Monday, May 16, 2011

Kuan Yew, Goh bersara dari kabinet Singapura

Menteri Mentor Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong membuat keputusan untuk berundur daripada Kabinet, sekali gus merintis laluan bagi Perdana Menteri Lee Hsien Loong serta pasukannya mempunyai rekod kerja tanpa apa-apa kesilapan masa silam.

NONEDalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua pemimpin itu berkata: "Kami telah pun mengkaji situasi politik terbaru dan memikirkan bagaimana ia boleh menjejaskan masa depan.

"Kami telah pun memberi sumbangan kepada pembangunan Singapura. Masanya sudah tiba bagi generasi muda untuk membawa Singapura maju ke hadapan dalam situasi yang lebih sukar dan rumit.

"Perdana Menteri dan pasukan pemimpin muda beliau perlu mempunyai rekod kerja tanpa apa-apa kesilapan masa silam. Generasi lebih muda, selain mempunyai kerajaan bebas rasuah dan meritokratik serta menikmati taraf hidup yang tinggi, juga ingin lebih melibatkan diri dalam keputusan yang memberi kesan terhadap mereka," kata kedua-dua pemimpin itu.

Selepas berakhirnya pilihan raya umum yang menjadi titik perubahan, kedua-dua pemimpin berkata: "Kami membuat keputusan untuk berundur daripada Kabinet dan menyerahkan kepada kumpulan menteri muda sepenuhnya untuk mendekati dan melibatkan diri dengan kalangan generasi muda dalam membentuk masa depan Singapura kita.

"Namun pasukan muda harus sentiasa mengingati kepentingan generasi lebih tua. Generasi yang telah memberi sumbangan kepada Singapura mesti dijaga dengan baik," kata mereka.

Sumber : Malaysiakini

Ulasan Penasihat

Pemimpin pelapis harus bersiap siaga untuk memimpin gerakan. Pemimpin senior harus beri kepercayaan dengan bimbingan minumum. Kombinasi baru dan lama juga adalah penting bagi memacu kemandirian organisasi. Sebagaimana pesan Buya Hamka yang bermaksud "Kerapkali orang tua menyesali pemuda dan menuduhnya terburu-buru dan kurang fikir. Kerapkali orang muda menuduh orang tua lembab, lembab bertindak dan terlalu banyak berifkir. Alangkah sibuknya dunia kalau pimpinan hanya di tangan yang muda-muda. Dan dunia akan membosankan kerana lembab geraknya kalau pemimpin hanya yang tua-tua. Gabungan di antara gelora semangat yang muda dengan renung-fikiran yang tua itulah yang menimbulkan keseimbangan di dalam perjalanan hidup." Maka renung-renunglah dengan mendalam agar gandingan ini akan bermanfaat hendaknya.

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails