Monday, August 15, 2011

MEMPERKASA GERAKAN DAKWAH ISLAM

Sesebuah masyarakat yang memiliki ketahanan diri yang tinggi di pentas persaingan zaman yang mencabar dan berubah didokong secara sepadu oleh pelbagai unsur atau dimensi di dalam struktur pertumbuhannya yang dinamik. Pada perbahasan kali ini, kita ingin menekankan kepentingan peranan pergerakan dakwah di dalam pembangunan ketahanan masyarakat Malaysia hari ini.

Dari segi sejarah, perkembangan pergerakan dakwah di negara kita mempunyai hubungkait yang amat dekat dengan realiti kemunduran peradaban umat Islam semasa akibat dari kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah dalam sekitar abad ke 15 yang lalu. Kejatuhan pusat kuasa umat Islam ini membawa kesan kemunduran yang parah terhadap peradabannya meliputi aspek politik, sosial dan perekonomian.

Kesan yang lebih parah ialah kelahiran perasaan rendah diri yang begitu tinggi terhadap warisan, sejarah dan khazanah kebudayaan dan ketamadunan sendiri. Akibatnya ialah kemunculan perasaan terpukau secara melulu dan berlebihan pula terhadap kilauan peradaban asing yang merebak ke tanahair sendiri menerusi penjajahan dan proses pensejagatan.

Dalam realiti zaman inilah gerakan dakwah Islam atau dikenali juga sebagai harakah Islamiyyah berkembang dan tumbuh. Kelahiran pergerakan ini diasaskan atas satu niat dan cita-cita yang murni dan mulia iaitu bagi mengangkat semula kedudukan agama dan umat Islam yang sedang ditimpa oleh putaran kemunduran peradaban.

Realiti tentang kemunduran agama dan umat Islam bukan sahaja boleh ditelusuri di dalam teks-teks kajian ilmiah malah dapat diperhatikan secara jelas di dalam kehidupan harian umat Islam hari ini. Dalam pelbagai bidang kehidupan, umat Islam nampaknya masih ketinggalan terutama dari aspek ketamadunan samada yang bersifat lahiriah atau kebudayaan. Peranan pergerakan dakwah dalam menangani realiti kemunduran umat dan peradabannya adalah menerusi usaha pembinaan semula keyakinan terhadap kebenaran ajaran agama Islam, ketinggian kebudayaan dan kehormatan peradabannya.

Bagi tujuan tersebut, pergerakan dakwah telah banyak memberi tumpuan gerak kerja di awal pertumbuhannya di dalam aspek pembinaan semula kebudayaan hidup umat agar sejajar dengan kerangka kefahaman atau tasawwur Islam berlandaskan prinsip aqidah, shariah dan akhlak yang utuh. Dalam rangka membina keyakinan kebudayaan ini, pergerakan Islam mempromosikan kesedaran dan kefahaman iaitu agama Islam sebagai addin iaitu satu sistem hidup yang menyeluruh.

Dalam hubungan ini, gerakan dakwah menolak kefahaman yang melihat fungsi agama sebagai suatu unsur yang hanya bagi memenuhi keperluan rohani manusia sahaja, pengamalannya hanya bersifat musiman sahaja dan realitinya adalah terpisah dari kehidupan harian manusia. Bagi gerakan dakwah, agama Islam ialah sumber ilmu, pedoman kehidupan dan paksi ketamadunan yang luhur Begitulah peranan pergerakan dakwah sepanjang sejarah pertumbuhannya di tengah-tengah masyarakat.

Peranan ini amat penting sekali dalam konteks pembinaan ketahanan masyarakat itu secara khusus. Ia boleh dilihat dari aspek kepentingan seruan dakwah pergerakan Islam ini di dalam mengukuhkan jatidiri masyarakat, keyakinan terhadap warisan dan tradisi kehidupan sendiri serta membina benteng kebudayaan kepada anggota masyarakat dari mudah terpengaruh atau tergelincir ke arah corak hidupn yang bertentangan dengan prinsip-prinsip keagamaan.

Sebenarnya, peranan penting pergerakan dakwah ini, sekiranya ditelusuri dari pedoman wahyu adalah memenuhi perintah Allah sebagaimana firmannya dalam surah Al-Tawbah, ayat 112: “Dan tidaklah sepatutnya bagi orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Mengapa tidak sekelompok daripada tiap-tiap puak (kabilah) antara mereka memperdalami ilmu agama dan supaya mereka dapat member peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)”.

Firman Allah ini menganjurkan kepentingan sebuah perkumpulan masyarakat yang menumpu usaha pembangunan umat itu secara khusus. Dalam konteks firman inilah, kewujudan gerakan dakwah amat asasi. Harus kita jelaskan iaitu, pergerakan dakwah ibarat seumpama perkumpulan pendidik dan pengasuh kepada anggota masyarakat terutama dari segi bimbingan ke arah pengukuhan kefahaman Islam yang sempurna dan dorongan bagi penghayatan nilai-nilai hidup berakhlak dalam segala urusan kehidupan mereka di dalam segenap bidang kehidupan. Oleh kerana itu, pergerakan dakwah ini juga sering dirujuk sebagai gerakan islah dan tajdid iaitu gerakan bagi menjayakan usaha kebaikan dan pembaharuan dalam kehidupan bermasyarakat.


Sumber : Pandangan Razak

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails