Kenangan menghadiri Pesta Buku Islami di Jakarta 2010 sewaktu XPDC HAMKA II bersama Wak Ijat, Anuar Ismail & Mawi. Menziarahi makam Buya Hamka dan pertemuan bermakna bersama Ibu Fatihah, Pak Afif dan Pak Rusydi (anak-anak Buya Hamka). Malah aku dan adik-adik GPTD sempat lawat ke Gudang Panjimas, sebuah syarikat penerbitan dan percetakan milik famili Buya Hamka yang kini diurustadbir oleh cucunya iaitu Bang Yousran Rusydi. Terima kasih kepada Bang Yousran kerana hadiahkan beberapa koleksi karya Hamka buat Pustaka Madani, milik GPTD Unisel dan rujukan umat.
Kembali ke PBAKL 2011. Aku dihubungi oleh Pak Raja. Beliau maklumkan tentang buku baharu Minda Tertawan Intektual, Rausyanfikir dan Kuasa. Raja Ahmad Aminullah adalah penulis, editor dan penerbit yang pernah menawarkan aku menulis puisi. Aku duduk mendagu. Itulah tajuk puisi ku yang pernah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul katahati. Buku tersebut pernah dikomentar oleh Pak Samad Sasterawan Rakyat. Beliau menyinggung semangat Pak Raja yang berjaya mengumpulkan anak muda merakamkan luahan rasa sehingga terlupa meletakkan tahun terbitan dalam buku tersebut dengan nada seloka.
Kembali ke buku Minda Tertawan. Mendengarkan sahaja tentang tajuknya, Minda dan hati aku sudah tertawan. Bukan sahaja kerana penulisnya adalah Pak Raja seorang budayawan. Tajuknya juga tertarik dan menarik. Malah dengan cover yang simple memang pasti akan menarik hati untuk di baca Sang Algojo buku (Pengkritik Buku - Mencantas, memancung pemikiran penulis). Pak Raja memang jujur dalam tulisannya seperti jujurnya surat kiriman rasmi beliau kepada Tun Mahathir (Perdana Menteri) sewaktu ketika dahulu.
Sindiran dan kritikan beliau terhadap sikap pemikir, cendiakawan dan budayawan yang penakut dan takut dalam bayangan sendiri memang tepat sekali. Mereka menghidapi sindrom ABS iaitu Asal Bapak Senang. Memuji dan membenarkan dalam senyap (diam tandanya setuju) setiap apa yang diungkapkan oleh Penguasa Pemerintah dan politik. Ya asalkan bosnya senang dan selesa. Malah sindrom ini merebak juga sehingga kepada aktivis politik pembangkang dan NGO. Ini memang parah jika terus berlaku.
Sepatutnya yang berlaku adalah sang pemikir, budayawan, ahli akademik dan mahasiswa (golongan intelektual) berani dan bebas menyatakan sudut pandangan mereka yang benar berdasarkan kepakaran bidang masing-masing sebagai orang yang berjiwa merdeka. Sebagaimana mana pesanan Burhanuddin Al-Helmy:"Di atas robohan kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka". Maka apabila golongan intektual sudah tidak berani maka tidak takutlah penguasa untuk mengkhianati peranan mereka. Jadi tertawanlah pemikiran, fikrah mereka semua kepada sang penguasa yang zalim. Cuma yang meronta hanya di dalam sudut hati yang tidak diterjemahkan ke dalam aksara-aksara yang mampu di baca insan lain.
Minda Tertawan juga membuka minda aku apabila Pak Raja mengingatkan tentang wujud pelbagai pusat kekuasaan kecil atau besar dalam komuniti umat. Selain parti politik pemerintah, parti oposisi juga punya wilayah pengaruhnya. Makanya, peranan NGO yang ada wilayah pengaruh yang tersendiri harus dimainkan. Kadang-kadang wilayah pengaruhnya lebih besar daripada anggota penggerak NGO tersebut. Dinyatakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Comsumers Association of Penang (CAP), Malaysian Trade Unions Congress (MTUC) mampu mewakili umat menyatakan sikap benar kepada penguasa. Mereka istiqomah dengan prinsip non-partisan.
Nama-nama besar seperti Siddiq Fadzil, Zainur Zakaria, SM Mohamad Idris, Ahmad Azam yang terlibat dalam NGO sudah memiliki khalayak yang tersendiri. Mereka mampu memberikan suntikan vaksin daripada diserang sindrom ABS. Buah pemikiran dan pencerahan yang diberikan amat bermakna kepada umat. Tambahan pula mereka berjuang tanpa kepentingan kuasa politik. Mereka bukan mahukan ghanimah (harta rampasan perang). Maka alhamdulillah, aku rasa sangat beruntung kerana dapat berada di bawah naungan tersebut iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Mendapat pencerahan keilmuan. Minda Aku Tertawan dengan keikhlasan, ketulusan, kesungguhan, kebaktian & keilmuan gerakan ini. Gerakan telah menjadi guru buat diri ku.
"Selamat Hari Guru"
IZWAN SUHADAK ISHAK
16 Mei 2011 @Bestari Jaya
No comments:
Post a Comment