Friday, September 11, 2009

Al Kisah kerana Tarian Pendet

Jakarta, 11 September 2009 - Rakyat Malaysia terutama di kalangan pelajar terpaksa menukar penampilan di Jakarta dan pelancong pula terpaksa membatalkan lawatan ke sini atas dasar keselamatan. Di Jakarta telah dilancarkan satu Gerakan 'Sapu Malaysia' oleh sekumpulan ekstremis di Indonesia. Semua berlaku disebabkan isu penggunaan 'Tarian Pendet', sejenis tarian tradisional Kepulauan Bali dalam promosi pelancongan Malaysia. Walaupun telah dijelaskan dan diselesaikan isu tersebut dengan baik oleh kerajaan Malaysia dan kedutaan Indonesia di Malaysia tetapi bantahan tetap berlaku di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif EastQabillah Travel & Tours Sdn Bhd, Fadzil Abdullah, berkata "Kita mula merasai kesannya apabila ada pelanggan membatalkan tempahan atau mengubah destinasi pelancongan yang dianggap lebih selamat seperti Padang dan Medan," katanya dalam laporan Berita Harian.

"Kami tidak lagi berani berjalan seorang diri untuk ke sesuatu tempat, termasuk pusat beli-belah di bandar. Terasa banyak sangat mata memerhati kami dengan pandangan sinis, seolah-olah tidak berpuas hati. Malah, kami turut dimaki hamun dan dilempar pelbagai kata kesat," kata seorang pelajar Malaysia ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Selasa lalu, Kumpulan Anti-Malaysia (KAM) mengadakan sekatan jalan raya dan membawa buluh runcing untuk mengugut rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro, Jakarta.

Penyelaras KAM, Muchtar Bonaventura, dilaporkan berkata tindakan itu sebagai amaran kepada Malaysia supaya tidak memberi layanan buruk kepada rakyat Indonesia atau mendakwa elemen budaya republik itu sebagai miliknya.

- Unit Media

Ulasan Penasihat

Kepada Grup Hamka yang akan menjalankan Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka di Maninjau Indonesia pada bulan Disember ini agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa di sana. Jangan lupa untuk berhubung dengan rakan-rakan NGO bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan isu ini agar perjalanan misi ke sana tidak terganggu. Sila buat lawatan ke kedutaan untuk mendapatkan jaminan keselamatan.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails