Tuesday, May 17, 2011

BINTANG DI LANGIT KEHIDUPAN

Ditulis Oleh: Wan Ritini binti Wan Ismail

Aku mahu jadi pendidik!”

Itu nekadku sewaktu masih di sekolah rendah. Aku mahu jadi guru kerana dimotivasikan oleh guru-guruku ketika itu. Kesungguhan, ketelitian, dan ajaran mereka membuatkan aku percaya bahawa aku mesti meneruskan legasi pendidik ini.


Guru,

Tidak pernah berkira soal masa, wang, dan komitmen,

Jarang sekali berkerut kerana marah,

Sulit untuk ku hitung keluh-kesah mereka.

Islam mengangkat martabat seorang guru ke tempat yang tinggi dan memuliakan mereka kerana anugerah ilmu mereka kepada kita dalam melahirkan ahsan nas (manusia yang lebih baik). Tugas menyampaikan ilmu bukanlah suatu tugas yang mudah buat seorang cikgu, murabbi, muaddib, teacher, ustaz, dan semua gelaran yang melambangkan penghormatan buat mereka.

Kesabaran dalam mendidik kita daripada seorang manusia yang tidak tahu memegang pensel kepada seorang murid yang kenal tulis baca, pandai kira, dan yang lebih penting….faham erti sebuah hidup dan kehidupan. Jika ibu bapa adalah guru kita di rumah, mereka pula adalah pengganti ibu bapa apabila kita berada di sekolah.

Sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang mengajak kepada satu petunjuk, maka dia akan memperoleh pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya, yang mana pahala mereka tidak dikurangi sedikit pun. Dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, yang mana dosa mereka sedikit pun tidak dikurangkan

Riwayat Muslim, Abu Daud & Al Tirmizi

Berdasarkan hadith ini, ia adalah satu peluang untuk mendorong para guru dan bakal guru supaya membudayakan ilmu dalam kehidupan. Tradisi memberi dan menerima ilmu perlu disuburkan dalam setiap peringkat iaitu tadika, universiti, akademi, dan insititusi-institusi lain.

Kebahagiaan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka seandainya kita mampu mentadabburkan ilmu yang diberi dalam setiap aspek kehidupan. Mungkin kerana itulah, mereka berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan maksud hadith ini ke jalan yang diredhai Allah.

Lembut bicara mereka menggambarkan citra seorang guru. Dalam ketegasan, ada senyum manis dan tawa mereka. Mereka tidak meminta untuk dihadiahkan segunung intan, cukup sekadar cita-cita muridnya menjadi kenyataan.

Buat semua guru, kalian adalah pencorak masa depan bunga-bunga bangsa. Jangan pernah putus asa dalam mendidik mereka. Teringat pesan Pak Harfan kepada Buk Muslimah dalam filem Laskar Pelangi “Yang penting kita, tak boleh putus asa. Tugas kita menyakini anak-anak ini bahawa mereka harus berani punya cita-cita.” Guru-guru mestilah sentiasa positif apabila berdepan dengan pelbagai kerenah murid-murid. Jangan pernah sisihkan mereka hanya kerana mereka berada dalam kelas tercorot, apatah lagi andainya mereka terlalu menjauhkan diri kerana rasa kekurangan sendiri.

Setiap daripada murid punyai kelebihan mereka yang tersendiri, bergantung pada ibu bapa dan guru-guru untuk membantu mengasah bakat dan keupayaan mereka. Jadilah guru yang bersikap seperti seorang ‘mentor’ atau ‘penasihat’ dan bukannya seorang ‘penghukum’ kepada setiap tindakan murid-muridnya. Acuan yang terbaik dari seorang guru bakal melahirkan generasi yang bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga celik akal dan hati budinya. Berbahagialah bagi mereka yang bergelar pendidik.

Mari kita renung sejenak antara pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya “Janganlah sekali-kali engkau mengirimkan seseorang yang bodoh menjadi utusan. Jika tidak ada orang yang cerdas dan pintar, sebaiknya dirimu sendiri yang menjadi utusan.”

Selamat Hari Guru buat semua yang bergelar guru. Jasa dan bakti kalian tidak terbanding hatta dihamparkan helaian-helaian wang kertas yang banyak. Terima kasih kerana mendidik kami semua suatu ketika dahulu. Moga redha Allah sentiasa bersama kalian. Andalah bintang di langit kehidupan kami…

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG

1979


Nota : Penulis adalah Moderator Grup Penulis GPTD Pusat. Kini bertugas di Lembaga Zakat Selangor. Aktif menulis cerpen dan rencana. Boleh ikuti tulisan beliau di dalam blog : http://tintapenulis.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment


Related Posts with Thumbnails