TANGGAL
31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh
rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan,
laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak
menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang
sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan
merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan
mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.
Mungkin ramai
yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan
sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda
daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya
perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Sambutan
Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan pada tahun 2015 kali ini lebih
menekankan kepada semangat kejiwaan dan bersatu hati rakyat Malaysia
apabila Sehati Sejiwa dipilih sebagai tema sambutan Hari
Kemerdekaan tahun 2015.
Pemilihan
tema #sehatisejiwa telah diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek #sehatisejiwa juga mencerminkan roh
kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini
selain melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat
tidak kira di mana mereka berada.