Salah satu pusat pembuatan pedang dengan teknologi yang termasyhur pada zaman kekhalifahan adalah Damsyik, Syria. Seni pembuatan pedang dengan teknologi tinggi dalam peradaban Islam bermula pada abad ke-9 M. Sejarawan Al-Qalqashandi dalam buku berjudul 'Subh Al-Asha' mencatatkan bahawa pada abad ke-12 M, Damsyik menjadi puat penghasilan besi yang sangat masyhur.
Pedang buatan Damsyik yang kerap disebut sebagai pedang Persia sangat lentur dan tajam. Kehebatan pedang dari dunia Islam sempat membuat peradaban Barat 'terdiam' dan kagum. Salah satu faktor penyebab kekalahan pasukan Tentera Perang Salib dari Eropah ketika bertempur melawan tentera Muslim adalah peralatan tempur. Selain memiliki kuda-kuda yang kuat di medan perang, pasukan tentera Muslim juga dilengkapi dengan pedang yang mampu membelah manusia dengan satu kali libasan.
Pedang Persia sememangnya mengagumkan. Ia mampu memotong sutera yang dijatuhkan dari udara. Bukan itu sahaja, pedang buatan Damsyik juga mampu mematahkan bilah pedang lain atau batu tanpa hilang ketajamannya.
Ketika zaman Perang Salib, peradaban Barat mula mencari rahsia teknologi pedang yang dikuasai dunia Islam. Tentera Perang Salib menyebut besi yang sangat hebat dari Damsyik itu sebagai 'Damascus Steel'. Teknologi pembuatan besi dan pedang Damsyik begitu terkenal kerana mampu menempa wootz steel menjadi indah dan lentur.
Sejak Zaman Nabi Daud a.s
Hal ini terungkap dalam Surah Al-Anbiyaa ayat 80. Allah SWT berfirman :
"Dan telah Kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperanganmu. Maka, hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah)."
Fakta lainnya yang menyebutkan pembuatan besi yang telah berkembang pada zaman Nabi Daud a.s juga dengan diungkapkan dalam Surah Saba ayat 10 :
"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman),
Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud, dan Kami telah melunakkan besi untuknya."
Dalam Surah Saba ayat 11, Al-Quran juga memerintahkan dan menjelaskan cara membuat baju besi.
"Buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya, dan kerjakanlah amalan yang soleh. sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan."
"Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya)."
(An-Nahl : 81)
Teknologi Nano
Keistimewaan Pedang Salahuddin Al-Ayubi telah dibongkar oleh Prof. Dr. Peter Paufler dan kumpulannya di Universiti Teknikal Dresden, Jerman apabila mereka menemui tiub karbon nano (carbon nanotube) di dalam pedang yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayubi dan tentera-tentera Islam dalam peperangan Salib.
Tiub karbon nano inilah yang telah menjadikan pedang-pedang pejuang Islam sangat istimewa, sangat tajam tetapi mudah lentur. Penemuan ini telah diterbitkan oleh jurnal Nature (antara jurnal saintifik paling berpengaruh di dunia) pada tahun 2006.
Kunci kepada teknologi nano pedang mujahidin Islam ini terletak pada teknik pembuatannya yang unik. Bijih besi dari India yang dikenali sebagai wootz mengandungi sejumlah peratusan unsur karbon (carbon) yang memberikannya sifat rapuh (brittle).
Apabila dikenakan suhu yang amat tinggi, sekitar 800 darjah Celcius, campuran besi dan karbon tadi akan ditambah dengan unsur-unsur seperti Kromium, Mangan, Kobalt dan beberapa unsur lain yang telah memberikannya sifat-sifat sebilah pedang setiawan.
Sayang sekali, teknologi ini telah lenyap menginjak kurun ke-18 seiring dengan kepupusan bijih besi dan unsur-unsur penguat pedang tadi. Penempa-penempa pedang ini, biarpun secara tidak sedar telah meletakkan dua asas penting kepada permulaan sains bahan moden :
- Campuran bahan-bahan kimia pada peratusan yang sesuai.
- Teknik penggunaan haba yang tinggi untuk pembikinan produk.
Pedang nano Salahuddin Al-Ayubi yang berwarna kebiru-biruan dengan larik-larik mengufuk di sepanjang bilahnya telah 'mengajar' pedang lebar tentera Britain kepunyaan Raja Richard I (Panglima Tentera Salib) akan erti kehebatan teknologi Islam pada zaman itu seperti yang dihikayatkan oleh Sir Walter Scott di dalam bukunya "The Talisman".
(Dipetik daripada : Majalah i)
Disediakan oleh Nourin Hamra
No comments:
Post a Comment