Wednesday, August 29, 2012

Anda Gila : Lawatan ke Hospital Bahagia

Dengan penuh rasa sukacitanya, Gptd Unisel ingin menjemput semua untuk menyertai LAWATAN KE Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 10 September 2012 (Isnin), 7.00 pg bertolak dari Dewan Biru, Unisel BJ.

Aktiviti :
#1. Meninjau proses terapi mental dan jiwa
#2. Interaksi bersama doktor & pesakit

Semoga dengan penyertaan ini dapat memberi manfaat kepada saudara/saudari.

Untuk pendaftaran Taip GILA NAMA NO. KP NO. TELEFON sms ke 019.374.6553 (Yaya) | 017.246.3276 (Eira) | 019.550.7297 (Muzz).

Untuk menjadi ahli sila daftar di
http://bitly.com/gptdvolunteer.

Friday, August 10, 2012

Memburu Inspirasi Lailatul-Qadr


Apabila masuk fasa ketiga bulan Ramadan, umat Islam akan membincangkan tentang malam kemuliaan atau lebih dikenali sebagai Lailatul-Qadr. Ramai ulama yang telah membahas dengan panjang lebar berdasarkan Al-Quran dan Hadith Rasulullah saw. Surah al-Qadr menegaskan bahawa al-Quran telah diturunkan dari Luh Mahfuz (langit yang tertinggi) ke Baitul Izzah (langit dunia) pada malam Lailatul-Qadr. Ibn Abbas menyatakan bahawa al-Quran diturunkan kesemua sekali pada malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadan ke langit dunia.

Menurut Hamka, Lailatul-Qadr adalah satu titik mula turunnya Al Quran dan bermulalah peranan baginda Muhammad saw memberi petunjuk kepada umatnya. Pada malam itu manusia diberi kemuliaan kerana menerima pokok-pokok tauhid yang bersumberkan Al Quran yang mengeluarkan dari kegelapan kepada nur, cahaya petunjuk Allah.

Malam kemuliaan yang sangat istimewa itulah satu permulaan dan penentuan garis pemisah di antara kufur dengan iman, jahiliyah dengan keilmuan, syirik dengan tauhid. Bertepatan dengan Surah Al-Baqarah 185 yang bermaksud:

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang padanyalah diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan keterangan-keterangan dari petunjuk itu dan pemisah, di antara yang hak dengan yang batil."

Di dalam Tafsir Al-Azhar, Hamka mencatatkan bahawa Abdullah bin Masud, dan Asy-Sya’bi dan Al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahwa malam Lailatul-Qadr itu ialah malam 24 Ramadan. Manakala As-Sayuthi yang kemudian sekali dikuatkan oleh Syaikh Khudhari bahawa ianya berlaku pada 17 Ramadan.

Menurut Ibn Umar, Lailatul-Qadr berlaku pada setiap Ramadhan. Bagaimana pun ayah Hamka, Syeikh Yusuf Amrullah menyatakan pendapatnya yang sama dengan pendapat ulama yang disalinkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Kitab Fathul-Bari bahwa Lailatul-Qadr yang sebenarnya hanya sekali iaitu ketika mula-mula Al Quran diturunkan.

Kita memperkuat ibadat di dalam kerana memperingati dan memuliakan peristiwa malam Al-Quran diturunkan agar kita bertambah yakin memegang segala yang dianugerahkan Allah di dalam Al Quran. Begitulah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw. Bagaimanapun terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan Lailatul-Qadr itu ialah pada malam sepuluh yang akhir dari Ramadhan kerana sejak malam 21 itu nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sampai baginda bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.

Apa pun wacananya. Misi terpenting di dalam tarbiyyah Ramadan adalah TAQWA (malah dipesan setiap Jumaat oleh Khatib). Menghayati inspirasi penurunan Al Quran (Iqra'). Meneladani peristiwa Perang Badar dan Futuh Mekah. Memburu Malam Kemuliaan. Hanya yang bertaqwa punya upaya memburu kemuliaan itu. Menepati firman Allah swt yang bermaksud:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling MULIA diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling TAQWA[#] di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" (Al Hujuraat: 13)


ABU IRSYAD
Darul Ehsan
21 Ramadan 1433


NOTA:

[#1.]
Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :
"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya".
- Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas

[#2.]
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".

Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".

[#3.]
"Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta'atiNya". - Ibnu Abbas

[#4.]
"Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka". - Hasan al-Basri

[#5.]
"Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah". - Abu Yazid al-Bustami


Related Posts with Thumbnails