Tuesday, January 22, 2013

Pesan Presiden GPTD UNISEL Sempena Maulidur Rasul 1434H

Pendahuluan

Setiap kali tiba bulan Rabiul Awal, umat Islam menyambut hari kelahiran Rasulullah S.A.W. dengan pelbagai majlis dan acara. Di Malaysia, pelbagai agensi dan institusi, terutamanya masjid dan surau, mengadakan ceramah, perarakan, forum, kenduri dan lain-lain, demi memperingati kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W., yang telah membawa Islam yang menerangi jalan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman, dengan izin Tuhan mereka, ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)

Kedatangan dan pengutusan baginda membawa agama Islam ini merupakan satu nikmat agung kepada umat Islam. Ini kerana dengan agama Islam  mereka terselamat daripada menjalani kehidupan dalam alam kekufuran dan kejahilan, seperti menyembah berhala, roh nenek moyang, “anak Allah” dan sebagainya. Islam menyelamatkan kita dari melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diterima akal yang sejahtera itu. Alangkah beruntungnya kita dengan nikmat Islam ini, sehinggakan jika tiada nikmat di atas dunia ini selain Islam, maka yang demikian itu pun sudah mencukupi melayakkan umat Islam berada di atas memimpin bangsa-bangsa lain.

Menyambut Maulidur Rasul
Bagaimanapun perasaan bersyukur dan berterima kasih atas nikmat agung ini tidak seharusnya terhad dengan sambutan Maulidur Rasul semata-mata. Sesungguhnya sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai peringatan akan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap umat baginda, iaitu untuk meneruskan tugas Rasulullah S.A.W. memberikan petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia, memimpin mereka ke arah jalan yang betul dan diredai Allah. Kita sebagai umat Islam bertanggungjawab memimpin umat yang lain, bukan sebaliknya.

Teladan
Islam merupakan agama yang bernyawa dan dominan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar istiadat dan upacara kaku, sebagaimana agama-agama lain. Sebaliknya Islam adalah satu cara hidup yang dihayati dari tahap individu dalam kehidupan peribadi, sehinggalah ke tahap negara dalam hubungan antarabangsa. Islam pernah memerintah dan mentadbir urusan dunia. Umat Islam pernah menjadi pemimpin dan teladan bagi umat-umat yang lain. Pencapaian hebat itu adalah hasil apabila umat Islam mempraktikkan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dalam segenap aspek kehidupan mereka.


Umat Islam mesti menjadi teladan  bagi kaum-kaum lain, sebagaimana Rasulullah S.A.W. mencapai kedudukan dihormati kaumnya ketika baginda masih muda. Gelaran “al-Amin”, yang bermaksud dipercayai, adalah aset akhlak yang digunakan oleh baginda ketika melancarkan dakwahnya di bukit Sofa, “Apakah pandangan kamu jika aku katakan bahawa ada tentera berkuda yang sedang bersiap siaga di sebalik wadi ini untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayai aku?” Mereka menjawab: “Kami tak pernah melihat kamu berdusta”. Soalnya, adakah umat Islam hari ini, atau sebahagian daripada mereka sama ada pemimpin atau pun rakyat biasa, mempunyai kualiti peribadi seperti itu di hadapan kaum bukan Islam?

Justeru ketibaan bulan Rabiul Awal ini semestinya memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.

Seruan
Sempena sambutan Maulidur Rasul 1434H, Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD UNISEL) menyeru agar semua mahasiswa Muslim, pimpinan persatuan terutama yang Muslim, pimpinan universiti dan warga universiti khususnya agar kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa akidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk bagi hamba-Nya. Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.

Penutup

Akhir sekali renungilah perumpamaan berikut, yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada generasi para sahabat, menggambarkan kedudukan yang mereka capai pada masa itu di hadapan kaum-kaum yang bukan Islam.

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 29)

Penulis merupakan Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD UNISEL) penuntut Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian), Tahun Akhir. Merupakan juga mantan Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Selangor (MPP). Terlibat aktif dengan pelbagai program kesukarelawan dan misi bantuan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails