Pendahuluan
Setiap kali tiba bulan Rabiul Awal, umat Islam
menyambut hari kelahiran Rasulullah S.A.W. dengan pelbagai majlis dan acara. Di
Malaysia, pelbagai agensi dan institusi, terutamanya masjid dan surau,
mengadakan ceramah, perarakan, forum, kenduri dan lain-lain, demi memperingati
kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W., yang telah membawa Islam
yang menerangi jalan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
“Alif,
Laam, Raa’. Ini
ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya
kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya
dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman, dengan izin Tuhan mereka, ke jalan
Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)
Kedatangan dan pengutusan baginda membawa agama
Islam ini merupakan satu nikmat agung kepada umat Islam. Ini kerana dengan
agama Islam mereka terselamat daripada
menjalani kehidupan dalam alam kekufuran dan kejahilan, seperti menyembah
berhala, roh nenek moyang, “anak Allah” dan sebagainya. Islam menyelamatkan
kita dari melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diterima akal yang sejahtera
itu. Alangkah beruntungnya kita dengan nikmat Islam ini, sehinggakan jika tiada
nikmat di atas dunia ini selain Islam, maka yang demikian itu pun sudah
mencukupi melayakkan umat Islam berada di atas memimpin bangsa-bangsa lain.
Menyambut Maulidur Rasul
Bagaimanapun perasaan bersyukur dan berterima kasih
atas nikmat agung ini tidak seharusnya terhad dengan sambutan Maulidur Rasul
semata-mata. Sesungguhnya sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai peringatan
akan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap umat baginda, iaitu untuk
meneruskan tugas Rasulullah S.A.W. memberikan petunjuk dan bimbingan kepada
umat manusia, memimpin mereka ke arah jalan yang betul dan diredai Allah. Kita
sebagai umat Islam bertanggungjawab memimpin umat yang lain, bukan sebaliknya.
Teladan
Islam merupakan agama yang bernyawa dan dominan
dalam kehidupan. Ia bukan sekadar istiadat dan upacara kaku, sebagaimana
agama-agama lain. Sebaliknya Islam adalah satu cara hidup yang dihayati dari
tahap individu dalam kehidupan peribadi, sehinggalah ke tahap negara dalam
hubungan antarabangsa. Islam pernah memerintah dan mentadbir urusan dunia. Umat
Islam pernah menjadi pemimpin dan teladan bagi umat-umat yang lain. Pencapaian
hebat itu adalah hasil apabila umat Islam mempraktikkan ajaran Islam yang
dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dalam segenap aspek kehidupan mereka.
Umat Islam mesti menjadi teladan bagi kaum-kaum lain, sebagaimana Rasulullah
S.A.W. mencapai kedudukan dihormati kaumnya ketika baginda masih muda. Gelaran
“al-Amin”, yang bermaksud dipercayai, adalah aset akhlak yang digunakan oleh
baginda ketika melancarkan dakwahnya di bukit Sofa, “Apakah pandangan kamu jika aku katakan bahawa ada tentera berkuda
yang sedang bersiap siaga di sebalik wadi ini untuk menyerang kamu, adakah kamu
mempercayai aku?” Mereka menjawab: “Kami tak pernah melihat kamu
berdusta”. Soalnya, adakah umat Islam hari ini, atau sebahagian daripada mereka
sama ada pemimpin atau pun rakyat biasa, mempunyai kualiti peribadi seperti itu
di hadapan kaum bukan Islam?
Justeru ketibaan bulan Rabiul Awal ini semestinya
memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam
kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara merupakan tuntutan
yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan
daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling
berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh
tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan
yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.
Seruan
Sempena sambutan Maulidur Rasul 1434H, Grup
Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD UNISEL) menyeru agar semua
mahasiswa Muslim, pimpinan persatuan terutama yang Muslim, pimpinan universiti dan warga
universiti khususnya agar kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap
lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa
akidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal
peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan
ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk
bagi hamba-Nya. Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan
berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah
zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan
ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.
Penutup
Akhir sekali renungilah perumpamaan berikut, yang
diberikan oleh Allah S.W.T. kepada generasi para sahabat, menggambarkan
kedudukan yang mereka capai pada masa itu di hadapan kaum-kaum yang bukan
Islam.
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama
dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya
bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau
melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia
(pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. Tanda yang
menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka,
dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang
tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula
ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak
dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi
kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang
mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat
Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah
sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan
perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan
selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh
daripada kalangan mereka, keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 29)
Penulis merupakan Presiden Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD UNISEL) penuntut Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian), Tahun Akhir. Merupakan juga mantan Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Selangor (MPP). Terlibat aktif dengan pelbagai program kesukarelawan dan misi bantuan.
No comments:
Post a Comment