya, sebab kajian berkenaan teknologi selalunya memerlukan kita terjun kelapangan, yang belum kami lakukan lagi, dan bukannya semata-mata mengkaji teks. Kajian teks hanyalah memungkinkan kita mengutip bukti-bukti seperti bangunan, peralatan, senjata, kapal dan lain-lainnya, yang belum kami lakukan di sini.

    Kandungan perbincangan yang mahu kami sampaikan berikut ini mengundang penjelasan yang agak kabur. Kabur kerana kami tidak mampu untuk memberikan sempadan pemisah diantara manakah manuskrip yang dihasilkan sebelum kedatangan Islam dan yang manakah selepas kedatangan Islam. Malah, kami hanyalah bergantung kepada judul manuskrip-manuskrip berkenaan, dan hanyalah kadang-kadangnya berkesempatan mentelaah manuskrip yang ditemui. Ini adalah kerana manuskrip-manuskrip Melayu dalam bidang Sains Tabii dan Teknologi ini baru sahaja mendapat minat kalangan penyelidik. Jadinya, kami mengambil keputusan untuk membincangkannya secara dua bahagian terpisah, iaitu pertamanya kami tujukan kepada tamadun-tamadun Melayu kuno, dan keduanya kami tujukan kepada tamadun-tamadun Melayu-Islam.

    4. Pengelasan Manuskrip Sains Tabii dan Teknologi
    Sumber kedua ini merupakan satu lagi sumber bertulis yang dipunyai oleh Rumpun Bangsa Melayu, yang kewujudannya serata dunia, baik di Alam Melayu mahupun di peringkat antarabangsa. Malah, pernah dinyatakan bahawa manuskrip yang paling banyak jumlahnya di dunia ini adalah manuskrip Melayu, atau boleh ditepatkan lagi maksudnya, iaitu manuskrip Melayu-Islam. Namun, apabila berbincang tentang manuskrip Melayu, kita bukanlah hanya perlu bergantung kepada manuskrip-manuskrip yang wujud di zaman umat Melayu telah memeluk Islam, kerana seperti yang kami tulis pada peringkat awal itu, kebergantungan kepada manuskrip ini sahaja tidak akan mampu menjawab secara tepat apa-apa sahaja berkaitan Bangsa Melayu. Sebabnya adalah, kewujudan manuskrip Melayu-Islam paling awalnya adalah sekitar kurun yang ke-13M, sekitar 1000 tahun selepas dikesan wujudnya Rumpun Bangsa Melayu. Takkanlah secara ilmiah kita boleh sahaja mengatakan tiada apa-apa berlaku sekitar 1000 tahun itu. Kalau mahu juga dikatakan demikian, kita perlulah menjelajahi keseluruhan buktinya dahulu. Dan, tidaklah boleh dikatakan pula bahawa perkara ini telah dibuktikan, sebab penjelajahan bukti-bukti terbaru menunjukkan sebaliknya berlaku, walaupun masih pada peringkat awal. Kami memaksudkan usaha kami menjelajah bukti-bukti manuskrip yang wujud dalam empat tamadun Rumpun Bangsa Melayu terawal. Iaitu, sejumlah 240 buah manuskrip Funan berbahasa Sanskrit/Funan/Kunlun yang dibawa ke China pada tahun 546M oleh Paramartha, yang 76 buah daripadanya diterjemahkan sendiri oleh beliau, dan kami mengesan 40 judul daripadanya. Lagi, sejumlah 1350 manuskrip Campa yang dirampas oleh Panglima Perang China ketika angkatannya melanggar dan mengalahkan Campa pada tahun 605M, kami masih gagal mengesannya. Lagi, sejumlah beberapa ribu manuskrip diterjemahkan oleh I-Ching dalam 14 tahun di awal kurun yang ke-8M, kami baru mengesan sekitar 10 judul kalangannya. Namun, yang tidak dapat disangkal lagi adalah manuskrip-manuskrip Kawi/Jawa Kuno yang masih wujud sekarang ini. Jadi matlamat kami pada peringkat pertama ini ini adalah menyenaraikan pengelasan Sains Tabii dan Teknologi yang merupakan kandungan manuskrip-manuskrip ini.

    4.1. Pengelasan Manuskrip Funan, Sriwijaya, Campa dan Jawa Kuno
    Di sini kami cantumkan maklumat tentang pelbagai kepakaran sarjana-sarjana Rumpun Bangsa Melayu zaman kuno. Maklumat-maklumat ini kami ambil daripada tulisan-tulisan yang menyentuh perhubungan Rumpun Bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa manusia yang berada disekitarnya, terutamanya China dan India.

    PSTTMK1. Epistemologi/Logik/Metafizik/Purana/Tutur, seperti Ru-Shi-Lun (Tarkasastra), O-Pi-Ta-Mo-Ku-Shen-Lun (Abhidharma-kosha sastra), Fan-Chih-Lun (Pariprccha sastra) dan To-Fu-Lun (Nigraha-sthana sastra) oleh Vasubandhu; Kuan Tsung Hsing Lun Sung (Samanyalaksana), Yin Ming Chin Li Men Lun (Nyayamukha), Wu-Hsiang-Ssu-Ch’en-Lun (Alambanapariksa) dan Ch’u Shih Shih She Lun/ Ch’u Yin Chia She Lun (Upadayaprajnatiprakarana) oleh Dignaga; Sheng-Da-Cheng-Lun (Mahayana Samgraha) oleh Asanga. Juga manuskrip Kawi, Jnanasiddhanta, Sang Hyang Kamahayanikan Mantranaya, Sang Hyang Kamhayanikan, Tutur Adhyatmika, Kumaratattva, Tattvajnana, Mahajnana, Tutur Kamoksan, Vrhaspatutattva, Tattva Sang Hyang Mahajnana, Ganapati-Tattwa, Bhuvana Samksepa, Bhuvanakosa, Caturdasa Siva dan Kalpabuddha.

    PSTTMK2. Azimat/Simbolisme/Pasasangkalan, seperti *CAM 51(2)(4), CAM 53(2), CAM 59(12), CAM 88(3), CAM 129(2), CAM 147(14), CAM 3, CAM 86, CAM 140(5), CAM 186, CAM 205(2), CAM 226(7), CM 39(8), CM 5(5), CM 13(7), CM 30(6), **DHARMA 2(5).

    PSTTMK3. Kosmogoni/Astronomi/Horoskrop/Kalendar/Wariga/Wawatakan, seperti CAM 46(8), CAM 55(5), CAM 63(3), CAM 80(1)(6)(12), CAM 104(8), CAM 144(4), CAM 200(2), CAM 217(15), CAM 56(6), CAM 97(1)(3), CAM 124(1), CAM 128(1)(3), CAM 130(1), CAM 132(1), CAM 138(4), CAM 146(3), CAM 189(3), CAM 191(2)(16), CAM 226(9), CAM 241(6), CAM 15, CAM 28(2), CAM 31(3), CAM 57(3), CAM 80(2)(3), CAM 90(2), CAM 97(2), CAM 98(1), CAM105(1), CAM 116(2), CAM 143(1)(2), CAM 145(3)(5), CAM 151(2)(8)(12), CAM 17(3), CAM 28(7), CAM 29(11), CAM 37, CAM 49(3), CAM 55(3), CAM 72(6), CAM 138(3), CAM 202(3), CAM 217(11), ***CAM MICRO 67(2), CAM MICRO 53(3), CAM MICRO 38(1), CAM MICRO 40(1), CAM MICRO 42(5), CAM MICRO 43, CAM MICRO 61(1), CAM MICRO 63(4), ****CM 5(4), CM 26(8), CM 27(7)(10)(12)(14)(16)(17)(24)(25), CM 37(38), CM 38(2), CM 26(1), CM 28, CM 30(8(13), CM 34(6), CM 41(3), CM 20(4), CM 31(9), CM 39(13)(16), *****MEP 1190/1(3), MEP 1189/7(1), MEP 1189/8(4), MEP 1190/1(2), MEP 1190/4(6), MEP 1190/7(6), MEP 1190/2(2), MEP 1190/6(2), DHARMA 2(8), DHARMA 2(7), ******LAFONT 2(1).

    PSTTMK4. Embriologi, seperti CAM 33(2), CAM 50(3), CAM 51(8), CAM 52(4), CAM 101(4), CAM 102(1), CAM 103(4), CAM 111, CAM 205(1), CAM 217(5), CAM 226(8), CAM 240(2)(7), CAM 243(1), CM 27(1), CM 35(9).

    PSTTMK5. Geografi, seperti CAM 30(9)(10)(11), CAM 52(1), CAM 166(4)(16)(29)(31), CAM 167(1)(3)(7), CAM 168(2)(6), CAM 170, CAM 171(1)(3), CAM 172(2), CAM 174(2), CAM 175(3), CAM 224, CM 25(8), CM 39(26), CM 40(1), MEP 1189/9(10).

    PSTTMK6. Farmakologi/Usada, seperti CAM 2, CAM 44, CAM 59(10), CAM 87(6), CAM 106(19), CAM 140(2), CAM 147(11)(20)(21), CAM 165, CAM MICRO 21(10), CM 1.

    PSTTMK7. Teknologi, seperti CAM 16(8)(14), CAM 28(8)(9), CAM 29(7), CAM 30(14), CAM 46(3)(5), CAM 46(5), CAM 63(9), CAM 72(3), CAM 74(2), CAM 79(2), CAM 79(4)(7), CAM 80(7), CAM 96(17)(19)(22), CAM 106(8)(9)(10)(13)(15)(16), CAM 106(12), CAM 149(13), CAM 151(4), CAM 166(6), CAM 217(9), CAM MICRO 62(3), MEP 1189/7(4), MEP 1190/1(6).

    *L’Ecole Francaise D’Extreme Orient,
    **Koleksi Po Dharma,
    ***L’Ecole Francaise D’Extreme Orient (Microfilem),
    ****La Societe Asiatique,
    *****Missions Etrangeres de Paris,
    ******Koleksi P-B. Lafont

    Bidang-bidang Sains Tabii dan Teknologi yang dinyatakan tadi adalah jauh lebih mantap berbanding dengan pengelasan yang dirumuskan daripada maklumat-maklumat prasasti. Walaupun demikian, kajian teliti terhadap kandungan Sains Tabii dan Teknologi dalam manuskrip-manuskrip ini belumlah dilakukan, malah tidaklah pernah mana-mana institusi penyelidikan menaja apa-apa aktiviti penyelidikan terhadapnya. Tambahan, sebelum itu, mencari manuskrip-manuskrip tersebutpun sebenarnya merupakan aktiviti ilmiah yang belum dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Bidang-bidang yang dinyatakan diatas sebenarnya tidak jauh lari daripada apa yang dibincangkan dalam pengelasan yang akan diberikan seterusnya ini, iaitu Pengelasan Sains Tabii dan Teknologi yang dirumuskan daripada manuskrip-manuskrip Melayu-Islam.

    4.2. Pengelasan Manuskrip Melayu-Islam
    Kajian teliti terhadap judul-judul manuskrip Sains Tabii dan Teknologi ni sebenarnya dilakukan oleh Dr Shaharir bin Mohd Zain (2003). Kami cumalah menyalinnya daripada makalah beliau. Kini, kumpulan yang diketuai oleh beliau di INSPEM, UPM, sedang melakukan penyelidikan teliti bagi merungkai segala permasalahan Sains Tabii dan Teknologi yang ada dalam manuskrip-manuskrip tersebut. Sumber manuskrip yang kami gunakan setakat ini adalah Perpustakan Negara Malaysia.Untuk pengetahuan umum, telaah kami terhadap manuskrip-manuskrip tersebut memanglah menunjukkan bahawa beberapa banyak hal berkaitan Sains Tabii dan Teknologi Moden juga secara intipatinya wujud di dalam manuskrip-manuskrip Melayu ini. Contohnya masalah-masalah berkaitan logik/mantik, kosmologi, kosmogeni, konsep masa, kimia dan sebagainya. Pengelasan yang dimaksudkan adalah :

    PSTTMI1. Asal kejadian alam, manusia dan makhluk-makhluk lain.
    PSTTMI2. Astronomi, ilmu bintang, ilmu falak, kosmologi dan kosmogeni.
    PSTTMI3. Faraid, hukum waris dan ilmu hisab/hitung.
    PSTTMI4. Perubatan, tib dan mujarabat/mujarrobat.
    PSTTMI5. Ramalan, taabir/ta’bir/takbir, astrologi, azimat, firasat, hikmat, ilmu bintang, ilmu nujum, ketika/kuteka, petua, primbon, raksi/rasi, rejang dan tilik.
    PSTTMI6. Sains hayat, hakikat roh, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
    PSTTMI7. Sains fizis.
    PSTTMI8. Tasawuf, falsafah dan mantik.
    PSTTMI9. Teknologi, kejuruteraan, pelayaran, persenjataan, rumah dan bangunan.

    Kami tidak mengembangkan maklumatnya disini bersebabkan rujukan boleh dibuat terhadap makalah Dr. Shaharir tersebut. Bagi mengembangkan kajian ini, kumpulan pentelaah yang lebih besar diperlukan. Kalaupun mahu dikembangkan bidang Sains Tabii dan Teknologi Melayu, bidang-bidang yang dinyatakan disinilah yang sepatutnya dikembangkan, dengan tambahan dari maklumat-maklumat berkaitan yang lain. Itulah proses pembangunan ilmu yang dialami oleh semua tamadun manusia silam. Sekarang ini, kami akan menunjukkan dua contoh penyelidikan yang dilakukan bagi merungkai maklumat-maklumat bernilai Sains Tabii dan Teknologi daripada sumber-sumber bertulis yang dinyatakan tadi. Seperti yang kami maklumkan sebelumnya, kami belum mampu membahaskan sumber lisan dan sumber teknologi Melayu.

    5. Contoh Pertama STT Melayu : Epistemologi dan Mantik/Logik
    Kalau kita mempertimbangkan fenomenologi/hasrat Husserl sebagai cara berfikir terbaru yang dihasilkan oleh sarjana-sarjana Barat, ataupun lebih baru lagi, versinya yang dinamakan sebagai eksistensial/wujudiah Heidegger dan dekonstruktif/kon(struk)+ destruktif Derrida itu, makanya perlulah direnungi bersama bahawa dasar kepada segala fahaman falsafah berkenaan adalah juga persoalan pokok teori pengetahuan (epistemologi). Husserl mahu menggantikan silogisme Aristotle yang gagal menjelaskan hal-hal yang difikirkan oleh seseorang manusia tentang dirinya. Heidegger mengatakan bahawa fenomenologi Husserl juga sebenarnya gagal menjelaskan keadaan itu, lalu beliau mencadangkan agar halatuju fenomenologi itu mestilah ditumpukan kepada memahami kewujudan manusia itu sendiri, kemudian barulah kepada cara manusia itu berfikir. Ramai yang beranggapan bahawa kaedah Heidegger sebenarnya gagal juga. Tiada kaedah yang boleh dibina dan digunakan bagi menjelaskan bagaimana seseorang memahami kewujudan dirinya. Kegagalan Heidegger inilah yang mencetuskan gerakan kefalsafahan dekonstruktif Derrida, yang antara lain mengusulkan bahawa sebelum seluruhnya musnah dan gagal, sebab diri sendiri tak mampu memikirkan kewujudannya sendiri, elok dikutip cebis-cebis pengetahuan yang tinggal tentang diri sendiri tersebut, dan kemudiannya dibina semula bagi mendapatkan kefahaman yang “menyeluruh”. Itulah sebabnya formula dekonstruktif=kon(struk)+destruktif=bina+(cebisan-)musnah, seperti yang saya nyatakan di atas menjelaskan epistemologi Derrida dengan lebih baik. Tak ramai yang memahami epistemologinya sebegini. Kebanyakan hanyalah berkenaan penggunaan konsep dekonstruktif Derrida sahaja. Masalah utama yang cuba diusahakan untuk dileraikan oleh Derrida adalah masalah kebenaran yang terkandung dalam wacana/percakapan lisan dan tulisan/karya. Derrida mengatakan bahawa kebenaran mestilah lebih jitu di dalam wacana lisan berbanding tulisan. Ini kerana seseorang itu boleh memikirkan sekali dua lagi tentang sesuatu perkara sebelum menulisnya, jadi kebenaran asal itu berkemungkinan untuk diubah. Itulah sebabnya karya autobiografi merupakan suatu subjek kajian yang utama, sebab hasil tulisan ini menyatakan kebenaran tentang diri seseorang yang menulisnya. Benarkah setiap kebenaran itu akan dituliskan oleh seseorang didalam autobiografinya, pahit atau manis? Derrida mengatakan bahawa, pastilah seseorang akan mengubah kebenarannya bagi memenuhi matlamatnya menulis autobiografi tersebut. Tapi, bagaimana kalau perubahan yang dimaksudkan itu bermatlamatkan untuk mendapatkan kebenaran yang lebih jitu? Sebab yang Derrida fahami hanyalah tentang kepalsuan yang didiamkan atau ditukarkan menjadi kebenaran. Jadinya, yang Derrida maksudkan sebagai “kebenaran” itu adalah kebenaran berlakunya peristiwa itu untuk pertama kali, atau digelar logik keadaan (situation logic).

    Kami sengaja membawakan isu epistemologi pascamoden tersebut untuk memperingati diri sahaja tentang bagaimana nanti untuk berfikir bagi mengolah maklumat tentang epistemologi Melayu itu. Adakah unsur-unsur epistemologi Melayu mengandung mauduk perbincangan sedemikian? Atau bolehkah diolah menjadi sedemikian? Atau lebih baik, mengutarakan masalah-masalah epistemologi yang baru dan jalan-jalan penyelesaian yang positif?

    5.1. Membangun Epistemologi Melayu
    Kami kutip dahulu maklumat-maklumat yang dimaksudkan, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu PSTTP1 : Epistemologi dan Logik/Mantik, iaitu :
    i. Sumber pengetahuan iaitu addhyatmany ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara dalaman) dan vahye ajnanam (pengetahuan tentang perkara-perkara luaran),
    ii. Alat menerima pengetahuan iaitu caksuhcotghranajihvakayamanamsy (mata, telinga, hidung, lidah, kulit dan fikiran),
    iii. Fungsi alat pengetahuan iaitu caksurvijnanam (kesedaran-mata), crotravijnanam (kesedaran-telinga), ghranavijnanam (kesedaran-hidung), jihvavijnanam (kesedaran-lidah), kayavijnanam (kesedaran-kulit), manovijnanam (kesedaran-fikiran)/ manasssamskarah (daya fikiran),
    iv. Jenis pengetahuan iaitu vedanaskandhah (tahap perasaan), samskaraskandhah (tahap daya/tenaga), samjnaskandhah (tahap idea) dan vijnanaskandhah (tahap kesedaran),
    v. Ontologi iaitu bhavatrsna (berkehendak kewujudan), vibhavatrsna (berkehendak ketiadaan), atmavadopadanam (mengikut doktrin kewujudan Atman), rupabhavah (kewujudan rupa/bentuk tulen) dan arupyabhavah (wujud ketiadaan rupa/bentuk).

    Perbincangan semasa yang dirujuk dalam (i), (iv) & (v) selalunya perbincangan tentang “objek/benda” dan pengetahuan yang dihasilkan oleh benda tersebut. Diantara tema epistemologi yang sering berkaitan kepada hal ini adalah, adakah benda itu mempersembahkan dirinya dalam bentuk pengetahuan? Ataukah pengetahuan itu sebenarnya merupakan kefahaman kita berkenaan benda itu? Apa-apapun “benda” dan “persembahannya/pengetahuan tentangnya” tidaklah sama. Manakalah (ii) & (iii) menyatakan tentang alat-alat yang wujud pada manusia bagi mendapatkan pengetahuan menerusi caranya yang khusus dipanggil “kesedaran”.

    Apabila kita teliti pula maklumat-maklumat epistemologi yang terdapat dalam manuskrip Melayu tertua berjudul Aqaid al-Nasafi bertarikh 1590M, seperti yang diedit dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Al-Attas, himpunan perbincangan-perbincangan berikut di dapati :
    i. Benda-benda yang diluar fikiran manusia di dalam alam ini dikelaskan kepada a’yan dan a’rad. A’yan itu yang baginya berdiri dengan adanya. Iaitu ada kalanya murakkab seperti jisim, atau tiada murakkab seperti jawhar, iaitu suku yang [tiada] bersuku. A’rad itu yang tiada berdiri baginya dengan adanya, dan diadakan ia pada segala jisim dan segala jawhar, seperti segala warna, pada segala keadaan, dan pada segala citarasa makanan, dan segala bau.
    ii. Sumber-sumber pengetahuan itu adalah pancaindera, khabar sadiq/benar, akal/budi dan ilham. (a) Pancaindera adalah pendengar, penglihat, pencium, perasa lidah dan perasa tubuh. Dengan kelima-limanya, diketahui atas yang ditentukan ia baginya dengan dia. (b) Khabar sadiq terbahagi kepada khabar mutawatir dan khabar Rasul Allah. Khabar mutawatir adalah khabar yang thabit pada segala lidah qawm yang ditiadakan dapat pada budi muwafaqat mereka itu atas dusta, iaitu tahu dengan dibicara diketahui adanya. Ini menghasilkan ilmu daruri, seperti tahu akan segala raja-raja silam dan negara-negara yang jauh. Khabar Rasul Allah menghasilkan ilmu istidlali (menuntut dalil) dan ilmu yang teguh dengan dia menyerupai ilmu yang teguh dengan ilmu daruri pada nyatanya dan teguhnya. (c) Akal/budi itu terbahagi kepada badihah, iaitu yang tidak boleh difikirkan dalilnya seperti seluruh lebih banyak daripada sebahagian, dan istidlal, iaitu yang menuntut dalil seperti ada api tatkala melihat asap. (d) Ilham itu diperoleh atas pertolongan Allah.

    Perkara (i) disini juga merujuk kepada “benda” yang berada di luar fikiran manusia. Tetapi benda dalam fikiran manusia tidak dibincangkan. Kemudiannya, perkara (ii) pula merujuk kepada sumber-sumber pengetahuan kepada manusia, yang tersirat mengandungi hal-hal berkaitan alat-alat mendapat pengetahuan dan jenis-jenis pengetahuan. Sebenarnya maklumat-maklumat ini boleh dilengkapkan lagi kalau kita mampu merujuk kepada kitab-kitab mantik yang digunakan dalam pendidikan pondok di Alam Melayu berikut :
    i. Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari(1426-1520M). Syarh ‘ala Matn Isaghuji (ulasan terhadap Kitab al-Isaghuji karangan al-Abhari).
    ii. Hassan al-Attar. 1236H/1820M. Hasyiah ‘ala syarh Zakaria al-Ansari ‘ala matn Isaghuji fi’l-mantiq.
    iii. Al-A’allamah ‘Abdul Rahman al-Akhdari. 941H/1530M. Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq / Al-Sullam fil-Mantiq / Assuhamul Munauraq / Al-Sullam fil-Munauraq. (ringkasan terhadap kitab al-Isaghuji karangan Al-Abhari) Terj. Jawa pada 1950 dan Terj. Indonesia pada 1974 oleh Khadrotil Walid K.H. Bisri Mustofa.
    iv. Syaikhul Azhar Ahmad bin Abdul Mun‘im al-Damanhuri (1101-1192H). Idah al-Mubham min ma’ani al-sullam (ulasan terhadap Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq karangan al-Akhdari).
    v. Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri. 1226H/1810M. Hasyiah al-Bajuri ‘ala Matn al-Sulam (ulasan terhadap Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq karangan al-Akhdari).
    vi. Syaikhul Islam Ahmad al-Mallawi. al-Syarh al-Shaghir ala al-Sullam (ulasan terhadap kitab Al-Sullam al-murauniq fi ‘l-Mantiq karangan al-Akhdari).
    vii. Muhammad bin Ali al-Shabban. Hasyiah (ulasan terhadap al-Syarh al-Shaghir ala al-Sullam karangan Syaikhul Islam Ahmad al-Mallawi).
    viii. Al-Allahmah Ahmad al-Saja’i. 1184H/1768M. al-Jawahir al-Muntazhimat.
    ix. Hassan al-Attar. 1234H/1818M. al-Hasyiah (al-Kubra) ‘ala syarh Maqulat al-Saja’i.
    x. Hassan al-Attar. 1242H/1826M. al-Hasyiah (al-Sughra) ‘ala syarh Maqulat al-Saja’i.
    xi. Muhammad Hasanain Makhluf. 1236H/1820M. al-Hashiyah al-Thaniyah.
    xii. Hassan al-Attar. 1234H/1818M. al-Hashiyah al-Kubra ‘ala syarh Maqulat al-Sayyid al-Balidi.
    xiii. Hassan al-Attar. 1240H/1824M. al-Hashiyah al-Attar ‘ala syarh al-Tahzib.
    xiv. Hassan al-Attar. 1246H/1830M. al-Hashiyah ‘ala Jam al-Jawami.

    Juga karya-karya asli sarjana-sarjana Melayu dalam bidang mantik seperti tersenarai di bawah :
    i. Faqih Wan Musa al-Fatani. 1002H/1593M. Ilmu Mantiq.
    ii. Nur al-Din al-Raniri. 1640-an salinan 1860-an. Ms 781(2),
    iii. Al-Sayyid Hasan al-Khurasani (1875-1944), Ilmu Mantiq.
    iv. Wan Ali bin Wan Ya’qub. 1959. Tausi’ah al-Fikri Bicara al-Maqulat al-‘Asyara.
    v. Abdul Wahab Haji Abdullah al-Azhari. 1975. Al-Mabadi fi ‘Ilm al-Mantiq. Kota Baru : PAP.
    vi. Haji Ismail bin Haji Yusuf. tt. Qawa’id al-Mantiq. Kota Baru : Al-Ahliah.
    vii. Mohammad Nor al-Ibrahami. tt. ‘Ilm al-Mantiq. Kota Baru : Al-Ahliah.

    5.2. Membangun Silogisme Melayu
    Selepas Aristotle merumuskan teori silogismenya, dunia Barat menunggu sekitar 2000 tahun untuk seseorang merumuskan sesuatu yang lebih baik daripadanya. Itulah sumbangan Leibniz sekitar penghujung kurun yang ke-17M dan dikembangkan secara terpisah oleh Boole sekitar awal kurun yang ke-19M. Matlamat kedua-dua pemikir ini adalah untuk menggunakan struktur-struktur matematik yang wujud ketika itu di dalam memahami bagaimana silogisme distrukturkan dan dikembangkan. Oleh kerana diketika itu matematik masihlah belum semaju yang dicapai kini, maka struktur asas matematik yang digunakan sebagai model memahami sistem silogisme adalah teori set. Itulah yang memberikan lonjakan idea yang baru kepada Leibniz dan Boole. Malah, pentelaah-pentelaah buku Boole mengatakan bahawa satu-satunya pencapaian manusia yang mengatasi apa yang telah dihasilkan oleh Aristole dua ribu tahun yang lepas dalam bidang teori pengetahuan adalah sistem mantik yang dinukilkan oleh Leibniz-Boole ini, yang kemudiannya dinamai mantik simbolik atau mantik matematik. Namun, nama sebenar yang patut diberikan adalah mantik set, sebab struktur matematik yang digunakan adalah teori set. Inilah yang digunakan oleh Frege untuk membangunkan landasan matematik tulen dizamannya, yang dinamainya mantikisme, atau boleh sahaja difahami sebagai matematik yang dilandaskan di atas teori set sebagai bahannya dan mantik sebagai kaedah/bahasa pembangunannya. Pemikir seterusnya yang bertanggungjawab mengembangkan idea Frege ini adalah Whitehead-Russell melalui karya mereka pada tahun 1910-13 berjudul Principia Mathematica. Whitehead mengundurkan diri selepas itu. Hanyalah dua pandangan sahaja yang berbeza dengan Frege-Russell diwaktu itu, iaitu Hilbert yang membawakan idea formalisme/kerangkaisme, dan Brouwer yang membawakan idea intuisisme/ilhamisme. Tapi intuisi di sini tidaklah bermaksud intuisi yang difahami dalam metafizik. Namun, mantik yang diusulkan oleh Hilbert adalah juga mantik yang digunakan oleh Frege-Russell. Beza diantara kedua-dua pemikir ini hanyalah kepada kepenggunaan mantik itu sendiri, Frege-Russell menganggapkan segala-galanya adalah mantik, manakala Hilbert menganggap mantik hanyalah alat untuk membina kerangka matematik.

    Tetapi, Brouwer jauh berbeza dengan dua pandangan mantikisme dan kerangkaisme ini. Brouwer menganggap bahawa mantik mestilah meniadakan hukum tanpa penengah (excluded middle law). Hukum ini merupakan landasan kepada pembuktian secara percanggahan, iaitu pembuktian yang dimulai dengan menafikan kes yang diberi, kemudiannya melakukan operasi-operasi matematik perlu sehinggakan menimbulkan percanggahan, lalu seterusnya menerima benar kes yang diberi tadi. Pembuktian sebegini kerap ditemui dalam Al-Quran. Contohnya, bukti menunjukkan wujud hanya satu Tuhan dimulai dengan mengandaikan wujud dua tuhan, kemudian disusuli kenyataan kalau wujud dua tuhan pastilah alam ini akan musnah, tetapi alam tidak musnah, iaitu percanggahan didapati, maka wujud hanya satu Tuhan. Bersebabkan hukum tanpa penengah banyak kedapatan di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran, maka Hilbert yang membawa kaedah pembuktian secara percanggahan ini kedalam matematik tulen digelarkan sebagai ahli matematik-teologi, yang seboleh-bolehnya mahu dielakkan oleh ahli matematik sekular. Brouwer menolak hukum tanpa penengah kerana berpandangan hal-hal didalam matematik tulen bukanlah hanya boleh diturunkan kepada dua kes ya-tidak sahaja. Menafikan sesuatu itu nombor tidaklah bermaksud sesuatu itu bukan nombor, mungkin juga sesuatu itu bukanlah bukan nombor. Contoh lebih mudah adalah menafikan hitam tidaklah bermaksud putih, mungkin sekali merah, biru atau warna-warna yang lain. Penentangan Brouwer terhadap Hilbert dan Frege-Russell hanyalah boleh diharmonikan setelah penemuan bidang baru seawal-awalnya pada tahun 1964. Secara tidak sengaja, Lawvere, ketika berusaha mencari landasan mantik menerusi kaedah penggeometrian matematik fizik, menemui struktur mantik yang beroperasi keatas teori set kategori. Meletakkan struktur mantik tersebut kedalam suatu kategori, dan bukan hanya set kategori, menjadikan struktur yang dihasilkan lebih teritlak sifatnya, yang dipanggil topos atau mantik kategori. Kemudiannya, Lawvere mendakwa bahawa beliau telah menemui landasan baru matematik tulen bagi menggantikan landasan lama mantik-set Frege-Russell itu, yang dimudahkan penulisan istilahnya kepada (mantik kategori-set kategori), atau ditulis tanpa kekeliruan (mantik-set) kategori. Yang menariknya, mantik intuisi Brouwer yang menolak hukum tanpa penengah boleh dimodelkan semula melalui mantik kategori atau topos ini, yang juga menolak hukum tanpa penengah. Dalam ertikata yang lain, landasan baru ini mengharmonikan pandangan mantik Frege-Russell dengan pandangan mantik intuisi Brouwer. Seperti sebelumnya, iaitu sewaktu Frege-Russell mendakwa menemui landasan matematik tulen, penyokong-penyokong Lawvere meneruskan usaha menundukkan matematik tulen dibawah (mantik kategori-set kategori), sehinggakan ternukil perkataan toposophy dan toposhoper. Salah satu contoh perluasannya yang agak ekstrim adalah sebuah makalah yang ditulis oleh Benabou bagi mengusulkan perlunya cara berhujah mantik Aristole di dalam undang-undang ditukarkan kepada mantik kategori atau topos ini. Juga, Isham dari Imperial College, London, mengusahakan agar topos digunakan untuk memodelkan mekanik kuantum, bersebabkan kedua-duanya tidak mematuhi hukum tanpa penengah. Mungkin sekali nantinya topos ini boleh digunakan untuk membangunkan sistem komputer terbaru yang diimpi-impikan itu, malah telah disebut sekali dua dalam filem transformer, iaitu komputer kuantum yang berkelajuan berbilion kali lebih berbanding komputer yang digunakan sekarang ini.

    Dimanakah kedudukannya maklumat-maklumat yang akan saya sampaikan di bawah ini? Bolehkah kita mematematikkan, menggunakan apa sahaja kaedah matematik seumpama set dan kategori, terhadap silogisme Melayu dibawah? Kami mentelaah sebuah buku yang dikatakan pernah ditelaah di Kemboja pada kurun ke-9M, iaitu Nyayasutra karangan Gautama (bukan Gautama Buddha) dan ulasannya oleh Vatsyayana berjudul Nyayadarsana Bhasya. Setelah kami menyemak kedua-dua buku tersebut, tentunya daripada versi moden, kami mendapati bahawa buku Nyayasutra yang dikarang oleh Gautama dan diulas oleh Vatsyayana memulai bicara dengan mengusulkan enambelas perkara. Enambelas perkara ini adalah penjelasan awal kepada bidang anviksiki (mantik). Setiap satunya daripadanya enambelas perkara tadi diulas dengan teliti oleh Vatsyayana. Di sini, kami gabungkan kedua-dua maklumat tersebut, iaitu :
    i. Pramana, iaitu alat-alat untuk mendapatkan pengetahuan. “Parmana” (Jawa) bermaksud menyaksikan kekuasaan. “Permana/pramanem” (Jawa) bermaksud keupayaan melihat dengan jelas. “Permana” (Sunda) bermaksud jelas, terbukti dan terselesai.
    ii. Prameya, iaitu benda-benda yang menghasilkan pengetahuan. Contohnya artha yang merangkumi gandha (bau), rasa (rasa), rupa (warna), sparsa (sentuh) dan sabda (suara).
    iii. Samsaya/Vimarsa, iaitu sangsi/ragu yang disebabkan memiliki sedikit tentang sesuatu. “Sansaya” (Jawa) dan “sansan/sayan” (Bali) bermaksud takut, sedih dan ragu.
    iv. Prayojana, iaitu dorongan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu kerja bagi mendapatkan (seperti kebahagiaan) atau menghindari (seperti kesakitan) sesuatu. Empat dorongan itu adalah dharma, artha, kama dan moksa. “Prayojanakan” (Jawa) bermaksud tanggapan terhadap sesuatu.
    v. Drstanta, iaitu kefahaman terhadap benda yang ditanggapi oleh cendekiawan tidak berbeza dengan kefahaman orang kebanyakan. “Dresta” (Jawa) bermaksud adat resam.
    vi. Siddhanta, iaitu kefahaman terhadap wujud/ada benda. “sridanta” (Jawa” bermaksud makna.
    vii. Avayava, iaitu lima usulan yang menjadikan sesuatu tesis itu sah. Lima usulan tersebut adalah pratijna (premis/hipotesis/andaian), hetu (taakulan), udaharana (pernyataan contoh), upayana (guna) dan nigamana (kesimpulan)
    viii. Tarka, iaitu perkakas (anugrahaka) bagi alat-alat untuk mendapatkan pengetahuan yang akan memandu kepada mendapatkan pengetahuan yang benar. “Teka” (Melayu) bermaksud jawapan.
    ix. Nirnaya, iaitu kaedah mendapatkan kefahaman berkenaan benda menerusi paksa (tesis) dan pratipaksa (anti-tesis) yang dimulai dengan samsaya/vimarsa (sangsi/ragu).
    x. Vada, iaitu bentuk perdebatan yang bukan bermatlamatkan untuk mencari kemenangan tetapi untuk mendapatkan kebenaran. “Wada” (Jawa) dan “bada” (Batak) bermaksud bergaduh.
    xi. Jalpa, iaitu bentuk perdebatan yang bermatlamatkan untuk mencari kemenangan. Satu pihak akan berusaha untuk memetahkan hujah pihak yang lagi satu, dan sebaliknya. “Alpa” (Melayu) bermaksud lupa.
    xii. Vitanda, iaitu bentuk perdebatan yang hanya bertujuan mematahkan hujah pihak yang lain, tetapi tidak membentuk tesis sendiri.
    xiii. Hetvabhasa, iaitu benda-benda fikiran/bayang/pseudo.
    xiv. Chala, iaitu hujah bertujuan untuk mengalahkan hujah lawan. “Cela”dan “chalaka/celaka” (Melayu) bermaksud kutukan.
    xv. Jati, iaitu memahami kesamaan atau ketaksamaan hujah lawan. “Jati” (Melayu) bermaksud benar.
    xvi. Nigrahasthana, iaitu titik kekalahan perdebatan.

    Jika diperhatikan, (i), (ii), (vi) dan (xiii) bersifat epistemologi, menambah maklumat sebelum ini. Perkara (iv) itu tentang etika. Tetapi perkara (iii), (v), (vi)-xii) dan (xiv)-(xvi) patut dikelaskan sebagai silogisme, atau kaedah penghujahan. Dan yang lebih menarik, beberapa perkataan yang dipakai di atas diambil kemudiannya sebagai perkataan Rumpun Bangsa Melayu, seperti yang dinyatakan di atas, dengan sedikit perubahan semantik. Kajian lanjut mampu menunjukkan bagaimana konsep-konsep luar itu diterima dalam Tamadun Melayu.

    Apabila bercerita pula bagaimana boleh dikembangkan silogisme Melayu-Islam, beberapa hal dasar tentangnya perlulah diketahui dengan terlebih dahulu. Contohnya, bagaimana pernyataan dibina dalam Bahasa Melayu? Kajian Dr. Shaharir terhadap Hikayat Raja Pasai (HRP) menunjukkan bahawa ayat penghujahan ataupun ayat implikasi di dalam HRP memiliki dua bentuk yang setara saling setara, iaitu :
    i. jika/jikalau/kalau/andaikan/sekiranya/anggaplah/apabila/selagi/sebab-itulah/ oleh-sebab/sebab-kerna/dari-kerna-itulah/tatkala P, maka (seringkali juga tiada “maka”) Q.
    ii. Q, jika/jikalau/kalau/andaikan/sekiranya/anggaplah/apabila/selagi/sebab-itulah/oleh-sebab/sebab-kerna/dari-kerna-itulah/tatkala P.
    Kedua-dua pernyataan tersebut selalunya disimbolkan sebagai PQ. Cerapan-cerapan awal yang dilakukan oleh pelajar-pelajar kami terhadap enam kesusasteraan Melayu tersebut mendapati bahawa dua bentuk yang saling setara di atas adalah juga dua bentuk yang kedapatan sama di dalam keenam-enam kesusasteraan Melayu yang dikaji. Cumanya, beberapa perkataan setara lain seperti “^=dan”, “v=atau” dan “-=tak/tidak” perlu ditambahkan disisi P dan Q itu. Dapatan seterusnya yang akan dinyatakan disini adalah struktur penghujahan yang dimaksudkan tadi. Kami akan memilih dua ayat beserta struktur silogismenya, bergantung kepada kebitaraan setiapnya, daripada setiap kesusasteraan tersebut.

    Daripada Undang-Undang Melaka, dua ayat yang dipilih adalah :
    i. “Adapun jikalau membunuh madunya, maka ia lari ke dalam kampung orang, maka diikutnya oleh empunya madu itu, maka berkelahi ia dengan yang empunya kampung itu, maka jikalau ia melawan, maka terbunuh yang mengikut itu, mati saja tiada dengan hukum lagi “ (halaman 70, perenggan 2). Strukturnya PQRS(T((UV)v(-U))).
    ii. “Bermula jikalau ada sesuatu benda orang yang tinggal, maka didapat oleh seseorang, maka tiada disyaksikannya pada orang tuha, maka disisihnya, esa pulang dua, dan jikalau ada disyaksikannya, sepuluh dua akan dia”. (halaman 166, perenggan 1). Strukturnya (PQ((-RST)v(RU)).

    Daripada Hikayat Upu Daeng Menambun, dua ayat yang dipilih adalah :
    i. “Setelah sampai tiga hari berjaga-jaga, maka pada ketika waktu yang baik, pagi-pagi hari maka beraraklah pengantin, serta sampai masuk kedalam kota lalu duduklah di paseban agung”. Strukturnya PQRS.
    ii. “Setelah mendengar khabar demikian, lalu disuruh panggillah sekalian tua-tua Dayak Mempawah, dan tua-tua Dayak Melingsam dan tua-tua Dayak Sampak, dikumpulkan sekaliannya, berbicara serta mesyuarat “bagaimana, melawankah kita, undurkah?””. Strukturnya P(Q^R^S)T.

    Daripada Hikayat Malim Deman, dua ayat yang dipilih adalah :
    i. “Jikalau ada anakanda sesak sukar apa-apa halnya dan jikalau ada anakanda hendak berangkat balik kedunia, maka bakarlah oleh anakanda kemenyan ini, beryang-yang citalah ayahanda, nescaya datanglah burung ini menghadirkan dirinya dipintu kayangan” (halaman 53, perenggan 2). Strukturnya (P^Q)(R^S)T.
    ii. “Jikalau kakanda menempuh lautan gelap, kakanda santaplah sekapur, nescaya teranglah lautan itu, dan jikakakanda menempuh lautan api, kakanda santaplah sekapur, nescaya padamlah api itu, dan jika kakanda menempuh lautan sejuk, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah sejuk itu, dan apabila kakanda menempuh lautan kuning, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah kuning itu, dan apabila kakanda menempuh lautan hijau, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah hijau itu, dan apabila kakanda menempuh lautan masin, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah masin itu, dan apabila kakanda menempuh lautan bias, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah bias itu” (halaman 53, perenggan 1). Strukturnya (ABC)^(DEF)^(GHI)^(JKL)^(MNO)^(PQR)^ (STU).

    Daripada Hikayat Awang Sulung Merah Muda, dua ayat yang dipilih adalah :
    i. “Jikalau sah ayahku bernama Tuanku Si Helang Laut, nenekku bernama Tuanku Si Helang Mawai yang bermakam di Gunung Ledang, moyangku bernama Tuanku Simbang Geroda, putih rambut putih mata, makamnya di atas Gunung Lepu, panji-panji makam menyapu pintu Kaabah menentukan pahala dan dosa, halal dan haram, pintalah bantu akan melawan anak raja mambang ini”. Strukturnya (PQR)S.
    ii. “Demi didengar oleh anak raja mambang, maka bangunlah ia merah padam warna mukanya, lalu menghunus pedang yang selebar daun birah, seraya ia bertampil melompat ke halaman istana, serta mencencang bertalu-talu akan Awang Sulung Merah Muda”. Strukturnya PQRST.

    Daripada Hikayat Merong Mahawangsa, dua ayat yang dipilih adalah :
    i. “Setelah siap dengan gajah kuda lalu berjalanlah sambil bermain-main serta berburu segala binatang pada segenap kaki bukit gunung tempat berhenti itu, serta mencari tanah tempat yang baik hendak buat negeri itu, tiada jua bertemu bagai maksud, lalu berjalan pula ke hadapan, lalu bertemulah dengan suatu tasik dan wilahar dengan beberapa banyak ikan dalam wilahar itu” (halaman 33, baris 29). Strukturnya P(Q^R^S)^(T^-T)(U^V).
    ii. “Setelah datang segala surat dan bingkisan itu ke hadapan baginda, maka terlalulah sukacitanya melihatkan segala perbuatan saudaranya itu akan permainan anakanda baginda serta titahnya kepada menteri yang membawa surat dan pohon bunga emas dan bunga perak bertanya khabar saudaranya dan hal negeri Kedah itu ramaikah” (halaman 39, baris 18). Strukturnya (P^Q)(R^S^T).

    Manakala daripada Hikayat Raja Muda, dua ayat yang dipilih adalah :
    i. “Jikalau kakanda tiada menyampaikan umanat adinda ini, kakanda adinda sumpah dan jikalau anakanda itu salah seorang tiada mahu mengikut nasihat adinda, demikianlah juga adinda sumpah dia kedua itu”. Strukturnya (PQ)^(RS).
    ii. “Telah sedialah sekaliannya, maka bagindapun berangkatlah pada malam itu dan Perdana Menteri Agung dititahkan menunggu negeri dan pada ketika itu bulanpun sedang terang cuaca hampir siang”. Strukturnya PQ^R.

    Keseluruh maklumat ini perlulah disusun dengan baik sehinggakan kita mampu melahirkan persoalan-persoalan epistemologi dan mantik yang menerjah persoalan-persoalan semasa, dan sebagai tambahan boleh pula mencadangkan jalan penyelesaiannya.

    6. Contoh Kedua Sains Tabii Melayu : Pembilangan Melayu
    Perbincangan di bawah ini juga merupakan satu lagi contoh sains tabii dan teknoogi Melayu yang kami kutip daripada sumber-sumber bertulis yang kami maksudkan. Namun, sumber yang kami gunakan melepasi sempadan Alam Melayu, kerana menggunakan juga sumber-sumber Barat tentang Alam Melayu. Tujuan kami mengumpulkan maklumat berkaitan pembilangan/penghitungan/pengiraan Melayu ini adalah untuk menunjukkan bahawa Bangsa Melayu sudah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam urusan berkaitan aritmetik (ilmu angka). Walaupun ini merupakan bidang yang jauh lebih asas, namun kami belumlah mahu memberikan rumusan terhadap pencapaian bidang semasa bidang ini, iaitu persoalan-persoalan semasa berkaitan angka. Contohnya, apakah angka itu merupakan bilangan benda? Jika bukan bilangan benda, apakah angka sebenarnya? Bagaimanakah pula kedudukan angka infiniti? Atau angka infinitesimal (tak terhingga kecil)? Dan lain-lain hal, yang selalu boleh ditelaah daripada mana-mana buku Falsafah Aritmetik. Berikut kami sampaikan maklumat yang kami kutip itu.

    i. Prasasti Vo-Canh (Campa), sekitar kurun ke-3S/4M : tujuh (7) dan saribu (1000).

    ii. Prasasti Kedukan Bukit (Sriwijaya), bertarikh 605S/683M : duaratus (200), sariwu tluratus sapulu dua (1312) dan dualaksa (20, 000).

    iii. Prasasti Telaga Batu (Sriwijaya), jangkaan bertarikh 605S/683M : sapuluh dua (12) dan dua laksa (20,000).

    iv. Prasasti Bukit Seguntang (Sriwijaya), sekitar penghujung kurun ke-7M : dua (2).

    v. Prasasti Nhan-Bieu (Campa), bertarikh 833S/911M : dalapan (8), sapluh (10), tluv pluh (30), tluv pluh tijuh (37), nam pluh (60), tijuh pluh tluv (73), sa rtuh ban pluh dva (162) dan tluv rtuh sa pluh (310).

    vi. Daftar Kata Bilangan Melayu Susunan Oe Tadafusa (Jepun), sekitar penghujung kurun yang ke-11M hingga tahun 1111M (tahun kematian Oe) : sasaa (1), toa (2), rima (5), namu (6) dan sa-i-bira (9).

    vii. Prasasti Mi-son (Campa), bertarikh 1036S/1114M : sa (1), kluv (3), tijuh (7), dalapan (8), salapan (9), sanraun (12), dva pluh dva (22), kluv pluh (30), pak pluh (40), pak pluh nam (46), pak pluh salapan (49), nam pluh dva (62), dalapan pluh dalapan (88), salapan pluh dalapan (98), sarutuh (100), sarutuh salapan pluh (190), kluv rutuh dva pluh (320), salapan rutuh dalapan (980) dan sa rivuv sa rutuh salapan (1109).

    viii. Prasasti Mi-son (Campa), bertarikh 1079S/1157M : lima pluh (50), sa rutuh (100), sa rutuh lima pluh (150), kluv rutuh (300), kluv rutuh tijuh pluh (370) dan lima rutuh lima pluh (550).

    ix. Prasasti Pagaruyung (Minangkabau), jangkaan bertarikh 1316-1347M : ampat (4).

    x. Batu Bersurat Terengganu, bertarikh 702H/1303M : asa (1), dua/tua (2), lima (5), tujuh (7), sepuluh tengah tiga (12 ½), tengah tiga (25), seratus (100) dan tujuh ratus dua (702).

    xi. Prasasti Minyak Tujuh (Aceh ), bertarikh 781H/1380M : tujuh ratus asta puluh sawarsa (781), lihat Hashim (2003). “Asta” dan “sawarsa” adalah kata bilangan Sanskrit.

    xii. Kamus Man La Jiu Guo Yi Yu (Cina), jangkaan bertarikh 1403-1511M : sa du (1), du wa (2), di jia (3), en ba (4), li ma (5), eu nan (6), du zhu (7), du la pan (8), xin bi lan (9), xi bu lu (10), sha la du si (100), xi li bu (1000) dan xi la sha (10, 000).

    xiii. Kamus Antonio Pigafetta bertarikh 1519-1522M : vzza (1), dua (2), tolo (3), vpat (4), lima (5), onom (6), pitto (7), gualu (8), ciam (9) dan polo (10). Juga pada bahagian lain merekodkan satus (1), dua (2), tiga (3), ampat (4), lima (5), anam (6), tugu (7), duolappan (8), sambilan (9), sapolo (10), duapolo (20), tigapolo (30), ampatpolo (40), limapolo (50), nampolo (60), tuguppolo (70), dualappanpolo (80), sambilampolo (90), saratus (100), duaratus (200), tigaratus (300), anamparatus (400), limaratus (500), anamratus (600), tuguratus (700), dualapanratus (800), sambilanratus (900), salibu (1000), dualibu (2000), tigalibu (3000), ampatlibu (4000), limalibu (5000), anamlibu (6000), tugulibu (7000), dualapanlibu (8000), sambilanlibu (9000), salacza (10,000), dualacza (20,000), tigalacza (30,000), ampatlacza (40,000), limalacza (50,000), anamlacza (60,000), tugulacza (70,000), dualapanlacza (80,000), sambilanlacza (90,000), sacati (100,000), duacati (200,000), tigacati (300,000), ampatcati (400,000), limacati (500,000), anamcati (600,000), tugucati (700,000), dualapancati (800,000), sambilancati (900,000) dan sainta (1,000,000).

    xiv. Dua Pucuk Surat Sultan Abu Hayat (Ternate) kepada King John III (Portugal), bertarikh 1521 & 1522M : se (1), dua (2), empat (4), tucuh (7), dua puluh (20), empat puluh (40) dan tujuh puluh (70).

    xv. Manuskrip Melayu-Islam Tertua, ‘Aqa’id al-Nasafi, bertarikh 998H/1590M : suku (1/4), setengah (1/2), suatu (1), dua (2), tiga (3), lima (5), sepuluh (10), tiga puluh (30), empat puluh (40) dan seratus (100)

    xvi. Kamus Jacob van Neck, bertarikh 1601M.: satu (1), dua (2), tyga (3), enpat (4), lyma (5), nam (6), touhou (7), delappan (8), sambalan (9), sapolo (10), sabalas (11), duo balas (12), tyga balas (13), enpat balas (14), lyma balas (15), nane balas (16), touhou balas (17), delappan balas (18), sambalan balas (19), dua polo (20), dua pola satu (21), dua pola dua (22), dua pola tyga (23), dua pola enpat (24) dan dua pola lyma (25).

    xvii. Kamus Campa-Melayu, bertarikh sekitar kurun ke-17M : sa (1), dua (2), tiga/diga/tiluo (3), lipat/pat (4), saribu (1000), ribu ribu/rabu rabu (1,000,000) dan saribu laksa (10,000,000). Manakala perkataan-perkataan pembilangan Campa pula, sepadan atau tidak, adalah sa(1), dua (2), klau (3), pak (4), sarabu (1000), taman (10,000), ralo ralo (1,000,000) dan sarabau taman (10,000,000).

    xviii. Akayet Inra Patra (Campa), bertarikh sekitar kurun ke-17M. : sa (1), dua (2), klau (3), pak (4), nam (6), tajuh (7), sa pluh (10), pak pluh (40), sa rituh (100), klau rituh (300), tajuh rituh (700), sa ribuw (1000), nam ribuw (6,000), laksa (10,000), taman=ribuw rituh (100,000), ribuw taman (10,000,000), taman laksa (100,000,000), ribuw taman laksa (100,000,000,000), kot chai (100,000,000,000), ribuw taman kot rituh (100,000,000,000,000) dan ribuw taman kot chai (1,000,000,000,000,000,000).

    xix. Akayet Dowa Mano (Campa), bertarikh sekitar kurun ke-17M : dua (2), klau (3), pak (4), ndam (6), tajuh/tijuh (7), sa pluh (10), sa rituh (100), sa ribuw (1000), klau ribuw (3000), ribuw ribuw (1,000,000) dan ribuw taman (10,000,000).

    Sebenarnya, beberapa perkara boleh dirumuskan daripada data-data yang diberikan di atas. Diantaranya, perkataan saribu (1000) itu menunjukkan bahawa Bangsa Cam memiliki sistem metrik (membilang berdasarkan sistem persepuluhan) tertua di dunia, mendahului Tamadun India sekitar 200 tahun, mendahului Tamadun Islam sekitar 400 tahun dan mendahului Tamadun Barat sekitar 1500 tahun (Perancis adalah Negara yang pertama mengusulkannya kepada Eropah sekitar kurun yang ke-19M). Implikasinya, Bangsa Campa sudah memiliki simbol “0”. Namun, penyelidikan yang kami lakukan gagal mengesahkan fakta ini. Kami cumalah berupaya menunjukkan bahawa Bangsa Funan sudah memiliki simbol “0” sekitar 20 tahun sebelum buktinya di India, 300 tahun mendahului al-Khwarizmi yang mengambilnya daripada India, dan 700 tahun mendahului Barat yang menyalinnya daripada al-Khwarizmi. Keseluruhan data tersebut menunjukkan bahawa Bangsa Melayu memiliki nama bagi setiap peringkat persepuluhan, iaitu puluh, ratus, ribu, laksa/taman, keti/kot dan juta/chai. Dan, kata pembilangan yang paling besar adalah ribuw taman kot chai (1,000,000,000, 000,000,000), iaitu satu billion billion, yang didapati daripada Akayet Inra Patra atau Hikayat Indera Putra. Akhirnya, ingin juga disebut bahawa kemajuan yang lebih awal dicapai oleh Rumpun Bangsa Melayu dalam pengiraan ini berkemungkinannya bersebabkan perlunya ilmu ini menyokong pencapaian aktiviti perdagangan yang dikuasai oleh Tamadun Funan (kurun ke-2M) sehingga Tamadun Johor-Riau (kurun ke-18M). Bukti-bukti penguasaan bidang-bidang perdagangan, perkapalan, pelayaran, pembuatan peta dan lain-lain berkaitannya akan kami usahakan kajiannya pada masa hadapan.

    7. Rumusan
    Apa yang ingin kami katakan adalah, usaha-usaha mantap bagi melatih pakar-pakar dan kumpulan-kumpulan penyelidikan perlulah dilakukan oleh institusi-institusi tertentu menyokong kajian-kajian membongkar khazanah Sains Tabii dan Teknologi Bangsa Melayu yang terpendam lama itu.

    Rujukan
    Bambang Budi Utomo. 2007. Prasasti-Prasasti Sumatra. Jakarta : Pusat Penelitian dan Pengembangan Arkeologi Nasional.

    Casparis, J.G. de. 1956. Selected Inscriptions From The 7th To The 9th Century A.D. Bandung : Penerbitan Masa Baru.

    Casparis, J.G. de. 1975. Indonesian Palaeography : A History of Writing in Indonesian From The Beginning to c. A.D 1500. Leiden : E.J. Brill.

    Casparis, J.G. de. 1995. Peranan Adityawarman, putera Melayu di Asia Tenggara. Ismail Hussein dll (ed). Tamadun Melayu. Jilid 3. Kuala Lumpur : DBP.

    Coedes, G. dan Damais, L-C. (sunt.) 1992. Sriwijaya : History, Religion & Language of an Early Malay Polity. Kuala Lumpur : MBRAS.

    Hardjowardojo, R.P. 1966. Adityawarman : Sebuah Studi Tentang Tokoh Nasional Abad XIV. Djakarta : Penerbit Bhratara.

    Hashim Musa. 2003. Epigrafi Melayu : Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : DBP.

    Jacq-Hergoualc’h. 1992. La Civilization de Ports-Entrepots du Sud Kedah (Malaysia). Paris : L’Harmattan.

    Jacques, C. (sunt.) 1995. Etudes Epigraphiques Sur Le Pays Cham, de louis Finot, Edouard Huber, George Coedes et Paul Mus. Paris : EFEO

    Majumdar, R.C. 1927/1985. Campa : History & Culture of an Indian Colonial Kingdom in the Far East, 2nd -16th Century A.D. Delhi : Gian Publishing House.

    Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Mohd Yatim. 2006. Warisan Lembah Bujang. Bangi : Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia dan Jabatan Muzium dan Antikuiti.

    Prapanca. 1365/1960. Nagarakertagama. Edisi Pigeaud, T.G. Jilid III. The Hague : Martinus Nijhoff.

    Roelof Goris. 1954. Inscripties Voor Anak Wungcu. Jilid II. Bandung : N.V. Masa Baru.

    Shaharir bin Mohd Zain. 2003. Sains dan Teknologi Melayu Sebelum Dikuasai oleh Eropah. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, 1(2) : 157-204.

    Oleh : Mohammad Alinor Abdul Kadir

    Sumber : Kesturi


    Related Posts with Thumbnails