NARATHIWAT 24 Oktober 2011 - Penyerang yang disyaki puak pemisah Islam
membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 10 lagi dalam
insiden tembakan dan letupan bom di selatan Thailand. Dua askar renjer terbunuh malam tadi apabila sekumpulan lelaki
bersenjata yang berpakaian seperti wanita dan menaiki tiga trak pikap
melepaskan tembakan ke arah satu sekatan jalan raya. Sejurus kemudian sebutir bom meletup di sebuah pasar raya berdekatan,
disusuli dengan letupan bom kedua di sebuah pasar raya lain yang
terletak kira-kira 300 meter jauhnya, mencetuskan kebakaran yang merebak
ke rumah-rumah kedai dan mengambil masa tiga jam untuk dipadamkan.
Polis berkata, mayat seorang lelaki pemilik pasar raya pertama dan
seorang guru wanita ditemui rentung di dalam premis itu manakala seorang
budak lelaki dan ibu bapanya ditemui maut di pasar raya kedua. Sepuluh orang lain cedera akibat kebakaran dalam serangan-serangan tersebut yang berlaku selang setengah jam. Wilayah-wilayah di selatan Thailand bergolak sejak lebih lapan tahun
lalu, menyebabkan lebih 4,800 orang terbunuh, termasuk penduduk Islam
dan penganut agama Buddha. Pada akhir bulan lepas, empat askar terbunuh dan seorang kanak-kanak
cedera parah apabila lebih 12 penyerang yang disyaki puak pemisah
menyerang sebuah sekolah di Narathiwat.
Guru yang bertugas di sekolah kerajaan kerap menjadi sasaran kerana
mereka dilihat sebagai simbol kekuasaan kerajaan dan simbol sistem
pendidikan yang didakwa sebagai usaha Bangkok untuk memaksa penduduk
Islam menerima budaya Buddha. - AFP
No comments:
Post a Comment